Baru 4 Tahun, Anak Buah HANIS ZALIKHA Ni Dah Fasih Bahasa Inggeris! Amalkan 4 Tip Mudah Ini Agar Anak Cepat Kuasai Bahasa Tersebut!

Baru 4 Tahun, Anak Buah HANIS ZALIKHA Ni Dah Fasih Bahasa Inggeris! Amalkan 4 Tip Mudah Ini Agar Anak Cepat Kuasai Bahasa Tersebut!

Terpegun tengok kebolehan anak saudara Hanis Zalikha ini yang fasih berbahasa Inggeris. Walaupun baru berusia empat tahun, Camilla Kyra yang merupakan puteri kesayangan Liana Ezzana mampu bertutur dalam bahasa tersebut dengan sangat baik. Siap ada bunyi British accent lagi.

Bagi kanak-kanak seusia Camilla, kebolehan anak kecil ini menguasai bahasa antarabangsa berkenaan memang satu pencapaian membanggakan. Bukan bererti menidakkan bahasa ibunda, Bahasa Melayu … sama ada Liana mahupun ibu bapa lain, pastinya menyimpan hasrat agar anak-anak mereka mampu mahir lebih daripada satu bahasa sahaja.

Menceritakan tentang bagaimana dia mendidik Camilla hingga kanak-kanak bijak yang baru menyambut kelahiran pada 23 Januari lepas ini fasih berbahasa Inggeris, Liana tanpa berselindung berkongsi asuhan yang dipraktikkan selama ini.

Amboi #dedobottakescappadocia #dedobottakesturkey

A post shared by Kekna (@leanazainal) on

 

“Antara faktornya adalah dari dia bayi memang saya berkomunikasi 100% English dengan dia. Rancangan TV yang saya bagi dia tonton adalah dari UK seperti Peppa Pig, BabyTV dan sebagainya sebab saya suka dengar British accent. Jadi masa Camilla mula-mula bercakap memang ada British accent, iyalah budakkan tiru macam parrot.

Tapi bila dah besar ni dah banyak berkomunikasi dengan orang sekeliling maka ada sedikit ‘manglish’. Selain itu,  aunties and uncles dia banyak berbicara in English tentang pelbagai perkara dengan Camilla. Tak terhad topik kanak-kanak sahaja. Mungkin sebab tu kosa kata (vocabulary) dia luas.”

Tak sah kalau tak tengok video Camilla berkali-kali. Petah dan comel sangat!

Jadi, lepas ini ibu bapa yang mahu anak-anak mereka fasih bercakap Bahasa Inggeris bolehlah tiru amalan Liana. Malah, ibu muda ini turut berkongsi 4 tip mudah untuk mengajar si kecil menguasai bahasa ini.

Kata Liana, “Ini yang saya buat, rasa sesuai nak ikut silakan.”

1. Bagi kanak-kanak 3 tahun ke bawah, parents dan orang sekeliling jangan jadi ‘grammar nazi’. Biarkan grammar berterabur. Dia akan belajar along the way. Betulkan sedikit-sedikit sepanjang dia membesar. Tak perlu stress, lulusan universiti tersohor pun grammar ke laut juga. Relax ok.
2. Jangan risau dia tak faham terms yang akan anda gunakan kerana umur dia masih kecil. Bila dia tanya kenapa kenapa kenapa, jawab soalan dengan penjelasan yang lengkap apa dan bagaimana. Jawab dengan betul. Sesetengah parents rasa kalau kita explain budak tak faham, jadi ambik shortcut dengan bagi jawapan tipu / kisah dongeng / atau just jawab je apa-apa supaya anak diam. Bila begini, kita risau otak dia tak berkembang, kerana dia tak dilatih berfikir dan vocab terhad.
3. Walaupun anda berbahasa Inggeris dengan anak, jangan halang orang lain berbahasa lain dengan anak anda. Biar dia terdedah dengan banyak bahasa. Grandpa Camilla sering berbahasa Melayu dengan dia, dan bila kami sekeluarga / kawan-kawan berborak bahasa Melayu, dalam diam Camilla observe dan absorb. Jadi Camilla juga tahu berbahasa Melayu.
4. Bila anda rasa bahasa Inggeris anak anda dah agak-agak ok boleh berkomunikasi dengan lancar, boleh mula lebihkan bahasa Melayu. Muka anak memang blur kejap tapi cakap je bahasa Melayu as if dia faham. Lepas tu terangkan makna dalam bahasa Inggeris. Macam yang saya sedang buat sekarang. Kadang tiba-tiba je Camilla datang dekat saya dan cakap “Mummy, pretty is cantik. Sleep is tidur.”

Tambahnya lagi, “Itu tipnya setakat pengalaman sayalah. Saya pun baru anak seorang tapi inilah formula yang saya reka sendiri. Alhamdulillah setakat ni ok.”

Sumber: Instagram @leanazainal

 

DATO’ RUBY Bangga Anak Ikut Jejak Langkah Buat Kerja Amal, Derma Sejumlah Besar Duit Perkahwinan Demi Kebajikan!

DATO’ RUBY Bangga Anak Ikut Jejak Langkah Buat Kerja Amal, Derma Sejumlah Besar Duit Perkahwinan Demi Kebajikan!

Reputasinya dalam aktiviti kebajikan tiada siapa pun dapat melupakan. Lapan tahun, Dato’ Ruby Khong merupakan pendorong utama di belakang Kechara Soup Kitchen (KSK), sebuah yayasan yang bertujuan untuk memberi makan dan menyediakan bantuan perubatan kepada gelandangan di Malaysia.

Dia sebenarnya memulakan perjalanannya seperti jelitawan VIP lain, bergaya anggun hadir ke pelbagai keramaian tetapi kala turun menyusuri lorong-lorong ibu kota segala-galanya ditinggalkan. Hanya tampil ringkas dengan membawa visi untuk memberi bantuan seikhlas mungkin kepada mereka yang memerlukan. Itu dua tahun lalu, sewaktu perjalanannya bersama KSK dan kini beliau terus gembira meniti hidup baru yang lebih aktif…

Sesiapa sahaja pasti merasakan keseronokan tatkala bertemu Dato’ Ruby. Sikapnya yang positif dan memberi inspirasi kepada masyarakat sekeliling membezakan keseronokan peribadi dan tuntutan untuk berbudi kembali kepada dunia sebagai tempat yang lebih baik. “Ya! 8 tahun saya bersama KSK dan dua tahun lalu saya melepaskan tanggungjawab itu kerana ingin memberi ruang rehat kepada diri sendiri. Perjalanan saya dengan KSK telah menjadi satu kenangan terindah.

Terlalu banyak cerita untuk diberitahu dan dikongsi tetapi yang boleh saya katakan… Setiap hari, sama ada dari pejabat KSK dan di sepanjang jalan ibu kota, saya melihat ramai sukarelawan dari pelbagai latar belakang yang tampil memberi bantuan kepada rakyat kita yang miskin dan tiada tempat tinggal. Ini menyejukkan hati saya bahawa masih ada banyak rakyat Malaysia yang prihatin dan tidak mengabaikan tanggungjawab mereka kepada manusia lain yang kurang bernasib baik. Hidup ini akan lebih bermakna kiranya kita dapat memberi senyuman terindah buat mereka yang memerlukan.”

Sejak tidak aktif bersama KSK, Dato’ Ruby menghabiskan masa untuk dirinya berehat, melancong, keluar bersama rakan-rakan, bermain golf dan melukis. “Setelah puas berehat selama sebelas bulan, saya mula terasa sepi dan timbul keinginan untuk aktif kembali. Melalui laman sosial, saya terlihat adanya peluang sebagai konsultan untuk satu projek jangka pendek. Tanpa berfikir panjang, saya terus menghubungi pihak tersebut dan saya diterima sebagai Project Consultant, Malaysia Global Innovation & Creativity Centre (MAGIC) di bawah naungan Kementerian Kewangan. Projek ini telah berjalan dengan jayanya pada tahun lepas 2016.

Kejayaan itu, membuatkan saya masih diperlukan untuk kelangsungan projek jangka lebih panjang. Tugasan ini amat menarik, sebagai contoh ramai ibu tunggal yang berjaya menjalankan pelbagai perniagaan. Kita ingin mereka turun padang di kawasan luar bandar untuk berjumpa dengan wanita lain untuk sama-sama melaksanakan perniagaan tersebut sebagai francais dengan kerjasama TEKUN. Saya akan membawa pihak terlibat untuk memberi penerangan dan informasi tentang peluang perniagaan,” ujar Dato’ Ruby yang juga merupakan Special Advisor, UN World Food Programme (WFP).

Kata Dato’ Ruby tentang kejayaan wanita hari ini, “Ini adalah senario yang sihat apabila semakin ramai wanita yang agresif bekerja. Saya gembira melihat trend sekarang yang membuka banyak peluang untuk wanita yang mempunyai anak untuk bekerja dengan menyediakan pelbagai kemudahan. Saya percaya dengan sokongan ekosistem kita, pasti ramai wanita ingin kembali bekerja selepas berkahwin dan mempunyai anak. Contohnya kalau dahulu kurangnya kemudahan untuk ibu menyusukan anak tetapi sekarang kemudahan itu telah diperbanyakkan dan memudahkan pergerakan wanita ke mana sahaja.”

Status sebagai seorang VIP, “Membawa status tentu sahaja menuntut saya untuk menjaga tatasusila, kesopanan dan penampilan di mata umum. Ya! Benar perkara ini perlu dititik beratkan tetapi saya juga merupakan manusia biasa yang mempunyai banyak kelemahan dan mungkin hari-hari tertentu sedih, malas atau tidak ingin berjumpa dengan sesiapa kerana ingin masa untuk bersendiri. Saya percaya jika kita menjadi diri sendiri dan ikhlas dengan sesiapa sahaja, kita akan bersikap jujur dengan mereka.

Jika saya boleh membantu, saya akan cuba untuk menolong tetapi jika ia di luar daripada kemampuan, saya akan berterus-terang dan meminta maaf kerana tidak dapat memenuhi permintaan itu. Saya bersyukur dengan individu yang masih sudi untuk datang bagi meminta bantuan tetapi seperti saya katakan tadi, kita hanya manusia mungkin tidak semua dapat dipenuhi.

Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. “Berbicara tentang anak saya Elisa, 29 dan Clifford, 28, saya bersyukur mereka juga berminat untuk melakukan kerja amal. Saya berbangga dengan Elisa yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Sepatutnya majlis itu boleh diabadikan sebagai sebuah majlis besar-besaran dengan menelan belanja jutaan ringgit, tetapi anak saya sanggup mengetepikan impian perkahwinan itu dengan mendermakan RM1.5 juta yang kami beri kepada sebuah badan kebajikan dan juga menderma untuk pekerja sosial yang akan melanjutkan pelajaran di Oxford University.

Keputusan yang dibuat itu amat menyentuh hati saya sebagai seorang ibu dan amat bangga dengan tindakan itu. Saya bersyukur mempunyai anak-anak yang sangat baik dan sentiasa mengambil berat orang di sekeliling mereka,” jelas Dato’ Ruby yang turut bangga dengan kejayaan anaknya, Clifford yang bakal menjadi seorang pilot suatu hari nanti.

Pada waktu senggang, tetamu VIP ini bukan memilih aktiviti untuk membeli-belah atau menghabiskan waktu di spa tetapi beliau senang sekali melayari Google. “Mungkin hobi ini jarang sekali menjadi pilihan ramai wanita tetapi itulah hakikatnya. Saya suka Google kerana terdapat banyak ilmu, informasi dan perkembangan semasa yang boleh diperoleh dari situ. Melalui cara ini saya dapat menambah pengetahuan dan mengikuti perkembangan semasa dengan mudah. Buat semua wanita, lakukanlah apa sahaja yang terbaik yang boleh memberi faedah kepada diri sendiri asalkan tidak menyusahkan atau menyakiti orang lain,” terangnya mengakhiri perbualan. #nonasuperwoman #inspirasinona

 

Hamil IVF Lebih Risiko Alami Spotting, Ketahui 6 Punca Pendarahan Ketika Mengandung!

Hamil IVF Lebih Risiko Alami Spotting, Ketahui 6 Punca Pendarahan Ketika Mengandung!

Satu perempat daripada wanita hamil mengalami pendarahan ketika usia kandungan memasuki trimester pertama. Meskipun dianggap satu kelaziman di kalangan wanita hamil namun anda harus ambil tahu tahap pendarahan yang dialami.

Ibu hamil terutama yang menjalani prosedur IVF atau rawatan seumpamanya berisiko tinggi mengalami pendarahan ringan atau spotting iaitu warna darah merah hingga kecoklatan. Mungkin disebabkan dua embrio yang terlekat tetapi tidak kekal hingga menyebabkan pendarahan.

Pun begitu, terdapat juga situasi pendarahan yang menjadi tanda lebih serius seperti keguguran. Walau apa pun penyebab pendarahan tersebut, segeralah mendapatkan pemeriksaan doktor.

APAKAH PUNCA PENDARAHAN?

Ada beberapa faktor yang mencetuskan pendarahan faraj kepada ibu-ibu hamil. Antaranya termasuk:-

  • Hormon yang mengawal kitaran haid ketika anda sepatutnya datang haid yang dipanggil pendarahan penembusan. Mungkin boleh mengalaminya lebih daripada sekali.
  • Telur yang disenyawakan telah terlekat pada lapisan uterus atau dipanggil pendarahan implantasi.
  • Ketumbuhan pada dinding rahim atau fibroid.
  • Jangkitan serviks atau faraj.
  • Permukaan serviks terengsa disebabkan hormon kehamilan.
  • Penyakit Von Willebrand atau penyakit keturunan yang disebabkan darah sukar membeku.

Terdapat sesetengah kes pendarahan pada awal kehamilan sebagai tanda keguguran atau kehamilan ektopik iaitu kehamilan luar rahim. Punca pendarahan yang lebih jarang berlaku ialah kehamilan molar.

Kehamilan ini terjadi apabila embrio tidak membesar dengan sempurna hingga sel yang membentuk plasenta terus membesar secara abnormal. Jika anda disahkan kehamilan molar ia perlu digugurkan segera.

LANGKAH PENGAWASAN

Tiada cara untuk menangani pendarahan faraj secara khusus. Perkara pertama yang perlu anda lakukan jika mengalami keadaan ini adalah dengan menghubungi pihak hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Seterusnya, menjalani pemeriksaan bahagian dalam faraj dengan melakukan imbasan ultrasound. Prosedur imbasan ini boleh mengenalpasti sekiranya terjadi kehamilan luar rahim atau memeriksa keadaan bayi di dalam kandungan.

Seandainya doktor masih tidak dapat mencari punca permasalahan tersebut beberapa ujian rutin seperti darah dan air kencing akan diuji untuk memantau tahap hormon kehamilan.

ADAKAH BAYI BERADA DALAM KEADAAN SELAMAT?

Usah terlalu khuatir kerana pendarahan ringan biasanya tidak membahayakan. Ramai wanita yang mengalami pendarahan pada awal kehamilan tetapi masih dapat meneruskan kehamilan dengan sihat. Spotting juga lazimnya akan berhenti dengan sendiri.

Walau bagaimanapun, dapatkan rawatan dan nasihat selanjutnya daripada doktor untuk memastikan tiada simptom lain yang boleh menjejaskan kandungan. Ibu hamil juga disaran agar berfikiran positif terhadap pendarahan ringan seperti yang dinyatakan di atas kerana kebiasaannya ia hanyalah satu misteri yang tidak membahayakan bayi mahupun nyawa anda.

Bila ‘Dipaksa Bersalin’ Kerana Pelbagai Faktor, Ini Info INDUCE Patut Ibu Hamil Ambil Tahu!

Bila ‘Dipaksa Bersalin’ Kerana Pelbagai Faktor, Ini Info INDUCE Patut Ibu Hamil Ambil Tahu!

Menjelang 9 bulan kehamilan, kebanyakan ibu berasa cemas untuk menunggu saat-saat kelahiran bayi. Lazimnya, kaedah induce semasa bersalin tidak akan banyak membantu disebabkan servik anda ditutup rapat. Induce hanya membantu apabila servik anda mula melembut dan memendek.

Para doktor hanya menggunakan kaedah induce semasa bersalin apabila bayi lebih berisiko jika berada di dalam rahim si ibu daripada dilahirkan. Oleh itu, doktor sakit puan akan mengguna ubat-ubatan atau teknik yang boleh mencetuskan kelahiran secara semula jadi untuk mempercepat proses melahirkan.

BILAKAH INDUCE SEMASA BERSALIN DIPERLUKAN?

  • Air ketuban pecah tetapi tidak mempunyai kontraksi pengecutan rahim.
  • Kehamilan berpanjangan melebihi 42 minggu.
  • Masalah plasenta iaitu uri telah matang dan kurang oksigen dan nutrien
  • Tidak mempunyai cecair air ketuban mencukupi.
  • Mempunyai faktor risiko kehamilan seperti diabetes atau tekanan darah tinggi
  • Terdapat jangkitan dalam rahim
  • Bayi tidak membesar seperti sepatutnya

 

BAGAIMANA INDUCE SEMASA BERSALIN DILAKUKAN?

Ia boleh dilakukan melalui kaedah berikut:

1. Ubat-ubatan

  • Prostaglandin: Dimasukkan ke dalam faraj pada sebelah petang. Ini akan melembutkan servik dan mencetuskan kelahiran bayi menjelang pagi.
  • Oxytocin: hormon ini akan disuntik ke dalam badan ibu untuk merangsang pengecutan rahim dan mempercepat proses kelahiran. Dos yang rendah diberikan kepada ibu hamil.

Kesan: Jika pengecutan rahim dirangsang terlalu kuat, ia akan menyebabkan ibu tidak boleh menahan kesakitan yang terlalu kuat tanpa ubat penahan sakit. Oxytocin perlu dihentikan jika kontraksi pengecutan rahim menjadi terlalu kuat.

2. Amniotomi

Doktor mungkin mencadangan ini untuk memecahkan air ketuban secara tiruan dengan menggunakan cangkuk nipis, steril dan plastik. Ia digunakan untuk mencetus air ketuban pecah seterusnya menyebabkan kepala bayi bergerak ke dalam servik dan kontraksi akan menjadi lebih kuat.

Kesan: Kedudukan bayi mungkin bertukar kepada songsang jika air ketuban pecah sebelum bayi engaged. Tali pusat mungkin terkeluar dahulu. Jangkitan juga boleh berlaku jika terdapat banyak masa di antara pecah air ketuban dan kelahiran.

3.Merangsang puting payu dara

Merupakan teknik induce secara semula jadi yang dilakukan secara manual atau dengan pam penyusuan elektrik. Ini disebabkan oleh hormon oxytocin akan dihasilkan secara semula jadi apabila puting payu dara dirangsang dan akan menyebabkan kontraksi mula berlaku.

Mujur DOKTOR Ini Sudi Berkongsi Ilmu, Pelajari 7 Teknik Elak KOYAKAN Teruk Masa Bersalin! No. 6 Tu Paling Penting

Mujur DOKTOR Ini Sudi Berkongsi Ilmu, Pelajari 7 Teknik Elak KOYAKAN Teruk Masa Bersalin! No. 6 Tu Paling Penting

Bersalin dengan beberapa kesan jahitan akibat koyakkan di bahagian vagina adalah perkara biasa bagi kebanyakan ibu hamil. Tapi bila ada kalangan ibu-ibu hebat ini yang selamat melahirkan tanpa sebarang koyakan, ia sememangnya luar biasa. Sama ada individu tersebut memang sudah mahir dengan proses bersalin atau sudah ditakdirkan rezeki mereka menerima kelebihan itu, kedua-duanya pun menjadi dambaan bagi setiap ibu hamil terutamanya menjelang detik kelahiran.

‘Jangan panik’, itu adalah kunci utama yang harus anda tanam dalam diri sebelum tibanya waktu bersalin. Bagi yang sedang hamil, masih sempat lagi untuk anda mempelajari teknik yang dikongsikan doktor Obstetrik dan Ginekologi, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak ini. Sekurang-kurangnya dengan pendedahan Dr Muhammad Izzat, dapatlah melegakan kebimbangan meniti kelahiran nanti.

=========================

Antara rutin senaman kegel yang baik untuk ibu mengandung

  1. Jangan ler panik tak tentu pasal. Banyakkan membaca fakta dan ilmu yang betul mengenai kelahiran supaya bakal ibu lebih tenang dan tidak panik ketika proses kelahiran. Bertanya pada yang berilmu, BUKAN PADA PENJUAL PRODUK
  2. Amalkan senaman Kegel : Kemutkan otot pelvis / vagina seperti anda sedang menahan kencing, tahan selama 10 saat, lepaskan perlahan-lahan dan ulang 25 kali setiap satu sesi. Lakukan 3 kali sehari sepanjang tempoh mengandung
  3. Urutan perineum pada hujung-hujung kehamilan berfaedah untuk menjadikan otot pada bahagian vagina lebih anjal dan mengurangkan risiko koyakan vagina yang teruk. Otot pada perineum yang anjal akan lebih senang mengembang dan menguncup tanpa meninggalkan koyakan yang teruk
  4. Meneran dengan cara yang betul! Fokus ke arah perut dan anda meneran dari abdomen dan ke bawah, seperti meneran sembelit
  5. Jangan meneran awal jika belum tiba masanya. Meneran terlalu awal ketika kepala bayi masih lagi belum nampak pada vagina menyebabkan vagina membengkak dan mudah koyak
  6. Pastikan posisi yang betul ketika meneran. Rapatkan dagu ke dada, anda berkeadaan sama seperti udang membengkok. Pegang pergelangan kaki dan jangan sesekali mengangkat punggung ataupun punggung terhuyung-hayang ke kanan ke kiri. Macam nak tangkap bola pula gayanya misi (jururawat) nak sambut kelahiran bila punggung digerakkan ke sana ke mari
  7. Dengar arahan doktor dan misi. Bila nak periksa tu bagi kerjasama, bukannya terkepit-kepit sampai jari misi atau doktor tak boleh keluar. Banyakkan berzikir dan berselawat, bukannya meraung macam tertelan microphone.

Sumber:

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak

Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi

Kementerian Kesihatan Malaysia
==========================

Mujur ada perkongsian Dr Muhammad Izzat. Semoga ilmu ini dapat dimanfaat dan dipraktikkan oleh semua ibu-ibu hamil di luar sana sekali gus menjauhkan mereka daripada perasaan trauma semasa bersalin.

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: