Menonton TV Jarak Dekat TIDAK Merosakkan Mata. 5 Fakta Tentang Mata Harus Anda Tahu!

Menonton TV Jarak Dekat TIDAK Merosakkan Mata. 5 Fakta Tentang Mata Harus Anda Tahu!

Mata merupakan deria yang penting dalam menjalankan aktiviti seharian. Jika penjagaan mata tidak diberi perhatian khusus, kemungkinan seseorang bakal berhadapan masalah kehilangan penglihatan kekal. Ia merupakan masalah kesihatan global yang melibatkan hampir 161 juta penduduk dunia.

Masalah penglihatan merupakan gangguan yang disebabkan oleh penyakit mata, kecederaan atau abnormaliti struktur mata sejak lahir yang menghalang penglihatan normal pada satu atau kedua-dua belah mata. Mitos dan stigma masyarakat yang wujud menjadi punca kelewatan pengesanan, pencegahan dan rawatan kepada pesakit terutamanya kanak-kanak.

Mitos 1: Penggunaan Komputer Boleh Merosakkan Mata

Fakta :

Melihat pada monitor komputer secara berterusan selama berjam-jam akan menyebabkan ketidakselesaan pada mata atau dikenali sebagai computer vision syndrome (CVS). CVS akan terjadi pada seseorang yang membuat pergerakan yang sama setiap masa contohnya kanak-kanak yang bermain permainan video secara portable atau mereka yang menggunakan komputer dalam aktiviti harian secara berterusan terutamanya jika pencahayaan dan kedudukan komputer yang tidak sesuai.

Masih belum terbukti bahawa CVS akan menyebabkan kerosakan kepada mata contohnya katarak. Simptom-simptom CVS adalah seperti mata kabur, penglihatan berganda (double vision), mata kering dan merah, iritasi mata, sakit leher, sakit belakang serta sakit kepala. Jika simptom-simptom ini tidak dirawat, ia akan menjejaskan prestasi kerja individu tersebut.

Mitos 2: Membaca Dalam Keadaan Samar Akan Merosakkan Mata

Fakta :

Menurut Dr. Richard Gans, seorang Pakar Oftalmologi dari Cleveland Clinic Cole Eye Institute, cahaya samar akan menyebabkan mata kurang berkedip, sukar untuk fokus dan akan mengakibatkan mata menjadi penat dan kering. Ketidakselesaan ini tidak menyebabkan sebarang kerosakan pada struktur atau fungsi mata. Untuk menyelesaikan masalah ini, pesakit hanya perlu menggunakan ubat titis sebagai pelembap. Menurut beliau lagi, tiada bukti saintifik yang membuktikan bahawa membaca di dalam cahaya samar akan menyebabkan kerosakan pada mata.

Mitos 3: Menonton TV Pada Jarak Dekat Akan Merosakkan Mata

Fakta :

Pernyataan ini adalah tidak benar. Keadaan ini adalah sama seperti membaca dalam keadaan samar. Ia tidak akan merosakkan mata sama ada disebabkan oleh overfocusing ataupun daripada segi radiasi. Kanak-kanak yang melakukan sedemikian mungkin bagi melihat imej di televisyen dengan lebih jelas dan ini adalah petanda bahawa kanak-kanak tersebut mungkin memerlukan kaca mata.

Mitos 4: Makan Lobak Merah Akan Memulihkan Rabun Mata

Fakta :

Lobak merah adalah makanan yang kaya dengan beta-carotene iaitu pigmen karotid yang juga dijumpai di dalam buah oren, sayur-sayuran, keju, susu, kuning telur dan hati. Karotid merupakan precursor penting bagi vitamin A di mana kekurangan vitamin A yang ekstrem akan menyebabkan kebutaan seperti yang berlaku di kebanyakan negara yang sedang membangun. Vitamin A boleh membantu dalam mengatasi masalah katarak dan degenerasi makular akan tetapi jika masalah penglihatan anda tidak berkait dengan vitamin A, penglihatan anda tidak akan berubah walau sebanyak mana pun anda memakan lobak merah.

Mitos 5: Kuasa Cermin Mata Dapat Dikurangkan atau Akan Bertambah Sekiranya Memakai Cermin Mata Setiap Hari

Fakta :

Penambahan atau pengurangan kuasa cermin mata adalah bergantung kepada pertumbuhan mata pesakit. Cermin mata hanyalah alat bantuan penglihatan yang dapat membantu si pemakai untuk melihat dengan lebih jelas. Pemanjangan bola mata akan tetap berlaku walaupun memakai cermin mata.

Tanda-tanda yang boleh diperhatikan jika seseorang mempunyai masalah mata adalah:

  1. Melihat televisyen atau sesuatu objek pada jarak dekat
  2. Kerap berkelip dan menggosok mata
  3. Mata berair
  4. Sakit kepala
  5. Mata mudah menjadi penat
  6. Suka menelengkan kepala

ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

Sumber: Portal myhealth.gov.my

Pandangan Nampak Berkabut? Awas Tanda Putih Ini Dalam Mata, Anda Mungkin Menghidap KATARAK

Pandangan Nampak Berkabut? Awas Tanda Putih Ini Dalam Mata, Anda Mungkin Menghidap KATARAK

Pejamkan mata. Bayangkan kolam bunga atau lintasan pelangi di ufuk senja. Saujana alam yang terbentang, hanya terlihat indahnya jika tidak dihalang penyakit mata.

Adakah anda mengalami masalah penglihatan seperti pandangan yang kabur dan samar, silau kerana kepekaan terhadap cahaya yang tinggi atau mengalami masalah penglihatan pada waktu malam?

Jika ya untuk salah satu tanda-tanda ini, anda mungkin berisiko mengalami katarak mata. Katarak merupakan suatu keadaan di mana perubahan berlaku melibatkan penebalan pada kanta mata dan menyebabkan kanta berkabut.

Menurut Konsultan Oftalmologi, Kornea, Katarak dan Pakar Bedah Refraktif, Dr. Ainur Rahman Anuar Masduki, gangguan penglihatan seperti katarak boleh berlaku secara perlahan-lahan ataupun progresif sehingga mengganggu kualiti penglihatan.

Ia telah dikenal pasti sebagai salah satu punca utama masalah penglihatan dunia, terutamanya di negara-negara membangun.

Gejala Katarak

  • Ketajaman penglihatan beransur-ansur terjejas walaupun dengan bantuan cermin mata.
  • Masalah penglihatan yang silau pada siang hari atau pada waktu malam apabila berdepan dengan cahaya lampu kereta daripada arah bertentangan.
  • Apabila keadaan katarak berlarutan sehingga meningkatkan kuasa diopteric kanta, boleh menyebabkan peningkatan rabun jauh (miopia).
  • Apabila keadaan katarak tertumpu di lapisan tengah mata akan menyebabkan pandangan imej yang berganda (monocular diplopia).

Punca-Punca

  1. Antara punca utama katarak adalah proses penuaan. Kanta mata terdiri daripada gabungan tersusun protein dan air.
  2. Protein tertentu di dalam kanta mata bertanggungjawab untuk mengekalkan kejelasan (transparency) kanta.
  3. Akibat proses penuaan, struktur dan susunan protein kanta boleh berubah sehingga beransur-ansur menyebabkan kekabutan pada kanta mata.
  4. Walaupun jarang berlaku, katarak juga boleh terjadi pada peringkat umur yang lebih awal, termasuk pada bayi baru lahir (congenital cataract) atau pada kanak-kanak, remaja dan dewasa akibat daripada kecacatan enzim (melalui faktor keturunan), trauma yang teruk pada mata, pembedahan mata atau keradangan dalam mata (intraocular inflammation).
  5. Faktor-faktor lain yang turut menjadi punca perkembangan katarak pada usia lebih awal juga termasuk pendedahan berlebihan kepada cahaya ultraungu, penyakit kencing manis (diabetes mellitus), merokok atau penggunaan ubat-ubatan tertentu yang mengandungi steroid.

Rawatan

Prosedur pembedahan katarak biasanya dilakukan sama ada di hospital atau di pusat pembedahan ambulatori. Jenis pembedahan yang paling lazim dilakukan adalah proses yang dikenali sebagai phacoemulsification.

Prosedur ini melibatkan penggunaan mikroskop pembedahan di mana pakar bedah mata akan membuat potongan kecil (incision) di permukaan mata atau berhampiran kornea. Seterusnya satu alat khas yang halus (ultrasound probe) dimasukkan ke dalam kanta mata dan menggunakan getaran ultrasonik untuk memecahkan (phacoemulsify) kanta yang kabut iaitu katarak.

Serpihan-serpihan kanta yang kabut kemudian disedut keluar menggunakan alat yang sama. Setelah katarak dikeluarkan, kanta tiruan (intraocular lense) dimasukkan ke dalam beg capsular nipis mata, menggantikan tempat katarak yang telah dikeluarkan.

Kanta tersebut adalah penting dan berfungsi membantu fokus mata selepas pembedahan. Suatu perkara penting yang perlu difahami oleh pesakit katarak adalah keputusan muktamad untuk merawat penyakit ini terletak di tangan mereka.

Tidak semua masalah penglihatan berpunca dari katarak dan pembedahan tidak semestinya perlu walaupun kehadiran katarak telah disahkan oleh pakar bedah mata. Norzalina Mohd Alias

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: