“Hancur Luluh Hati Bila Doktor Beritahu Sel Kanser Arwah Amat Aktif!”

“Hancur Luluh Hati Bila Doktor Beritahu Sel Kanser Arwah Amat Aktif!”

Kehilangan insan yang tersayang akibat penyakit kanser kira-kira enam bulan yang lalu masih segar di ingatan Juliana Amirullah. Suami tercinta, Mohd Fauzi Mansor yang dinikahi 10 tahun yang lalu menghembuskan nafas terakhir setelah hampir tiga tahun berjuang menentang penyakit kanser. Ketabahan wanita tabah ini berkongsi pengalaman menjadi pendorong utama buat si suami berjuang untuk menentang penyakit kanser wajar dijadikan inspirasi.

Biarpun kadang-kala rebah dalam usaian semangat yang sedikit luntur, namun ia tidak ditunjukkan di hadapan suami tersayang semata-mata ingin memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi untuk dirinya berhadapan dengan situasi getir. Namun begitu, naluri wanita meronta-ronta mencari solusi terbaik untuk memastikan insan tersayang dapat sembuh seperti sedia kala.

“Kehidupan saya berubah sebaik sahaja arwah disahkan menghidap kanser secara tiba-tiba kira-kira tiga tahun yang lalu. Saya tidak menduga arwah yang kelihatan sihat tiba-tiba diuji dengan penyakit yang amat ditakuti oleh semua orang. Sebagai isteri, saya mengambil alih tanggungjawab menjaga arwah sepenuh masa kerana dia kerap kali dimasukkan ke hospital. Saya juga sanggup berhenti kerja untuk membolehkan tumpuan menjaga dirinya diberikan sepenuhnya.”

Bercerita lanjut mengenai bagaimana dia melihat arwah melawan kesakitan dalam menjalani proses rawatan, Juliana berkata sepanjang arwah ditempatkan di wad, pelbagai jenis rawatan kimoterapi terpaksa dilalui namun nasib tidak banyak menyebelahinya apabila kesemua rawatan tersebut gagal membunuh sel kanser.

“Hancur luluh hati apabila doktor memberitahu sel kanser yang menyerang arwah amat aktif. Arwah juga turut melalui rawatan radioterapi sehinggakan melakukan prosedur transplan. Namun begitu, keadaan kesihatan arwah semakin merosot dan kritikal selama 21 hari,” ujar Juliana yang menanggung sendiri kos rawatan suami tersayang.

Masih segar diingatannya momen sedih yang dikongsi bersama arwah apabila mereka diberikan kaunseling oleh doktor apabila arwah disahkan mampu bertahan selama tiga atau empat bulan sahaja untuk hidup. Ketika itu, seluruh dunia menjadi gelap gelita buat Juliana mahupun Fauzi.

“Enam bulan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, doktor memberitahu dia hanya mampu bertahan selama tiga atau empat bulan sahaja. Ini merupakan tamparan hebat buat saya dan arwah. Tetapi arwah amat tenang. Dia menerima perkhabaran tersebut dengan reda dan doktor meminta saya agar lebih berhati-hati dalam segala pertuturan dan percakapan bersama arwah.

Bayangkan, seseorang yang sudah tahu anggaran tarikh kematiannya. Jadi, kami menghabiskan masa dengan mengenang kembali keindahan apabila arwah banyak menasihati saya agar redha dengan ujian ini.  Ternyata, arwah menghembuskan nafas terakhirnya seperti anggaran dokotr setelah tidak sedarkan diri selama dua hari.” tutur Juliana sambil menyeka mata yang berkaca.

Tahun ini, sebagai Ramadan pertama tanpa suami tersayang, hanya titipan doa dapat mengiringi perjalanan harinya semoga rohnya dicucuri rahmat. Segala kenangan indah hampir 10 tahun bergelar isteri tersimpul rapi di kotak pemikirannya dan menjadikan momen Ramadan bersama arwah sebagai sesuatu yang manis untuk dikenang. Hanya doa mengiringi perjalanan Ramadan dan Syawal tahun ini sebagai tanda kasih seorang isteri.

“Bukan Material Yang Dicari, Cukuplah Seorang Insan Yang Dapat MEMBIMBING!” – Azrinaz Mazhar Hakim

“Bukan Material Yang Dicari, Cukuplah Seorang Insan Yang Dapat MEMBIMBING!” – Azrinaz Mazhar Hakim

Tanpa khabar angin dan berita, tahu-tahu saja bekas personaliti TV, Azrinaz Mazhar Hakim sudah pun bernikah. Perkara itu disahkan sendiri Azrinaz menerusi Instagramnya. Alhamdulillah, akhirnya Allah makbulkan doa hambaNya pada waktu yang terbaik. Tahniah!

Turut berkongsi foto majlis pernikahan yang berlangsung pada 1 Mei lalu, jelas terpancar sinar bahagia Azrinaz di samping suami tercinta. Namun, wajah jejaka yang berjaya menambat hati wanita cantik ini masih samar.

Kongsi Azrinaz, “Di kesempatan ini saya mengumumkan pada 1 May lalu bersamaan 15 Syaaban 1439H jatuh pada hari Nisfu Syaaban, saya telah selamat diijabkabulkan bersama sahabat yang dikenali sejak 20 tahun lalu dan hanya menjalinkan hubungan rapat setahun lepas.

Setelah mengenali hati budi, pasangan bujang bernama Fairos Khan Abdul Hamid menjadi ‘mangsa’. Beliau yang memahami rentak kehidupan dan kehendak saya berlatarbelakangkan TV penyiaran sebagai pekerjaan.

Majlis diadakan di kediaman pengantin perempuan secara tertutup dihadiri keluarga terdekat dinikahkan oleh Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jawi Wilayah Persekutuan, Ustaz Hazman Hashim berwalikan bapa saya. Dengan pernikahan ini, saya berharap semua pihak berilah ruang untuk memahami naluri saya yang juga manusia biasa mempunyai kehendak dan perasaan. Izinkan saya untuk hidup berpasangan seperti kalian semua lengkap melengkapi meniti hari tua.

Tidak pernah sesaat sekalipun saya melupakan atau akan melupakan kedua-dua anakanda saya. Malah jika diberi peluang dan kesempatan, tanggungjawab dan kasih sayang sebagai ibu sentiasa sedia dicurahkan.

Bukan material yang dicari, cukuplah seorang insan yang dapat membimbing, menemani, menyayangi, menghargai, menghormati dan menyanjungi diri ini di kala susah senang, cerdas dan sakit, sewaktu kepala masih diliputi rambut mahupun sehelai dua.

Biarlah penyatuan ini selamat selesai semuanya sebelum hebahan tiada kena mengena semata-mata. Hubungan yang terjalin ini saya memilih cara lebih ‘privacy’ begitu juga dalam melayari alam rumahtangga nanti.

Syukur ke hadrat ilahi kerana dengan IzinNya segala usaha telah dipermudahkan dalam setiap perancangan yang hanya memakan masa 2 bulan.”

Moga ikatan perkahwinan ini menjadikan pasangan mempelai hambaNya yang lebih bertakwa dan dikurniakan kebahagiaan berkekalan. Aamin.

Tuhan ‘Pinjamkan’ Suami Hanya Lima Tahun, NOOR BAZLIN Luah Rasa Pilu Besarkan 3 Anak Kecil Sendirian!

Tuhan ‘Pinjamkan’ Suami Hanya Lima Tahun, NOOR BAZLIN Luah Rasa Pilu Besarkan 3 Anak Kecil Sendirian!

“Setiap hari, setiap saat saya amat merindui arwah. Setiap kenangan manis mahupun pahit bersamanya masih segar dalam ingatan.” Begitulah luahan jiwa seorang balu, Noor Bazlin Mohammad atau Bazlin, yang kehilangan suami buat selama-lamanya. Lima tahun sahaja wanita ini ‘dipinjamkan’ seorang suami yang sangat penyayang serta bertanggungjawab terhadap keluarga.

Perginya meninggalkan kesan yang sangat mendalam apatah lagi Bazlin kini harus menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada tiga zuriat berusia 5 dan 3 tahun serta seorang bayi berusia 11 bulan.

September tahun lalu kita digemparkan dengan satu kisah tragis yang mendapat liputan meluas media tentang arwah suaminya, Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat bersama seorang rakan meninggal dunia dalam sel tahanan tentera akibat didera di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Setiawan, Perak.

Kedua-dua mangsa dipercayai dipukul bertubi-tubi menggunakan objek keras sehingga mengalami sesak nafas dan pendarahan serius di bahagian paru-paru.

“Hari-hari pasti bergenang air mata apabila mengenangkan detik itu. Tetapi seboleh-bolehnya saya tak mahu menangis depan anak-anak. Saya tak mahu mereka lihat saya lemah. Sebab itulah saya ambil keputusan untuk berpindah ke Kelantan untuk membina hidup baru bersama anak-anak.

Sebelum ini saya bertugas di Klinik Kesihatan Datuk Keramat. Terlalu banyak kenangan saya bersama arwah di Kuala Lumpur. Saya rasa lebih kuat jika dekat dengan keluarga di kampung,” luah wanita berusia 29 tahun ini yang bertugas sebagai Jururawat Masyarakat.

SAHABAT BAIK DR NOOR DAYANA

Bukan sekadar bergelar rakan sekerja, Bazlin juga bersahabat baik dengan isteri pertama kepada penerbit dan aktor terkenal, Ashraf Muslim iaitu Dr Noor Dayana Lokman. Keakraban mereka bermula sejak tahun 2016 sehinggalah kini.

“Kami mula akrab semasa saya bertugas di Klinik Kesihatan Datuk Keramat kerana berada di dalam unit yang sama iaitu Ibu & Anak. Dr Noor Dayana seorang sahabat yang sangat ikhlas dan jujur. Saya masih ingat lagi, semasa saya maklumkan tentang kematian suami, dia terus datang walaupun sudah lewat malam untuk melawat saya di rumah. Ketika itu saya memang tak jangka pun dia akan datang dan berikan sumbangan buat saya dan anak-anak.

Dr Dayana juga berpesan supaya saya banyak bersabar dan tabah menerima ujian dari Allah SWT selain jaga anak-anak dengan baik. Malah, dia juga menyakinkan saya untuk tabah melalui ujian ini kerana dia tahu saya kuat.

Saya bersyukur dikurniakan seorang sahabat yang sangat baik seperti Dr Noor Dayana. Saya juga sangat bangga dengannya kerana dia bukan saja seorang yang sangat baik tetapi juga lambang wanita yang tabah walaupun sikapnya lemah lembut dan sopan.

 

Sepanjang mengenali, Dr Noor Dayana tak pernah membezakan pangkat mahupun meninggi diri. Kali terakhir kami berjumpa ialah ketika dia meraikan satu majlis istimewa bersempena dengan perpindahan saya ke Kelantan.

Kini kami masih lagi berhubung dan saling bertanya khabar melalui telefon. Nak berjumpa belum ada rezeki kerana masing-masing jauh dan sibuk dengan tugas,” kongsi Bazlin yang turut menjadikan ibunya yang juga seorang ibu tunggal, sebagai sumber kekuatan untuk meneruskan hidup.

Buat Bazlin, NONA kongsikan kiriman kata-kata semangat daripada Dr Noor Dayana.

“Sejak Bazlin berpindah ke Kelantan, rasa sunyi klinik. Bazlinlah penghibur kami di sini kerana banyak cakap. Saya harap setelah apa yang terjadi, Bazlin tetap kuat menempuh hari-hari yang mendatang.

Besarkan anak-anak sehingga berjaya di dunia dan akhirat. Allah SWT memilih Bazlin sebab Dia tahu Bazlin mampu menghadapi dugaan tersebut.”

 

Ibu & Isteri, Anda Memang Patut Dapatkan ‘ME TIME’! Begini Caranya

Ibu & Isteri, Anda Memang Patut Dapatkan ‘ME TIME’! Begini Caranya

Siapa yang tak mahu waktu berkualiti untuk diri sendiri kan? Jadi, jangan terlalu memaksa diri untuk menjadi seorang yang terlalu sempurna sehingga sukar untuk mendapatkan me time seperti yang diinginkan. Lebih-lebih lagi bagi suri rumah tangga yang sentiasa sibuk dengan rutin harian pasti memerlukan masa berharga ini. Bijaklah membahagikan masa untuk diri sendiri, bukannya sekadar berimpian.

Ikuti tip berikut untuk memiliki me time lebih banyak. Me time tak perlu terlalu lama dan meninggalkan anak-anak. Buatlah perkara yang menyenangkan dan menyegarkan fikiran anda.

  • MANDI PAGI SEBELUM ANAK-ANAK BANGUN

Penting bagi seorang ibu untuk mandi awal pagi setiap hari sebelum anda memulakan sebarang aktiviti dan sebelum anak-anak bangun tidur. Apabila badan segar ia mencetuskan mood yang menyenangkan sepanjang hari anda.

  • SIAPKAN BAHAN MAKANAN UNTUK 3 HARI

Setelah berbelanja pastikan semua bahan makanan sudah dicuci bersih. Siapkan menghiriskan bawang, memotong sayur dan sebagainya sebagai bahan masakan lalu disimpan di tempat beku. Bagi memudahkan anda, tulis siap-siap mengikut hari pada bekas atau plastik kedap udara yang digunakan. Ikan, ayam dan makanan laut disiapkan dengan rempah atau garam kunyit dimasukkan ke dalam bekas dan disimpan di ruang beku. Keluarkan mengikut keperluan saja.

  • ATUR WAKTU TIDUR ANAK-ANAK

Tip ini boleh diamalkan jika anda mempunyai lebih daripada seorang anak. Jaga waktu tidur mereka agar anda terus bertenaga sepanjang hari. Sebaiknya, semasa tidurkan mereka anda pun tidurlah sekali buat seketika bagi merehatkan badan. Peluklah mereka agar hilangnya rasa penat. Pastikan rumah berada dalam keadaan tenang ketika anda tidur bersama anak-anak. Ingat, tidur adalah sebahagian daripada me time yang amat dirindui oleh seorang ibu.

  • MAKAN BERSAMA ANAK-ANAK

Para ibu sering mengeluh kerana mengambil masa yang lama untuk mengajak anak-anak untuk duduk makan sekali. Sebaiknya latihlah anak-anak untuk makan sendiri sejak awal usia mereka. Makanlah bersama anak-anak agar anda tidak membazir masa kerana selepas itu anda boleh buat kerja lain atau menemani anak bermain. Anak-anak yang merasa kenyang secukupnya akan mudah mengantuk dan tertidur. Inilah masanya untuk anda melakukan me time.

Ubati Kerinduan, Jubah Arwah Suami Jadi ‘Peneman’ NORA ARIFFIN Tiap Malam!

Ubati Kerinduan, Jubah Arwah Suami Jadi ‘Peneman’ NORA ARIFFIN Tiap Malam!

24 Mac ini, genap setahun komposer Johan Nawawi kembali ke pangkuan Rahmatullah. Terasa seperti baru semalam kita mendapat perkhabaran itu. Namun bagi insan paling rapat dengan Allahyarham, ia satu tempoh yang panjang dan berliku. Lebih-lebih lagi bagi Nora Ariffin atau nama sebenarnya Wan Noraafiza Ariffin yang mengakui hilang tempat bergantung sejak pemergian suami tercinta.

Berpeluang mendekati penyanyi bersuara lunak ini ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Kumpulan Karangkraf dan Hud Hud Media, Nora yang kini mengambil tugas arwah suami sebagai peneraju syarikat animasi berkenaan tidak mampu menyembunyikan perasaan yang bersarang di ruang kalbu. Malah, ketika diaju pertanyaan tentang kehidupannya waktu ini, tanpa berselindung dia membuka rahsia hati.

Nora bersama Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Dato’ Dr Husammuddin ketika menandatangani perjanjian usahasama Hud Hud Media

 

“Lepas habis iddah basically saya meneruskan apa yang telah diuruskan arwah sebelum ini. Memang agak sukar bergerak sendiri dan hidup berdikari sebagai ibu tunggal. Hendak membesar dan menyara anak-anak dalam keadaan tidak sedia dan mengejut seperti ini. Tapi saya melihat anak-anak ini sebagai peninggalan dari dia untuk saya teruskan. Dari situ saya bangun kumpul semangat hidup demi anak-anak. Kalau hendak kira perasaan sedih memang ikutkan tak mahu buat kerja semua dah, mahu duduk rumah saja. Dulu kalau bab jaga anak, saya yang uruskan. Arwah pula selesaikan hal berkaitan bisnes dan seumpamanya. Saya tak mahu anggap semua ini sebagai beban sebab ini adalah tanggungjawab.”

Berkali-kali menyatakan dia tidak punya pengalaman mengenai perniagaan dan tidak pernah menghadiri mana-mana urusan mesyuarat syarikat, Nora bagaimana pun bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar daripada rakan-rakan seperjuangan Johan. Kompas hidupnya juga berubah 360 darjah sebagai isteri dan juga ibu selain perlu memandu kereta sendiri untuk ke pejabat. Setiap hari adalah hari baru baginya untuk belajar.

Kenangan bersama arwah di Tanah Suci Mekah

Nora di samping anak-anak

“Sampai satu masa saya kena putuskan apa yang terbaik. Sama ada hendak terus merana dan menatap pemergian atau move on. Saya kena fikir positif yang dia pergi ke tempat yang lebih baik dan Allah lebih sayangkan dia. Walau pun kadang-kadang bila hendak kongsi rasa gembira dan sedih, saya tak ada tempat mengadu. Semuanya kena tempuh seorang. Tapi alhamdulillah saya dikelilingi kawan-kawan dan staf yang baik. Kekuatan saya adalah anak-anak.

Masa dalam iddah 4 bulan, saya menangis tiap hari dan malam sampai mata bengkak. Bila jumpa doktor, mata dah kabur. Waktu itu bukan saja tak mahu jumpa orang, nak cakap dengan sesiapa pun tak mahu. Anak-anak ajak keluar rumah, pergi bercuti dan ajak makan semua tak nak. Memang tak selera makan dan memasak pun tak sanggup dan tak boleh. Sampai sekarang saya tak masak sebab masih terkenangkan arwah, sebab kita yang masak dan hidangkan makanan untuk dia selama ini.

24 tahun kami hidup bersama, dia tulang belakang saya. Kalau ada yang tengok saya kongsi perasaan di IG tu bukan maksud hendak minta simpati tapi lebih kepada luahan. Selama ini saya ingat dugaan hidup saya sangat besar tapi rupa-rupanya ada yang lebih teruk lagi dan mereka pun turut kongsi masalah dengan saya. Ada juga yang anggap saya sebagai inspirasi mereka dan dari situ juga saya ambil perkara ini sebagai tanggungjawab untuk menguatkan semangat wanita lain.”

Walau sedang rancak bercerita perkembangan terbaru, sesekali jelas kelihatan air mata yang bertakung menahan sedih. Apabila ditanya apakah momen yang paling dirindukan Nora tentang arwah, pelantun lagu Hanya Satu ini tersenyum kecil. “Banyak. Paling saya rindu adlah ketika masuk bilik hendak tidur. Kami terlalu rapat dan romantik. Sebelum tidur, kami selalu akan beri good night kiss dan morning kiss bila bangun pagi. Kadang-kadang bila ada masalah dan stres, saya tak tahu dengan siapa hendak cakap. Tidur pun saya berselimutkan jubah arwah, sampai hari ini tak basuh.”

Sebelum mengakhiri perbualan, Nora turut menitipkan pesanan buat para isteri agar sentiasa menghargai pengorbanan suami. Tidak kira sebesar mana pun pertelingkahan dengan suami, jangan lupa mengenang jasa mereka kerana bila-bila masa saja kita mungkin kehilangan insan tersayang.

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: