Anda harus bangga sebagai seorang wanita ada semuanya, rumah tangga, kerjaya, kebebasan bersuara dan kebebasan untuk memegang jawatan yang secara tradisinya disandang oleh kaum lelaki. Jika dahulu, kaum wanita dianggap lemah, sekarang kita tidak sepatutnya merasakan kita begitu lagi kerana sebenar-benarnya, kebanyakan wanita kini memikul lebih banyak tanggungjawab daripada kaum lelaki.

Apabila kaum wanita pada zaman 60an dan 70an memperjuangkan hak-hak asasi untuk kaum wanita, kita terlupa untuk negotiate dengan kaum lelaki pada waktu itu untuk mengambil sedikit tanggungjawab rumah tangga yang sudah sedia ada. Kita berjuang untuk mengambil lebih banyak tanggungjawab dan akibatnya sekarang kita dilanda dengan tanggungjawab yang begitu banyak sehingga kadangkala terasa seperti hendak bernafas pun boleh terlupa! Memang kita wanita di zaman ini adalah wanita luar biasa; ‘serba boleh’, ‘serba penat’ dan selalu ‘serba stres’.

IKLAN

Kali ini, kita akan menyelami isu yang dikatakan Sindrom Superwoman. Memang betullah tu. Ada hari-hari di mana kita rasakan badan umpama ditarik dalam sepuluh arah yang berlainan; di mana kita benar-benar stres. Lalu kita bertanya kepada diri sendiri, adakah ini sebenarnya kehidupan yang idam-idamkan? Bagaimana boleh berada di sini?

Ada wanita yang secara semula jadi suka menguji potensi diri sendiri, sejauh mana kita boleh pergi. Prinsip hidup yang mungkin kita amalkan adalah sekiranya hanya satu orang lain sahaja yang mempunyai ciri-ciri fizikal manusia sama seperti kita, boleh melakukan sesuatu yang kita tidak boleh,dan inginkan sifat atau kebolehan tersebut, kita juga pasti akan cuba melakukannya dengan terbaik. Ini menyebabkan kita sering mencuba cabaran-cabaran baru dalam hidup.

Kita juga percaya bahawa sebagai makhluk Allah SWT yang telah dikurniakan akal fikiran, adalah menjadi tanggungjawab setiap insan mengagungkan kebesaran kejadian Allah SWT dengan melakukan apa sahaja sebaik mungkin sebagai tanda syukur. Insan mempunyai kebolehan unik yang tersendiri dan sekiranya kita menjumpai kebolehan tersebut dan menggunakannya dengan sebaik mungkin, kita mempunyai potensi untuk menjadi seorang insan yang hebat. Sekiranya anda mempunyai potensi menjadi seorang insan yang hebat dalam cara unik anda yang tersendiri, kenapa pula anda hanya mahu menjadi seorang yang serba biasa dan bukannya insan yang luar biasa?

Walau bagaimanapun, dalam menangani hidup ini yang sememangnya penuh dengan cabaran, menambahkan beban untuk menjadi seseorang yang luar biasa ini atau Superwoman boleh menambahkan stres  yang sudah sedia ada.

Tak Perlu Jadi Perfectionist, Wanita Hebat Bergelar SUPERWOMAN Mesti Kuat Harungi Tekanan!

Selama ini apabila kita digelar Superwoman, kita menerima gelaran tersebut sebagai  suatu pujian yang menyemarakkan lagi semangat untuk kita terus lebih ‘super’ lagi. Kita menjadi seorang yang ‘perfectionist’ yang tidak kenal erti penat; bangga apabila sakit tetapi terus bekerja dan tidak mengambil off-day dan seronok  apabila tidak rasa bersalah  mengambil masa bersantai dengan tidak berbuat apa-apa.

Kita berpendapat bahawa gelaran Superwoman ini adalah satu pencapaian sehinggalah ada yang membuat kaji selidik sendiri dan mendapati bahawa menjadi seorang Superwoman ini bukanlah semuanya baik. Sebaliknya, sifat seorang Superwoman yang tidak pandai mencari keseimbangan hidup  boleh menjadikan sindrom tersebut  pemangkin segala penyakit.

Persoalan seterusnya yang datang adalah, adakah ini bermakna sekiranya kita mahu menikmati kesihatan fizikal dan mental secukupnya dan hidup stress-free, kita terpaksa meninggalkan keinginan untuk menjadi seorang yang luar biasa? Ini tidak akan memberi kepuasan kepada diri kita sendiri. Mungkin untuk tidak mencuba sebanyak dan sebaik mungkin dalam apa bidang yang saya ceburi tidak akan memberi saya kepuasan dalam hidup. Tidak bolehkah kita menjadi seorang Superwoman yang Superhappy? Lalu kita harus membuat keputusan untuk memahami lebih lanjut mengenai Sindrom Superwoman ini.

IKLAN

KENALI SINDROM SUPERWOMAN

Pertama sekali, buat analisa diri saya sendiri untuk memastikan bahawa adakah anda termasuk dalam golongan mereka yang mempunyai sindrom ini. Jika dapati, sekiranya anda memang mencuba untuk menjadi seorang Superwoman, jawapannya adalah YA. Mereka yang mengalami sindrom tersebut, merasa tekanan untuk melakukan sebanyak yang mungkin;  seorang ibu mithali di rumah, isteri yang penyayang, wanita berkerjaya yang berjaya, pengurus rumah tangga, teman yang baik, pandai menguruskan diri, mempunyai kehidupan sosial yang aktif di luar dan semuanya diperagakan dengan senyuman yang lebar di muka menunjukkan konon-kononnya menjadi seorang  Superwoman ini adalah mudah sahaja.

Bukanlah sekadar melakukan seribu satu tugas, seorang Superwoman merasakan stres untuk memastikan bahawa setiap tugasan yang disempurnakan mestilah sempurna tanpa sebarang kecacatan. Sepatutnya merasa bangga atas pencapaiannya, seorang Superwoman sering merasa, keletihan, lemas dan kehilangan. Perasaan letih, risau dan tertekan sering dialami oleh mereka yang mengidap sindrom ini.

IKLAN

Seorang Superwoman tanpa menyedarinya meletakkan standard yang tinggi dan tidak munasabah terhadap dirinya. Dia mengejarkan hanya yang terbaik atau perfection dan mengukur kejayaannya dari segi produktiviti dan pencapaian yang dapat diukurnya. Standard yang tidak munasabah ini menyebabkan dirinya sentiasa dilanda tekanan emosi.

Seorang Superwoman itu semestinya seorang yang boleh melakukan beberapa tugasan dalam masa yang sama atau pakar dalam multi-tasking. Tetapi seseorang yang mempraktikkan gaya hidup seperti ini di mana dia sering meletakkan kepentingan orang lain daripada kepentingan dirinya sendiri akan mendapati dirinya menghadapi satu breaking-point atau had maksima di mana kesihatan fizikal dan mentalnya akan terganggu ke tahap yang serius dan apabila beliau rebah, dia mendapati dirinya tidak dapat bangun semula.

Tak Perlu Jadi Perfectionist, Wanita Hebat Bergelar SUPERWOMAN Mesti Kuat Harungi Tekanan!

Penghidap Sindrom Superwoman ini boleh didapati dari sekalian lapisan masyarakat yang terdiri daripada golongan ibu, profesional, aktivis, penuntut-penuntut universiti dan semestinya usahawan.

Sindrom Superwoman ini bukanlah sesuatu sindrom yang unik. Ia akan dihadapi oleh mana-mana individu yang mempunyai naluri semula jadi untuk berjaya atau menang dalam segala yang dilakukannya. Keinginan untuk menang ini tertanam daripada sikap inginkan kepuasan diri atau personal satisfaction. Menurut Dr. Madeleine Ann Lewis, penulis buku Overcoming the Superwoman Syndrome, beliau mengatakan bahawa mereka yang mengalami sindrom ini sebenarnya mempunyai sifat-sifat:

  • Mahu menjadi seorang yang terpuji
  • Suka membuat orang lain rasa gembira
  • Suka perhatian
  • Mahu merasakan diri serba boleh
  • Tidak boleh berkata ‘tidak’ kepada orang lain yang meminta tolong
  • Perlu rasa dirinya berjaya
  • Mempunyai perasaan rendah diri
  • Seorang perfectionistSeorang ‘Superwoman’ adalah ‘A Stressed-out Woman’

    Salah satu sebab mengapa Sindrom Superwoman ini berbahaya adalah kerana penghidap sindrom ini selalunya memikul tahap tekanan emosi atau tahap stres yang amat tinggi. Menurut Dr. Madeleine Ann Lewis juga, Sindrom Superwoman ini termasuk juga tanda-tanda fizikal dan psikologi daripada tekanan yang dialami oleh wanita yang mahukan hanya yang terbaik atau perfection. Sindrom Superwoman ini wujud dan boleh membawa kepada penyakit-penyakit yang berbahaya. Penyakit-penyakit yang berkaitan termasuk sakit jantung, sakit kepala, migrain,tekanan darah tinggi dan radang usus.

    Stres juga boleh menyebabkan reaksi makan berlebihan atau pemakanan ubat-ubatan. Tanda-tanda anda mengalami sindrom ini adalah seperti :

  1. Mood yang tidak menentu
  2. Senang marah
  3. Daya ingatan yang lemah
  4. Konsentrasi yang lemah
  5. Luahan emosi yang mengejut
  6. Susah membuat keputusan
  7. Senantiasa fokus kepada yang negatif
  8. Tension urat
  9. Radang kulit
  10. Senang berpeluh
  11. Susah atau terlalu banyak tidur
  12. Sukar bernafasBagaimanapun, terdapat cara-cara bagaimana kita  dapat mengatasi atau mengurangkan  stres yang terpaksa dilalui sebagai seorang Superwoman:
  1. Kenali tabiat Sindrom Superwoman: Anda tidak akan dapat menyelesaikan masalah anda sekiranya anda tidak mengenali tabiat-tabiat yang biasa dialami oleh mereka yang mengalami Sindrom Superwoman ini. Tanyalah diri anda: Adakah hari-hari anda dipenuhi dengan tugasan orang lain tanpa mempunyai masa untuk diri anda sendiri? Adakah anda meletakkan keperluan orang lain dahulu sebelum keperluan anda sendiri? Adakah jadual anda terlalu padat sehinggakan anda tiada masa untuk berfikir? Adakah anda telah mengubah personaliti anda untuk diterima oleh orang lain? Sekiranya anda telah menjawab YA untuk satu soalan pun, mulai sekarang ubahlah fokus terhadap diri anda pula.
  2. Hidupkan semula impian anda: Pada suatu masa dahulu, kita semua mempunyai impian yang kita lupakan kerana kesibukan tugas harian. Inilah masanya untuk anda hidupkan kembali impian anda dan rasa seperti anda hidup semula.
  3. Ambil keputusan di manakah anda mahu melabur tenaga anda: Adakah anda mengalami kehidupan yang anda idam-idamkan? Sekiranya tidak, buat senarai impian anda dan dari situ fokuskan tenaga anda terhadap memenuhi kehidupan impian anda.
  4. Buat temu janji dengan diri anda setiap hari dan jangan batalkan temu janji tersebut: Ambil masa setiap hari untuk melakukan sesuatu untuk diri anda sendiri seperti mendengar muzik , membaca buku, keluar minum kopi bersama teman dan sebagainya.
  5. Kenali had anda: Apakah tahap maksima anda? Adakah anda terpaksa berkompromi kualiti suatu tugasan kerana terpaksa menghabiskan tugas lain? Sampai tahap manakah seseorang boleh memaksa anda yang mana teman atau bos anda boleh memaksa anda bekerja? Adakah anda bekerja di hujung minggu, dan menerima panggilan telefon pada waktu cuti? Ambil masa untuk menulis had-had anda. Melukis garisan sempadan dalam hidup anda  penting untuk melindungi minda.
  6. Tinggalkan perfectionism: Tidak mengapa sekiranya rumah anda tidak bersih setiap masa atau makan malam tidak semestinya sempurna setiap kali. Anda tidak mungkin perfect setiap masa.
  7. Bina sistem sokongan: Membina suatu sistem sokongan yang mantap boleh membantu dan meringankan beban sewaktu kita bermasalah.
  8. Belajar meminta pertolongan orang lain: Jika anak-anak anda sudah besar, biar mereka menolong membuat kerja rumah. Minta juga suami anda membantu supaya anda rasa tenteram.Hidup ini adalah penuh dengan dugaan dan cabaran, tetapi terdapat banyak lagi yang indah juga dalam hidup kita. Yang penting ambillah masa untuk bersyukur dan menikmati hidup ini. Jika anda berjaya menyandang gelaran Superwoman ini dengan penuh bangga walaupun ia mencabar. Hidup ini tidak sempurna atau perfect tetapi terdapat keindahan di sebalik ketidaksempurnaannya. Bagaimana kita memilih untuk hidup di dunia ini adalah hak kita sendiri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI