Ibu Bapa Ini Telah Lakukan Yang Terbaik, Namun FAYYADH Tetap ‘Pergi’ Bertemu PenciptaNya!

Ibu Bapa Ini Telah Lakukan Yang Terbaik, Namun FAYYADH Tetap ‘Pergi’ Bertemu PenciptaNya!

Pemergian anak sulung kepada pasangan Muhammad Fadhli Kamil dan isteri, Ayda Jamlus pada 22 Januari lalu benar-benar menyentak emosi ramai ibu bapa. Meskipun perubahan kesihatan Muhammad ‘Aisy Fayyadh telah disedari kedua-dua ibu bapanya sejak 19 Januari dan gigih mendapatkan rawatan di klinik serta hospital, namun takdir Allah SWT anak kecil yang berusia 3 tahun ini akhirnya kembali ke pangkuan Sang Pencipta.

Menceritakan kembali detik-detik manis berada di sisi Fayyadh, baik Fadhli mahupun Ayda kedua-duanya tabah mengharungi ujian yang menimpa anak syurga mereka itu. Fayyadh disifatkan seorang anak yang baik, rajin, sopan, alim, mendengar kata dan pandai berdikari. Empat hari berjuang melawan sakit yang dialami, doktor mengesahkan anak kecil ini menghidap Meningitis with Shock Bronchopnemonia iaitu sejenis penyakit radang otak dan jangkitan virus di peparu. Terang Fadhli, virus dalam tubuh Fayyadh telah merebak dari otak ke paru-paru seterusnya ke jantung dalam masa yang singkat. Sehingga kini, doktor masih menyiasat punca virus berkenaan.

“Pada mulanya dia mengadu sakit perut pada Jumaat (19/1/2018) malam dan start muntah-muntah. Pada hari Sabtu, dia jadi tak larat nak makan dan minum. Berpanjangan sehingga ke hari Ahad. Tapi hari Ahad muntah dia dah berkurangan. Maybe sebab tak ada makanan lagi yang nak dimuntahkan. Jika berlaku pada kanak-kanak, muntah yang berpanjangan tapi tak cirit-birit, ada something wrong pada nerve system which is sangat berbahaya dan kena terus jumpa doktor pakar kanak-kanak.

Kami sangka dia hampir pulih sebab telah pergi ke klinik pada Sabtu malam. Doktor beritahu cuma demam biasa dan perut dah masuk angin. Kami bagi dia ubat yang kami dapat di klinik seperti biasa. Pada hari tu dia cuba untuk tidur tapi asyik terkejut dan tersentak-sentak semasa tidur. Kemudian mata dia terbeliak tiba-tiba. Perkara ini berulang berkali-kali sehingga dia tak dapat tidur dengan nyenyak.

Percakapan dia pun jadi macam laju, jalan dah tak stabil dan tak larat. Menggigil-gigil. Kami sangkakan dia dehydrated sebab tak mahu makan dan minum. Jadi pada Ahad malam kami bawa dia ke Hospital Serdang untuk terima rawatan ‘drip air’ sebab nak kembalikan kandungan air seperti normal.”

Kenangan Fayyadh di samping ibu bapa serta adiknya

Dalam keadaan Fayyadh yang serba lemah, ibu kanak-kanak ini menyedari mata Fayyadh menjadi juling dan tak mampu untuk berjalan sendiri. Apabila bertanya kepada doktor yang merawat, ia hanyalah simptom biasa yang dialami kanak-kanak ketika demam dan akan kembali pulih. Lega mendengar kata-kata doktor, mereka pulang ke rumah selepas selesai mendapatkan rawatan. Namun keadaan Fayyadh masih tidak berubah. Pernafasannya kembali laju, muntah-muntah dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur pula.

Setibanya di hospital, dia dibawa masuk ke zon merah dan doktor mengesahkan virus telah menyerang otak Fayyadh. Disebabkan denyutan jantungnya lemah, doktor perlu membuat bantuan pernafasan CPR. “Lebih kurang jam 8.40 pagi doktor panggil kami untuk berbincang. Mereka kata jantung Fayyadh betul-betul lemah. Kami request untuk sambung lagi buat CPR sebab tahu anak saya kuat. Alhamdulillah dapat semula degupan jantungnya lebih kurang jam 9 pagi.

Selepas hampir dua jam semasa pemindahan katil ke ICU tiba-tiba denyutan jantung Fayyadh mula perlahan. Doktor buat CPR kali kedua selama 30 minit akhirnya denyutan jantung dia tetap lemah. Tepat jam 11.41 pagi, 22 Januari 2018 doktor berhenti buat CPR. Allahu Akbar Fayyadh tak dapat diselamatkan lagi.

Minggu lepas dia ada bagitahu mama dia dalam kereta, ‘Fayyadh nak masuk syurga sorang-sorang. Fayyadh masuk syurga dulu. Papa, Mama, Adik jgn masuk lagi’. Bahkan masa malam yang dia muntah dekat Hospital Serdang, mama dan Fayyadh ke toilet untuk bersihkan diri. Mama letak Fayyadh dekat atas singki tapi Fayyadh macam gayat nak jatuh. Jadi Fayyadh peluk Mama erat. ‘Fayyadh, ni nanti mama, papa, doktor akan tolong pulihkan Fayyadh tapi siapa yang first sekali akan tolong Fayyadh?’, tanya mamanya. Dengan tak larat tu Fayyadh gagah menjawab, ‘Allah…’ Walau sakit macam tu tengah berlawan dengan sakit, dia tetap boleh jawab dgn baik.”

Ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanyat terletak di tangan Tuhan. Walau sebanyak mana usaha sudah dibuat tapi kalau sudah tiba masanya tiada siapa mampu melawan. Perkongsian kisah Fayyadh ini diharap memberi pengajaran buat semua. Buat ibu bapa, jika anak mengalami sakit walau sekecil mana sakit mereka sekalipun segeralah bawa anak ke hospital seperti mana yang dibuat Fadhli dan isteri. Jangan bila sudah terlambat, menyesal pun tidak berguna lagi.

 

 

Amal 5 Cara Ini Jika Tak Mahu Anak Menjadi Seorang Yang PEMARAH! Ibu Bapa, Take Note

Amal 5 Cara Ini Jika Tak Mahu Anak Menjadi Seorang Yang PEMARAH! Ibu Bapa, Take Note

Anak kecil yang mudah marah atau merengek adakalanya boleh menguji tahap kesabaran ibu bapa. Bagaimana untuk mengendalikan amarahnya? Secara tidak sedar, ramai ibu bapa yang kerap melakukan kesalahan dengan sengaja membiarkan, memarahi, menghukum malah ada yang sanggup memukulnya semata-mata mahu si anak diam.

Kemarahan seorang anak kecil berbeza puncanya berbanding kemarahan orang dewasa. Sebagai ibu bapa jadilah penyejuk hati bagi anak-anak yang sedang marah sehingga mereka dapat memahami kesalahannya sendiri dan belajar cara yang betul untuk mengatasi emosi.

Berikut beberapa tip yang boleh dijadikan panduan oleh ibu bapa untuk membantu meredakan emosi anak-anak yang sedang marah.

PRIHATIN PERASAAN ANAK

Seorang anak memiliki keinginan yang kuat untuk melakukan sesuatu namun seringkali kemampuan tidak sekuat keinginannya. Kekecewaan diluahkan melalui kemarahan. Faham perasaan si anak, kenali kesukaannya, faham apa yang diinginkan dan tidak diinginkan, waktu tidur dan sebagainya. Jika anda cuba perkenalkan perkara baru kepadanya usah terlalu memaksa.

KOMUNIKASI

Kadangkala apa yang cuba disampaikan oleh anak kepada ibu bapanya ‘tidak sampai’ sehingga menimbulkan kekecewaan pada si anak. Tanda protes ditunjukkan dengan cara marah, merengek, merosakkan sesuatu dan sebagainya. Sentiasa luaskan komunikasi bersama anak. Anggap anak-anak sebagai sahabat dan begitulah sebaliknya.

PELUKAN

Kadangkala kemarahan seorang anak disebabkan kurangnya kasih sayang atau perhatian daripada ibu bapa. Kian membesarnya anak-anak atau kerana jadual semakin padat, interaksi antara anak dan ibu bapa semakin berkurang. Pelukan dan belaian kasih sayang ibu bapa amat diharapkan saat ini. Biasakan memeluk atau mencium anak-anak sebelum ke tempat kerja atau saat mereka sakit.

LARANGAN YANG LOGIK

Kata-kata seperti ‘Jangan’, Tidak boleh’ dan seumpamanya sering membuatkan anak merasa tidak dipercayai atau terbatas pergerakannya. Sebagai ibu bapa ‘wajib’ memberi alasan yang logik kepada anak mengapa kita melarangnya melakukan sesuatu. Contohnya melibatkan hal yang boleh membahayakan dirinya. Jelaskan risiko-risiko jika dia masih berdegil untuk melakukannya.

MENUNJUK TAULADAN

Ibu bapa harus menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak seperti cara yang betul untuk mengatasi emosi. Ibu bapa yang sering marah-marah atau tidak mampu mengawal emosi akan mudah mempengaruhi sikap anak-anak. Jika anda mula hendak merasa marah berusahalah untuk tidak menunjukkannya di hadapan anak-anak.

SENTIASA TENANG

Jika anak meragam atau marah-marah di tempat umum, sebagai ibu bapa kita haruslah sentiasa berada dalam keadaan tenang serta tidak mudah melatah. Elakkan daripada memarahinya semula atau memukulnya di khalayak ramai. Cara mudah yang boleh dilakukan ialah membawanya ke tempat yang lebih sunyi agar dapat meredakan kembali emosi. AMY MOHD

Selain Persediaan MENTAL Anak, Tip Penting Ini Berguna Buat Ibu Bapa Sepanjang Tempoh Anak BERKHATAN!

Selain Persediaan MENTAL Anak, Tip Penting Ini Berguna Buat Ibu Bapa Sepanjang Tempoh Anak BERKHATAN!

Memasuki musim cuti persekolahan ramai ibu bapa yang merencana pelbagai aktiviti untuk anak-anak. Ada yang merancang percutian dalam dan luar negara dan tidak kurang juga mengambil kesempatan cuti sekolah untuk membawa anak teruna menjalani proses berkhatan. Memandangkan cuti akhir tahun ini agak lama tempohnya, dapatlah si anak berehat dan menikmati momen ‘fasa dewasa’ dengan tenang.

Jika dulu tok mudim dan pisau yang tajam menghantui imaginasi anak-anak apabila berkhatan, kini segala-galanya lebih mudah dan pantas. Bukan hanya dari segi masa prosedur yang singkat malah kesan pembedahan juga mampu sembuh sepenuhnya dengan cepat.

Sebagai pegawai perubatan yang telah terlibat dengan operasi berkhatan, Dr Abdul Rahim sudi berkongsi tip berguna buat anak-anak dan ibu bapa terutama sebelum, semasa dan selepas prosedur berkhatan. Semak panduan Dr Abdul Rahim ini seperti yang dikongsikan beliau dalam laman media sosial miliknya.

Sebelum hari bersunat

  • Pastikan anak anda sihat walafiat. Tak demam batuk
  • Makan minum secukupnya sebelum ke klinik. Elok mandikan seluruh tubuh badan sebelum jumpa doktor
  • Boleh bawa kain pelikat/kain batik kalau nak elak tersentuh pakaian lepas khatan. Hendak pakai seluar pun boleh saja tanpa pakai seluar dalam
  • Bagi semangat dan motivasi kepada anak-anak
  • Jika berkemampuan, hadiahkan keberanian anak-anak. Jangan janji yang bukan-bukan atau cakap kosong. Cakap tujuan kita orang Islam bersunat kepada mereka
  • Yang penting anak relax & ready menjalankan proses khatan yang sebenarnya mudah dengan teknologi canggih. Hanya ambil masa 10 – 15 minit saja

Semasa hari berkhatan

  • Selain anak, ibu bapa juga perlu tenang
  • Sebelum prosedur berkhatan doktor baca doa beri semangat kepada anak itu dan terus segerakan proses berkhatan menggunakan Laser Cautery
  • Anak-anak yang telah bersedia tidak akan menangis langsung waktu prosedur tapi kalau mind set tidak sedia, ada yang menangis, meraung, lompat turun daripada katil dan sebagainya
  • Pastikan ibu bapa sentiasa ada di klinik sepanjang anak dikhatankan supaya doktor mudah berkomunikasi jika berlaku sesuatu

Selepas berkhatan

  • Doktor sarankan kanak-kanak lepas sunat dipakaikan kain untuk memudahkan berjalan dan jaga kesan pembedahan
  • Makan ubat tahan sakit bila perlu
  • Elakkan kena air pada bahagian operation selama 3 – 4 hari sebelum datang ke klinik untuk dressing. Takut infeksi seperti bernanah, jika terjadi kena makan antibiotik
  • Hindar sebarang ubat-ubatan atau benda asing di kawasan berkhatan tanpa pengetahuan doktor kerana boleh memudaratkan bahagian tersebut

Dr. Abdul Rahim
Klinik Abdul Rahim, Bayan Lepas, Penang

Sumber: Facebook DrRich DrRahim – DAR

Ibu Bapa Perlu KREATIF Mendidik ANAK ISTIMEWA, Tip No5 Paling Penting!

Ibu Bapa Perlu KREATIF Mendidik ANAK ISTIMEWA, Tip No5 Paling Penting!

Bagi anda yang dianugerahkan dengan anak istimewa perlulah diimbangi dengan gaya didikan terbuka. Anda dan pasangan perlu sentiasa menambahkan ilmu serta matlamat. Kenali betul-betul keperluan anak sesuai dengan persekitarannya. Namun begitu jangan pula menjadi ibu bapa yang terlalu mengongkong.

Kunci utama dalam mendidik anak-anak istimewa ialah terletak pada peluang yang adil serta sesuai dengan anugerah yang dimiliki. Keraplah berbincang dengan pakar psikologi bagi melengkapkan rujukan anda dalam mendidik anak-anak istimewa ini. Biarpun anak-anak ini memiliki IQ yang sangat bagus namun mereka juga punya masalah tersendiri dalam sosialisasi.

Inilah yang sebaiknya anda lakukan:

  • Berikan batas hubungan sebagai anak dan ibu bapa melalui peraturan yang jelas dan terapkannya secara konsisten.
  • Beri peluang kepada anak untuk memilih minat yang digemarinya namun masih di bawah bimbingan anda dengan mengarahkan kepada kegiatan spesifik.
  • Wujudkan halangan buat anak agar ia tidak selalu merasa dirinya di atas dan mendidik dirinya bahawa hidup ini bukan semuanya mudah.
  • Berikan penghargaan seikhlasnya kepada anak. Begitu juga dengan kritikan membina yang disampaikan secara berhemah.
  • Teruskan memberi semangat dan motivasi kepada anak. Tekankan padanya bahawa menjadi istimewa bukanlah perkara yang pelik dan anggaplah ia tanda kasih sayang Allah SWT yang pasti ada hikmahnya.
  • Cari tujuan besar yang lebih penting sebagai sasaran utama bagi setiap tindakan dan usaha.
  • Berikan kemudahan pendidikan yang tidak membebani anak. Contohnya menerapkan semi home-schooling. Anak akan memiliki waktu belajar di luar sekolah beberapa hari berselang seli dengan hari sekolah.
  • Didik anak untuk membuat prioriti, jadual dan perancangan secara komprehensif. Anak istimewa yang mempunyai kemampuan mengendalikan diri, waktu, emosi dan potensi sejak awal akan lebih mudah beradaptasi dengan persekitaran. AMY MOHD
Dato’ Dr Fadzilah Kamsah Akui MAGIS Terkandung Di Dalam Air, Sebab Itu Kita DILARANG Cakap Sembarangan Bila Meminumnya!

Dato’ Dr Fadzilah Kamsah Akui MAGIS Terkandung Di Dalam Air, Sebab Itu Kita DILARANG Cakap Sembarangan Bila Meminumnya!

Orang-orang tua dulu memang cukup ‘pantang’ kalau bergaduh atau bercakap buruk ketika di meja makan. Ibaratnya macam mengundang perkara yang tidak elok kepada keluarga dan tidak menghormati rezeki di depan mata.

Makanan terutamanya air mempunyai magis tersendiri yang mampu mempengaruhi sikap dan emosi seseorang. Kebenaran mengenai kuasa air telah dibuktikan Dr Masaru Emoto dari Universiti Yokohama, Jepun yang berjaya merakam sesuatu yang luar biasa dan sukar digambarkan. Bersetuju dengan hasil kajian Dr Masaru, Dato’ Dr Mohd Fadzilah Kamsah turut berkongsi keajaiban tersebut di laman Facebooknya.

APA KESAN KPD ANAK YG DI MAKI ATAU DI KUTUK OLEH IBUBAPA, ATUK NENEK, GURU ATAU SESIAPAPUN???

Posted by Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah on 16hb Ogos 2017

“Air ini dengan izin Allah boleh merakam apa yang mak bapa, nenek, guru atau sesiapa cakap depan air itu. Jangan cakap tak elok di depan makanan. Dan Nabi bersabda salah satu waktu yang mustajab untuk berdoa adalah berdoa apabila waktu berbuka puasa, makan sahur. Kenapa? Air ini akan merakam doa itu dan semua molekul dalam air akan menjadi sangat cantik.

Bila molekul cantik kita makan apa jadi? Badan kita sihat, dengan izin Allah, otak pintar dan sahsiah menjadi baik. Kalau kita bergaduh, bercakap tak elok depan makanan atau air maka molekul air akan pecah dan rosak. Bila diminum, maka ia akan melemahkan juga badan, otak dan sebagainya.

Molekul air yang terbentuk indah apabila dibacakan doa dan perkataan-perkataan baik. Luar biasa!

Ramai orang terlepas pandang, kajian menunjukkan dalam badan manusia mengandungi 85% di air dan 15% adalah daging dan tulang. Bila bercakap benda tak elok kepada seseorang atau anak-anak maka 85% air dalam badan orang itu akan rosak molekulnya. Kesannya dia akan berasa sedih, badan tak sihat dan otak tak pandai.

Jadi saya seru diri saya dan anda semua, tolonglah haramkan perkataan negatif di rumah anda, haramkan bercakap negatif terhadap sesiapa pun depan kita sebab molekul air dalam badan orang yang kita sebut itu akan jadi rosak dan takut-takut perangai menjadi negatif. Benarlah, cakap orang tua adalah doa juga cakap mak bapa adalah doa. Jangan fikir negatif, jangan cakap negatif sebab ia akan mempengaruhi diri dan mengubah menjadi negatif seperti yang kita cakapkan itu.”

SUMBER: Facebook Dato’ Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah

RAHSIA KEAJAIBAN AIR ZAM-ZAM

Air zam-zam membentuk molekul yang begitu kukuh dan strukturnya tidak berubah disebabkan apa jua tekanan. Malah, kehebatan air zam-zam didapati mampu merakam dengan tepat gelombang warna alam yang sering bertukar pada waktu tertentu.

Kandungan airnya juga berbeza dengan telaga yang ada di sekitar Mekah. Ia mengandungi kadar kalsium dan garam magnesium yang lebih tinggi, berkhasiat menghilangkan rasa haus dan penyembuhan. Istimewanya, air zam-zam juga mengandungi zat fluorida berkhasiat memusnahkan kuman yang terdapat di dalamnya.

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: