AYDA JEBAT Memang NAKAL…  Kongsi Rahsia Ponteng Puasa

AYDA JEBAT Memang NAKAL… Kongsi Rahsia Ponteng Puasa

Ayda Jebat, suatu nama yang tidak asing dalam industri seni. Mempunyai bakat dalam bidang nyanyian juga berbakat dalam bidang lakonan. Figura yang terkenal dengan sifat riang ini memang kuat mengusik sesiapa sahaja yang berada di sisinya. Tidak sangka rupa-rupanya gadis yang berasal dari Melaka ini sangat nakal dan sering ponteng puasa ketika di bangku sekolah dahulu.

“Memang saya mengaku, kalau masa sekolah dahulu saya nakal dan sering ponteng puasa. Namun, saya bukan sengaja nak ponteng puasa kerana cuaca panas dan berjalan kaki balik ke rumah dari sekolah sering menggugat iman saya untuk ‘berbuka’.

Saya ingat lagi masa tu, saya dalam tingkatan 1 atau 2, cuaca panas sangat. Laluan untuk masuk ke bilik saya perlu melalui kawasan dapur. Ibu dan bapa tak ada di rumah sebab keluar bekerja. Hanya saya seorang sahaja yang ada dalam rumah. Akibat tak tahan saya ‘berbuka puasa’ dengan mi segera. Lepas makan saya tutup semua kesan bukti saya dah makan dalam rumah.

Masa ibu dan bapa balik ke rumah saya pretend berpuasa dan mengadu penat. Kemudian ibu cakap, betul ke saya puasa. Rupa-rupanya saya lupa 1 perkara yang membuat saya kantoi. Saya lupa ibu boleh mengira bilangan mi segera yang ada dalam kabinet. Patutnya saya beli 1 untuk ganti balik mi segera yang telah saya makan itu,” berderai tawa Ayda apabila mengingat kembali memori berpuasa dahulu dan sempat berpesan agar tidak mengikut jejak langkahnya dahulu.

Bercerita tentang perkembangannya kini, rezekinya sering melimpah-ruah. “Alhamdulillah, bulan puasa saya masih sibuk bekerja. Saya turun set penggambaran untuk slot akasia yang akan keluar bulan Jun nanti. Boleh dikatakan sejak bergelar artis masa berpuasa saya banyak dihabiskan di set penggambaran. Kini saya jarang mempunyai masa bersama untuk berbuka bersama keluarga.

Foto: Instagram @aydajebat

Kebanyakan drama saya akan keluar kalau tidak bulan Ramadan pasti bulan Syawal. Jadi sebelum puasa dan puasa terpaksa turun shooting. Kalau ada masa pun mungkin sehari atau dua boleh balik Melaka berpuasa bersama keluarga. Kemudian pergi set balik.

Selalunya di set penggambaran meriah sebab kita akan habis shooting awal dalam pukul 6 petang. Ramai-ramai akan naik van pergi bazar Ramadan. Masa itu lar mencari makanan untuk berbuka. Sebab sebelum ini saya tak selalu pergi membeli juadah berbuka di bazar Ramadan kerana di rumah of course mak sudah menyediakan juadah berbuka puasa. Kalau di set memang terpaksa keluar kalau tidak tak ada makanan. Krew produksi merupakan keluarga kedua saya apabila kami berbuka bersama-sama sepanjang proses penggambaran.

Sebenarnya lagi cepat kalau shooting di bulan puasa kerana kita tidak fikir untuk makan atau minum. Tak ada lunch tak ada minum petang. So kita dah banyak cut banyak masa di situ. Bekerja di bulan puasa kita fokus hanya untuk bekerja semata-mata, jadi kerja lebih cepat dilaksanakan dan tidak terasa masa berlalu.

Juadah kegemaran saya sudah tentu kuih lopes, tau fu fa dan martabak. Jangan tidak percaya walaupun saya orang Melaka tetapi saya seorang yang suka makan kari. Kalau kat rumah mesti saya minta mak masakkan lauk kari. Kalau kat luar mesti saya akan cari makanan yang berasaskan kari seperti briyani, nasi tomato,” tutur Ayda yang cantik bergaya dalam persalinan baju kurung moden Ariani RTW.

 

 

KEVIN ZAHRI Ajar Tip Kurus & Sihat, Betul-Betul Boleh LANGSING Raya Nanti!

KEVIN ZAHRI Ajar Tip Kurus & Sihat, Betul-Betul Boleh LANGSING Raya Nanti!

Bulan puasa memang dinanti-nantikan kebanyakan kaum wanita. Mana tidaknya, selain raih banyak pahala dan mengeratkan hubungan sesama keluarga.. inilah juga masanya untuk turunkan berat badan! Tapi bila tiba saja waktu berbuka, ramai wanita yang seolah-olah lupa misi hendak kurus. Dah tersandar kekenyangan baru tersedar dah terlebih makan. Alahai, macam mana hendak betul-betul komited kurus ni?

Apa-apa pun, jangan cepat mengalah. Apa kata anda cuba tip berbuka puasa yang diamalkan personaliti fitness terkenal, Kevin Zahri ini. Dengan lebih 10 tahun pengalaman dan menjadi rujukan untuk amalan gaya hidup sihat, Nona yakin impian untuk kurus dan sihat bakal jadi realiti.

Paling penting, azam yang kuat untuk berubah dan konsisten dengan 4 tip berbuka puasa seperti yang disarankan Kevin.

===========================

TIP 1 – Bermula dengan kurma

Kurma istimewa dengan gabungan gula ringkas (tenaga cepat) dan serat (tenaga lebih lama) untuk bolehkan anda solat Maghrib terlebih dahulu sebelum makan betul-betul. Kurma juga kaya dengan potassium untuk bantu stabilkan bendalir badan setelah berpuasa sehari.

TIP 2 – The 20 minit rule!

Dari suapan kurma semasa berbuka sehingga berasa kenyang ambil masa 20 minit. Kalau anda belasah makanan sepanjang 20 minit, barangkali besar anda akan makan berlebihan. Jadi makan dulu dan faham bahawa rasa kenyang datang selepas lebih kurang 20 minit. Sunah Nabi Muhammad SAW pun menyatakan ‘berhenti makan sebelum kenyang’.

TIP 3 – Target kalori: dalam 700kcal

Target pengambilan kalori untuk berbuka dalam lingkungan 700kcal. Tapi tak kira betapa sedap kuih-muih dan manis-manisan yang disediakan, bermulalah dengan hidangan yang seimbang untuk kawal nafsu makan dan elak makan berlebihan. Pilih:

  1. Segenggam sumber karbohidrat: nasi, bihun. kentang, mi, roti dan lain-lain
  2. Sumber protein yang berkualiti seperti ayam, ikan, tofu, daging dan lain-lain
  3. Sumber serat seperti sayur, kekacang, buah-buahan dan lain-lain
  4. Last sekali baru makan sikit kuih dan manis-manisan.

TIP 4 – Tiga jenis air

Semasa berbuka, saya selalu ada tiga jenis air.

  1. Air panas: Ini biasa untuk berbuka. Ini untuk bantu ‘panaskan’ sistem penghadaman yang telah berehat lebih kurang 12 jam. Tapi taklah panas mendidih.
  2. Air kosong: Ya untuk dahagalah kan dan ia tidak berkalori. Apa-apa pun tak perlu terus belasah 3-4 gelas air – nanti buncit perut dan tak selesa. Take it slow and easy.
  3. Air manis: Untuk air manis, nasihat saya, minum last sekali. Ini untuk nafsu tapi kalau berlebihan, kalori pun berlebihan.

 

Sumber: Facebook Kevin Zahri

==================================

Dah dapat tip ini jangan pura-pura lupa nak buat ya. Pastikan komited ikut keempat-empat langkah ini sampai hari raya nanti. Barulah dapat betul-betul kurus! Time tu, hendak pakai baju raya macam-macam design pun muat.

Nak lebih meriah sambut Hari Raya nanti, datanglah ke Karnival Karangkraf x Sifufbads pada 1 hingga 3 Jun ini di Kompleks Karangkraf, Shah Alam. Ada pelbagai aktiviti, program dan hadiah menarik untuk dibawa pulang. Termasuk pemberian duit raya RM10,000!

 

“Bila Ramadan Bertandang… Kelibat Babah Paling Dirindu” Anak Bongsu AZMIL MUSTAPHA

“Bila Ramadan Bertandang… Kelibat Babah Paling Dirindu” Anak Bongsu AZMIL MUSTAPHA

Siapa yang tidak kenal dengan figura yang bernama Azmil Mustapha. Suatu nama yang kekal harum sebagai anak seni tiada galang ganti. Terkenal dengan watak nakal dalam filem Ali Setan dan berubah 360 darjah setelah mendapat hidayah dari Allah SWT. Dijemput Ilahi pada usia 65 tahun, 14 Februari lalu, kehilangan lelaki ini benar-benar memberi kesan kepada ahli keluarganya terutama anak bongsunya, Alya Iman.

Alya Iman, mungkin nama yang agak asing bagi peminat industri seni tanah air tetapi begitu popular di kalangan pengusaha butik Muslimah tempatan. Memiliki rupa paras yang menarik dengan ketinggian 170cm membuat dirinya sering menjadi pilihan sebagai model peragaan butik Muslimah.

Baru berusia 17 tahun tetapi apabila berada di sisinya, nyata kematangan dirinya jelas terpancar. Alya merupakan anak yang paling rapat dan paling manja dengan ayahanda tercinta, Haji Azmil Mustapha. Gadis cekal ini tidak mahu menghapuskan setiap  momen indah yang tercipta bersama insan tersayang yang digelar Babah.

“Saya adalah antara anak yang paling terasa dengan kehilangan beliau. Setiap pagi Babah adalah orang yang paling sibuk akan mengejut saya untuk bangun sahur dan menyediakan juadah bersahur. Begitu juga ketika berbuka puasa. Kalau dia tak rajin nak masak kami akan keluar ke pasar Ramadan membeli juadah berbuka. Air jus mangga adalah antara kegemaran beliau, begitu juga dengan ikan bakar,” tutur Alya sambil menyeka mata yang berkaca.

Alya beruntung kerana merupakan orang terakhir dipandang oleh bapanya sebelum menghembuskan nafas terakhir. “Hari terakhir berjumpa adalah ketika pagi sebelum arwah pergi buat selamanya. Babah kejut saya untuk bangun solat subuh. Kerana terlalu mengantuk saya tidur kembali selepas solat subuh.

Kemudian saya nak tumpang mandi dalam bilik air Babah, lalu saya kejut dia tanya nak makan apa. Lepas tu dia bangun dan jawab, lepas ni Babah akan pergi beli makanan. Kemudian saya masuk bilik mandi dan lepas mandi keluar tengok kenapa Babah tak bergerak macam lain macam jer. Saya kejut namun Babah tak bergerak juga lantas meninggalkan kami buat selama-lamanya,” tutur Alya sambil mengelap pipi yang basah.

Walaupun masih muda tetapi gadis yang ramah ini begitu bertanggungjawab menjaga ayahnya yang sering sakit sebelum dijemput Ilahi. Sukar dilihat nilai jati diri anak muda sepertinya ketika ini. “Seminggu sebelum Babah meninggal dunia, arwah minta saya mandikan dia kerana tangan dah tak sampai nak gosok belakang badan. Tiba-tiba masa sedang mandikan dia, dia menangis. Dia cakap rindukan anak-anak dia. Selalunya saya ada di rumah dengan dia tetapi sejak akhir-akhir ada banyak job yang terpaksa saya penuhi.

Babah cakap dia rindu saya dan terus menangis. Saya adalah orang yang paling rapat dengan Babah. Kalau sakit memang saya yang akan teman di hospital. Mandi, masak dan bangun malam memang saya yang jaga. Walaupun masih lagi muda semangat bekerja saya hanya untuk Babah. Saya sanggup berhabis untuk menggembirakannya.

Saya suka melayan Babah makan mengikut keinginannya. Babah suka makan sushi, kami akan keluar berdua makan sushi bersama-masa. Benda yang paling buat babah happy sebelum babah meninggal apabila saya dapat tukar cadarnya yang telah usang. Katil dia dah keras jadi saya sendiri rasa tak selesa. Saya banyak berhabis beli tilam baru, alas tilam baru, bantal baru, dan sarung bantal. Walau hanya seminggu babah dapat menikmati hasil titik peluh saya bekerja namun saya tidak berasa ralat,” ujar Alya.

“Namun, saya cuma terkilan kerana tidak dapat membawa Babah bercuti seperti yang pernah saya janjikan. Saya sudah mengumpul dunia hasil memperagakan pakaian Muslimah dan mahu membawa arwah bercuti bersama selepas raya nanti. Tiada rezeki untuk saya bercuti bersama arwah babah buat kali terakhir,” ungkap gadis yang bersemangat tinggi mengakhiri perbualan.

 

Borosnya, Patutlah Suami Marah! Kena BERJIMAT Ramadan Ni, Rayakan Nak Dekat

Borosnya, Patutlah Suami Marah! Kena BERJIMAT Ramadan Ni, Rayakan Nak Dekat

Setiap kali tibanya bulan Ramadan kita selalu diingatkan agar mengelakkan pembaziran dan kegelojohan, serta turut menginsafi akan nasib umat Islam di negara lain yang tidak bernasib baik dalam memenuhi keperluan harian mereka. Umat Islam digalakkan memakan makanan yang berkhasiat semasa berbuka dan bersahur, serta ditegah daripada melakukan pembaziran, tetapi malangnya masih ramai daripada kita yang memasak terlalu banyak hidangan atau dengan jalan paling mudah ialah membeli pelbagai juadah makanan dan  minuman yang begitu banyak dijual di pasar dan bazar Ramadan yang dibuka bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan pada bulan puasa.

Ingatlah akan sabda Nabi Muhamad SAW, “Lawanlah nafsu makan mu dengan menahan lapar dan dahaga kerana ganjaran pahalanya sama seperti berjihad di jalan ALLAH. Tidak ada pengabdian yang lebih besar kepada ALLAH daripada menahan lapar dan dahaga.” Sehubungan itu, sempena hari yang baik dan bulan yang baik ini marilah kita bersama-sama kembali kepada ajaran Islam dan amalan yang sebenarnya serta tidak terpengaruh dengan perkara-perkara yang merugikan. Cuba tip ini untuk elakkan pembaziran dan berjimat di bulan Ramadan…

 Membuat Kajian Harga

Dalam keghairahan membeli barangan, jangan lupa untuk mengkaji harga terlebih dahulu, iaitu membandingkan harga-harga di kedai yang berlainan. Kadang-kadang, terdapat banyak perbezaan harga walau pada barang yang sama. Hal ini supaya dapat mengelakkan perbelanjaan yang lebih untuk sesuatu barang yang lebih murah nilainya. Tahan diri daripada membeli barang yang bukan keperluan, meskipun ia datang dengan tawaran hebat ‘beli satu percuma satu’. Percayalah itu hanya taktik pemasaran yang bertujuan untuk menarik perhatian anda.

Beli Makanan Dari Pek Kecil Berbanding Besar

Membeli makanan dalam kuantiti yang banyak akan membawa kepada pembaziran. Jika anda mempunyai keluarga yang besar, tidak mengapa. Tetapi jika belum berkahwin atau keluarga kecil tidak perlu untuk membeli barangan itu dalam kuantiti yang besar dengan harga tinggi, cukup yang kecil. Jangan lupa untuk melihat tarikh luput, takutnya nanti ingin membeli yang besar dan murah tetapi tarikh luputnya hampir mati. Ingat, elakkan untuk beli air minuman ringan kala berbuka sebaiknya hanya minum air putih.

Memasang tekad untuk berjimat

Sebagaimana ibadah puasa bermula dengan niat, begitu juga jika kita ingin berjimat di bulan puasa. Perkara yang paling penting ialah memasang azam dan tekad untuk tidak membazir.

Apabila kita telah mempunyai sasaran untuk menjimatkan sebanyak mana yang mungkin dalam bulan ini, maka segala usaha kita akan menjadi lebih mudah. Sebagai mana azam yang lain, azam untuk berbelanja dengan lebih berhemah di bulan Ramadhan ini akan lebih berkesan jika ditambah dengan perkara berikut:

  1. Azam itu ditulis
  2. Melihat dan mengulangi (membaca) azam itu setiap hari.
  3. Memberitahu orang yang rapat dengan kita.
  4. Merekodkan kemajuan dan pencapaian azam tersebut.

Cuba Mengawal Nafsu Dan Kehendak

Bukan hanya ketika berpuasa sahaja kita perlu menahan nafsu dan kehendak, malah ketika berbelanja juga begitu. Semasa membuat persiapan, jangan terlalu mengikut perasaan. Elakkan membeli juadah berbuka secara berlebihan kemudian makanan itu dibuang begitu sahaja kerana tidak habis dimakan. Bukankah itu sudah membazir?

Pastikan sebelum jejak kaki ke bazar Ramadan, anda sudah tahu apa yang anda ingin beli. Ini bagi mengelakkan anda membeli makanan yang anda sebenarnya tidak akan habis untuk makanan. Bila ada di bazar, anda memang akan terpesona dengan pelbagai bentuk juadah makanan yang disediakan. Masa itu kalau anda tak boleh kawal nafsu, confirm balik dari bazar sampai tak cukup tangan.  Begitu juga dengan persiapan perayaan, belilah secara berhemah. Jangan membeli kerana memenuhi keinginan dan kehendak mahupun untuk menunjuk-nunjuk kepada jiran.

Ingatkan anak

Sepanjang perjalanan, bagi terus duit RM6 kepada anak- anak dan ingatkan mereka tiada tambahan duit. Jadi hanya pilih 1 atau 2 jenis makanan yang betul- betul minat sahaja. Dan jangan lupa beritahu anak yang pandai- pandai berjimat, jika ada duit lebih masukkan dalam tabung Misalnya sorang anak RM6. RM6 X 4 = RM24. Bawalah RM30 sahaja dalam beg duit dan belanja ikut plan yang telah di buat.

Berbuka Puasa Dan Bersahur Di Rumah

Berbuka di rumah adalah lebih menjimatkan daripada berbuka di luar seperti di restoran, hotel atau sebagainya. Ini kerana di tempat yang selesa sebegitu kita terpaksa membayar dengan harga yang lebih mahal untuk makanan yang boleh kita dapati di rumah sahaja. Tanya anak- anak apa yang diinginkan untuk berbuka. Biasanya kalau ada ibu, ibu yang masak, pergi bazar hanya untuk cuci mata atau beli satu atau dua jenis kuih sahaja.

Elakkan perjalanan yang jauh

Pasti anda pernah dengar tentang pau cendawan di bazar Ramadan di Putrajaya. Sepastinya lazat di makan. Tidak dapat dinafikan, terdapat banyak bazar Ramadan yang mempunyai juadah istimewa yang berlainan seumpama ini, dan ada dalam kalangan kita yang suka mengunjungi bazar Ramadan berbeza-beza.

Sekiranya bazar Ramadan yang ingin anda kunjungi itu terletak jauh daripada kawasan rumah atau pejabat, ia mungkin akan menambahkan perbelanjaan pengangkutan. Oleh itu, sebaik-baiknya elakkan mengunjungi bazar Ramadan yang jauh. Sekiranya anda teringin untuk menikmati juadah yang tidak ada dijual di tempat lain, mungkin anda boleh ”carpool” bersama kawan-kawan atau ahli keluarga untuk berkongsi kos pengangkutan.

Jangan Terlalu Kerap Berbuka di Bufet Ramadan

Bufet Ramadhan akan menjadi seperti satu pesta di dalam bulan puasa. Daripada harga yang mewah sehinggalah bufet bajet, hotel, restoran dan pelbagai premis cuba bersaing menawarkan harga dan menu Ramadhan terbaik untuk pilihan pengguna. Bufet Ramadan kosnya lebih RM100 seorang. Untuk mengelakkan perbelanjaan berlebihan, memasak sendiri juadah berbuka puasa atau sahur kerana semestinya ia akan dapat menjimatkan kos. Dengan kos RM100, anda mungkin boleh membeli bahan-bahan masakan untuk sekeluarga dalam 3 hari ke seminggu.

Sesekali berbuka di luar boleh tetapi jangan terlalu kerap sehinggakan berlakunya pembaziran. bufet Ramadan ialah satu pembaziran. Terbaik cari bufet yang menyediakan harga promosi yang 30% ke 40% lebih murah daripada harga sebenar dengan menggunakan kupon diskaun “early bird” ataupun diskaun “online” daripada laman diskaun. Buat perancangan berbuka puasa bufet Ramadan awal kerana pembelian voucher bufet Ramadan di kebanyakan hotel atau restoran adalah lebih murah sebelum bulan Ramadan.

Namun begitu, ada ketikanya Ramadhan bufet boleh dihadiri atas sebab tertentu. Sebagai contohnya, kita ingin meraikan ahli keluarga atau saudara mara yang datang, maka tidak salahlah jika kita memutuskan untuk berbuka puasa secara bufet mengikut kemampuan. Begitu juga sekiranya kita mengadakan majlis amal atau majlis penghargaan kepada pekerja. Modal untuk mengadakan bufet Ramadhan adalah kecil berbanding manfaat yang boleh diperoleh melalui majlis itu.

Hadkan Perbelanjaan Harian Dalam Bulan Ramadan

Sentiasa letak had perbelanjaan harian anda untuk setiap hari di bulan Ramadhan. Jumlah ini seharusnya mengikut kemampuan kita tetapi lebih rendah dari had perbelanjaan harian di hari biasa. Sekiranya kita telah meletakkan had sebegini, maka mudahlah kita membuat keputusan atas pembelian yang dilakukan. Berusaha sedaya upaya untuk kekal dalam bajet Ramadhan kita dan catatkan kejayaan atau kegagalan kita mematuhi bajet ini untuk memastikannya berjaya.

Biasanya semasa kita keluar untuk membeli juadah makanan berbuka, kita tidak tetapkan berapa bajet untuk kita berbelanja. Kita tidak tahu berapa perbelanjaan yang telah kita keluarkan setiap kali membeli di bazar Ramadhan. Jika mahu berjimat kita kena tetapkan berapa jumlah belanja kita akan guna untuk membeli juadah makanan. Katakan kita mahu belanja RM10 sahaja untuk membeli makanan di bazar Ramadhan, maka kita bawa duit cukup RM10 jelah ke sana.  Tak perlu bawa duit banyak-banyak. Dengan cara ini kita telah dapat mengawal perbelanjaan

Pergi Lewat Ke Bazar Ramadan

Cuba amalkan pergi ke bazar Ramadhan apabila sudah lewat petang atau waktu hampir berbuka puasa. Bila pergi ke bazar Ramadhan lewat pastinya akan beli dengan cepat sebab nak cepat balik ke rumah untuk berbuka. Satu lagi sebab ialah pilihan makanan dah tak banyak sebab makanan banyak dah habis, jadi kita tak akan menjadi rambang mata untuk memilih makanan. Jika rezeki, peniaga tu bagi diskaun atau memberi lebih sebab nak cepat habiskan jualan.

Kita perlu elakkan dari suka memilih untuk pergi ke bazar Ramadhan yang berbeza-beza. Mungkin hari ni bazar  Ramadhan tempat lain, esok nak rasa suasana bazar Ramadhan kat tempat lain pula. Kita tidak sedar bila kita pergi ke bazar Ramadhan kat tempat lain yang jauh, kita telah mengeluarkan belanja untuk minyak motor atau kereta. Kalau dekat tak mengapa. Tapi kalau sengaja cari tempat jauh tu yang jadi membazir duit untuk minyak. Rasanya kalau kat mana-mana bazar Ramadhan sekalipun suasana dan juadah makanan yang dijual tak jauh beza sangat.

Bertukar-tukar Juadah

Hal ini boleh dipraktikkan ketika bulan puasa ataupun pada hari raya Aidilfitri. Bertukar-tukar juadah dengan jiran tetangga ataupun kenalan dapat menjimatkan, selain mampu mengeratkan hubungan sesama masyarakat.

Sehubungan itu, sebagai umat Islam, selain dilarang melakukan perkara yang lalai dan merugikan, kita juga ditegah melakukan perbuatan yang membazir. Pembaziran adalah perbuatan yang dilarang pada bila-bila masa pun, bukan pada bulan Ramadan sahaja. Jadi carilah cara bagi mengelakkan diri tergolong dalam golongan yang kerap membazir ini.

Bulan Ramadan adalah bulan yang suci berbanding bulan-bulan yang lain, jadi hiasilah bulan Ramadan dengan perkara-perkara yang baik dan jauhkanlah diri dari hal yang tidak disukai Allah SWT. Semoga ruang untuk melakukan pembaziran pada bulan Ramadan dibendung dengan sifat sederhana dan sifat-sifat baik yang lain.

Moreh

Bawa anak dan isteri untuk solat terawih di masjid. Ambillah peluang ini untuk mengeratkan silaturahim sesama Islam dan bersyukur dengan menikmati moreh yang disediakan. Jika ingin menikmati moreh di masjid, sila jangan ke pasar Ramadan pada hari tersebut.

Semoga membantu supaya kita tidak termasuk dalam golongan syaitan yang suka membazir makanan!

“Orang Yang Sediakan SAHUR & BERBUKA PUASA Teramat Besar Nilainya Di Sisi Allah!” – USTAZ EBIT LEW

“Orang Yang Sediakan SAHUR & BERBUKA PUASA Teramat Besar Nilainya Di Sisi Allah!” – USTAZ EBIT LEW

Setuju sangat apa yang diperkatakan penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew tentang bulan Ramadan ini. Kadang-kala kita terlepas pandang tentang jasa orang terdekat seperti ibu dan isteri kerana sudah ‘terbiasa’ dihidangkan dengan bermacam-macam kesenangan. Walaupun tanpa rungutan dan minta dipuji, tetap melaksanakan tugas kepada keluarga dengan baik.

Sempena kedatangan bulan mulia ini, audit dan didiklah diri kita menjadi insan yang lebih baik. Timbulkan rasa simpati dan kasih sayang terhadap keluarga terutamanya isteri dan ibu yang bersusah-payah menyediakan segala keperluan. Seperti yang dipesan Ustaz Ebit Lew di Facebooknya, “Orang yang menyediakan sahur dan berbuka puasa teramatlah besar nilainya di sisi Allah. Kita dapat pahala macam orang yang berpuasa. Bergilir-gilirlah dan saling membantu dalam khidmat buat ahli keluarga dan juga orang lain.

Janganlah bulan rahmat ini kita bebankan orang yang kita sayang. Ibu atau isteri kita setiap pagi bangun terkejut dan melompat. Dah bertahun.. berlari masak atau panaskan sahur. Berasap dapur pagi-pagi. Mana nak panaskan makanan dan air. Selepas tu nak kejutkan anak. Ada yang 5 kali kena kejut. Ada yang 10 kali kejut. Kejut suami lagi 30 kali.

Masing-masing bangun muka masam. Mata belum buka. Ada yang pandai complaint makanan. Anak-anak pula ada makanan dan minuman masing-masing. Sampai migrain seorang isteri atau ibu itu. Sampai sakit. Jom kita mudahkan buat orang kita sayang kerana Allah.

Ayuhlah kita bantu isteri atau anak-anak bantulah ibu. Sekali-sekala buat giliran yang dewasa siapkan sahur dan berbuka. Atau sama-sama buat dengan kasih sayang dan cinta. Semua orang yang puasa, solat, baca al-Quran, zikir dan semua kebaikan mereka dapat pahala. Tetapi orang yang khidmat menyediakan sahur dan berbuka, paling besar pahala. Dia dapat kebaikan puasa dan semua amal ahli keluarga.

Berebut-rebutlah siapkan juadah sahur dan berbuka buat seramai mungkin kerana Allah. Bantu isteri atau ibu kita kerana Allah. Saidina Umar r.a khalifah besar angkat guni, pandai masak, hidupkan api, hidang dan gembira tengok sebuah keluarga susah makan. Abu Bakr r.a masa jadi khalifah sanggup tolong perah susu kambing dan siapkan barang keperluan seorang mak cik tua dan cucunya. Rasulullah sangat rajin di rumah. Orang rajin.. di mana-mana pun rajin. Kerana Allah. Senyum tengok ahli keluarga makan.

Jangan lupa jaga solat fardhu awal waktu berjemaah dan solat tahajud sebelum Subuh. Doa panjang-panjang sebelum buka puasa sangat makbul. Beri masa 10 minit ke 30 minit doa. Belajar berdoa dari hati.”

Mulai hari esok, pastikan kita dapat meringankan beban tugas ibu dan isteri masing-masing. Lagi cepat sesuatu kerja tu siap bila ramai yang membantu. Barulah rasa kemeriahan dan betapa berkatnya Ramadan!

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: