‘Dua Tanda’ Ini Mampu Buat SUAMI ISTERI Melonjak Gembira! Ketahui Simptom Awal KEHAMILAN

‘Dua Tanda’ Ini Mampu Buat SUAMI ISTERI Melonjak Gembira! Ketahui Simptom Awal KEHAMILAN

Penantian kehadiran cahaya mata adalah satu kejutan terindah. Sebelum bertemu doktor, anda sendiri boleh mengagak sama ada anda hamil atau tidak. Perubahan hormon di dalam badan boleh membuatkan anda tahu adakah sudah tiba masanya untuk anda bergelar seorang ibu.

Nafas tidak panjang

Pernahkah anda terasa lelah tiba-tiba ketika menaiki anak tangga? Anda mungkin sedang mengandung kerana fetus memerlukan oksigen yang secukupnya untuk pernafasan hingga membuatkan anda kekurangan udara akibat perkongsian itu. Situasi ini akan berlanjutan sehingga kelahiran si kecil.

Sakit ketika memakai bra

Sewaktu memakai bra pagi tadi umpama satu penyeksaan. Sama ada hanya bayangan anda sahaja yang mendapati payudara semakin membesar atau benar hakikatnya ‘mereka’ sedikit mengembang. Bahagian puting payudara pula kelihatan lebih gelap manakala kelilingnya timbul urat-urat. Petanda-petanda ini menunjukkan kebarangkalian anda hamil.

Kepenatan

Anda mungkin tidak mampu untuk menghabiskan sehelai muka surat pun pada waktu malam sebelum tidur. Jika tiba-tiba anda cepat terasa letih, ia mungkin datang daripada tindak balas kenaikan hormon dalam badan. Bagi kebanyakan wanita, keletihan ini akan berlanjutan sehingga trimester pertama dan beransur surut pada trimester kedua.

Loya

Wanita hamil biasanya mula berasa loya apabila menjelang usia kandungan enam minggu. Malah, ada juga mengalaminya lebih awal dari itu, sama ada pagi, tengah hari dan malam. Untuk mengatasinya, apa kata anda cuba mengambil biskut crackers atau air halia.

Kerap buang air kecil

Tiba-tiba anda tidak boleh tidur lena pada waktu malam kerana terlalu kerap ke bilik air. Itu mungkin satu petanda anda kini sedang hamil. Sewaktu tempoh kehamilan, tubuh anda mengeluarkan lebihan cecair sehingga menyebabkan pundi kencing terpaksa bekerja kuat tidak seperti waktu sebelumnya.

Sakit kepala

Tanda-tanda awal kehamilan juga termasuk sakit kepala akibat perubahan hormon dalam badan. Jika anda hamil, ambil bebas acetaminophen untuk mengurangkan kesakitan.

Sakit pada bahagian belakang

Adakah bahagian belakang anda terasa sakit? Jika anda jarang mengalami sakit belakang, kali ini anda akan sering mengalaminya kerana ligamen anda semakin longgar. Anda akan mengalaminya sepanjang tempoh kehamilan akibat pertambahan berat badan.

Kekejangan otot

Adakah kerana PMS atau kehamilan? Sukar untuk dipastikan tetapi jika berlakunya kekejangan otot, ia disebabkan uterus anda sedang meregang dan bersedia untuk menerima bayi.

Keinginan dalam selera makan

Tiba-tiba anda inginkan sesuatu yang masam seperti limau. Atau jika anda teringin menikmati makanan atau hidangan yang sebelum ini anda tidak mahu, ini menandakan badan anda cuba untuk ‘memberitahu’ berita gembira mengenai kehamilan anda.

Sembelit dan perut kembung

Baru sahaja mencuba seluar jean skinny anda minggu lepas dan ia masih muat dipakai. Jika anda terasa kembung dan senak pada bahagian perut, ia mungkin disebabkan lebihan progesterone akibat hamil. Ia memperlahankan sistem penghadaman dalam badan.

Perubahan mood tidak menentu

Anda pasti mengalami saat-saat mood berubah-ubah sama seperti ketika mengalami PMS. Badan anda sedang menyesuaikan diri dengan hormon baru dalam badan. Pastikan suami anda tahu mengenai tanda-tanda ini dan yakinkan situasi ini kana berlalu.

Deria bau sensitif

Bau sampah di rumah sudah cukup untuk membuatkan anda menutup hidung. Bahkan anda sangat sensitif mengenai bau badan dan apa sahaja jenis bau-bauan di sekeliling.

Pening atau pitam

Tahap gula rendah dalam badan atau tekanan darah boleh membuka episod pening dan pitam. Anda perlu pastikan pengambilan makanan yang cukup untuk badan dan minum air suam secukupnya.

Spotting!

Oh, anda datang bulan? Atau, bukan darah haid? Warnanya lebih cerah dari biasa dan lebih awal daripada jangkaan. Anda sebenarnya mengalami pendarahan implan ringan di mana telur yang telah disenyawakan melekat pada dinding rahim dan menyebabkan pendarahan kecil.

Lewat datang bulan

Simptom PMS juga menjadi penanda hamil. Sebelum ini pusingan haid anda tetap dan teratur. Jika anda terlepas haid, mungkin anda boleh ke farmasi dan membeli ujian kehamilan atau boleh terus berjumpa doktor untuk mendapat kepastian.

Anda Mungkin Berdepan 4 Risiko Ini Jika HAMIL Di Usia 40AN! No 1 Tu Paling Ditakuti

Anda Mungkin Berdepan 4 Risiko Ini Jika HAMIL Di Usia 40AN! No 1 Tu Paling Ditakuti

Walaupun kajian menunjukkan ramai wanita yang berusia lebih dari 35 tahun boleh mengalami pelbagai komplikasi ketika hamil, namun masih ramai lagi wanita dalam usia ini yang berjaya melalui kehamilan tanpa apa-apa masalah pun. Langkah pertama yang mesti diambil ialah jangan mendengar nasihat-nasihat negatif dari mana-mana pihak walaupun ianya dari mulut keluarga sendiri. Langkah seterusnya ialah mendapatkan khidmat nasihat doktor perbidanan yang terdekat untuk memeriksa kehamilan. Seterusnya, doktor itu akan membantu sepanjang kehamilan dan kelahiran bayi anda.

Risiko-risiko mengandung ketika berusia 40 tahun ke atas:

  • Risiko keguguran. Dijangka 25% kehamilan di usia 40-an berakhir dengan keguguran sebelum janin berumur 3 bulan, tetapi fenomena ini adalah satu fenomena yang berlaku secara rawak dan ianya di luar kawalan kita. Data ini juga menunjukkan, kebanyakan kehamilan akan lahir sebagai bayi iaitu, 25% gugur dan 75% selamat dilahirkan nanti (kehamilan di usia 20-an juga menanggung risiko keguguran pada tahap 12.5%).

  • Risiko Down Syndrome kepada janin. Memang ada kajian melaporkan bahawa 1 dalam 106 wanita yang hamil pada usia 40 tahun akan mendapat bayi yang mengalami masalah Down Syndrome. Namun, anda sendiri boleh melihat bahawa dari statistik di atas, 105 dari 106 wanita dalam kumpulan ini akan menimang cahaya mata yang TIDAK mengalami masalah Down Syndrome.
  • Risiko kencing manis dan darah tinggi ketika hamil dikatakan lebih kerap menyerang wanita berumur 40-an. Jika ini berlaku kepada anda, janganlah risau kerana doktor akan memantau masalah ini. Pesakit yang mengalami masalah ini dan bayi mereka selalunya akan selamat dan sihat, dengan syarat, mereka ini mengikut nasihat doktor dan mengambil ubat mengikut dos yang disyorkan.

  • Risiko kelahiran melalui pembedahan LSCS. Kajian menunjukkan bahawa lebih ramai wanita yang hamil di usia 40-an memerlukan pembedahan untuk melahirkan bayi mereka. Pada pendapat saya, jika pembedahan adalah cara terbaik untuk anda bila tiba masanya nanti, ikutlah nasihat doktor. Pembedahan secara elektif adalah prosedur yang selamat kepada ibu dan juga bayi yang ada di dalam kandungan.

Kehamilan adalah waktu untuk kita tersenyum gembira sambil mengucap syukur serta memanjatkan doa kepada Tuhan. Nikmatilah waktu kehamilan anda. Banyakkan berbincang dengan suami serta kawan-kawan yang bersikap positif.

Bahaya KENCING KOTOR Saat Hamil, Sebab Tu Kena Take Note Info Penting Ni!

Bahaya KENCING KOTOR Saat Hamil, Sebab Tu Kena Take Note Info Penting Ni!

Kehamilan sememangnya momen yang sangat mengujakan bagi semua wanita. Lebih-lebih lagi bila pertama kali merasai kurniaan tersebut. Kalau boleh, tiap hari nak catat perkembangan bayi dalam perut.

Dalam keghairahan menyambut ‘orang baru’, jangan abaikan kesihatan diri. Sebab waktu mengandung inilah ramai wanita yang mengalami pelbagai masalah kesihatan. Bengkak kaki, kejang urat, pening kepala, kurang darah dan bermacam-macam lagi. Salah satu gejala yang sering dijangkiti ibu hamil adalah kencing kotor.

Kenapa wanita hamil lebih senang kena kencing kotor?

  • Ketika hamil, banyak perubahan fisiologi yang berlaku dalam badan ibu. Lebih-lebih lagi pada sistem perkumuhan air kencing yang menyebabkan si ibu senang untuk mendapat jangkitan pada salur kencing.
  • Isipadu pundi kencing bertambah dan otot-otot pada pundi kencing menjadi kurang tegang. 90% ibu mengalami perkembangan pada salur ureter disebabkan tindakan hormon progesteron yang tinggi ketika hamil dan juga tekanan daripada rahim yang membesar menyebabkan pengaliran air kencing menjadi perlahan sekaligus memudahkan bakteria terkumpul dan bermulalah jangkitan pada salur kencing.
  • 70 % ibu mengandung pula mempunyai gula dan protein dalam air kencing, memudahkan bakteria berkembang dan memulakan jangkitan pada salur kencing.
  • Bila melakukan hubungan kelamin ketika hamil, salur kencing urethra terkadang tercedera menyebabkan bakteria dari vagina memasuki salur kencing.
  • Vagina boleh menjadi tempat takungan bakteria dari salur pencernaan kerana kedudukannya yang rapat dengan rektum dan usus besar. Maka bakteria dari rektum atau usus besar ini boleh memasuki salur kencing melalui urethra yang telah tercedera.
  • Umur ibu yang meningkat, meningkatkan kemungkinan untuk mendapat kencing kotor juga.
  • Ketidaknormalan pada sistem perkumuhan air kencing, atau ibu mempunyai penyakit kencing manis lagi senang untuk dapat kencing kotor.

Apa akan berlaku jika kencing kotor tidak dirawat?

  • Saiz bayi kecil ( Low birth weight ) berat bayi kurang 2.5kg
  • Bayi lahir tak cukup bulan / pramatang ( kurang 37 minggu )
  • Ibu boleh mengalami masalah darah tinggi ketika hamil/ pre-eclampsia
  • Anemia ( kekurangan sel darah merah yang membawa oksigen untuk ibu )
  • Jangkitan pada air ketuban bayi ( chorioamniotis )

Sumber:

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Obstetrik & Ginekologi
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Jus Kranberi

Lazimnya, kencing kotor boleh dirawat dengan pengambilan air barli, kelapa dan jus kranberi. Ada kajian yang menunjukkan khasiat yang terkandung dalam buah kranberi boleh mencegah L.Coli daripada sel-sel di sekitar dinding saluran kencing dan jangkitan. Buah ini juga sangat baik dinikmati wanita hamil kerana vitamin C yang tinggi di dalamnya. Selain itu, pastikan minum air putih secukupnya untuk mengelak jangkitan kencing kotor.

4 Jenis Kandungan LUAR RAHIM Yang Wanita Perlu Tahu, Tak Mustahil Jadi Kat Sesiapa Pun!

4 Jenis Kandungan LUAR RAHIM Yang Wanita Perlu Tahu, Tak Mustahil Jadi Kat Sesiapa Pun!

Kehamilan normal memerlukan tiga proses iaitu pengeluaran telur (ovum), percantuman ovum dan sperma menghasilkan zigot, dan proses penempelan zigot di dalam rahim. Proses penempelan biasanya berlaku pada hari kelima hinga ketujuh selepas persenyawaan. Rerambut halus (cilia) di permukaan dalam tiub fallopian yang bergerak secara berirama menolak zigot ke arah dalam rahim.

Dalam apa juga keadaan yang menyebabkan proses ini tidak berlaku atau berlaku pada kadar yang perlahan seperti salur fallopion yang tidak berfungsi dan rosak, akan mengakibatkan zigot tersangkut di dalam salur fallopian dan membenam ke dalam dinding salur fallopian yang sempit, dan ini dinamakan kandungan luar rahim.

Apakah kehamilan luar rahim?

Kehamilan luar rahim atau ektopik ini berasal daripada perkataan Greek iaitu ektopas yang bermaksud di luar tempat. Kadar kejadian kehamilan luar rahim adalah lebih kurang 2 peratus apabila 98 peratus daripadanya merupakan kehamilan ektopik dalam tiub fallopian (tubal pregnancy).

Kadang-kadang zigot itu ditolak keluar dari tiub fallopian ke dalam rongga abdomen dan menempel dalam rongga abdomen menyebabkan kandungan abdominal (abdominal pregnancy), atau menempel pada ovari menyebabkan kandungan ovarian (ovarian pregnancy). Kadang-kadang kandungan luar rahim juga boleh berlaku pada bucu rahim (cornual pregnancy) dan pangkal rahim (cervical pregnancy).

Jenis-jenis Kehamilan Luar Rahim

  • Kandungan abdominal (abdominal pregnancy)
  • Kandungan ovarian (ovarian pregnancy)
  • Bucu rahim (cornual pregnancy)
  • Pangkal rahim (cervical pregnancy)

Punca kehamilan luar rahim ini biasanya tidak dapat dikenal pasti. Namun terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko seseorang wanita itu untuk mengandung luar rahim seperti pernah mengalami kehamilan luar rahim, pernah menjalani pembedahan abdomen atau pelvis (seperti pembedahan apendiks terutamanya yang sudah pecah), pernah menjalani pensterilan tiub (tubal ligation), mempunyai sejarah penyakit radang pelvis (PID) atau Salpingitis (radang tiub fallopian), mengidap endometriosis, mengalami masalah kesukaran untuk mengandung dan menjalani rawatan kesuburan (infertility treatment) serta menggunakan alat dalam rahim (IUCD) untuk menjarakkan kehamilan.

Walaupun Tanpa 1 Tiub Fallopian, Sari Yanti Terkejut MAMPU HAMIL Lagi! Dah Rezeki Namanya, Kan?

Walaupun Tanpa 1 Tiub Fallopian, Sari Yanti Terkejut MAMPU HAMIL Lagi! Dah Rezeki Namanya, Kan?

Pasangan selebriti Jep Sepahtu bersama isterinya, Sari Yanti telah terpilih memenangi kategori Couple MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME 2018) yang berlangsung secara langsung di Axiata Arena, Bukit Jalil Ahad lalu. Tahniah diucapkan atas kejayaan pasangan selebriti ini.

Sari yang ditemui di Majlis Perasmian Pembukaan Mom’s House cawangan Bangi Gateway baru-baru ini kelihatan sedikit penat kerana sudah sarat mengandung. “Saya memang sedang sarat sekarang sementelah due date saya tidak lama lagi sekitar awal bulan Mei nanti. saya berharap saya boleh bersalin secara normal kerana kedua-dua anak saya sebelum ini juga bersalin secara normal,” bicara Sari penuh sopan.

Rupa-rupanya Sari pernah keguguran sebelum ini lantaran mengandung luar rahim. “Ketika baharu kahwin dahulu saya terpaksa dimasukkan ke hospital sebab kandungan luar rahim atau ectopic. Waktu ini kira macam Sari bunting pelamin. Sari turun darah hari-hari dan asyik masuk hospital sebab turun darah. Doktor suspek Sari mengandung luar rahim dah ketika itu.

Kandungan tu kecil lagi tapi sebab dia membesar dalam tiub fallopian sehingga menyebabkan tiub fallopian tu pecah. Saya terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang tiub fallopian. Kandungan pun kecil lagi ketika itu dan keadaan kesihatan tidak begitu mengizinkan. Saya berpantang macam biasa sebab operate.

Alhamdulillah saya ingatkan susuh nak pregannat after that sebab tiub fallopian tinggal satu sahaja. Tapi bila immediately pregnant after that. Syukur sangat-sangat kerana Allah SWT nak bagi juga rezeki kepada kami suami isteri.

Bagi saya mungkin tiada apa sangat sebab sudah mempunyai dua orang anak. Tetapi bagi Jep pula, ini merupakan anak pertama dia, mengandung luar rahim pula. Dia mesti excited dan mengharap. Jangan cakap dia, Sari sendiri pun mengharap pada kandungan kali ini,” tutur Sari Yanti yang kini sudah berusia 34 tahun.

Menurut Sari selama 8 tahun jarak perbezaan kandungan menguji kemampuan fizikalnya. “Waktu pregnant dahulu saya muda dan lebih bertenaga. Sekarang saya mudah rasa penat. Kalau masak pun dah penat. Saya terasa tua sangat. Dulu tak ada rasa mengah sekarang bercakap pun dah mengah. Badan tak strong as before. Namun, Jep banyak tolong sepanjang proses kehamilan. Dia lagi banyak mengidam dari saya. Nak makan itu dan teringin makan ini. Macam dia pulak yang pregnant,” akhiri Sari sambil tertawa.

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: