Lakukan 20 Tip Hebat Ini Untuk Miliki Bentuk Tubuh IDEAL & LANGSING!

Lakukan 20 Tip Hebat Ini Untuk Miliki Bentuk Tubuh IDEAL & LANGSING!

Berazam untuk tampil lebih langsing sempena tahun baru ini? Lupakan jalan pintas dan pendam segala pelan diet Hollywood yang keterlaluan sekaligus menyeksa perut. Ikuti 20 tip berikut untuk memperolehi tubuh yang lebih ramping dan sihat, seperti yang diidam-idamkan! Diet seharusnya tidak menyeksakan, tetapi lebih memenangkan, bukan! Selamat mencuba.

  1. Permulaan

Hindari tekanan yang mampu mempengaruhi cita-cita anda untuk berdiet. Jika sedang dibelenggu masalah, eloklah ditangguhkan dahulu keinginan ini sehingga minda sudah benar-benar bersedia.

  1. Tempat makan

Jadikan suatu kebiasaan untuk duduk dengan selesa dan makan di atas meja – tentu sekali bukan di dalam kereta, di atas meja pejabat atau kala tergesa-gesa!

  1. Pencahayaan

Warna yang ceria merangsang selera makan, jadi pilihlah rona kain lapik meja, napkin serta dinding ruang makan yang lembut dan neutral. Pencahayaan yang terlalu gelap atau terang mendorong mood anda untuk makan dengan banyak.

  1. Saiz pinggan

Gunakan saiz pinggan yang kecil pada setiap waktu makan. Cara ini membentuk perspektif – hidangan terlihat banyak di dalam ruang pinggan yang sempit.

  1. Masa makan

Letakkan sudu atau tangan anda ke bawah ketika sedang mengunyah makanan. Nikmatilah rasa dan teksturnya yang berbeza. Minda anda memerlukan kira-kira 20 minit untuk mentafsir mesej bahawa perut sudah kenyang.

  1. Alunan muzik

Dengarkan dendangan muzik klasik yang merdu kerana ia membantu membuai diri agar makan lebih sedikit dan teratur. Berbeza dengan alunan muzik yang rancak seperti rock & roll – ia mendorong anda makan dengan banyak dan laju.

  1. Berhenti apabila kenyang

Sebaik terasa kenyang, letakkan sudu, bangkit daripada kerusi, kemaskan sisa makanan tersebut dan sibukkan diri dengan perkara lain.

  1. Stok makanan

Pastikan setiap ruang simpanan makanan dan peti sejuk anda diisi makanan yang berkhasiat dan rendah kalori. Nyahkan segera makanan ringan yang ditemui!

  1. Bertenang

Elakkan menjamah makanan semata-mata kerana tertekan. Jika berdepan hari yang sukar, ambillah udara segar, berjalan-jalan, bermeditasi atau cukup sekadar mendengar muzik yang tenang.

  1. Gambarkan kejayaan

Gunakan imaginasi anda untuk membayangkan kejayaan. Fikirkan diri anda yang langsing, berkeyakinan tinggi serta tersenyum girang dalam persalinan indah yang diimpikan. Bayangkan perasaan bangga setiap kali anda menimbang berat badan.

  1. Hobi

Sibukkan diri daripada keinginan untuk mengudap snek dengan melakukan hobi ringan dan melekakan seperti mengait, bermain jigsaw puzzle atau membuat buku skrap.

  1. Hitung makanan

Jangan mengunyah snek terus daripada kotak bungkusannya! Asingkan jumlah atau potongan tertentu yang ingin dimakan dan simpan bakinya.

  1. Air

Pakar diet mencadangkan supaya anda minum segelas minuman berais sebelum makan untuk menyekat selera. Cecair, samada panas atau sejuk boleh membuat anda kenyang, justeru minumlah segelas air sebelum mengunyah sesuatu. Namun begitu, elakkan minuman manis dan berkarbonat.

  1. Jus buah-buahan dan sayuran

Minuman jus kaya fruktosa sememangnya amat penting buat anda yang ingin menurunkan berat badan. Kajian menunjukkan bahawa seseorang yang minum segelas jus 200 kalori setengah jam sebelum makan mampu menghapus purata 300-400 kalori ketika waktu makan berikutnya.

  1. Kalori negatif

Amalkan snek yang mempunyai paras kalori yang amat rendah seperti seleri, timun dan daun salad. Snek ini dianggap kalori negatif kerana proses persediaan, mengunyah dan menghadamnya lebih membakar kalori berbanding kalori yang terkandung di dalamnya.

  1. Hidangan waktu malam

Mengambil makanan berat pada waktu malam boleh membuncitkan perut dan membuat anda susah tidur nyenyak. Makanan berkarbohidrat seperti nasi atau mi pada waktu ini mampu memberi tekanan keterlaluan pada otot perut anda.

  1. Senarai membeli-belah

Rancang hidangan menu anda sebelum keluar membeli-belah. Usah berlegar-legar ketika membeli barang kerana anda terdorong untuk berbelanja lebih. Elakkan daripada terpedaya dengan nama-nama makanan yang enak seperti ‘Biskut Coklat Lazat Dari Ketuhar Tradisi’ kerana biasanya ia cuma indah khabar dari rupa.

  1. Baca label

Selain dapat mempelajari pelbagai informasi yang tertera, anda juga dapat mengetahui data nutrisi termasuk kiraan nilai kalori yang disediakan oleh pengeluar makanan. Semaklah dahulu sebelum membelinya.

  1. Jangan membeli ketika lapar

Kudaplah snek yang sihat dan mengenyangkan sebelum membeli-belah. Elakkan mencuba sampel makanan percuma yang diberikan kerana anda mungkin terdorong untuk membelinya.

  1. Nikmati makanan sihat

Buah-buahan tinggi serat, sayuran dan bijirin merupakan makanan bernutrisi dan boleh menurunkan berat badan. Ia mengurangkan keinginan untuk bersnek serta mengisi perut anda dengan kalori yang sedikit. Serat membuatkan anda kenyang sambil merendahkan kolesterol dan tekanan darah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bingung, BERSENAM Bagai Nak ‘Rak’ Tapi Ukuran Pinggang Masih Sama! Ini Penyebabnya

Bingung, BERSENAM Bagai Nak ‘Rak’ Tapi Ukuran Pinggang Masih Sama! Ini Penyebabnya

Setiap tahun azam yang sama bagi kebanyakan wanita ialah mahu memiliki berat yang ideal. Maka, bermacam-macam cara dilakukan demi mencapai tujuan itu. Menurunkan berat badan memerlukan usaha dan kesabaran yang tinggi untuk hasil yang maksima. Ia tidak boleh dilakukan secara paksa mahupun dicapai dalam masa singkat.

Pelik apabila kerap bersenam dan mengamalkan program diet tetapi berat badan tidak turun-turun sebaliknya kian naik pula. Mengharapkan ukuran pinggang lebih mengecil namun gagal hingga menyebabkan stres. Jadi apa puncanya?

USAHA MASIH KURANG

Setiap latihan yang dilakukan tentu akan ada hasilnya. Tetapi bukanlah serta merta dalam satu hari. Mungkin jenis latihannya anda perlu tingkatkan agar memperoleh hasil yang diinginkan.

KURANG TERATUR

Olahraga yang bertujuan untuk menurunkan berat badan memerlukan komitmen tinggi agar berhasil. Jika anda melakukannya hanya ketika ingin atau ikut mood saja, janga haraplah ia akan berhasil! Kemungkinan berat anda akan kembali naik selepas mood menghilang.

TIDAK AMAL PEMAKANAN YANG BAIK

Pola pemakanan yang betul turut menjadi penentu terhadap keberhasilan berolahraga untuk menurunkan berat badan. Hindari makanan berkalori tinggi yang hanya menjadikan olahraga yang dilakukan hanya sia-sia.

BERISTIRAHAT SECUKUPNYA

Seperti pemakanan seimbang dan olahraga yang tepat, istirehat yang cukup juga diperlukan bagi mendapatkan berat badan ideal. Kurang tidur boleh menyebabkan badan menjadi letih dan sukar fokus terhadap kerja. Usaha menurunkan berat badan juga menjadi tidak menentu.

MENGHARAPKAN HASIL SEGERA

Jika berolahraga hanya 1-2 hari sambil mengharapkan berat badan menurun sebanyak 10 kilogram, usahlah bermimpi! Lakukan secara konsisten selama 2-4 minggu barulah boleh merasai hasilnya sedikit demi sedikit.

GANGGUAN KESIHATAN

Beberapa gangguan kesihatan turut menjadi penyebab masalah anda. Dapatkan nasihat doktor agar anda tahu lebih pasti tentang masalah kesukaran anda menurunkan berat badan. AMY MOHD

 

Cara Mudah Singkir BERAT AIR Dengan 7 Tip Ini!

Cara Mudah Singkir BERAT AIR Dengan 7 Tip Ini!

Masalah gemuk air, atau digelar edema dalam terma perubatan merujuk kepada situasi kebocoron air dari salur darah ke dalam sel tubuh dan tisu-tisu. Gejala gemuk air sering berlaku pada wanita yang mengalami sindrom pra haid, pengambilan garam berlebihan, kekurangan vitamin dan mineral penting semasa berdiet serta baby blues di kalangan ibu-ibu selepas bersalin.

Ketahui 7 tip berkesan untuk mengatasi masalah ini:

  1. Terapi H₂O

Minum 8-10 gelas air. Terlalu banyak air akan melarutkan elektrolit ke dalam sel darah manakala kuantiti yang terlalu sedikit pula menyebabkan dehidrasi. Sebaik-baiknya minum kuantiti yang secukupnya.

  1. Hadkan garam

Termasuk menjauhi makanan ringan! Sayangilah buah pinggang anda dan hadkan pengambilan garam dalam makanan.

  1. Kafein

Percaya atau tidak, kafein dalam jumlah tertentu sebenarnya bagus untuk anda. Seperti teh herba, ia membekalkan antioksidan yang penting untuk mengekalkan cecair dalam badan.

  1. Sayuran

Inilah masanya untuk menikmati salad dalam menu harian anda. Sayuran berdaun hijau membekalkan segala keperluan vitamin dan mineral yang diperlukan tubuh.

  1. Ambil suplemen

Sekiranya berdepan masalah berat air ketika pra haid, anda boleh mengambil suplemen kalsium dan zat besi. Berbincanglah dengan doktor anda tentang dos yang sesuai.

  1. Vitamin B6

Makanan yang diperkaya protein seperti ayam, ikan dan brokoli juga membantu untuk menentang masalah gemuk air.

  1. Bersenam selalu

Berbincang dengan pakar ginekologi anda tentang senaman yang sesuai kerana ia meningkatkan perjalanan cecair dalam badan, sekaligus mengurangkan masalah kembung. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

Tanpa Berbelanja Besar Pun Mampu LANGSING Seperti JLo, Ini Petuanya!

Tanpa Berbelanja Besar Pun Mampu LANGSING Seperti JLo, Ini Petuanya!

Pasti fikiran menjadi rungsing apabila sudah jenuh mengikuti pola makan betul namun kembali mengalami penambahan berat badan setelah berhenti mengamalkannya. Keadaan ini boleh mendatangkan tekanan pada sesiapa saja.

Menurut pakar nutrisi, strategi pengubahsuaian tingkah laku merupakan pilihan yang lebih tepat berbanding diet. Ia membantu anda memutuskan rantai kitaran ini dan melaksanakan perubahan gaya hidup yang tahan lama.

Untuk membantu anda mengelakkan kitaran ini, berikut beberapa prinsip perubahan gaya hidup daripada kedua-dua pakar ini yang boleh menjadi panduan anda.

  1. Berhenti Diet : Bagaimana mungkin boleh menurunkan berat badan tanpa diet? Mengurangkan 500 kalori sehari selama satu minggu boleh menurunkan berat badan sebanyak 1 / 2 kilogram. Sebahagian besar orang boleh mendapatkan hasil yang sama dengan pengurangan 500 kalori ini dengan cara bersukan dan menukar sedikit amalan pemakanan. Dengan kaedah ini, anda boleh mengelakkan daripada kesan negatif diet yang terlalu ketat.
  2. Kenali Gejala Fizikal :Tanda-tanda dalaman seperti perut bunyi, sakit kepala ringan, keletihan, mudah marah serta penurunan konsentrasi merupakan petanda kalau anda memerlukan asupan tenaga untuk mempertahankan berat badan yang dialami anda. Dengan mengenali isyarat ini dan terhubung dengan isyarat fizikal daripada rasa lapar dan kenyang, anda akan lebih mampu mengatur pengambilan makanan dan mengelakkan daripada makan berlebihan.
  3. Gunakan Skala Untuk Mengukur Tahap Lapar Anda :Dengan menggunakan skala ini, anda akan lebih peka terhadap isyarat rasa lapar dan kenyang dari dalam tubuh. Guna 0 untuk menunjukkan tahap lapar yang melampau dan 10 sebagai isyarat menyatakan tahap kekenyangan yang melampau. Dengan menerapkan skala ini di fikiran, mulailah membaca isyarat dari badan anda.

Target anda sebaiknya berada pada rentang angka 3 dan 8. Jika membiarkan sampai 0, anda akan makan terlalu banyak dan terlalu cepat, padahal otak memerlukan masa 15-20 minit untuk menangkap isyarat kalau badan sudah kenyang. Sebaik-baiknya mula makan ketika lapar berada pada skala 3 dan berhentilah pada skala 7 atau 8, apabila anda mula merasa kenyang dan puas.

  1. Bezakan Lapar Emosi Dengan Lapar Fizikal : Lapar fizikal merupakan proses lapar yang muncul setiap 3 hingga 4 jam sekali. Jika tidak mendengar isyarat lapar tersebut, rasa lapar akan memudar dan tubuh mulai melambat untuk menjimatkan tenaga. Sedang lapar kerana emosi berlaku apabila anda melampiaskan kesedihan, kegembiraan, kecemasan atau kebosanan anda pada makanan. Memahami saat anda memuaskan emosi dengan makanan boleh membantu anda mencari cara yang lebih tepat dalam menangani keperluan-keperluan anda.
  2. Makanan Baik vs Makanan Tidak Baik :Tidak ada makanan yang bagus dan makanan yang buruk. Semua makanan baik jika dikonsumi dalam jumlah sederhana. Menghindari satu makanan tertentu akan membuat anda semakin ingin mengambil makanan tersebut. Jika anda selalu sukar mengawal bahan makanan tertentu, cubalah dengan strategi lain. Misalnya dengan mengira kerepek kentang yang mahu dikunyah dan mengembalikan selebihnya ke tempat simpanan makanan.

Diet Boleh Turunkan Risiko Kanser Payudara

Tahukah anda, diet dua kali seminggu rupanya boleh mengurangkan peluang wanita terkena kanser payudara. Sebuah kajian mendapati bahawa ketika perempuan yang mengalami berlebihan dan mengikuti program diet yang ketat, maka hormon penyebab kanser akan berkurangan sebanyak 40 peratus, mengikuti penurunan berat badan sebanyak 13 paun atau sekitar 5.89 kilogram.

Penyelidikan ini dilakukan oleh Wythenshawe Hospital dan dipimpin oleh Dr Michelle Harvie itu, demikian kutip The Telegraph. Penyelidikan dijalankan pada 100 wanita yang mengalami kelebihan berat dari Greater Manchester, United Kingdom.

Setengah daripada jumlah wanita itu mengikuti program diet dengan hanya mengambil 650 kalori per hari selama dua hari dalam satu minggu. Selebihnya lagi hanya mengambil 1,500 kalori setiap hari dalam satu minggu.

Setelah enam bulan mengikuti program diet yang pertama, kadar hormon leptin perempuan berkurangan sebanyak 40 peratus, kadar insulin turun sebanyak 25 peratus dan protein inflamasi turun sebanyak 15 peratus. Mereka yang mengikuti diet 1,500 kalori juga menunjukkan penurunan berat dan penurunan kadar hormon yang sama.

Dr Harvie mengatakan diet itu merupakan jalan keluar bagi golongan wanita yang mengalami kesukaran mengikuti diet ketat selama seminggu penuh. Antara wanita yang mengikuti program itu adalah Professor Gillian Haddock yang termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi diserang kanser payudara. Beliau berjaya menurunkan berat badannya sekitar 6.35 kilogram dalam satu minggu.

“Banyak faktor penyebab kanser payudara yang tidak boleh dikawal seperti umur, jenis kelamin, dan sejarah keluarga, tetapi kita boleh mengambil langkah positif dengan tetap menjaga berat badan yang sihat. Pendekatan diet dengan selang waktu itu memberikan pilihan untuk cara diet konvensional yang boleh membantu mengurangkan berat badan sekaligus mengurangkan risiko kanser payudara,” kata Pamela Goldberg, pimpinan Breast Cancer Campaign, sebuah yayasan amal yang bergerak di bidang kajian kanser payudara.ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: