Syurga Isteri Di Bawah Telapak Kaki Suami, Hormati Pasangan Dengan 10 Tip BAHAGIA Ini!

Syurga Isteri Di Bawah Telapak Kaki Suami, Hormati Pasangan Dengan 10 Tip BAHAGIA Ini!

Walau setinggi mana pun pangkat seorang isteri, di rumah mereka wajib menghormati dan menyayangi suami sepenuh hati. Jangan sesekali membelakangkan mereka apatah lagi cuba ‘mengawal’ apa yang sepatutnya dilakukan dalam institusi kekeluargaan anda. Semai rasa hormat terhadap pasangan dengan tip kebahagiaan rumah tangga berikut.

  1. Sentiasa berada di belakang pasangan ketika suka mahupun duka. Jangan sesekali tinggalkan pasangan keseorangan. Berikan bantuan dan sentiasa berada di sisinya apabila anda diperlukan.

 

  1. Tidak bercerita hal keluarga anda pada orang lain. Semua masalah keluarga anda hanya diceritakan pada pasangan. Hanya anda berdua yang selesaikan masalah itu tanpa melibatkan pihak ketiga.

 

  1. Jangan izinkan adik beradik atau ibu bapa anda menyakiti pasangan. Sentiasa pertahankan pasangan dalam hal-hal yang benar. Jangan benarkan orang luar membuat keputusan untuk perkahwinan anda.

 

  1. Luangkan masa untuk pasangan tanpa dipinta. Ia sebagai tanda hormat pada pasangan dengan menunaikan haknya sebagai pasangan.

  1. Sering berbual dengan pasangan tanpa mengira topik. Anda sebenarnya menganggap pasangan sebagai teman hidup dan itu adalah penghormatan buatnya.

 

  1. Sering berkongsi apa jua perkara yang berlaku dalam hidup anda dengan pasangan. Apabila anda berkongsi hal peribadi kepada pasangan, dia akan rasa dirinya sangat penting buat anda.

 

  1. Tidak mengutuk pasangan di hadapannya dengan kata-kata kurang elok. Jangan mengumpat sikap pasangan kepada pihak ketiga.

 

  1. Segera minta maaf jika anda berbuat kesalahan. Sentiasalah juga memaafkan pasangan jika dia berbuat kesalahan. Ucapkan terima kasih kepada pasangan.

  1. Manjakan pasangan dengan ikhlas. Contoh, jangan kedekut untuk keluarkan wang bagi memanjakan pasangan.

 

  1. Cintai pasangan seadanya. Jangan paksa pasangan untuk ubah peribadi dirinya.

 

Sibuk Sangat Tengok Handphone Sampai Suami Pun Diabaikan! Kalau Sayang Rumah Tangga, Ingat Pesan Ustazah Sharifah Khasif Ni

Sibuk Sangat Tengok Handphone Sampai Suami Pun Diabaikan! Kalau Sayang Rumah Tangga, Ingat Pesan Ustazah Sharifah Khasif Ni

Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Mohd Badiuzzaman atau lebih dikenali sebagai Ustazah Sharifah Khasif menjawab persoalan tentang KONFLIK RUMAH TANGGA

Soalan: Dalam sebuah perkahwinan, konflik itu adalah lumrah. Konflik adakalanya memberi hikmah kesedaran buat pasangan untuk menyedarkan mereka tentang kepincangan yang wujud dalam rumah tangga seterusnya dapat bermuhasabah diri demi mencari redha Ilahi dan kebahagiaan bersama. Namun kini ramai pasangan yang mudah tewas dengan ujian lantas mengambil keputusan yang di luar jangkaan. Apakah punca pencetus konflik dan pendekatan yang boleh diambil untuk mempertahankan kerukunan rumah tangga?

Jawapan: Perkahwinan ialah fitrah yang menyatukan dua jiwa ke arah pembentukan sebuah keluarga yang harmoni. Di dalamnya terdapat berbagai hak dan kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh setiap pasangan. Justeru, perkahwinan mampu menjadi tempat berlindung dan berkongsi kesenangan serta kesusahan.

Ustazah Sharifah Khasif

Banyak faktor tercetusnya konflik dalam rumah tangga. Antaranya ialah kelemahan dalam komunikasi. Komunikasi adalah satu kemestian dalam perkahwinan. Komunikasi yang harmoni menjadikan perkahwinan tersebut lebih bahagia dan saling memahami. Namun begitu, kealpaan dalam komunikasi menjadikan perkahwinan hambar dan tiada roh. Komunikasi yang lemah boleh membuatkan pasangan salah sangka terhadap sesuatu isu yang menyebabkan perbalahan yang berpanjangan. Jika tidak terkawal boleh mencetuskan perceraian.

Kurangnya pengetahuan tentang ilmu perkahwinan turut menjadi punca. Ramai pasangan yang berkahwin hanya kerana mereka ingin berkahwin. Mereka tidak pernah mempelajari ilmu perkahwinan bagi melahirkan perkahwinan yang bahagia. Ini menyebabkan pasangan tersebut tidak mengetahui bagaimana untuk mengendalikan konflik yang berlaku dalam rumah tangga mereka.

Seterusnyaa ialah tidak memahami tanggungjawab dan peranan masing-masing. Ada pasangan yang berkahwin tetapi tidak mengetahui tanggungjawab mereka sebagai suami dan isteri. Mereka masih lagi mengamalkan cara hidup seperti masih bujang dan masih berfoya-foya dengan rakan-rakan tanpa memikirkan kehendak pasangan.

Antara pendekatan yang boleh dilakukan untuk mengelakkan konflik dalam rumah tangga:-

HARGAI PASANGAN

Hargailah pasangan anda. Apa yang Allah SWT tetapkan untuk kita adalah yang terbaik buat kita. Jangan mencari-cari kelemahan pasangan. Bina keluarga dan cari jalan untuk sama-sama dalam melakukan amalan yang boleh mendekatkan diri dengan sang Pencipta.

SENTIASA BERSAMA

Bersama menjalani kehidupan berumahtangga walau dalam susah mahupun senang. Keraplah melakukan aktiviti seharian bersama seperti memasak dan mengemas rumah. Elakkan terlalu kerap dengan telefon bimbit sehingga pasangan depan mata pun diabaikan. Jika berkelapangan pergilah bercuti bagi menambahkan lagi kemesraan dan persefahaman.

TIDAK BERAHSIA

Jujur adalah segalanya dalam hubungan. Jangan suka berbohong. Katakan yang benar walaupun pahit kerana itu yang diajar oleh agama. Amalkan sikap berterus-terang antara satu sama lain dan jangan memendam perasaan contohnya tidak puas hati. Jujurlah demi kebahagiaan bersama serta saling mempercayai.

JANGAN MENYAKITI PASANGAN

Hormatilah pasangan dengan menjauhkan perkara yang menyakiti perasaannya. Jika pasangan  tidak menyukai sesuatu yang anda lakukan dan perbuatan itu tidak berfaedah belajarlah untuk meninggalkannya demi kebahagiaan bersama. Apa pun, pengorbanan dari setiap sudut perlu ada dalam mencapai matlamat hidup untuk mencari redha Allah SWT.

 

Bila Berdepan Detik PERPISAHAN, Lakukan 7 Cara Ini Agar Jiwa Lebih Tenang!

Bila Berdepan Detik PERPISAHAN, Lakukan 7 Cara Ini Agar Jiwa Lebih Tenang!

Setiap hubungan suami isteri pasti ada pasang surutnya. Luahan hati secara terbuka tanpa saling menyalahkan boleh menjadi jalan terbaik untuk menghentikan konflik. Tetapi, bagaimana kalau anda dan pasangan gagal menyelamatkan keadaan lalu memilih perpisahan sebagai jalan terakhir? Lakukan 6 cara ini jika anda sedang berhadapan detik-detik suram ini.

  • BERTENANG SEKETIKA

Sebolehnya ambil satu dua hari untuk pergi bercuti ke suatu tempat untuk merenung kembali hubungan yang telah berakhir. Percayalah, anda akan menemui banyak pengajaran darinya untuk ke langkah seterusnya.

  • TERUSKAN MELANGKAH

Terimalah kenyataan. Dalam erti kata lain move on walaupun ia menyakitkan. Semakin cepat anda menerima hakikat titik akhir sebuah hubngan, semakin cepat anda dapat melepaskan diri darinya.

  • BERHENTI SALAHKAN DIRI SENDIRI

Apa pun ia sudah terjadi. Tidak mungkin anda boleh berpatah balik membetulkan keadaan yang sudah hancur berkecai. Fokuskan kepada masa depan anda dan anak-anak daripada terus meratapi dan menyesali apa yang berlaku.

  • JADILAH SEPERTI BIASA

Apabila pasangan meninggalkan anda bermakna anda sekarang memiliki ruang waktu yang banyak untuk diri sendiri. Maka, jangan terlalu bersedih hati dengan mengurung diri di dalam rumah saja. Berusaha untuk berfikiran positif dan mohon pada Allah SWT agar sentiasa diberikan petunjuk.

  • DAMPINGI SAHABAT SUSAH SENANG

Memang anda memerlukan masa untuk bersendirian dan bersedih. Tetapi jangan terlalu lama kerana ingatlah masih ramai sahabat-sahabat yang menyayangi anda. Jumpa mereka dan luahkan segala yang terbuku di hati anda agar lebih tenang.

  • ANDA TIDAK BERSENDIRIAN

Baca kisah-kisah orang lain yang mampu bangkit selepas perceraian sebagai inspirasi dan pembangkit semangat. Ingat, bukan anda seorang saja di dunia ini yang merasa sakitnya perpisahan. Anda tidak bersendirian.

  • JAGA KOMUNIKASI

Tak dinafikan anda pasti merasa kesal setelah perceraian sehingga tidak mahu bercakap lagi dengan bekas suami. Tetapi anda kena ingat, perkahwinan melibatkan banyak pihak lebih-lebih lagi kalau sudah ada anak. Jadi ada masalah yang perlu diselesaikan. Berkomunikasilah secara profesional agar masalah dapat diselesaikan segera.

Papah Isteri BERKERUSI RODA Tiap Hari Tanpa Jemu, Pengorbanan Suami Ini Buat Kita Belajar HARGAI Pasangan!

Papah Isteri BERKERUSI RODA Tiap Hari Tanpa Jemu, Pengorbanan Suami Ini Buat Kita Belajar HARGAI Pasangan!

Tiada kata-kata yang boleh dilafazkan selain terharu oleh Che Zuhaiza Che Hamat terhadap pengorbanan suaminya, Mohd Rusdi Husain. Sejak lima tahun lalu Che Zuhaiza telah diuji dengan musibah penyakit Multiple Sclerosis atau gangguan saraf.

Che Zuhaiza hanya boleh dipapah serta berkerusi roda untuk bergerak. Suamilah tempatnya bergantung harap, bukan sekadar menjaga dirinya yang tidak mampu lagi untuk bergerak bahkan melakukan semua urusan rumah tangga termasuklah menguruskan anak-anak.

Cukup besar pengorbanan seorang suami yang mungkin sukar untuk kita lihat pada zaman sekarang. Wajah lelaki berusia 44 tahun ini tampak tenang demi melihat kebajikan isteri tercinta sentiasa terjaga.

Pasangan ini dikurniakan empat zuriat yang masih kecil berusia 11, 9, 7 dan 6 tahun. Mohd Rusdi bertugas sebagai pembantu bilal di Masjid Saidina Othman Bandar Tun Razak Kuala Lumpur.

PENGORBANAN

“Saya disahkan mengalami gangguan saraf dan tidak dapat berjalan sekitar tahun 2013. Ia berlaku ketika saya mengandungkan anak bongsu. Namun alhamdulillah saya dapat bersalin secara normal.

Ini satu keajaiban di saat diri menderita dengan penyakit. Doktor juga memberitahu penyakit saya ini tak akan sembuh dan saya terpaksa bergantung dengan ubat dan rawatan hospital. Sejak saya sakit kadangkala anak-anak terpaksa ponteng sekolah untuk bantu suami menjaga saya. Jiran-jiran juga banyak membantu meringankan beban kami sekeluarga.

Ini antara kekuatan saya kerana di saat begini kami dikelilingi insan-insan yang baik dan berhati mulia. Selain itu, doa dan sabar menjadi kekuatan saya. Mujurlah anak sulung kami sudah boleh diharap dan ringan tulang membantu. Setiap hari suami akan memasak siap-siap kemudian dia akan bergerak ke Masjid Saidina Othman sebelum Zohor.

Saya terharu kerana suami sanggup belajar apa yang dia jarang buat sebelum ini seperti memasak dan mengemas rumah. Suami juga buat dua tiga kerja demi menambah pendapatan keluarga.

Terima kasih buat suami kerana sanggup bersusah payah menjaga saya dan anak-anak. Hikmahnya, kami sekeluarga kini bertambah rapat. Cinta dan kasih sayang kami kian mendalam,” luah Che Zuhaizah berusia 39 tahun.

Di Pejabat Andalah KETUA, Tapi Di Rumah Anda Adalah Seorang ISTERI! Ingat Tu

Di Pejabat Andalah KETUA, Tapi Di Rumah Anda Adalah Seorang ISTERI! Ingat Tu

Budaya isteri bekerja telah menjadi lumrah hidup masyarakat kini. Sesungguhnya tenaga mereka adalah penyumbang utama kepada ekonomi negara mahupun keluarga, setara dengan tenaga kaum lelaki. Sama ada bertujuan untuk membantu kewangan keluarga, membina keyakinan dan imej diri, mengejar cita-cita, keperluan tenaga wanita dalam sektor pekerjaan memang tidak dapat dinafikan.

Malah bukan setakat itu sahaja, wanita kini telah berjaya menempatkan diri mereka setanding dengan kedudukan kaum Adam di pejabat.

Wanita bergelar ketua pejabat, pengarah jabatan, pengurus besar, pengarah urusan, sebagai seorang menteri mahupun gabenor bukan sesuatu yang asing dan memeranjatkan kita kini. Pencapaian wanita sebagai pentadbir sesuatu organisasi cukup membanggakan.

Bekerja dengan staf lelaki tidak sedikit pun menjejaskan kredibiliti ketua-ketua wanita ini. Penerimaan masyarakat terhadap wanita sebagai ketua diterima baik di Malaysia.

Namun di sebalik penerimaan yang baik dalam organisasi pekerjaan, masih wujud masalah-masalah dalam kehidupan wanita ini sendiri yang melibatkan kehidupan rumah tangga mereka. Masalah ini akan lebih terasa apabila suami yang dikahwini menjawat jawatan yang lebih rendah daripada si isteri.

Berbagai-bagai isu boleh timbul, sama ada daripada suami, isteri, ibu bapa, adik-beradik mahupun ipar duai yang mampu menggugat keharmonian rumah tangga.

Antara punca yang mencetuskan konflik rumah tangga apabila seseorang wanita itu bergelar ketua adalah:

  1. Sikap wanita itu sendiri

Menjadi ketua memerlukan anda bersikap sebagai seorang pemimpin yang sering memberi arahan dan teguran terhadap pekerja anda. Namun, kadang kala sikap anda ini terbawa-bawa hingga di rumah. Anda seakan lupa bahawa suami anda adalah pemimpin rumah tangga dan anda perlu patuh terhadapnya. Sikap tegas yang tidak bertempat serta memberi arahan kepada suami akan hanya menyebabkan suami merasakan anda tidak menghormatinya dan memandang rendah terhadap haknya sebagai pemimpin keluarga.

  1. Sikap suami

Sikap ego suami yang melampau juga boleh mencetus konflik dalam hubungan rumah tangga. Ada sesetengah suami yang cuba menunjukkan “kuasa” di rumah kerana khuatir si isteri akan “memijak kepala” hanya semata-mata kerana isterinya seorang ketua di pejabat. Sikap takut akan bayang-bayang sendiri ini akan memberi tekanan terhadap diri sendiri dan keluarga.

  1. Sikap ibu bapa

Sikap prejudis sesetengah ibu bapa apabila anak perempuan mereka memegang jawatan tinggi juga menimbulkan ketegangan dalam rumah tangga. Mereka merasakan pasangan anaknya tidak setaraf dengan kedudukan si anak. Bagi mereka, menantu hanya ingin menumpang kesenangan anak mereka. Keikhlasan pasangan si anak begitu dicurigai, pelbagai tanggapan negatif dilemparkan terhadap menantu yang memberi kesan buruk terhadap rumah tangga.

  1. Sikap saudara mara dan ipar duai

Istilah “queen control” cukup sinonim dengan wanita yang menyandang jawatan tinggi. Persepsi bahawa ketua wanita ini suka mengongkong suami dan berkuasa terhadap setiap keputusan dalam rumah tangga adalah sesuatu yang cukup lumrah. Umpatan, sindiran serta hasutan di kalangan keluarga mahupun ipar duai akan menggoncangkan keharmonian rumah tangga.

Kecemerlangan seseorang wanita itu tidak hanya diukur dari pencapaiannya di pejabat, tetapi juga kejayaannya dalam menjadi isteri dan ibu yang cemerlang. Tidak semudah menuturkan, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. Namun kebijaksanaan anda bertindak pasti dapat membentuk rumah tangga yang gemilang.

Berikut antara tip yang pasti dapat membantu para wanita yang bekerja untuk melayari rumah tangga dengan jayanya.

  1. Berubah untuk menikmati perubahan

Merubah ego lelaki bukanlah mudah tanpa kemahuannya. Anda hanya mampu memujuk dan mempengaruhinya agar berpihak kepada anda. Anda sendiri perlu berubah kepada yang lebih baik untuk membolehkan suami berubah memperbaiki dirinya.

  1. Menangkan suami untuk menang

Dalam rumah tangga hanya ada 2 kuasa, pertama kuasa suami dan kedua kuasa isteri. Kuasa suami adalah memulai dan menyuarakan. Kuasa isteri adalah bersetuju atau tidak.  Sekiranya kedua-duanya menyalahgunakan kuasa, maka porak perandalah rumah tangga. Sebagai seorang Islam, anda perlu halusi hak dan batas hak suami dan isteri dalam rumah tangga.

  1. Kritikan hanya akan membuahkan kritikan

Kritikan adalah sesuatu yang amat merbahaya dalam rumah tangga. Anda perlu bijak menyampaikan rasa tidak puas hati secara halus kepada suami anda. Jika tidak kena dengan gayanya, anda hanya akan melukai nilai diri seorang lelaki, menjejaskan rasa kepentingan dirinya, menimbulkan kekecewaan dalam dirinya yang akhirnya akan menyebabkan dia mengkritik anda pula.

  1. Bertanggungjawab akan menikmati kesan tanggungjawab

Tanggungjawab sebagai isteri tidak akan berubah walaupun dunia ini menjadi semakin maju. Begitu juga dengan tanggungjawab suami terhadap isterinya. Selagi tanggungjawab tidak diabaikan malah disempurnakan dengan cukup baik, anda tidak perlu risau. Keharmonian rumah tangga pastinya terjamin.

  1. Berikan suami apa yang dia inginkan

Biasanya dua perkara besar yang diingini oleh seseorang suami. Pertama adalah kehendak batinnya dan kedua kehendak untuk menjadi penting dalam keluarga. Berilah apa yang suami anda inginkan dan yang anda mampu berikan. Pastinya dia juga akan melakukan apa sahaja untuk anda dan memberi apa yang anda inginkan.

  1. Hormati suami anda sebagai lelaki

Jika anda berusaha untuk bertolak ansur dengannya, dia juga akan melakukan perkara yang sama dengan anda. Wajib bagi wanita menghormati lelaki yang menjadi suaminya. Memberi penghormatan tidak akan merendahkan kehormatan diri anda, malah ia menjadikan diri anda lebih terhormat.

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: