Pernah Habiskan 4 Piza Saiz Besar, Miss Intercontinental Malaysia 2017/2018 Kongsi Pengalaman Gemuk Sewaktu Belajar

Pernah Habiskan 4 Piza Saiz Besar, Miss Intercontinental Malaysia 2017/2018 Kongsi Pengalaman Gemuk Sewaktu Belajar

Nama Sanjna Suri mungkin agak asing namun wanita ini mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Intercontinental 2017 yang diadakan antara 10 Januari dan 25 Januari 2018 di Sunrise Crystal Bay Resort, Qesm Hurghada, Mesir.

Pertandingan yang sedang berlangsung ini mempertandingkan 78 peserta yang mewakili negara masing-masing. Melihat kelibat ratu ini pasti tiada siapa menyangka bahawa dia pernah melalui fasa berat badan yang berlebihan.

“Dulu berat badan saya tidaklah besar sangat. Segala-galanya bermula apabila saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Farmasi di Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS).

Facebook Miss Intercontinental Malaysia

Selama 5 tahun belajar, dalam tahun kedua saya mula stres untuk mendapatkan Ijazah Kelas Pertama. Hanya pelajar yang mendapat kelas pertama saja yang boleh menukar status pinjaman PTPTN kepada biasiswa. Jadi saya bersungguh-sungguh belajar untuk mendapat kelas pertama.

Dalam tempoh tersebut masa saya hanya diisi dengan belajar dan tidur sahaja. Saya tidak mempunyai masa untuk keluar berjalan-jalan jadi saya reward diri dengan makan. Balik rumah dari universiti saya makan dan kalau saya mendapat gred yang baik juga saya akan makan. Pendek kata apa sahaja yang berlaku pada diri saya, hadiahnya adalah makan.

Saya memang suka makan dan ketika itu cuba bayangkan saya boleh makan 4 Domino’s Pizza saiz besar sekali gus. Kalau makan nasi ditambah pula dengan lauk yang agak banyak.

Perut kita boleh membesar kalau selalu makan banyak, kalau you dah mula makan kurang dia akan kecik balik. Jadi masa tu saya makan banyak sangat sehingga mencapai 72kg,” tutur Sanjna Suri yang berketinggian 1.71m ini.

“Memang sejak kecil lagi saya sangat meminati pertandingan ratu cantik. Tapi saya tak pernah diberi peluang. Keluarga saya tidak membenarkan dan menyatakan bidang ini hanya hobi semata-mata dan tidak boleh dijadikan karier.

Setelah tamat belajar saya mula bekerja sebagai Pegawai Farmasi di sebuah hospital. Sepanjang bekerja saya gembira menjalankan tugas namun jauh di sudut hati dunia saya bukan di sini. I knew that I was meant to do more, something that I was passionate about.

So masa tu I dah habis belajar dan bekerja. Tanggungjawab saya sebagai anak sudah terlaksana dengan memperoleh Ijazah dengan Kepujian Kelas Pertama serta menjadi Ahli Farmasi. Jadi apabila mempunyai duit gaji sendiri saya mempunyai ruang untuk menjaga diri. I used to spend all my money on groceries.

Setiap pagi sebelum pergi kerja saya akan masak bekal untuk makan tengah hari. Saya masak sendiri dan hanya makan makanan sihat sahaja. Balik kerja saya akan singgah di gym, bersenam selama satu jam. Selama 6 bulan rutin saya begini dan hasilnya saya berjaya menurunkan berat badan sehingga 20kg dan kini berat saya adalah 48kg

.

Bagi saya menurunkan berat badan bukan untuk kurus semata-mata tetapi untuk sihat. Saya dapat rasakan setelah mencapai berat badan begini saya lebih aktif, kulit lagi cantik, tidur lagi lena. Nasihat saya kepada wanita lain jangan jadi macam saya.

Kalau nak reward yourself jangan reward food. Budaya di Malaysia memang suka makan. Pernah tak dengar kalau berjaya atau menang sesuatu, “Bagus, jom I belanja you makan” As lovely as it is it shouldn’t be that way. Sebab kena ingat apa yang masuk dalam mulut sepatutnya nutrisi dan tenaga untuk tubuh. Kalau makan nonsense tubuh akan jadi nonsense. So you kena ingat what you eat now will determine what you are in 10 years later.” Hamizatul Maizan Mohamed

Lakukan 20 Tip Hebat Ini Untuk Miliki Bentuk Tubuh IDEAL & LANGSING!

Lakukan 20 Tip Hebat Ini Untuk Miliki Bentuk Tubuh IDEAL & LANGSING!

Berazam untuk tampil lebih langsing sempena tahun baru ini? Lupakan jalan pintas dan pendam segala pelan diet Hollywood yang keterlaluan sekaligus menyeksa perut. Ikuti 20 tip berikut untuk memperolehi tubuh yang lebih ramping dan sihat, seperti yang diidam-idamkan! Diet seharusnya tidak menyeksakan, tetapi lebih memenangkan, bukan! Selamat mencuba.

  1. Permulaan

Hindari tekanan yang mampu mempengaruhi cita-cita anda untuk berdiet. Jika sedang dibelenggu masalah, eloklah ditangguhkan dahulu keinginan ini sehingga minda sudah benar-benar bersedia.

  1. Tempat makan

Jadikan suatu kebiasaan untuk duduk dengan selesa dan makan di atas meja – tentu sekali bukan di dalam kereta, di atas meja pejabat atau kala tergesa-gesa!

  1. Pencahayaan

Warna yang ceria merangsang selera makan, jadi pilihlah rona kain lapik meja, napkin serta dinding ruang makan yang lembut dan neutral. Pencahayaan yang terlalu gelap atau terang mendorong mood anda untuk makan dengan banyak.

  1. Saiz pinggan

Gunakan saiz pinggan yang kecil pada setiap waktu makan. Cara ini membentuk perspektif – hidangan terlihat banyak di dalam ruang pinggan yang sempit.

  1. Masa makan

Letakkan sudu atau tangan anda ke bawah ketika sedang mengunyah makanan. Nikmatilah rasa dan teksturnya yang berbeza. Minda anda memerlukan kira-kira 20 minit untuk mentafsir mesej bahawa perut sudah kenyang.

  1. Alunan muzik

Dengarkan dendangan muzik klasik yang merdu kerana ia membantu membuai diri agar makan lebih sedikit dan teratur. Berbeza dengan alunan muzik yang rancak seperti rock & roll – ia mendorong anda makan dengan banyak dan laju.

  1. Berhenti apabila kenyang

Sebaik terasa kenyang, letakkan sudu, bangkit daripada kerusi, kemaskan sisa makanan tersebut dan sibukkan diri dengan perkara lain.

  1. Stok makanan

Pastikan setiap ruang simpanan makanan dan peti sejuk anda diisi makanan yang berkhasiat dan rendah kalori. Nyahkan segera makanan ringan yang ditemui!

  1. Bertenang

Elakkan menjamah makanan semata-mata kerana tertekan. Jika berdepan hari yang sukar, ambillah udara segar, berjalan-jalan, bermeditasi atau cukup sekadar mendengar muzik yang tenang.

  1. Gambarkan kejayaan

Gunakan imaginasi anda untuk membayangkan kejayaan. Fikirkan diri anda yang langsing, berkeyakinan tinggi serta tersenyum girang dalam persalinan indah yang diimpikan. Bayangkan perasaan bangga setiap kali anda menimbang berat badan.

  1. Hobi

Sibukkan diri daripada keinginan untuk mengudap snek dengan melakukan hobi ringan dan melekakan seperti mengait, bermain jigsaw puzzle atau membuat buku skrap.

  1. Hitung makanan

Jangan mengunyah snek terus daripada kotak bungkusannya! Asingkan jumlah atau potongan tertentu yang ingin dimakan dan simpan bakinya.

  1. Air

Pakar diet mencadangkan supaya anda minum segelas minuman berais sebelum makan untuk menyekat selera. Cecair, samada panas atau sejuk boleh membuat anda kenyang, justeru minumlah segelas air sebelum mengunyah sesuatu. Namun begitu, elakkan minuman manis dan berkarbonat.

  1. Jus buah-buahan dan sayuran

Minuman jus kaya fruktosa sememangnya amat penting buat anda yang ingin menurunkan berat badan. Kajian menunjukkan bahawa seseorang yang minum segelas jus 200 kalori setengah jam sebelum makan mampu menghapus purata 300-400 kalori ketika waktu makan berikutnya.

  1. Kalori negatif

Amalkan snek yang mempunyai paras kalori yang amat rendah seperti seleri, timun dan daun salad. Snek ini dianggap kalori negatif kerana proses persediaan, mengunyah dan menghadamnya lebih membakar kalori berbanding kalori yang terkandung di dalamnya.

  1. Hidangan waktu malam

Mengambil makanan berat pada waktu malam boleh membuncitkan perut dan membuat anda susah tidur nyenyak. Makanan berkarbohidrat seperti nasi atau mi pada waktu ini mampu memberi tekanan keterlaluan pada otot perut anda.

  1. Senarai membeli-belah

Rancang hidangan menu anda sebelum keluar membeli-belah. Usah berlegar-legar ketika membeli barang kerana anda terdorong untuk berbelanja lebih. Elakkan daripada terpedaya dengan nama-nama makanan yang enak seperti ‘Biskut Coklat Lazat Dari Ketuhar Tradisi’ kerana biasanya ia cuma indah khabar dari rupa.

  1. Baca label

Selain dapat mempelajari pelbagai informasi yang tertera, anda juga dapat mengetahui data nutrisi termasuk kiraan nilai kalori yang disediakan oleh pengeluar makanan. Semaklah dahulu sebelum membelinya.

  1. Jangan membeli ketika lapar

Kudaplah snek yang sihat dan mengenyangkan sebelum membeli-belah. Elakkan mencuba sampel makanan percuma yang diberikan kerana anda mungkin terdorong untuk membelinya.

  1. Nikmati makanan sihat

Buah-buahan tinggi serat, sayuran dan bijirin merupakan makanan bernutrisi dan boleh menurunkan berat badan. Ia mengurangkan keinginan untuk bersnek serta mengisi perut anda dengan kalori yang sedikit. Serat membuatkan anda kenyang sambil merendahkan kolesterol dan tekanan darah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Wah, Tak Sangka Banyaknya KHASIAT OAT! Bagus Untuk Pesakit Diabetes & Membantu Cegah Kanser

Wah, Tak Sangka Banyaknya KHASIAT OAT! Bagus Untuk Pesakit Diabetes & Membantu Cegah Kanser

Kalau mengikut rasa memang oat tidak sedap untuk dimakan. Namun, oat boleh diubah rasanya apabila ditambah buah-buahan dan manisan yang lain. Oat mempunyai dua jenis iaitu oat yang perlu direndam semalaman dan oat segera. Kedua-duanya mempunyai khasiat yang sama cuma cara penyediaan yang berbeza.

Oat adalah sumber karbohidrat kompleks yang sihat dan kaya dengan serat dan membuat perut kenyang lebih lama. Dalam sehari kita memerlukan serat sebanyak 25 gram. Kandungan serat semangkuk oat sama dengan kandungan serat pada semangkuk betik. Oat juga berupaya membantu kawalan kolesterol dalam darah dan menambah energi dalam tubuh.

Waktu yang terbaik untuk mengambil oat adalah sebagai sarapan pagi yang boleh membantu memberi tenaga untuk aktiviti seharian. Antara kebaikan oat untuk tubuh adalah:

(a) Mencegah Penyakit Kardiovaskular

Oat merupakan bijirin gandum yang boleh membantu menurunkan risiko penyakit seperti darah tinggi dan diabetes tahap dua. Dalam kajian mendapati oat mengandungi sebatian kimia yang dipanggil lignan untuk mencegah penyakit jantung. Malah bijirin oat kaya dengan sumber zat besi, magnesium dan vitamin.

(b) Menurunkan Kolesterol

Keupayaan oat menurunkan kadar kolesterol adalah kerana kandungan seratnya. Serat larut dihadam oleh bakteria normal dalam usus dan dapat mengurangkan penyerapan kolesterol oleh tubuh. Oat mengandungi serat yang dapat mengurangkan lipoprotein dengan kolesterol jahat (LDL) yang dapat meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.

(c) Pilihan Pesakit Diabetes

Oat menjadi pilihan untuk pesakit diabetes kerana kandungan serat yang sangat tinggi dan membantu meningkatkan kadar metabolisme dan menyeimbangkan gula dalam darah. Pesakit diabetes boleh mengambil oat sebagai pengganti makanan utama. Pesakit diabetes sangat perlu mengambil makanan yang tinggi kandungan serat untuk menstabilkan gula di dalam darah.

(d) Kaya Dengan Antioksidan

Radikal bebas hanya boleh dimusnahkan dengan antioksidan. Oat mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi dan menentang radikal bebas yang boleh membantu menyerlahkan kecantikan dan kesihatan kulit.

(e) Mencegah Kanser

Fungsi serat dalam makanan tidak hanya untuk melancarkan sistem pencernaan. Kombinasi antioksidan yang tinggi dan memiliki metabolisme yang lancar menjadi jawapan untuk mencegah penyakit kanser. Antioksidan bertindak melindungi sel rosak yang berpunca daripada molekul yang tidak stabil, dikenali sebagai radikal bebas. Sel yang rosak ini boleh meningkatkan risiko kanser.

(f) Meningkatkan Sistem Imun Tubuh

Oat sememangnya kaya dengan nutrisi terutama antioksida yang penting untuk menjaga sistem imun tubuh. Bukan itu sahaja malah dapat menyihatkan tubuh dan kesihatan kulit dengan mencegah daripada pelbagai jenis penyakit. Hamizatul Maizan Mohamed

Selain Tinggi VITAMIN C, Ini Lagi Sebab Utama Kenapa Buah-Buahan Sitrus Bagus Untuk Kuruskan Badan!

Selain Tinggi VITAMIN C, Ini Lagi Sebab Utama Kenapa Buah-Buahan Sitrus Bagus Untuk Kuruskan Badan!

Ada yang berazam mahu kuruskan badan tahun ni? Memang setiap tahun tanam azam yang sama tapi selalu berakhir… azam tinggal azam sahaja. Tahukah anda ada satu cara effortless yang boleh diamalkan?

Buah-buahan sitrus bukan hanya menyegarkan malah kaya dengan khasiat untuk meningkatkan kesihatan. Terkenal dengan kandungan vitamin, mineral dan serat diet, buah sitrus juga boleh meningkatkan sistem imun tubuh serta tenaga.

Ramai yang belum mengetahui buah-buahan sitrus memberikan sumber folat yang cukup kepada tubuh seseorang. Folat ini penting untuk otak dan perkembangan saraf tulang belakang pada trimester pertama wanita mengandung.

Folat juga boleh mencegah atau mengurangkan risiko sakit jantung dengan cara menurunkan kadar asid amino dalam darah. Selain itu folat juga penting untuk pembentukan sel-sel darah merah untuk mencegah anemia.

Antioksidan yang disebut flavanoid juga terdapat di dalam buah-buah sitrus. Flavanoid bekerja sama dengan vitamin C meningkatkan kekebalan dan memperkuatkan kapilari darah serta memiliki efek anti-radang.

(a) Limau nipis

Berkesan membantu menurunkan tekanan darah tinggi, serangan jantung, angin ahmar dan lain-lain. Potasium yang terdapat dalam buah limau nipis menjaga keseimbangan cairan dan elektrolit tubuh agar organ penting seperti jantung, buah pinggang, saraf dan otot boleh berfungsi dengan baik.

(b) Limau kasturi

Peningkatan usia menyebabkan berlaku penurunan kesihatan. Ia mampu membantu menyihatkan sel tubuh. Asid folat yang terkandung dalam limau nipis menjaga kesihatan sel dan perkembangannya.

(c) Limau gedang

Rasa buah limau gedang ini memang pedar dan tidak sedap tetapi khasiatnya sangat bermanfaat buat mereka yang mahu menguruskan badan. Kadar metabolisme yang menurun membantu lemak berkumpul di bawah kulit. Sifat limau gedang yang rendah kalori dan kaya dengan serat merupakan pilihan terbaik untuk mengawal berat badan.

(d) Lemon

Vitamin C yang terdapat dalam buah lemon berkesan untuk meningkatkan kekebalan tubuh. Ia boleh menurunkan risiko penyakit seperti demam dan selesema. Antioksidan yang terkandung dalam buah lemon membantu menyerap kalsium penting untuk fungsi sistem kekebalan tubuh.

(e) Oren

Oren kaya dengan sumber flavonoid untuk membantu merawat dan mencegah penyakit kronik seperti obesiti, penyakit jantung, diabetes dan kanser. Hesperidin, salah satu sumber flavonoid penting untuk mengawal tekanan darah, mengurangkan kolesterol dan pertumbuhan tumor. Hamizatul Maizan Mohamed

10 Cara Paling Jimat Untuk JAGA KESIHATAN, Buat Ni Confirm Kurus Tau!

10 Cara Paling Jimat Untuk JAGA KESIHATAN, Buat Ni Confirm Kurus Tau!

Setiap orang mahu sihat dan bebas daripada penyakit. Tapi realitinya, harga untuk makanan sihat sangat mahal, begitu juga kos yang tinggi untuk menguruskan badan atau rawatan mengubati penyakit di hospital. 

Jadi cara terbaik untuk kekal kurus dan sihat adalah dengan bersederhana. Ikuti 10 cara mudah dan murah ini yang pasti berkesan untuk anda.

(1) Tidur Awal

Badan manusia berupaya membaiki sendiri setiap kali kita tidur pada malam hari. Proses membaik pulih badan selalunya lebih efisien jika waktu tidur adalah sama.

Masalah tidur tak menentu, lambat laun boleh mendatangkan mudarat. Jadi penting untuk kita tidur awal sebagai langkah paling mudah mengelakkan penyakit.

(2) Bersarapan Pagi

Majoriti orang yang tidak bersarapan akan merasa sangat lapar pada sebelah petang dan malam. Makan pada malam hari boleh mengganggu proses kebiasaan badan akibat keperluan proses pencernaan makanan yang tidak konsisten.

Ini menyebabkan banyak makanan disimpan sebagai lemak seterusnya menyebabkan seseorang yang meninggalkan sarapan makan lebih banyak daripada kebiasaan.

(3) Senaman 

Badan perlu bergerak untuk membakar kalori dan lemak terkumpul serta membantu badan mengagihkan keperluan nutrisi secara lebih efisien ke bahagian tertentu mengikut keperluan.

Berjalan, melompat tali atau regangan berterusan selama 30 minit sehari (setiap pagi) secara berterusan lebih digalakkan berbanding membuat senaman agresif tetapi tidak konsisten.

(4) Jaga Pemakanan

Tidak semua orang menyukai sayur namun cara paling mudah untuk sihat dan kurus adalah makan banyak sayuran. Berhenti makan makanan yang memudaratkan, kurangkan pengambilan daging merah serta sukat gula dan garam agar tidak berlebihan.

Ingat, pemakanan yang sihat akan menyebabkan semua risiko berkaitan masalah kesihatan diri dikurangkan.

(5) Ambil Makanan Tambahan

Jika anda bukan seorang yang mengamalkan cara pemakanan seimbang, pengambilan makanan tambahan adalah cara paling mudah mengekalkan kesihatan.

Sesetengah vitamin dan mineral penting untuk melawan penyakit, dan jika anda tidak berselera makan sayur, kekacang dan buah-buahan sekurang-kurangnya sekali dalam setiap hari ambillah multivitamin atau makanan kesihatan organik.

(6) Jangan Berlapar

Seharusnya anda makan ketika baru terasa lapar, kunyah secara perlahan dan ini membolehkan anda mengawal pemakanan secara lebih baik.

Badan boleh menyerap nutrien secara lebih baik jika ketiga-tiga elemen penting karbohidrat, lemak tidak tepu dan protein diambil bersama.

(7) Kawal Tekanan

Tekanan selalu menjadi punca penyakit. Elakkan sumber stres dan elakkan berfikir dengan banyak tentang sesuatu perkara. Wujudkan keseimbangan dalam semua perkara, ada masa untuk kerja, untuk keluarga dan untuk diri sendiri.

(8) Buat Pemeriksaan Kesihatan

Selalu sihat tidak bermakna anda betul-betul sihat secara dalaman. Lakukan pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah, kandungan kolesterol dan lain-lain secara berjadual.

Untuk wanita, beberapa ujian klinikal perlu dilakukan dalam setiap fasa kehidupan anda seperti ujian Pap Smear, Mammogram dan sebagainya.

(9) Selalu Utamakan Keselamatan

Sihat tidak bermakna kebal. Jadi jaga tindakan kita untuk keselamatan diri dan orang tersayang. Tak berbaloi jika kita bersungguh-sungguh menjaga kesihatan tapi masih memandu laju apabila membawa kereta. Malang memang tak berbau tapi usahalah untuk mengelakkannya sebaik mungkin.

(10) Kuatkan Dalaman

Kesihatan emosi dan rohani juga penting untuk dalaman kita. Dekatkan diri dengan ajaran Islam, patuh pada suruhan-Nya, rajin lakukan amalan sunat dan bersahabat dengan masjid dapat merawat jiwa serta memberi ketenangan yang dicari. Norzalina Mohd Alias

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: