Mula-mula Berhijab Kemudian Terus Berniqab. Ia Mengajar Erti Sebuah Kebebasan – Sharifah Kirana Syed Ghazali

Mula-mula Berhijab Kemudian Terus Berniqab. Ia Mengajar Erti Sebuah Kebebasan – Sharifah Kirana Syed Ghazali

Penampilannya kini  boleh dikatakan merupakan satu kejutan kepada sesiapa yang mengenalinya. Dahulu dia merupakan seorang yang sangat menonjol apabila berfesyen dan siapa boleh lupakan penampilannya yang pernah berambut blonde pendek. Namun itu mungkin perkara yang sudah lalu. Kini tampil berhijab dan berniqab, Sharifah Kirana lebih menjurus ke arah gaya hidup Islamik yang sederhana dan tidak keterlaluan.

Kongsinya tentang perubahan penampilan diri, “Proses transformasi stail dan juga cara saya berpakaian ini berlaku sedikit demi sedikit dan bukannya secara paksaan, jujur saya katakan ia bukannya mudah. Saya mula bertudung pada tahun 2008 namun masih belum istiqamah, keselesaan itu belum mendalam lagi dan kadang-kadang hati berasa ragu.

Walaupun terdapat rasa ragu untuk berubah, saya tetap meneruskan juga mula-mula dengan menutup kepada dan kemudian berhijab dengan molek. Saya mula benar-benar itiqamah bermula dua dan tiga tahun kebelakangan ini dan semakin selesa dengan penampilan berhijab serta berniqab sepenuhnya. Kalau nak tahu sejak berniqab saya rasa ia memberikan kebebasan kepada saya sebenarnya.”

Ketika Minggu Fesyen Malaysia 2017 berlangsung pada pertengahan September tahun lalu, dia mempersembahkan koleksi rekaan yang sopan menutup aurat wanita yang diberi nama SUCI by Sharifah Kirana. Bercerita tentang perubahan dalam nilai rekaan ini, dari riak suaranya penulis dapat merasakan kejujuran dan niat berada di dalam landasan yang menggembirakan hatinya.

“Sebenarnya ini lebih kepada kesedaran dalam hidup kita, jadi apa yang saya lakukan sekarang dari segi seni dan juga fesyen boleh menjadi bekalan saya di akhirat nanti. Saya mahu menghasilkan busana yang punya tujuan di samping mendapat keredaan Allah SWT. Selari dengan konsep ini, saya bakal menubuhkan ‘House of Aurat’ yang mengkhususkan menjual pakaian yang menepati syariat.

Namun semua kena faham, House of Aurat ini tidak semestinya kita mahu memaksa semua orang untuk tampil berniqab atau memakai tudung, tetapi saya mahu menggalakkan mereka memamakai busana yang lebih sopan. Oleh itu sasaran target pembeli saya adalah universal untuk semua orang tanpa mengira bangsa dan juga agama.”

*UNTUK MEMBACA TEMUBUAL INI DENGAN LEBIH MENDALAM. DAPATKAN MAJALAH NONA EDISI JANUARI 2018 YANG SUDAH BERADA DI PASARAN.

Tiru Petua Ratu Cantik Ini Kecutkan Jerawat, Tak Sangka Mudah Sangat Amalan BKAY NAIR!

Tiru Petua Ratu Cantik Ini Kecutkan Jerawat, Tak Sangka Mudah Sangat Amalan BKAY NAIR!

Dia adalah lambang wanita berjaya dengan pakej lengkap. Bkay Nair, wanita kelahiran Johor Bahru yang pernah dimahkotakan sebagai Ratu Miss Malaysia Indian Tourism 2007/2008, Miss Malaysia Indian Global 2008/2009 dan Malaysia Worldwide Queen 2017 ini juga memiliki personaliti yang amat menyenangkan.

Berkongsi pencapaian terbaiknya kepada Nona, baru-baru ini Bkay Nair telah dianugerahkan The Golden Phoenix Awards dalam kategori Outstanding Women Entrepreneur 2017 di atas usaha sebagai Konsultan Imej menerusi syarikat, Bkay Nair Resources.

Selain bergelar model, wajah Bkay Nair juga tidak asing di kalangan penggiat seni selepas membintangi 4 buah filem iaitu Ratu The Movie, Raya Tak Jadi, Bujang Terlajak dan Ngorat.

Nak tahu bagaimana dia menjaga kecantikannya? Ikuti perkongsian Bkay Nair tentang rejimen harian serta petua mujarab ini agar anda angboleh kelihatan hebat sepertinya. Mudah sangat, boleh tiru tau!

Bagaimana rejim penjagaan kulit anda setiap hari?

Tentu sekali membersih, menyegar, pakai serum, krim pelembap setiap pagi dan malam serta krim tabir suria. Saya juga buat skrub muka dan pakai masker 1-2 kali seminggu. Paling penting selepas bermekap, saya akan pastikan ia dicuci bersih sebelum tidur.

Tip paling cepat untuk kelihatan cantik dan ‘bersedia’ dalam 5 minit?

Ada masanya bila terlewat bangun dari tidur, kita akan tergesa-gesa untuk bersiap. Beberapa tip di bawah ini boleh ‘mempercepatkan’ proses itu dan membuat anda kelihatan sempurna dengan pantas.

Gunakan produk kosmetik jenis multi-tasking seperti makeup tints yang boleh dipakai pada pipi, bibir dan mata. Kalau kesuntukan masa untuk bermekap, calitkan gincu dalam rona terang agar kelihatan lebih polished.

Terlalu sibuk untuk membasuh dan menggayakan rambut? Taburkan saja dry shampoo atau bedak bayi di kulit kepala agar ia tidak berminyak. Akhir sekali, amalkan rutin memilih pakaian yang bakal dipakai dan letakkan di tempat yang mudah dicari sebelum anda masuk tidur.

The do’s & dont’s solekan untuk wanita berkulit coklat? Apakah warna gincu atau pemerah pipi yang anda elakkan?

Saya mempunyai kulit sawo matang. Jadi untuk memastikan solekan menonjol, saya perlu bijak memilih warna yang sepadan dengan kulit. Paling utama, warna bedak asas dan concealer mestilah betul serta nampak semula jadi.

Untuk gincu dan pemerah pipi, saya suka memilih warna-warna warm atau neutral. Ia sangat sesuai untuk kulit tan saya. Warna merah cili paling saya suka! Dan saya akan selalu elakkan warna-warna cool seperti merah jambu.

Instant remedy untuk mengatasi masalah kulit berjerawat?

Sejak dulu saya amalkan satu petua ini. Ambil beberapa ulas bawang putih, sapukan di atas jerawat dan biarkan semalaman. Hasilnya, jerawat pasti kecut apabila saya bangun pagi nanti.

Penjagaan kecantikan dari dalam? Apakah suplemen atau pemakanan sihat yang anda amalkan?

Saya amalkan jamu setiap hari. Jamu segar campuran kunyit, halia dan asam jawa ini dibuat sendiri oleh sahabat saya dari Aceh. Sejak mengamalkan jamu, ternyata ia baik untuk detoks hati, membersihkan darah serta melancarkan kitaran haid saya. Saya juga rasa lebih bertenaga dan sihat walaupun sibuk dengan aktiviti harian.

Selain jamu, pengambilan vitamin C dan bio-collagen juga penting setiap hari. Saya amalkan suplemen ini sebelum tidur sebagai nutrisi tambahan.

Anda suka minum jus? Boleh kongsikan 1 resipi jus sihat yang digemari?

Sudah tentu! Saya selalu buat satu jus ini yang berkhasiat untuk detoks dan kulit sihat. Resipinya mudah iaitu kisarkan buah oren, grapefruit, lemon dan saderi. Kemudian minum sampai habis.

Cara anda mengawal berat badan dan mengatasi masalah water retention?

Cuba kurangkan gula sebanyak mungkin! Mungkin ada sesekali saya makan desserts tapi itu pun tidak selalu. Setiap hari saya minum kopi tanpa gula, pastikan makan malam awal dan elakkan daripada supper atau makan pada tengah malam.

Untuk atasi water retention pula, saya minum banyak air setiap hari dan bersenam secara konsisten.

Nona kagum dengan sifat dermawan yang dimiliki graduan jurusan Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu. Dia bukan saja cantik, malah aktif melakukan kerja-kerja kebajikan bagi membantu golongan wanita dan kanak-kanak yang memerlukan.

Bkay Nair kerap menyertai aktiviti NGO di Soroptimist International Ampang, selain pernah mengambil bahagian sewaktu World Hijab Day International. Norzalina Mohd Alias

Bagaimana Kehidupan Di Rumah Bagi Pasangan SUAMI ISTERI DOKTOR? Dr. Hafizah & Dr. Fahmi Ini Kongsi Formulanya

Bagaimana Kehidupan Di Rumah Bagi Pasangan SUAMI ISTERI DOKTOR? Dr. Hafizah & Dr. Fahmi Ini Kongsi Formulanya

Pasangan suami isteri iaitu Dr. Hafizah Md Salleh dan Dr. Ahmad Fahmi Dato’ Mohamad Bustaman merupakan pakar dalam bidang kedoktoran masing-masing.

Biarpun berbeza kepakaran, namun mereka menggalas amanah yang sama iaitu mendidik masyarakat agar menghargai kesihatan.

Kedua-duanya berusia 37 tahun. Hasil perkahwinan selama 13 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata berusia 12, 9 dan 7 tahun.

Dr. Hafizah merupakan doktor perubatan keluarga di sebuah hospital kerajaan. Anak jati Perlis ini pernah menuntut di Maktab Rendah Sains MARA Taiping seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Sains Malaysia (USM).

Dr. Hafizah juga baharu saja menamatkan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM). Sebagai doktor perubatan keluarga, beliau bertanggungjawab merawat pesakit dari pelbagai peringkat usia bermula bayi sehinggalah warga emas di samping memberi konsultasi kesihatan.

Sementara Dr. Fahmi pula dilahirkan di Kuantan, Pahang dan kini bertugas sebagai Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial. Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun ini merupakan graduan Universiti Sains Malaysia, University of Hong Kong dan Royal College of Surgeons Edinburgh Scotland.

Sebagai Pakar Bedah Mulut, beliau bertanggungjawab menjalankan pembedahan-pembedahan minor dan major di bahagian mulut dan muka. Bidang ini berbeza dengan pembedahan plastik kerana ia melibatkan tulang. Manakala pembedahan plastik melibatkan kulit serta otot.

MEDIA SOSIAL

Bagi pasangan ini, kerjaya doktor merupakan satu kelebihan buat mereka kerana mudah untuk saling memahami dan bertoleransi dalam segala hal. Apa yang penting ialah disiplin dan bijak membahagi masa.

“Jangan campur adukkan urusan kerja ketika di rumah. Dahulu saya sangat aktif dalam media sosial. Tanpa sedar ia mengambil banyak masa yang sepatutnya saya beri buat diri sendiri. Kini saya lebihkan masa untuk keluarga dan peribadi seperti bersukan serta membaca agar setiap masa saya dapat memperbaiki diri menjadi lebih baik.

Tidak dinafikan kini ramai yang popular dan berpengaruh di media sosial yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk doktor.

Hakikatnya apa yang dipaparkan di media sosial itu bergantung kepada niat kita. Jika anda seorang doktor dan hanya berniat untuk meraih populariti dan likes, tanpa sedar anda sebenarnya telah memalukan profesion kedoktoran yang merupakan satu tugas murni.

Tidak perlu menunjuk-nunjuk apa yang dilakukan kepada pesakit setiap hari semata-mata mahu mendapatkan populariti kerana ia tidak akan kekal lama. Lakukan tugas dengan ikhlas dan jujur. Populariti kita mungkin bukan di media sosial, cukup hanya di hati mereka yang telah kita bantu,” luah Dr. Fahmi.

Dr. Hafizah pula berpendapat, media sosial boleh dijadikan platform bagi mendidik masyarakat tentang kesihatan. Tidak salah untuk menjadi popular di media sosial asalkan apa yang dipamerkan dan disampaikan adalah benar. Tidak semuanya menunjukkan realiti sebenar. Maka sebab itulah Dr. Hafizah kurang aktif di media sosial.

“Sebagai isteri dan ibu yang bergelar doktor, jatuh bangun dalam kerjaya saya lebih kepada turun naik emosi. Ada ketikanya semangat saya merudum dengan beban kerja, tugasan belajar dan urusan keluarga.

Kadang-kadang hampir putus asa. Doa insan-insan sekeliling terutama keluarga menjadi pendorong buat saya bagi mengharungi segala cabaran.

Suami seorang yang istimewa kerana beliaulah pelengkap untuk setiap kelebihan dan kekurangan saya. Suami juga seorang bapa yang baik.

Sebagai isteri tipulah kalau saya kata tidak cemburu. Paling penting ada tempat istimewa buat saya dalam hatinya. Itu sudah cukup buat saya.

Untuk berjaya dalam karier jangan banyak mengeluh. Banyakkan bersabar dan bebas daripada hal negatif. Sentiasa berbuat baik dengan semua orang.

Walaupun ada pembantu rumah, tugas sebagai ibu dan isteri tetap diutamakan. Jika tidak sibuk, saya ambil peluang untuk memasak demi mengembirakan anak-anak dan suami,” kongsi Dr. Hafizah.

KANSER PAYUDARA

Menurut Dr. Hafizah, kesedaran tentang kanser payudara sangat penting kerana rawatan segera boleh diberikan jika kanser ini berjaya dikesan peringkat awal.

“Banyak saringan kanser payudara menerusi ujian mamogram ditawarkan di klinik kerajaan serta swasta. Wanita berusia 50 tahun ke atas atau sesiapa sahaja yang mempunyai risiko kanser digalakkan membuat saringan kanser payudara bagi mengesan kanser di peringkat awal.

Pengesanan dan rawatan awal memastikan rawatan terbaik dapat diberikan.

Kini ramai bekas pesakit kanser yang berjaya memberi inspirasi buat kaum wanita tentang pengesanan awal di samping berkongsi kehidupan selepas menjalani rawatan kanser.

Malang sekali bagi mereka yang masih menolak rawatan kanser payudara di hospital sebaliknya memilih rawatan alternatif yang kita tahu belum tentu selamat. Wahai wanita, sayangilah payudara anda,” jelas Dr. Hafizah. Amy Mohd

Kasihnya Terhadap Alam Sekitar Dorong Ibu Jelita Ini Muncul Sebagai ARKITEK LANDSKAP WANITA TERMUDA Di Malaysia. Membanggakan!

Kasihnya Terhadap Alam Sekitar Dorong Ibu Jelita Ini Muncul Sebagai ARKITEK LANDSKAP WANITA TERMUDA Di Malaysia. Membanggakan!

Bukan mudah mencipta nama dalam dunia landskap lebih-lebih lagi jika baru lepas keluar universiti. Pencapaian dalam bidang ini tidak datang dalam sekelip mata kerana mengambil masa yang agak lama untuk dinilai.

LAr. Wan Salamatul Juita Dato’ Dr. Wan Hashim, pernah dinobatkan sebagai Young Landscape Architect of the Year bagi tahun 2015 oleh Institusi Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) di Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA). Anugerah ini dinilai melalui pencapaian dan sumbangan yang cemerlang dalam industri sepanjang penglibatan 10 tahun di dalam kerjaya Arkitek Landskap di Malaysia.

Sebaik sahaja menggenggam Ijazah Sarjana Muda Arkitek Landskap dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai pada tahun 2005, wanita ini memulakan kerjaya sebagai Arkitek Landskap di Walrus Design Sdn. Bhd., atau yang dahulunya dikenali sebagai ICN Design International. “Kemudian saya mencabar diri menyertai salah sebuah firma Arkitek Landskap yang terbesar di Malaysia, Malik Lip & Associates.

Ketika berumur 26 tahun, saya telah menduduki peperiksaan Kursus Amalan Ikhtisas yang dianjurkan oleh Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) untuk diiktiraf sebagai Ahli Korporat dan Arkitek Landskap Bertauliah.

Alhamdulillah, saya lulus ujian dengan sekali percubaan. Dengan pentauliahan ini, saya memberanikan diri meneruskan langkah dengan membuka syarikat saya sendiri, Verona Design Sdn. Bhd, pada usia 28 tahun,” ungkap wanita yang mengagumi arkitek Zaha Hadid itu.

Ramai yang kurang jelas tentang tanggungjawab seorang Arkitek Landskap. Sebenarnya kerjaya ini tertumpu kepada reka bentuk persekitaran luaran (external spaces). Ia merupakan bidang yang berkaitan antara sains dan seni dalam reka bentuk melalui perancangan atau pengurusan sesuatu kawasan.

“Untuk menjadi seorang Arkitek Landskap, seseorang itu hendaklah mempunyai daya kreativiti serta imaginasi yang tinggi, berkemampuan dalam analisa logik, pengurusan dan pengaturan, kebolehan menyelesaikan masalah serta mempunyai daya pemerhatian yang tajam,” ujar anak Kuala Lumpur itu.

Wanita yang berusia 34 tahun ini begitu optimis setiap kali diajak berbicara tentang landskap dan persekitaran. “Bagi saya, jika hendak berjaya, kita perlu bijak memilih kawan. Pilih rakan yang positif, yang meyakini kebolehan kita, selalu memberi semangat dan akan bersama-sama berusaha untuk mencapai matlamat masing-masing.

Sikap saling sokong-menyokong ini dapat mematangkan kita untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dalam hidup ini. Saya hidup dengan prinsip Oprah Winfrey, iaitu surround yourself with only people who are going to lift you higher.

Salah satu projek high rise saya ialah Suria Residence di Bukit Jelutong yang telah memenangi kategori 5 stars Best Residential Landscape Architecture di peringkat Asia Pacifik di International Property Awards of London, United Kingdom.

Saya telah selesai menyiapkan satu projek di Help University Campus, di Subang Bestari yang berkonsepkan Tropical Rainforest Green Campus, apabila sebanyak 130 pokok-pokok hutan matang serta berbuah dibawa khas dari nurseri di Tanjung Malim bagi mencerminkan suasana hutan di dalam kampus.”

Persekitaran landskap juga berfungsi sebagai terapi, memberi ketenangan serta merehatkan minda manusia. Apabila mereka benar-benar tahu kepentingan bidang arkitek landskap, profesion ini akan lebih dihargai.

Akhiri beliau, “Tidak seperti pereka fesyen, bidang pembinaan mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan, baru hasil kerja dapat dilihat dan dinikmati oleh semua orang. Some people said a Landscape Architect will only recognised when they get older.

Jadi kena sentiasa bersabar dan tidak putus berusaha untuk terus berjaya,” ungkap ibu kepada Harris Danial Adlan, 7 tahun, dan Ireena Rania Adlan, 1 tahun. Hamizatul Maizan Mohamed

Rezeki Tania Zara Hasilkan PASTRI ISTIMEWA Kesukaan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim Sempena Hari Kelahirannya

Rezeki Tania Zara Hasilkan PASTRI ISTIMEWA Kesukaan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim Sempena Hari Kelahirannya

Cantik manis dan kecil molek saja orangnya. Memiliki susuk tubuh yang langsing persis anak dara tidak langsung menunjukkan dirinya seorang ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara 6, 3 dan 8 bulan.

Tania Zara bukan sekadar cantik bahkan seorang isteri dan ibu yang aktif sebagai pengusaha studio membuat kek iaitu Coffee Jeans & Co.

Tania Zara atau nama sebenarnya, Norzalina Mohd Sudin seorang yang merendah diri. Anak jati Kuala Lumpur yang berusia 37 tahun ini cukup mahir dalam membuat kek dan pastri.

Berjauhan dari suami yang bertugas sebagai Senior Drilling Fluid Engineering di Baker Hughes Saudi Arabia menjadikan Tania Zara seorang yang berdikari. Maka, tercetuslah idea untuk menubuhkan Coffee Jeans & Co sejak setahun lalu.

“Segalanya bermula dengan hobi saja sebab saya memang penggemar kek. Perancangan asal hendak membuka kafe tetapi memandangkan permintaan untuk membuka kelas lebih tinggi maka saya dan suami memutuskan untuk membuka studio Coffee Jeans & Co ini.

Secara asasnya Coffee Jeans & Co disewakan kepada mereka yang berminat untuk mengadakan kelas atau bengkel membuat kek, biskut, kuih dan sebagainya.

Coffee Jeans & Co juga menawarkan kelas yang bukan sahaja terdiri daripada tenaga pengajar tempatan bahkan dari luar negara. Saya antara salah seorang tenaga pengajarnya.

Setakat ini sekurang-kurangnya 100 kelas yang telah kami tawarkan buat orang ramai seperti membuat dan mendekorasi kek, pastri, pavlova serta macaroon.

Momen terindah apabila berpeluang menghasilkan pastri berupa chicken pie, sardine puff dan cream horn istimewa buat Raja Permaisuri Perak iaitu Tuanku Zara Salim bersempena ulang tahun kelahirannya. Antara klien besar Coffee Jeans & Co ialah Shell, Petronas dan Schlumberger.

Saya amat bersyukur dan anggap ini adalah rezeki seterusnya menambahkan lagi semangat untuk saya berusaha lebih gigih demi menaikkan nama Coffee Jeans & Co.

Satu-satunya sumber inspirasi saya dalam perniagaan ialah Datin Vivy Yusof,” kongsi Tania Zara yang juga aktif sebagai model iklan komersil dan pelakon. Amy Mohd

Sumber Foto: @taniazara dan @coffeejeansandco

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: