• 569
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    569
    Shares

Orang cakap, kalau dah jodoh tak ke mana. Alhamdulillah, Nona tumpang gembira bila dapat tahu pengasas Tudungruffle yang cantik jelita ini bakal menamatkan zaman bujangnya Jumaat ini.

Pastinya tanggal 8 September 2017 menjadi detik bersejarah buat Hanis Arif dan kekasih hati apabila dua jiwa yang saling mencintai bakal disatukan sebagai suami isteri yang sah. Tahniah buat Hanis, jodoh yang selama ini ditunggu-tunggu akhirnya ada di depan mata!

Pernah juga terbaca satu caption di Instagram rakan baik Hanis, Farahanim Razak yang berkata bakal suami pengusaha tudung berusia 28 tahun ini persis Tengku Mahkota Johor semasa muda. Betul ke? Tak sabar hendak tengok mesti sama cantik sama padan.

Ketika menghubungi Hanis untuk bertanyakan tentang persiapan hari bersejarahnya, dalam nada tenang gadis kelahiran Ohio, Amerika Syarikat ini menzahirkan rasa syukur kerana segala-galanya berjalan lancar.

Cuma kini debaran bergelar isteri makin hangat terasa. Penulis turut difahamkan jejaka yang berjaya menawan hati Hanis merupakan seorang ahli perniagaan bernama Muhammad Irshad Dato’ Kapten Razali yang berusia 29 tahun.

“Sejujurnya, Anis dan Irshad berkenalan melalui keluarga. Orang kata jatuh cinta pandang pertama. Pertemuan kami diaturkan oleh kedua-dua keluarga dan masa pertemuan tersebut, Irshad meluahkan hasrat untuk berkenalan dengan Anis. Kami bertukar-tukar nombor telefon dan mula mengenali hati budi masing-masing.

Sepanjang berkenalan, wujud keserasian antara kami berdua dan Irshad kemudian meminta keluarganya menghantar rombongan merisik ke rumah Anis.

Memandangkan kami masing-masing pernah putus cinta dan tak mahu bercinta terlalu lama, Anis dan Irshad ambil keputusan untuk terus berkahwin tanpa majlis bertunang. Alhamdulillah dengan restu kedua-dua belah keluarga, segala-galanya dipermudahkan,” cerita Anis berbunga riang.

Untuk majlis pernikahan di Masjid Putrajaya nanti Hanis akan mengenakan koleksi Tudungruffle dan persalinan tradisi dari Minaz. Sementara pengantin lelaki pula akan menyarung busana Dloris Exclusive.

Majlis resepsi pula akan diadakan di Marriott Putrajaya pada keesokan hari yang diuruskan perunding perkahwinan, Sharifah Nor Syed Mohamad dengan dekorasi pelamin dari Mahligai Creative.

Untuk acara bersanding ini, Hanis akan menggayakan busana perkahwinan rekaan Rizman Ruzaini dan Dloris Exclusive untuk busana pengantin lelaki.

Sambil menyifatkan bakal suaminya seorang yang pemalu, Hanis dan suami merancang untuk berbulan madu di Switzerland, Paris, Santorini dan trip mengelilingi Euro–London.

“Pada awal perkenalan, Anis sangkakan suami seorang yang pendiam. Tapi jangkaan Anis salah sebab dia sebenarnya seorang yang banyak cakap dan kelakar.

Sikap Irshad yang sentiasa merendah diri dan pandai mengambil hati keluarga serta orang di sekeliling juga membuatkan Anis tertarik dengan keperibadiannya.”

Nona doakan semoga ikatan yang dibina berkekalan hingga ke syurga dan tabah mengharungi alam rumah tangga. Selamat Pengantin Baru Anis & Irshad! Suziana Abu Daud

Jangan Lupa Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: