TIDUR Berkualiti Janjikan Kehidupan Lebih Indah & Kerjaya Yang Cemerlang! Pupuk 4 Cara Ini Agar Mudah Tidur Lena

TIDUR Berkualiti Janjikan Kehidupan Lebih Indah & Kerjaya Yang Cemerlang! Pupuk 4 Cara Ini Agar Mudah Tidur Lena

Rehat yang tidak cukup bukan sahaja menyebabkan anda mengantuk ketika di pejabat, bahkan boleh mengganggu tahap kesihatan. Sebahagian daripada anda mungkin menghabiskan banyak waktu untuk kepentingan pekerjaan tapi sebenarnya kurang tidur boleh memberi kesan negatif kepada kerjaya anda. Antaranya anda mudah hilang tumpuan, jatuh sakit dan boleh membawa kepada tekanan dan sebagainya. Agar tidur lebih berkualiti dan cepat mengantuk di malam hari, hindari kebiasaan berikut:

1.Hindari Pengambilan Ubat Tidur

Meskipun anda mungkin lebih cepat tidur bahana ubat tersebut yang mengandungi bahan penenang, tetapi tahukah anda ia akan mengganggu proses tidur secara alami? Ketika proses ini, tidur pun menjadi kurang berkualiti. Anda boleh saja sering terbangun pada malam hari bahkan mengalami mimpi buruk.

2.Tidur ‘Balas Dendam’

Sebahagian individu berasa tidak pernah mendapat tidur yang cukup saat hari bekerja. Maka ada yang memutuskan untuk berehat seharian pada waktu cuti seolah-olah mahu membalas dendam. Hal ini juga kurang baik kerana waktu terjaga menjadi tidak konsisten. Apabila anda mula bekerja pada hari Isnin misalnya, tubuh anda akan keletihan kerana sebelum itu sudah terbiasa berehat. Justeru ia akan menyebabkan anda berasa mengantuk dan malas membuat kerja.

3.Membuat Kerja Waktu Malam

Bagi membeolehkan anda lebih cepat mengantuk, hindarilah menyelesaikan pekerjaan sebelum tidur. Kegiatan yang memerlukan otak untuk berfikir seperti itu akan membuat anda sukar terlelap. Elakkan meletakkan telefon bimbit anda di hujung kepala supaya anda dapat berehat sepenuhnya dan tidak sibuk memeriksa facebook, e-mel dan sebagainya terutama yang berkaitan dengan pekerjaan yang boleh membuatkan otak anda berfikir sekali gus menyebabkan anda tidak boleh mendapatkan tidur yang lena.

4.Bangun Pada Masa Yang Berbeza-Beza

Sebaiknya anda tidak bangun pada waktu yang berubah-ubah. Pastikan anda set jam bangun tidur yang konsisten kerana ini akan membentuk kebiasaan yang membuatkan anda menjadi terbiasa dengan waktu itu. Lama-kelamaan anda tidak perlu lagi jam untuk mengejutkan anda. Secara automatik anda akan terjaga pada jam tersebut. Waktu bangun tidur yang teratur akan melatih otak mengirim peringatan untuk bangun satu jam sebelumnya. Jika waktu bangun tidur tidak teratur otak tidak akan tahu bilakah waktunya untuk melengkapi proses tidur dan harus bersiap untuk membangunkan anda.

Cara Mengatasi Masalah Tidak Cukup Tidur

1.Kurangkan Aktiviti Luar

Mungkin anda keletihan kerana kerja-kerja di pejabat semakin padat.  Justeru, cuba anda fikirkan apakah aktiviti yang sesuai untuk anda kurangkan. Misalnya, berjalan-jalan sewaktu makan tengah hari. Sekiranya tidak penting, elakkan aktiviti tersebut yang sebenarnya membuatkan anda mudah letih dan kurang produktif.

2.Tentukan Jadual

Agar kerja lebih sistematik, cubalah sediakan jadual. Letakkan pekerjaan paling berat atau penting sebagai keutamaan anda. Lalu berikan tumpuan penuh pada tugas harian tersebut. Hal ini akan memotivasikan anda supaya tidak menangguhkan tugasan.

3.Lapangkan Fikiran

Apakah tubuh anda jadi cepat letih kerana banyak tekanan? Sebaiknya lakukan aktiviti yang boleh melapangkan fikiran. Misalnya dengan berjalan santai sebelum atau sesudah kerja atau melakukan senaman ringan untuk mengurangkan tekanan. Selain dapat membuat fikiran lebih tenang ia juga mungkin boleh membantu memberikan idea yang lebih baik.

4.Bersyukur
Seseorang yang sering bersyukur umumnya merasa lebih ikhlas dalam menjalankan kegiatan, termasuk yang meletihkan. Selain memberi kesan baik untuk diri sendiri, bersyukur juga memberi aura positif untuk orang lain. Dengan begitu, fikiran anda juga akan menjadi lebih  positif  sekali gus membantu menurunkan kadar stres dan menyelesaikan apa jua masalah yang ada. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

 

Penglihatan KABUR & Silau, 6 Aktiviti Ini Punca MATA ROSAK! Atasi Segera Sebelum Melarat

Penglihatan KABUR & Silau, 6 Aktiviti Ini Punca MATA ROSAK! Atasi Segera Sebelum Melarat

Jangan ingat dengan hanya mengelakkan menonton televisyen dari jarak jauh, tidak membaca sambil baring atau mengamalkan jus lobak secara kerap sudah cukup untuk menjaga kesihatan mata. Sebenarnya masih banyak tabiat kurang sihat yang anda lakukan secara tidak sedar boleh menjejaskan kesihatan mata. 6 tabiat buruk ini boleh anda elakkan bermula sekarang.

MEMBACA SEMASA DALAM PERJALANAN

Tabiat membaca ketika di dalam kenderaan bergerak adalah kurang baik. Ini kerana goncangan dari kenderaan mengganggu fokus saat anda membaca. Mata terpaksa menyesuaikan dengan gerakan itu yang terjadi secara berulang-ulang.

TIDAK BERKELIP KETIKA MELIHAT SKRIN KOMPUTER

Ketika bebanan kerja terlalu banyak selalunya menyebabkan seseorang itu lupa untuk berkelip. Mata akan kering dan letih. Saraf-saraf mata juga menjadi tegang sehingga dapat mengurangkan kemampuan anda melihat dengan jelas. Berkeliplah lebih kerap, minimum setiap 10 saat. Setiap 20 minit arahkan mata ke objek lain yang berjarak 20 meter dari anda. Tatap objek itu selama 20 saat.

MENONTON TELEVISYEN SAMBIL BARING

Mungkin ada yang malas hendak duduk sambil menonton televisyen. Mulai sekarang buang tabiat tersebut. Posisi ini tidak bagus untuk mata kerana ia boleh mengakibatkan mata mudah letih. Daya penglihatan mata akan menurun.

SUKA MENGGOSOK MATA

Jangan sering menggosok mata terlalu kuat jika terasa gatal atau masuk habuk. Dikhuatiri pembuluh darah kecil di bawah mata pecah sehingga menyebabkan timbulnya lingkaran gelap atau bengkak. Lebih parah, tabiat ini boleh melemahkan kempuan kelopak mata untuk berkelip.

KURANG TIDUR

Jika mata letih secara terus menerus bukan hanya menyebabkan mata merah, pedih dan kering bahkan menimbulkan lingkaran hitam di bawah mata seterusnya mata menjadi kabur.

KURANG MINUM

Menyebabkan dehidrasi yang akhirnya air mata sukar dihasilkan secukupnya bagi mengekalkan kelembapan serta mendapatkan zat seimbang. Gejala mata berkaitan dengan dehidrasi seperti kekeringan, kemerahan dan bengkak pada kelopak mata.

TIDUR BERSAMA SOLEKAN

Jika terlalu penat kebanyakan wanita terlupa atau mungkin sengaja tidak mencuci wajah sebersihnya sebelum tidur. Mata akan terdedah dengan bahan kimia daripada solekan sehingga berisiko terkena iritasi dan jangkitan kuman. Salah satu simptomnya ialah mata terasa gatal-gatal. AMY MOHD

 

Aduh, Stresnya Bila Pasangan Tidur BERDENGKUR! Tak Lena Dibuatnya

Aduh, Stresnya Bila Pasangan Tidur BERDENGKUR! Tak Lena Dibuatnya

Beristirahat dan melelapkan mata di sisi pasangan pastinya menjadi momen terbaik untuk merawat tubuh badan yang keletihan. Tidur yang lena bukan sahaja menenangkan fikiran, bahkan berupaya mengembalikan kecergasan saat diri terjaga pada keesokan hari. Namun walau bagaimanapun, nikmat ini mampu terjejas jika teman tidur anda mengeruh atau berdengkur tanpa disedarinya!

Bayangkan betapa stresnya apabila tidur yang lena diganggu dek dengkuran pasangan? Pasti nikmat tidur yang berkualiti tidak akan dicapai lantaran bunyi yang kuat serta akan menyebabkan anda bangun dalam keadan letih dan lesu pada keesokan harinya. Bayangkan jika ia berlarutan setiap malam, setiap bulan malah memakan masa bertahun? Stres bukan?

Dengkur… biar tidak membahayakan, namun tetap mempunyai implikasi kesihatan yang serius. Berdengkur ialah bunyi bising yang dihasilkan oleh seseorang semasa tidur. Ia menjadi perkara biasa di kalangan masyarakat di seluruh dunia. Dengkur juga sering dipandang ringan walhal ia sejujurnya mengganggu teman sebilik anda.

Seseorang yang mengalami masalah ini tidak sedar akan bunyi dengkur yang terhasil sehinggalah dimaklumkan. Ada bunyi dengkuran yang perlahan dan ada juga yang mencapai sehingga 90 dB, atau setara dengan bunyi kereta api yang lalu!

Dengkur berlaku kerana masalah penyempitan pada saluran pernafasan terutama di bahagian hidung, tekak dan larinks. Selain itu, posisi tidur terlentang juga membuatkan lidah turun ke belakang (semua otot berehat ketika tidur) dan menyempitkan pernafasan.

FAKTOR

  • Masalah dalam hidung (polip atau dinding septum bengkok).
  • Tonsil dan tisu adenoid membengkak.
  • Uvula (anak tekak) panjang dan mengecilkan rongga pembukaan nafas.
  • Lidah besar dan tertolak ke belakang.
  • Otot tekak tertarik masuk ke dalam tekak.
  • Pengambilan alkohol atau ubatan tertentu yang melemahkan otot.
  • Memiliki rahang kecil.
  • Usia yang meningkat.

KESAN SOSIAL

Sungguhpun dengkur tidak berbahaya, ia boleh mencetuskan gangguan tidur daripada aspek sosial. Bayangkan betapa susahnya pasangan anda atau ahli keluarga yang ingin tidur, tetapi terpaksa mendengar bunyi dengkuran anda. Ia juga mengganggu keharmonian di bilik tidur dan mampu menjurus kepada pergaduhan rumah tangga. Pernah berlaku di Barat, pasangan suami isteri bercerai kerana tidak tahan bunyi dengkuran. Biar pun masyarakat di negara kita lebih bersifat bertolak ansur, namun ia mampu mendorong pasangan untuk merungut atau tidur di tempat lain. Ini tentu sekali menjadi penunjuk yang kurang sihat.

Tahap berdengkur yang paling membimbangkan ialah apabila ia mencapai sleep apnea. Contoh situasi sleep apnea ialah seperti seseorang yang berdengkur dan helaan nafasnya terhenti secara tiba-tiba. Lazim berlaku, pesakit akan bangun secara ‘mengejut’ kerana tindak balas badan. Keadaan ini boleh membuatkan beliau tidak dapat tidur dengan lena, seterusnya menjejaskan prestasi kerja, kurang konsentrasi, sakit kepala, mengantuk dan paling teruk adalah kemalangan semasa memandu. Selain itu, dengku juga menunjukkan implikasi kesihatan lain yang boleh berlaku seperti sakit jantung, strok atau darah tinggi.

Mereka yang sedar akan masalah dengkur perlu segera melakukan pemeriksaan. Pakar akan membuat diagnosis di bahagian hidung, tekak dan larinks, selain memeriksa tahap kesihatan dan berat badan seseorang. Jika perlu, kajian di makmal tidur juga akan dilakukan untuk merekodkan tahap dengkuran yang dialami. Rawatan adalah bergantung pada diagnosis yang dibuat tersebut.

JENIS RAWATAN

  • Rawatan Konservatif

Pesakit akan dinasihatkan agar berhenti merokok atau minuman keras jika ada dan mengurangkan berat badan jika obesiti.

  • Rawatan Surgeri

Terdapat banyak rawatan surgeri yang membantu mengurangkan dengkuran seperti Pillar Implants, Radiofrequency dan laser.

  • Continuos Positive Airway Pressure (CPAP)

Digunakan oleh pesakit yang tidak sesuai menjalani pembedahan, melibatkan bius seluruh badan atau mempunyai penyakit jantung. Alat boleh dibeli dan dipasang semasa tidur. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

 

 

 

 

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: