Saham Ustaz Muda Naik, Ramai Yang Mahu Cari Seperti USTAZ ADAM!

Saham Ustaz Muda Naik, Ramai Yang Mahu Cari Seperti USTAZ ADAM!

Cetusan drama Nur menjadi kegilaan ramai anak dara untuk mencari calon-calon ustaz muda. Bukan sekadar paras rupa yang tampan dan segak tetapi keikhlasan hati serta budi pekerti tinggi telah menjadi idaman untuk setiap wanita mencari bakal suami. Selesai terawih mata mula berkeliaran, manalah tahu ada Imam Muda di masjid yang boleh dijadikan calon terbaik.

Menjadi seorang ustaz adalah tugas yang mulia, sekali gus memiliki tanggung jawab yang maha berat sepertinya seorang pemimpin. Harus menjadi contoh teladan yang baik pada diri, keluarga dan umat manusia lain.

Menjadi ustaz yang baik bererti bagus secara relatif di hadapan umat manusia. Sementara benar bererti bagus secara menyeluruh di mata Allah SWT bermaksud, benar-benar menjalankan apa yang diperintahkan dan menjauhi apa yang dilarang. Baik dan benar, dua perkara inilah yang menjadi kriteria penting dalam menjaga keseimbangan yang harus dipenuhi oleh seorang ustaz.

Ustaz yang baik dan benar seharusnya tidak berlaku kasar, tidak berbicara dengan nada yang tinggi, tidak mudah mengherdik atau memarahi orang lain yang berbuat kesalahan. Justeru sebaliknya, ketika beliau melihat ketidakbenaran, beliau memberikan nasihat yang baik. Sikap yang kasar, tidak sopan dan tidak simpati hanya akan menjauhkan seorang ustaz dari jemaahnya. Perlu sentiasa menjadi manusia yang pemaaf dan memberi peluang kepada manusia lain tanpa mempunyai perasaan buruk sangka.

Menjadi ustaz juga menuntut anda untuk menjadi bijaksana, bekerja untuk dapatkan rezeki dan membantu untuk memperoleh sumbangan dan sebagainya dalam usaha membangunkan masjid atau kerja-kerja amal yang lain. Seorang ustaz yang baik dan benar seharusnya sudah melakukan ajaran-ajaran agama dengan baik dan benar, khusyuk selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun mendalami ilmu agama sebelum ia menyampaikannya kepada jemaah. Dengan ilmu agama yang tinggi, tidak sesekali sombong diri dan kecenderungan untuk tinggi hatinya serta memalingkan muka dengan sifat kurang disenangi.

Ustaz yang baik dan benar selayaknya tidak pernah mengutuk, menyebut kata “kafir” dan sebagainya kepada orang-orang Non-Muslim. Kita disuruh untuk menghormati dan melindungi orang-orang yang belum seiman dengan kita. Harapannya adalah agar mereka sempat mendengar firman Allah, mendapatkan petunjuk, dan kembali kepada jalan yang benar. Jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepada mu, maka lindungilah ia supaya ia berada dalam suasana yang aman dan di jalan yang benar.

Ustaz yang baik dan benar semestinya selalu berusaha untuk menyatukan semua umat tanpa membeza-bezakan antara kelas sosial, latar belakang, atau golongan antara satu dengan yang lain. Menyeru agar semua sentiasa sujud pada Allah yang Satu. Perlu menyampai ilmu dan mampu bersabar dalam menghadapi ujian dakwah serta melakukan upaya yang terbaik dalam berdakwah kepada Allah meskipun ditimpa beragam ujian dan dilanda kelelahan. Seorang ustaz hendaknya tidak bersikap lemah terhadap ujian yang menimpanya dan juga perkataan yang didengarnya. Kewajipannya adalah bersabar terhadap itu semua.

Walaupun sebenarnya, inilah antara faktor-faktor yang di cari untuk dijadikan calon suami, bukan hanya kerana status seorang ustaz. Inilah sifat lelaki Islam yang sesungguhnya, penuh dengan kebaikan, kelembutan dan kesabaran, walaupun kebanyakan manusia lupa akan kandungan al-Quran sehingga dibutakan mata hati dan fikirannya karena sifat keduniawiannya lebih tinggi dari sifat kerohaniannya. Semoga anda diketemukan dengan yang baik-baik dan mendapat rahmat dari Nya.

Cinta Bersatu Di WeChat, Wanita Ini CERITAKAN PERTEMUAN JODOHNYA Dengan Bekas Jejaka Kristian

Cinta Bersatu Di WeChat, Wanita Ini CERITAKAN PERTEMUAN JODOHNYA Dengan Bekas Jejaka Kristian

Instagram, Facebook, Twitter, Wechat dan segala bentuk media sosial yang ada pada masa kini bagaikan satu keperluan bagi setiap orang. Lantaran impak laman sosial mempunyai pengaruh yang kuat, ada di kalangan pemilik akaun menggunakan kelebihan tersebut sebagai platform untuk mencari jodoh.

Meskipun percintaan melalui dunia siber sering menimbulkan persepsi sinis dan negatif, namun bagi insan yang pernah menemui cinta sejati di medan ini ia merupakan sebuah pertemuan yang indah untuk dikenang. Itu yang dirasai oleh Azmah Zahari, seorang wanita ceria dan lasak yang bertemu jodoh di laman WeChat tiga tahun lalu.

Menyedari pelbagai penipuan dan sindiket melibatkan wanita berlaku di media sosial, ibu berusia 30 tahun ini nyata tidak khuatir terhadap gejala seumpama itu. Baginya, setiap orang mempunyai pilihan sendiri untuk memilih dan mengelak daripada terjebak dalam aktiviti sedemikian. Jika orang yang dikenali ada agenda tersirat dan mencurigakan, dia pasti segera menjauhkan diri.

“Saya hanya ingin berkenalan dengan lelaki yang biasa sahaja. Tidak terlalu kaya dan tidak meletakkan standard tertentu untuk berkawan. Biasanya saya akan mengelak daripada terus bergaul dengan lelaki yang berhidung belang atau menggunakan gambar profil yang bukan gambar dirinya yang sebenar. Ketika berjumpa dengan Kenny dulu saya tidak tahu yang dia sebenarnya sudah tiga tahun memeluk agama Islam.

Tanpa berselindung, dia mengaku dirinya seorang mualaf dan menunjukkan sekeping kad sebagai bukti keislamannya kepada saya. Dia juga malu hendak tunjuk dan bawa saya bertemu keluarganya sebab dia bukan orang senang. Setelah melihat cara dia melayan ibu bapanya, barulah saya tahu dia adalah yang terbaik buat saya,” telus Azmah.

Tambahnya lagi, suami merupakan bekas penganut agama Kristian yang berasal dari Kuching, Sarawak. Niat Kenny untuk memeluk Islam bukan kerana sering bergaul rapat dengan rakan Melayu dan mempunyai keluarga angkat di Terengganu.

Bahkan hidayah itu datang tatkala dia berasa tenang dan gemar menghayati alunan azan setiap kali ia berkumandang. Sikap Kenny yang penyayang, berhemah dan suka berterus-terang juga telah menambat hati Azmah yang berusia 3 tahun lebih tua daripada dirinya.

Selepas setahun bercinta, pasangan muda ini memutuskan untuk berkahwin. Tanggal 29 November 2014, Azmah dan Kenny disatukan sebagai suami isteri. Ketika sesi fotografi ini berlangsung keduanya baru sahaja meraikan ulang tahun perkahwinan yang pertama. Hasil perkongsian hidup selama setahun mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Yashkur Arief.

“Alhamdulillah, sejak ada Yashkur perkahwinan kami lebih bererti. Suami juga secara automatik jadi lebih bertanggungjawab dan matang. Dia juga ringan tulang menolong saya menguruskan rumah tangga dan anak. Segala urusan Yashkur, daripada mandikan bayi sampailah tidurkan anak semuanya dia yang buat.”

Azmah mungkin boleh menarik nafas lega kerana terlepas daripada godaan dan kata dusta lelaki bermata duitan. Namun, setiap wanita terutama remaja yang sedang meningkat dewasa tentunya berdepan risiko tinggi untuk terlibat dalam penipuan siber. Sebagai individu yang pernah menggunakan laman sosial dan bertemu jodoh di sini, Azmah menitipkan pesan berikut khusus buat seluruh wanita yang mencari cinta di alam siber.

R.AGE

“Paling penting kita harus siasat latar belakang individu tersebut terlebih dahulu. Sekiranya tak pernah berjumpa dengan mereka, sebaiknya bawa sekali teman anda. Seboleh-bolehnya juga elakkan daripada menaiki kereta atau minta mereka datang jemput di mana-mana.

Biarlah naik kereta berasingan sekalipun janji keselamatan anda terjamin. Usah terlalu bergantung harap terhadap orang lain dan jangan sekali-kali percayakan seseorang itu 100 peratus. Macam saya sendiri, saya pasti akan bawa pepper spray atau pisau di dalam beg. Jadi, kalau terjadi sesuatu sekurang-kurangnya kita ada ‘senjata’ untuk digunakan.” Suziana Abu Daud

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: