Jangan pandang ringan tentang perkara ini supaya tidak timbul perebutan harta benda dunia. Semua wanita perlu ambil tahu juga tentang pembahagian harta secara faraid!

IKLAN

Dalam Islam, apabila seseorang meninggal dunia, harta yang ditinggalkan oleh si mati akan dibahagi-bahagikan mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh Islam. Kaedah ini dikenali sebagai Faraid. Dari segi bahasa, Faraid mempunyai maksud yang banyak antaranya ialah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Manakala menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia dan tidak meninggalkan wasiat sebelum kematiannya.

Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli waris (seperti anak, isteri, suami, ibu atau sebagainya) menurut hukum Islam. Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah BAKI harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (contohnya zakat atau nazar) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak. Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara Faraid ialah tanah, bangunan (rumah), barang kemas (seperti emas atau perak), insurans dan wang tunai (samada dilaburkan atau tidak) dan binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau dan sebagainya.

Mengikut kaedah Faraid, terdapat cara pengambilan harta yang telah ditetapkan. Cara untuk melakukan pembahagian pusaka ialah dengan terlebih dahulu meneliti siapakah di antara waris yang berhak menerima pusaka dengan jalan Ashabul-Furud, kemudian dicari siapakah yang Mahjud, barulah bakinya diberikan kepada yang berhak menerima Asabah.

(a) Ashabul-Furud ialah golongan yang mengambil pusaka menurut bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu samada 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6 atau 1/8. Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.

(b) Asabah merupakan golongan yang akan menerima baki setelah semua golongan Ashabul-Furud mendapat bahagian golongan asabah. Terdapat 3 jenis Asabah iaitu Asabah Binafsih, Asabah Bil Ghoir dan Asabah Maal Ghoir.

Asabah Binafsih adalah pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta atau mengambil semua sisa untuk sekalian orang lelaki, tidak bersebab atau beserta orang lain. Mereka terdiri daripada 12 orang lelaki iaitu bapa, datuk, anak lelaki, cucu lelaki anak lelaki, saudara lelaki kandung, saudara lelaki sebapa, anak lelaki saudara lelaki kandung, anak lelaki saudara lelaki sebapa, bapa saudara kandung, bapa saudara sebapa, anak lelaki bapa sudara kandung dan anak lelaki bapa saudara sebapa. Asabah Bil Ghoir ialah pembahagian pusaka dengan jalan menghabiskan semua harta atau pengambilan semua baki untuk semua perempuan dengan sebab adanya orang lelaki lain. Terdiri daripada 4 orang iaitu anak perempuan atau lelaki, cucu perempuan atau lelaki, saudara kandung perempuan atau lelaki, saudara sebapa atau lelaki perempuan. Manakala Asabah Maal Ghoir merupakan pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta atau mengambil semua sisa untuk sekelian orang perempuan sebab beserta orang perempuan lain. Terdiri daripada 2 orang perempuan iaitu: saudara perempuan kandung dan saudara perempuan sebapa (berkongsi dengan anak atau cucu perempuan).

Golongan seterusnya adalah Dhawil-Arham. Golongan ini akan menggantikan golongan Ashabul-Furud dan Asabah setelah kedua-duanya tiada kecuali suami atau isteri tidak menghalang golongan ini mengambil bahagian harta. Tetapi biasanya golongan ini akan terhalang menerima harta. Keadaan ini disebut hijab iaitu dinding yang menjadi penghalang seseorang daripada ahli waris untuk menerima pusaka kerana masih ada ahli waris yang masih dekat hubungan kekeluargaannya dengan si mati.

Terdapat 4 golongan Dhawil-Arham (masih ada hubungan kerabat) iaitu golongan datuk dan nenek, golongan cucu dan cicit (anak dari cucu), golongan anak saudara dari saudara perempuan dan golongan bapa saudara atau emak saudara atau saudara lelaki atau perempuan ibu. Manakala hijab yang telah disebutkan tadi terdiri daripada 2 jenis iaitu Hijab Nuqshon dan Hijab Hirman.

IKLAN

Hijab Nuqshon adalah golongan yang terhalang dengan mengurangi pembahagian ahli waris dari menerima pembahagian Ashabul-Furud yang lebih banyak menjadi lebih sedikit kerana masih ada ahli waris lain yang bersama-samanya. Seperti suami dari menerima setengah menjadi seperempat kerana ada anak atau cucu. Hijab Hirman ialah golongan yang terhalang dengan tidak menerima pembahagian pusaka sama sekali kerana masih terdapat ahli waris yang lebih dekat hubungannya dengan yang mati yang lebih berhak untuk menerima harta pusaka. Misalnya saudara lelaki sebapa terhalang kerana adanya saudara lelaki kandung dan datuk terhalang sebab adanya bapa.

Terdapat 15 ahli waris dari pihak lelaki dan 10 ahli waris dari dari pihak perempuan yang utama dan layak menerima harta pusaka.

Waris dari pihak lelaki seperti berikut:

IKLAN
  1. Anak lelaki
  2. Cucu lelaki dari anak lelaki
  3. Bapa
  4. Datuk
  5. Saudara lelaki seibu sebapa
  6. Saudara lelaki sebapa
  7. Saudara lelaki seibu
  8. Anak saudara lelaki dari seibu sebapa
  9. Anak saudara lelaki dari seibu atau sebapa
  10. Bapa saudara seibu sebapa
  11. Bapa saudara sebapa
  12. Sepupu dari bapa saudara seibu sebapa
  13. Sepupu dari bapa saudara sebapa
  14. Suami
  15. Hamba sahaya

Jika kesemua waris lelaki di atas wujud, maka hanya tiga orang sahaja yang layak iaitu:

  1. Bapa
  2. Anak lelaki
  3. Suami

Ahli-ahli waris perempuan yang layak menerima harta pusaka iaitu:

  1. Anak perempuan
  2. Cucu perempuan dari anak lelaki
  3. Ibu
  4. Nenek sebelah ibu
  5. Nenek sebelah bapa
  6. Saudara perempuan seibu sebapa
  7. Saudara perempuan seibu
  8. Saudara perempuan sebapa
  9. Isteri
  10. Petuan perempuan bagi hamba sahaya

Jika kesemua ahli waris di atas wujud, hanya 5 orang yang layak:

  1. Anak perempuan
  2. Cucu perempuan dari anak lelaki
  3. Ibu
  4. Saudara perempuan seibu sebapa
  5. Isteri

Jika kesemua 25 waris lelaki dan perempuan masih hidup, maka keutamaan akan diberikan kepada hanya lima ahli waris berikut:

  1. Bapa
  2. Ibu
  3. Anak Lelaki
  4. Anak Perempuan
  5. Suami/Isteri

Kesimpulannya, umat Islam adalah dinasihatkan agar sekiranya ingin membuat wasiat haruslah berwaspada bahawa hanya 1/3 daripada harta mereka sahaja yang dibenarkan untuk diwasiatkan. Keutamaan harta si mati adalah kepada waris-waris yang sememangnya adalah tanggungan dan kewajipan beliau semasa hidup. Ianya adalah satu langkah yang terbaik bagi mengelakkan timbulnya masalah selepas beliau meninggal dunia kelak. Ini adalah selari dengan firman Allah S.W.T dalam surah an-Nisa ayat 11. Kerjasama info: Azizah Hj Hussain (LLB (HONS) IIUM), Head Of Legal Department di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI