Sayang Duit Atau Sayang Kulit? Ini Sebabnya DR. LIYANA DHAMIRAH Bidas Wanita Beli Produk Mekap Tiruan!

Sayang Duit Atau Sayang Kulit? Ini Sebabnya DR. LIYANA DHAMIRAH Bidas Wanita Beli Produk Mekap Tiruan!

Lambakan produk kosmetik tiruan semakin membimbangkan lebih-lebih lagi apabila terdapat banyak kes yang telah dilaporkan akibat penggunaan kosmetik tiruan ini.

Pakar Perubatan Klinikal dan Aesthetics & Pakar Aesthetics @Callalyn Aesthetics by PrimaNora, Dr. Liyana Dhamirah Aminuddin, telah menghuraikan lebih lanjut tentang penggunaan mekap tiruan ini.

Menurut Dr. Liyana, wanita patut tahu bahawa setiap kosmetik yang dipakai mempunyai kandungan bahan kimia yang telah diproses. Setiap bahan kimia boleh membahayakan diri terutamanya jika pendedahan yang keterlaluan.

“Sehingga kini kandungan keselamatan sesuatu produk kosmetik adalah mustahil untuk dibuktikan kerana masih belum ada lagi organisasi yang benar-benar mengawal dan memeriksa kandungan kosmetik di pasaran berbanding dengan ubat-ubatan. Ini kerana setiap ubat-ubatan perlu mendapat lesen sebelum dipasarkan sebagai contoh di negara kita perlu dilesenkan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum boleh dipasarkan.

Alat solekan tiruan dan asli, ternyata mesti ada bezanya terutama pada harga. Jenama ternama sebagai contoh mempunyai reputasi yang penting untuk dijaga. Ini yang menyebabkan potensi untuk barangan mereka menjadi rosak dan risiko mendatangkan masalah kepada pengguna adalah lebih rendah.

Dr, Liyana Dhamirah Aminuddin, MB BCh BaO ( Ireland), MRCP (United Kingdom), Masters in Anti-Aging, Regenerative Medicine and Medical Aesthetics (Malaysia), Diploma in American Academy of Aesthetics Medicine (USA)

Alat solek tiruan memang ada besar kemungkinan menggunakan teknologi pembuatan yang tidak setanding dengan jenama asli dan ini meninggikan lagi risiko seseorang pengguna mendapat masalah sampingan selepas menggunakannya.

Sekiranya terdapat masalah yang berlaku tiada tindakan yang boleh diambil oleh pengguna terhadap penjual kerana sememangnya risiko itu diambil oleh pembeli itu.

“Manakala jika masalah berlaku dengan memakai alat solek asli pembeli boleh memulangkan semula produk dan boleh membuat pengaduan. Dengan adanya polisi sebegini jenama-jenama ini lebih prihatin dan berhati-hati dengan kualiti produk kosmetik yang dipasarkan,” tegas Dr. Liyana.

Tambahnya lagi, “Terdapat banyak kandungan kosmetik berbahaya dan memudaratkan kesihatan di antaranya adalah, apabila diserap daripada kulit akan mengubah struktur kestabilan sel-sel dalam badan. Apabila perubahan ini berlaku ia mengganggu pelbagai sistem dalam badan seperti sistem endokrin, hormon reproduktif dan saraf.

Perubahan struktur sel juga boleh menyebabkan sel-sel ini mutasi dan seterusnya menjadi sel-sel kanser. Perubahan struktur sel ini juga dinamakan bahan karsinogenik.

Bagi golongan yang ingin memiliki alat solek yang berjenama tetapi kurang berkemampuan, saya sarankan agar membeli alat solek berjenama yang kurang kosnya. Ini kerana anda masih boleh membuat aduan sekiranya kesan sampingan berlaku.

Lebih baik wang yang ada digunakan untuk perbaiki kulit kita dengan ubat-ubatan yang dinasihatkan oleh doktor atau mendapat rawatan kulit dari doktor yang mahir.

Rawatan kulit boleh meningkatkan keyakinan diri dan keluar rumah tanpa sebarang kosmetik. Buat pengetahuan umum, sebenarnya ubat-ubatan adalah murah jika berbanding dengan produk kosmetik.

Bagi mereka yang benar-benar mempunyai masalah kulit seperti masalah jerawat yang teruk daripada cuba menutup masalah kulit dengan solekan lebih elok mendapat rujukan kepada Pakar Kulit di Hospital Kerajaan untuk rawatan sepatutnya dan ini sememangnya meringankan kos.

Bagi golongan yang bergantung kepada kosmetik disebabkan kerjaya atau sudah menjadi kebiasaan saya menasihatkan agar sentiasa menanggalkan solekan secepat mungkin dan jangan sesekali tidur dengan solekan dan kurangkan penggunaan solekan pada masa anda tidak memerlukannya.

Sememangnya penampilan segak itu adalah aset peribadi seseorang dan ia tidak boleh diremehkan oleh itu kepada golongan muda remaja saya amat mengesyorkan penjagaan kulit dari awal supaya tidak perlu terlalu bergantung kepada produk kosmetik di hari depan,” ujar Dr. Liyana.

Dr. Liyana juga bakal muncul dalam sebuah Program Bual Bicara, MyDrs, terbitan Astro yang membincangkan tentang topik yang berkisar tentang perubatan dan penyakit serta tip untuk gaya hidup sihat. Hamizatul Maizan Mohamed

“Harapkan Cucuk Plasenta Dapat Kulit Cantik Macam Dia, Tak Sangka MUKA BENGKAK & SENGET Sebelah!”

“Harapkan Cucuk Plasenta Dapat Kulit Cantik Macam Dia, Tak Sangka MUKA BENGKAK & SENGET Sebelah!”

Gara-gara terpancing dengan iklan seorang pengusaha kecantikan terkenal yang ‘cantik’, wanita malang ini terpaksa menanggung seksa apabila wajahnya bengkak serta ‘senget sebelah’.

Tambah mengapi-apikan perasaan, aduannya terhadap syarikat serta pengusaha kecantikan tersebut langsung tidak dipedulikan. Mujurlah selepas beberapa bulan berlalu, masalah Pengasas Butik Lila Majnun tersebut akhirnya pulih.

Tertarik untuk berkongsi pengalaman dahsyat itu, Nona menghubungi Lila Ruzaini Mohd Hussain, 47, untuk bertanyakan kesahihan kes ini. Niat kami disambut baik memandangkan beliau juga tidak mahu wanita lain melalui kisah yang serupa.

“Saya tertarik nak cuba treatment placenta di tempatnya selepas membaca di Internet. Masa tu saya ada masalah open pores dan rawatan tu dikatakan efektif untuk menambah seri serta mengecilkan pori-pori kulit.

Jadi kerana terlalu yakin dengan pengusaha popular yang cantik ni, saya pun setuju buat treatment placenta sebanyak tiga kali. Cucuk pipi kiri tiga kali dan pipi kanan pun tiga kali.

Tak lama kemudian, muka saya terus bengkak selama 2-3 minggu. Saya mula bimbang bila kawan-kawan perasan dan tegur kesannya yang mendadak. Susulan itu, saya terus mengadu pada pihak mereka tapi katanya ia perkara biasa. Tak perlu dibimbangkan.

Hinggalah muka saya tiba-tiba senget sebelah dan sakit yang teramat sangat.

Bayangkan selama 3 ke 4 minggu saya terpaksa menahan sakit tak terperi. Rasa cemas pun ada memikirkan jika keadaan ini kekal, teruklah saya.

Muka Lila yang tidak seimbang selepas rawatan

Masalahnya bila saya mengadu langsung tak diendahkan. Sampai saya tekad jumpa PA pengusaha tu untuk jumpa terus dengannya tapi tanpa rasa bersalah mereka jawab, ia perkara biasa,” cerita Lila dalam nada geram.

Biarpun kes ini telah berlalu dan wajahnya kembali pulih seperti sedia kala, peristiwa terbabit menjadi pengajaran terbesar buat Lila.

“Saya nak nasihatkan pada wanita lain supaya jangan terpedaya dengan treatment seperti ini. Pengusaha cuma jual produk tapi dia sendiri tak gunakan produk tersebut. Akibatnya kitalah yang tertipu dan terpaksa tanggung sendiri.

Dan kalau nak buat rawatan estetik, carilah klinik medispa yang diuruskan oleh tenaga pakar. Tengok siapa yang mencucuk muka kita dan orang itu mesti tahu tentang perubatan.

Buat juga research tentang produk suntikan, adakah ia dijamin selamat atau tidak? Ni semua penting agar kes seperti saya tak berulang,” kata wanita Kuala Lumpur itu bersungguh-sungguh.

Ini antara gambar-gambar persendirian Lila yang sempat ditangkap sebelum dan selepas mukanya bengkak. Semoga menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua! Norzalina Mohd Alias

Wajah Lila masih kelihatan bengkak meskipun bersolek tebal

Lila terpaksa berkaca mata besar untuk melindungi wajahnya

Selepas beberapa bulan, kini akhirnya wajah Lila kembali pulih

10 Tip Rumah Tangga Bahagia Cara DATUK USTAZAH SITI NOR BAHYAH, Pasangan Muda Wajib Baca!

10 Tip Rumah Tangga Bahagia Cara DATUK USTAZAH SITI NOR BAHYAH, Pasangan Muda Wajib Baca!

Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara.

Tambah ikon pendakwah terkenal, Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, seorang penyair Arab bernama Ahmad Syauqi juga pernah berkata, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan satu bangsa yang berakar umbi baik.

Nama figura VIP ini cukup sinonim dengan program televisyen Semanis Kurma yang bersiaran melalui saluran TV9 bersama suaminya, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid. Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga sewajarnya menjadi contoh kepada semua.

Ustazah Bahyah turut berkongsi beberapa tip ini untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga. Semak tip berikut dan cuba amalkan sama-sama ya!

TIP RUMAH TANGGA BAHAGIA 

  1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
  2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya.
  3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
  4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik.
  5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
  6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami.
  7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
  8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya.
  9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
  10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.

Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik di benak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.

“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,” jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara. Norzalina Mohd Alias

Sumber: Wow/Sinar Harian

PERINGATAN Untuk Wanita Bekerja! Kenapa Prof Dr. Muhaya Nasihat Betulkan Niat Kita?

PERINGATAN Untuk Wanita Bekerja! Kenapa Prof Dr. Muhaya Nasihat Betulkan Niat Kita?

Wanita suka bekerja dengan perasaan dan tujuan yang salah. Berpagi-pagi dengan ingatan negatif, tergesa-gesa takut dimarahi ketua, terlalu lalai dengan kesibukan tugas, lupa sedang beribadah serta bermacam-macam lagi kesalahan kecil mahupun besar dilakukan dari saat kaki melangkah keluar ke pejabat…

Kenapa wanita bekerja perlu membetulkan niat? Semoga perkongsian Datuk Prof Dr. Muhaya Mohamad ini dapat mengembalikan niat kita yang tersimpang jauh, seterusnya menyedarkan betapa pentingnya niat bekerja untuk ibadah dan kerana Allah.

=================

Semuanya bermula dari langkah pertama. Dalam perjalanan kita ke tempat kerja, sentiasalah dalam zikrullah. InsyaAllah akan diberi bimbingan dan kecukupan. Tetapkan niat nak jaga aurat, jaga solat, jaga pergaulan dan jaga amanah bahawa kita dibayar gaji serta tak berlaku syubhah.

Kita sering lupa rezeki yang syubhah ini akan membuatkan hati kita kotor dan kita susah nak menjaga anggota badan kita daripada melakukan maksiat.

Macam dari ceramah yang saya dengar, ada seorang ulama zaman dulu yang hidupnya sampai 160 tahun. Bila ditanya apakah rahsia beliau sampai sihat macam tu, sebab masa mudanya dia menjaga semua anggota badan daripada membuat maksiat. Jadi Allah pelihara tubuh badannya sebab jauh daripada maksiat.

Itu salah satu sebabnya kita mesti jaga anggota badan supaya jangan buat perkara yang tidak disukai. Tapi bila kita bekerja, apa caranya untuk selalu kuat menghadapi ujian?

(1) Jaga Allah

Pertama sekali, jagalah Allah. Jaga diri kita supaya jalankan semua suruhan Allah dan tinggalkan semua larangan-Nya. Bila kita jaga takwa, segala urusan dunia ini Allah akan pelihara… anak, keluarga dan harta.

Kita kadang-kadang takut sangat dengan harta kita, kita takut jadi papa. Sebenarnya kunci segala-galanya adalah jaga Allah. Jaga suruhan-Nya, buat suruhan-Nya, Allah akan pelihara kita.

Apabila dilanda ujian, jangan pernah merasa semua yang berlaku kerana makhluk. Makhluk ni asbab jer. Semua tu dari Allah. Bila kita ada keyakinan dan tauhid bahawa semua daripada Allah, maka kita takkan jadi orang yang reaktif.

Memang kita disuruh usaha, tetapi jangan bergantung atau terperangkap dengan usaha kita. Ikhtiar kita asbab saja. Ikhtiar kita cuma amalan soleh tapi hasilnya hanya Allah yang mengizinkan.

Apa berlaku kita ambil iktibar. Kalau benda yang baik, kita bersyukur. Kalau tak baik, kita bersabar. Maknanya reaksi kita patutnya dua saja, SABAR dan SYUKUR.

Cara kita berfikir waktu diuji adalah ketauhidan. Sebab tu fardu ain kita yang utama adalah akidah kita. Doa kita adalah akidah dan tauhid kita.

Tauhid ni ada dua iaitu Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah. Rububiyyah ni semua agama percaya. Dia percaya Allah yang memberi keperluan dan menjaga langit tapi Uluhiyyah pula adalah cara kita mentauhidkan Allah dengan ibadah.

Sebab itu penting kita jangan menyembah makhluk. Memanglah kita tak sujud depan dia tapi jika kita terlampau takut dengan bos atau majikan MELEBIHI takut kita pada Allah, itu tak boleh. Jangan benarkan otak kita berfikir macam ni.

(2) Tindakan

Jangan bertindak ikut suasana, jadilah orang yang boleh menerima keadaan. Ingat, cara kita melihat sesuatu adalah cerminan dalaman kita. Kalau kita seorang yang reaktif, apa yang berlaku di luar akan mempengaruhi jiwa kita. Tapi kalau kita seorang yang proaktif, kita akan bertindak dengan rasional serta dengan cara yang diredai Allah.

Suasana yang suka kita syukur dan kalau sebaliknya, kita sabar. Tuhan nak tengok kita ni nak menambah amal soleh atau amal salah. Nak taat ke maksiat. Nak ikutkan iman ke nafsu. Nak buat dosa ke pahala. Dalam setiap saat, kita suruh badan kita buat perkara yang Allah reda. Jangan ada ketirisan tenaga.

(3) Hindari Dosa

Jaga mata kita daripada tengok kisah-kisah yang membuka keaiban orang, telinga dengar umpatan orang, mulut kritik orang, sakit hati dengan orang, tangan menaip yang tak betul, tangan pukul anak, kaki pergi tempat maksiat, kalau orang perempuan selalu pakai kasut dengan tapak bunyi ‘tap-tap-tap’ sampai menarik perhatian. Ini yang anggota kita mesti hindari.

(4) Makan Benda Yang Halal

Selalu niat dalam hati, ‘Ya Allah, kalau boleh hari ni aku nak jaga anggotaku, nak mulakan menjaga hatiku’. Tapi hati kita ni tak boleh bersih kalau kita makan benda yang haram atau syubhah. Sumber rezeki tu mesti halal.

Jangan cakap kita nak pergi kerja sebab nak cari sesuap nasi. Tapi cakap kita nak pergi kerja dengan amalan soleh dan menjemput rahmat Allah.

(5) Berpakaian

Saya nak menyerulah pada wanita, terutamanya yang sudah 40 tahun ke atas, kalau masih pakai tudung yang singkat, baju ikut bentuk badan, garang pada suami, suka menunjuk dengan kawan-kawan, masih sombong dengan mak mertua lagi, malas solat sunat, tak tahajud atau dhuha, tak baca Al-Quran… cubalah bertaubat. Doa diberi kekuatan.

PESANAN

  • Orang yang paling bijak ialah orang yang ingat mati. Segala aktiviti kita, ingatlah mati. Fikir macam mana diri kita di Padang Mahsyar nanti. Fikir juga pasal anak cucu kita, mereka syirik ke tidak, bagaimana aurat mereka, dosa pahala mereka. Sentiasalah berdoa.
  • Kita ni setiap kali bila dengar sesuatu yang tak baik pasal seseorang, kita jangan umpat orang tu. Jangan hukum dia. Berdoa supaya dia dapat hidayah. Berdoa supaya ujian dia tak tertimpa pada keluarga kita sebab takut keluarga kita tak terdaya.
  • Nampak orang terima rasuah, kita doakan dia. Doa supaya dia sempat mohon ampun dan masuk syurga. Minta anak cucu kita tak ditimpa ujian yang sama.
  • Hentikan mencari berita tapi carilah ilmu. Hentikan mencari perhatian tapi berilah perhatian pada anak-anak.
  • Kurangkan Whatsapp dan Facebook kecuali untuk benda yang mendekatkan kita pada Allah.
  • Jangan kita senyum kerana budaya tapi senyumlah kerana sunnah.
  • Amalkan selawat tafrijiyah untuk menghilangkan kesempitan dengan izin Allah SWT.
  • Niat jumpa orang jangan harapkan sesuatu tapi niatlah kerana Allah. Nanti akan sia-sia.
  • Kalau ada rakan Facebook yang membawa kita ke jalan lagha, berhentilah.
  • Jangan cakap benda tak baik pada diri sendiri. Sebut benda-benda baik sebab Allah jadikan kita hamba yang mulia. Norzalina Mohd Alias
“Saya Cuba Bahagiakan Dia Dengan Cara Lain” TERSENTUHNYA Tengok Tangisan Achey, Orang Belum Ada Anak Jer Faham!

“Saya Cuba Bahagiakan Dia Dengan Cara Lain” TERSENTUHNYA Tengok Tangisan Achey, Orang Belum Ada Anak Jer Faham!

Lawak jenaka mereka menggeletek hati. Meskipun bersahaja, tapi kehadiran para pelawak ini boleh membuatkan sesiapa pun di sisi ketawa terbahak-bahak.

Realitinya dunia komedi tidak selucu yang disangka. Persaingan semakin hebat dan masing-masing perlu come out dengan idea yang lebih terkedepan. Itu belum lagi ditekan masalah peribadi yang boleh tahan hebatnya.

Salah satu pengakuan yang terasa begitu dekat dengan hati wanita adalah kisah yang menimpa pelawak dan pelakon Achey dari kumpulan Bocey.

Pengakuan Achey atau nama penuhnya Mohd Nasir Hamzah, 31, tentang kesedihan yang terpendam selama ini menggemparkan ramai peminat. Menerusi program Astro Warna ‘Di Balik Tawa’, Achey telah mengalirkan air mata apabila bercakap soal zuriat.

Terlalu sensitif rasanya bila bercakap soal ini. Anak bukan seperti ikhtiar rezeki lain yang boleh diduga. Ada yang sudah berkahwin berbelas tahun pun tetap diuji dengan dugaan anak.

Antaranya penghibur No. 1 negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang kini sedang sarat hamil 6 bulan. Beliau dan suami terpaksa menunggu selama 11 tahun dan pernah menjalani pelbagai rawatan infertiliti untuk mendapatkan zuriat.

Selain Dato’ Sri Siti Nurhaliza, seorang lagi selebriti yang tidak pernah jemu berikhtiar untuk mendapatkan anak kandung ialah Farrah Adeeba Mohamed Ashraf yang turut mencuba kaedah IVF. Ikhtiar tersebut gagal namun Tuhan itu adil. Meskipun usia perkahwinannya menginjak 15 tahun, dia dan suami telah dianugerahkan dua orang anak angkat iaitu Muhammad dan Harith.

Sememangnya dugaan belum dikurniakan cahaya mata ini memang sangat berat buat pasangan berkahwin. Hati menangis setiap kali menatap berita pembuangan bayi, ah mengapa perbuatan terlarang boleh sesenang itu membuahkan hasil? Itulah ujian-Nya.

Rezeki, mungkin tidak cepat tapi selalu pada waktu yang tepat. Cepat atau lambat, bersyukurlah. Mungkin rezeki kita dapat berbakti pada orang tua, diberi kesihatan yang baik atau pasangan yang pandai mengambil hati… Semua itu untuk kita perhati dan bermuhasabah tentang betapa pemurahnya Allah SWT.

Mudah Terasa

Sambil menitiskan air mata, Achey mengaku, “Saya dah kahwin 7 tahun, tak dikurniakan cahaya mata. Saya tak boleh menyentuh pasal anak. Dia (isteri) pun tak cakap apa-apa, walaupun 7 tahun orang cakap kita mandul, dia tak kisah.

Saya tahu banyak lagi orang yang lebih lama tak dapat anak tapi saya cuma kongsikan perasaan saya dan orang rumah saya. Ye, kami tak ada cahaya mata. Kami minta maaf dengan kawan-kawan terdekat dan saudara mara kalau ketika saya mendekati anak-anak mereka, mereka tak senang.

Saya minta maaf sebab saya sukakan kanak-kanak. Saya mohon saya pinjam je kasih sayang tu sekejap. Walaupun sekejap.

Saya gunakan cara tu untuk menghindarkan rasa sedih saya. Tapi itulah. Saya faham isteri, naluri seorang yang ingin menjadi ibu belum tercapai. Saya cubalah membahagiakan dia dengan cara yang lain…” luah Achey yang cukup menyentuh hati semua.

Bagi isteri Achey iaitu Anne atau Nur Hasanah, pastinya berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Wanita yang disangka kuat, jangan disangka tak punya perasaan.

“Orang cakap semua ni pasal duit. Orang taktau perjalanan hidup kami, apa yang kami lalui. Bila orang cakap pasal anak, memang saya teringin nak ada anak, nak rasa mengandung 9 bulan macam orang lain.

Yang membuatkan kami kuat selama ini disebabkan anak-anak kawan. Anak-anak sedara. Tu semua adalah penguat kami. Saya memang suka budak dan saya suka bermain dengan anak orang.

Sampai saya terapkan bila saya dan Achey dengan anak orang, saya panggil diri saya Mama dan Achey bahasakan diri dia Ayah. Dan dari situ kami jadi kuat sebab walaupun kami tak ada anak sendiri pun, tapi kami still ada anak orang lain yang boleh menguatkan kita.

Saya cekalkan hati saya jangan fikirkan orang sekeliling. Fikir saya susah dengan dia, macam mana dulu kami boleh hadapi susah bersama. Sekarang time senang, kenapa tak boleh hadapi orang sekeliling walaupun tak ada anak?” katanya. Norzalina Mohd Alias

Sumber: Instagram @Anne_Achey, @Farrah Adeeba, @ctdk

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: