Bahana 5 Penyakit Ini Menanti, Jika Terlalu KURUS & Diet Ekstrem!

Bahana 5 Penyakit Ini Menanti, Jika Terlalu KURUS & Diet Ekstrem!

Saban hari gejala obesiti atau berlebihan berat badan kian meningkat dan ini cukup membimbangkan. Akibatnya, golongan ini akan mudah diserang masalah kesihatan seperti kencing manis, penyakit jantung dan strok.

Namun begitu, tidak bermakna orang yang kurus tidak berisiko untuk terkena penyakit. Terlalu taksub untuk kurus pun tidak bagus untuk kesihatan. Sumber yang dipetik dari www.howstuffworks.com terdapat beberapa masalah kesihatan yang boleh menghantui mereka yang terlalu kurus.

TULANG MUDAH RAPUH ATAU OSTEOPOROSIS

Bagi yang berbadan kurus, lemak adalah sangat diperlukan. Ini kerana salah satu fungsi lemak ialah menghasilkan estrogen. Baik lelaku mahupun wanita, estrogen bermanfaat untuk kesihatan tulang. Tanpanya tulang mudah menjadi rapuh dan rosak.

MASALAH REPRODUKSI

Kekurangan berat badan boleh menyebabkan beberapa masalah reproduksi bagi wanita. Akibat terlalu kurus kemungkinan kitaran haid akan terjejas malah berisiko untuk berhenti seterusnya sukar untuk hamil. Kitaran haid yang tidak teratur mempengaruhi lapisan rahim. Menurut kajian, wanita yang terlalu kurus ketika hamil berisiko 70% untuk mengalami keguguran di trimester pertama.

ANEMIA

Mereka yang terlalu kurus lebih mudah mengalami anemia iaitu kekurangan sel darah merah. Ini disebabkan kurangnya zat besi, vitamin B12 dan folat. Gejala anemia ialah mudah letih, tidak bertenaga, degup jantung tidak teratur, sesak nafas dan pening.

KURANG DAYA TAHAN BADAN

Sistem kekebalan badan adalah benteng utama yang memerlukan bahan bakar daripada makanan yang diambil. Mereka yang kurang berat badan cenderung untuk makan dalam porsi kecil dan jarang. Sistem kekebalan badannya tidak mendapat bahan bakar yang cukup lantas mudah diserang selesema ketika perubahan cuaca.

KENCING MANIS DAN PENYAKIT JANTUNG

Siapa kata kencing manis dan penyakit jantung hanya menyerang mereka yang berlebihan berat badan. Badan yang terlalu kurus juga mudah diserang penyakit kerana daya tahan badannya kurang. Faktor keturunan juga boleh mempengaruhi. Ini lebih merbahaya kerana sangat berisiko diserang kencing manis dan penyakit jantung. AMY MOHD

Pernah Habiskan 4 Piza Saiz Besar, Miss Intercontinental Malaysia 2017/2018 Kongsi Pengalaman Gemuk Sewaktu Belajar

Pernah Habiskan 4 Piza Saiz Besar, Miss Intercontinental Malaysia 2017/2018 Kongsi Pengalaman Gemuk Sewaktu Belajar

Nama Sanjna Suri mungkin agak asing namun wanita ini mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Intercontinental 2017 yang diadakan antara 10 Januari dan 25 Januari 2018 di Sunrise Crystal Bay Resort, Qesm Hurghada, Mesir.

Pertandingan yang sedang berlangsung ini mempertandingkan 78 peserta yang mewakili negara masing-masing. Melihat kelibat ratu ini pasti tiada siapa menyangka bahawa dia pernah melalui fasa berat badan yang berlebihan.

“Dulu berat badan saya tidaklah besar sangat. Segala-galanya bermula apabila saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Farmasi di Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS).

Facebook Miss Intercontinental Malaysia

Selama 5 tahun belajar, dalam tahun kedua saya mula stres untuk mendapatkan Ijazah Kelas Pertama. Hanya pelajar yang mendapat kelas pertama saja yang boleh menukar status pinjaman PTPTN kepada biasiswa. Jadi saya bersungguh-sungguh belajar untuk mendapat kelas pertama.

Dalam tempoh tersebut masa saya hanya diisi dengan belajar dan tidur sahaja. Saya tidak mempunyai masa untuk keluar berjalan-jalan jadi saya reward diri dengan makan. Balik rumah dari universiti saya makan dan kalau saya mendapat gred yang baik juga saya akan makan. Pendek kata apa sahaja yang berlaku pada diri saya, hadiahnya adalah makan.

Saya memang suka makan dan ketika itu cuba bayangkan saya boleh makan 4 Domino’s Pizza saiz besar sekali gus. Kalau makan nasi ditambah pula dengan lauk yang agak banyak.

Perut kita boleh membesar kalau selalu makan banyak, kalau you dah mula makan kurang dia akan kecik balik. Jadi masa tu saya makan banyak sangat sehingga mencapai 72kg,” tutur Sanjna Suri yang berketinggian 1.71m ini.

“Memang sejak kecil lagi saya sangat meminati pertandingan ratu cantik. Tapi saya tak pernah diberi peluang. Keluarga saya tidak membenarkan dan menyatakan bidang ini hanya hobi semata-mata dan tidak boleh dijadikan karier.

Setelah tamat belajar saya mula bekerja sebagai Pegawai Farmasi di sebuah hospital. Sepanjang bekerja saya gembira menjalankan tugas namun jauh di sudut hati dunia saya bukan di sini. I knew that I was meant to do more, something that I was passionate about.

So masa tu I dah habis belajar dan bekerja. Tanggungjawab saya sebagai anak sudah terlaksana dengan memperoleh Ijazah dengan Kepujian Kelas Pertama serta menjadi Ahli Farmasi. Jadi apabila mempunyai duit gaji sendiri saya mempunyai ruang untuk menjaga diri. I used to spend all my money on groceries.

Setiap pagi sebelum pergi kerja saya akan masak bekal untuk makan tengah hari. Saya masak sendiri dan hanya makan makanan sihat sahaja. Balik kerja saya akan singgah di gym, bersenam selama satu jam. Selama 6 bulan rutin saya begini dan hasilnya saya berjaya menurunkan berat badan sehingga 20kg dan kini berat saya adalah 48kg

.

Bagi saya menurunkan berat badan bukan untuk kurus semata-mata tetapi untuk sihat. Saya dapat rasakan setelah mencapai berat badan begini saya lebih aktif, kulit lagi cantik, tidur lagi lena. Nasihat saya kepada wanita lain jangan jadi macam saya.

Kalau nak reward yourself jangan reward food. Budaya di Malaysia memang suka makan. Pernah tak dengar kalau berjaya atau menang sesuatu, “Bagus, jom I belanja you makan” As lovely as it is it shouldn’t be that way. Sebab kena ingat apa yang masuk dalam mulut sepatutnya nutrisi dan tenaga untuk tubuh. Kalau makan nonsense tubuh akan jadi nonsense. So you kena ingat what you eat now will determine what you are in 10 years later.” Hamizatul Maizan Mohamed

Kalau Nak Hamil Kena TURUNKAN BERAT BADAN, Betul Ke Ada Kaitan Dengan Kesuburan Wanita?

Kalau Nak Hamil Kena TURUNKAN BERAT BADAN, Betul Ke Ada Kaitan Dengan Kesuburan Wanita?

Ramai wanita merasakan berat badan yang berlebihan ini adalah perkara biasa terutamanya jika orang di sekeliling seperti suami, keluarga dan rakan-rakan turut mempunyai masalah yang sama.

Adakala mereka membandingkan diri dengan wanita obes lain yang tidak mempunyai masalah kesuburan atau belum menghidapi sebarang masalah kesihatan lain. Oleh itu mereka merasakan tidak ada keperluan untuk menurunkan berat badan.

Namun kajian telah menunjukkan bahawa penurunan berat badan sebanyak 10 peratus akan merangsang proses ovulasi secara semula jadi. Kitaran haid menjadi lebih baik dan terdapat juga yang berjaya hamil secara semula jadi.

Penurunan berat badan sememangnya merupakan rawatan utama. Selain membantu meningkatkan kesuburan secara semula jadi, ia juga membantu meningkatkan keberkesanan ubat-ubat kesuburan yang digunakan. Sekiranya mereka berjaya hamil, risiko-risiko kesihatan sepanjang kehamilan akan lebih berkurangan.

Wanita yang mempunyai masalah obesiti sememangnya disarankan mengambil langkah serius untuk menurunkan berat badan mereka. Perubahan yang besar perlu dilakukan terhadap gaya hidup, pemakanan sihat di samping menjalani senaman yang teratur dan efektif.

(a) Pemakanan yang sihat bukan bermaksud mengelak makan tetapi menjaga kualiti dan kuantiti pemakanan tersebut. Mula belajar untuk mengira jumlah kalori pemakanan seharian, catat dan kaji diari pemakanan sendiri.

(b) Bersenam juga adalah keperluan mandatori seiring dengan penjagaan diet. Ramai yang kecewa dan tidak dapat bertahan lama dengan perubahan diet sahaja. Kadar metabolik badan akan kekal rendah tanpa senaman dan lemak-lemak badan ini sangat sukar disingkirkan.

Senaman akan meningkatkan kadar pembakaran lemak di samping mula membina otot-otot yang akan terus kekal meningkatkan kadar metabolik badan walaupun semasa rehat. Cari dan amalkan senaman yang praktikal, sesuai dan disukai agar ianya boleh dilakukan setiap hari. Beban kerja harian bukanlah alasan untuk mendapatkan 20 ke 30 minit untuk bersenam setiap hari.

Senaman di rumah sama ada menggunakan alat, mesin senaman atau semudah melakukan aerobik mahupun tarian berpandukan pita video boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, walaupun seawal pagi atau lewat malam.

(c) Penggunaan ubat-ubatan untuk menurunkan berat badan, turut serta dalam program-program pelangsingan badan dan pembedahan bukanlah perkara mudah selain melibatkan kos yang sangat tinggi. Kaedah ini adakalanya mendatangkan risiko dan kesan sampingan. Mungkin tidak berkekalan sekiranya gaya hidup sihat tidak diamalkan. Walau bagaimanapun rawatan ini mungkin diperlukan bagi mereka yang mempunyai masalah obesiti yang serius (BMI >40-45).

Ubat seperti Metformin/Glucophage kerap digunakan untuk rawatan pesakit PCOS yang obes. Selain membantu mengurangkan masalah kerintangan terhadap hormon insulin dan mengurangkan hormon androgen dalam darah, ianya juga akan mengurangkan penyerapan karbohidrat yang mungkin akan membantu dalam penurunan berat badan secara tidak langsung. Selain itu Metformin juga dapat meningkatkan keberkesanan ubat kesuburan seperti Clomiphene.

Selain penurunan berat badan dan menjalani rawatan kesuburan, wanita yang merancang untuk hamil perlu mengambil asid folik beberapa bulan sebelum memulakan usaha kehamilan. Sekiranya mereka sudah menghidapi penyakit-penyakit seperti diabetes, darah tinggi mahupun kolesterol yang berlebihan, penyakit-penyakit ini perlu dikawal terlebih dahulu. Ada kalanya ubat-ubat yang diambil perlu ditukar, penilaian dan nasihat dari doktor yang merawat mereka turut diperlukan.

Obesiti adalah masalah kesihatan yang serius. Selain mengganggu keupayaan wanita untuk hamil, ianya juga boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi sepanjang kehamilan. Selain itu boleh menjejaskan kesihatan wanita secara amnya dan menjadi punca kepada beberapa jenis kanser. Oleh itu wanita obes perlu melakukan perubahan besar. Hamizatul Maizan Mohamed

Ahli Farmasi Dedah RATUSAN Senarai Produk & Ubat TAK BERDAFTAR! Stop Makan Mulai Hari Ini

Ahli Farmasi Dedah RATUSAN Senarai Produk & Ubat TAK BERDAFTAR! Stop Makan Mulai Hari Ini

Melihat senario masa kini, terlalu banyak produk pelangsingan dan ubat-ubatan kesihatan dijual di pasaran. Dengan menggunakan strategi pemasaran yang menarik, pastinya pengguna yang melihat iklan produk berkenaan terpengaruh untuk membeli dan mencuba keberkesanannya.

Yang menjadi persoalan, adakah produk dan ubat-ubatan ini memang baik untuk kesihatan atau sebaliknya.

Prihatin terhadap nasib pengguna, seorang ahli farmasi sudi berkongsi infomasi dan butiran produk yang patut dijauhi. Jelas Mohammad Aswandy Adenan, senarai produk yang dinyatakan berikut tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia selain telah dianalisa dan dikesan mengandungi bahan terlarang.

======================

Bahaya atau tidak menggunakan produk ini? Skrip inilah yang saya selalu ulang dimana-mana tempat yang saya pergi sama ada ceramah, berdikir, berbusking, temu ramah di radio mahupun di TV serta hebahan di media sosial.

Ubat tidak berdaftar amat tidak digalakkan penggunaannya atas dua alasan ini. Pertama produk tidak berdaftar ini biasanya tidak pernah dianalisa oleh mana-mana pihak terutama Kementerian Kesihatan Malaysia. Kita khuatir ianya dikilangkan di tempat yang tidak mengikut standard yang membawa risiko pencemaran dan lain-lain lagi.

Selain itu juga kita bimbang ianya dicampur dengan bahan terlarang demi memberi kesan segera dan melariskan penjualan semata-mata. Biasanya bahan terlarang ini terdiri dari ubat terkawal ataupun racun berjadual contohnya seperti steroid dan lain-lain lagi. Ubat terkawal/racun berjadual ini hanya boleh dibekalkan oleh doktor ataupun ahli farmasi melalui preskripsi daripada doktor.

Penggunaan ubat tidak berdaftar yang telah dicampurpalsu bahan terlarang ini menyebabkan pengguna ‘terpaksa rela’ menelan ‘bahan terlarang’ a.k.a steroid/racun berjadual tanpa sedar dan tanpa pemantauan serta dos/sukatan yang betul daripada mereka yang berkelayakan yang mungkin mengundang risiko masalah kesihatan yang lain dan mungkin mengundang maut.

Senarai produk bahaya terbaru ini saya ambil dari laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara di link ini http://npra.moh.gov.my/…/…/adulterated-products-unregistered

Di sini saya nasihatkan agar semua pengguna menyemak ubat yang digunakan sama ada diluluskan KKM atau tidak. 2 ciri mudah ubat yang berdaftar dengan KKM, pertama ada nombor MAL & kedua ada hologram meditag. Luangkan seminit untuk membuat semakan ini demi kesihatan anda.

Kenapa pula kita disuruh menggunakan ubat yang diluluskan KKM? Kerana ia dijamin selamat, berkesan & berkualiti oleh kerajaan. Jadilah pengguna bijak yang hanya menggunakan produk terbaik untuk diri sendiri.

Pengguna juga boleh like dan follow untuk mengikuti perkembangan info ubat-ubatan :

1) Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Kelantan
di link https://m.facebook.com/CPFKelantan/

2) Cakna Ubat Anda
di link https://m.facebook.com/caknaubatanda/

3) Cakna Ubat TV
di link https://m.facebook.com/CaknaUbatTV/

Semak dulu sebelum guna ye!

Mohammad Aswady Adenan
Ahli Farmasi
Medical Mthybusters Malaysia

 

Bagaimana KERJA SYIF Boleh Undang Keletihan Melampau, Doktor Dedah Impak Negatif Bila Individu Terpaksa Berjaga Malam!

Bagaimana KERJA SYIF Boleh Undang Keletihan Melampau, Doktor Dedah Impak Negatif Bila Individu Terpaksa Berjaga Malam!

Tidak ada satu pekerja pun yang mahu bertindak lalai atau culas dalam melaksanakan tugas. Senario pekerja kelihatan lesu, mengantuk dan terlelap di kaunter perkhidmatan atau meja kerja pada waktu malam di pejabat yang kebanyakannya beroperasi 24 jam merupakan insiden yang sukar dielak.

Bukan mahu mempersoal atau mengiyakan tindakan tersebut, tetapi sebagai seorang manusia yang diciptakan punya hati, perasaan, rasa letih dan penat, mana-mana pekerja pun tidak terlepas mengalami situasi sama apabila mereka terpaksa berjaga sepanjang malam.

Dr Mohd Fadhli Mohd Fauzi, Doktor Kesihatan Pekerjaan

Usah cepat menghukum sebaliknya lihat pada perspektif positif tentang realiti kerjaya bagi mereka yang terpaksa bekerja syif ini. Nampak remeh namun sebenarnya ia bukan tugas mudah. Jelas Doktor Kesihatan Pekerjaan, Mohd Fadhli Mohd Fauzi, hal ini melanggar jam biologi yang ditetapkan dalam sistem badan manusia.

“Kerja syif adalah ‘hazard’ pekerjaan yang popular walaupun di pandang enteng oleh sesetengah pihak yang kurang empati. Banyak kajian yang telah dibuat dan ada kemalangan di tempat kerja yang dikaitkan dengan kerja syif.

Ada juga kajian yang mengaitkan faktor genetik dengan keupayaan untuk kerja syif atau ‘circadian rhythm’ manusia, yang mungkin menjawab persoalan mengapa ada yang mampu bertahan dan mungkin terlena. Yang mampu bertahan, jangan bongkak.

Kajian berkaitan ‘chronotype’ iaitu menilai sama ada seseorang itu adalah jenis ‘morningness person’ atau ‘eveningness person’ atau ‘indifference’ juga ada dilakukan. Ada yang boleh tidur waktu siang selepas kerja syif, dan ada juga yang langsung tak boleh,” terang Pegawai Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia ini.

“Jam 3 hingga 4 pagi adalah antara puncak rasa mengantuk dalam kebanyakan individu dan ia mempunyai hubungkait dengan circadian rhythm. Saat itu, suhu badan adalah pada tahap terendah. Jangan marah mereka kerana ia adalah jam biologi mereka.

Ini belum lagi sentuh bab kerja oncall dan microsleep. Hanya yang pernah bekerja lebih 24 jam berturut-turut yang mampu memahami situasi. Anak bini terabai, penat fizikal, penat mental, malah ada yang kehilangan nyawa dalam perjalanan pulang dari kerja. Yang kerja 8 hingga 12 jam pada syif malam pun berisiko menghadapi efek yang sama.

Ia bukan hanya terpakai untuk doktor, jururawat atau dressar, tetapi juga kepada pemandu lori, pemandu bas, operator kilang, pengawal keselamatan dan segala macam jenis pekerjaan lagi. Semua ada situasi sendiri yang perlu sama-sama kita fahami.

Nak atau tak nak, kerja syif tetap perlu ada dalam sektor pekerjaan yang kebanyakan perlu beroperasi 24 jam. Tak salah, namun perlulah ada langkah menangani kesan negatif akibat daripada kerja syif.

Belajarlah untuk memahami dan empati. Ini terpakai bukan hanya kepada masyarakat sebagai klien, tetapi juga untuk bos-bos di jawatan lebih tinggi. Fahami situasi staf anda, jangan bertindak hanya dengan ‘spinal reflex’ sahaja. Bos perlu berperanan sebagai pemangkin membakar motivasi dan membantu mencari intervensi serta solusi.”

Sumber: Facebook Mohd Fadhli Mohd Fauzi

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: