Sebarang kemungkinan boleh berlaku apabila sedang memandu dan berada di atas jalan raya. Meskipun anda memandu dengan berhemah dan mematuhi had kelajuan namun dek kerana sikap suka berlumba segelintir pengguna jalan raya boleh mengundang padah kepada pemandu lain. Sekiranya dilanda musibah di jalan raya, perkara utama yang harus anda buat adalah jangan PANIK.

Mengambil iktibar terhadap kejadian tayar pecah dan meletup yang dialami sebuah keluarga hingga menyebabkan kematian isteri dan bayi beberapa bulan lalu, ada perkongsian yang ingin Nona sampaikan buat para wanita di luar sana. Bak kata pepatah, berpantang maut sebelum ajal. Ini tindakan yang harus dilakukan ketika berada dalam kecemasan.

IKLAN

TALI PINGGANG KELEDAR

Pertama sekali, sebelum memulakan perjalanan pastikan anda memakai tali pinggang keledar kerana peluang terselamat lebih tinggi. Jangan ambil remeh perkara ini kerana melihat scenario sekarang, baik pemandu mahupun penumpang lebih selesa tidak memakai tali pinggang keledar kerana berasa rimas. Ingat, nyawa terletak di tangan anda!

KAWAL DIRI & ELAKKAN TEKAN PEDAL MINYAK

Sebagai wanita, mungkin perkara ini agak sukar untuk dilakukan terutama ketika berdepan detik cemas. Tiada siapa yang boleh diharapkan melainkan diri anda sendiri. Bawa bertenang dan kawal diri. Semasa tayar pecah, secara automatik tayar kereta akan mula membelok, tetapi kereta anda sebenarnya masih kekal seimbang. Kekalkan kaki pada posisi pedal sedia ada dan jangan sesekali menekan pendikit.

Apabila tayar tidak dapat dibelok, anda akan mula hilang kawalan stereng dan kereta akan berubah haluan atau terhuyung-hayang. Keadaan tayar sedemikian juga meningkatkan peluang untuk kereta anda berguling.

BREK SECARA PERLAHAN

Dengan tayar masih membelok atau terseret, anda boleh membrek. Tindakan menekan brek mengejut hanya akan membuatkan kereta anda membelok dan berpusing lebih teruk, termasuk merosakkan sistem brek seperti menyebabkan brek terkunci. Pada situasi beginilah ciri-ciri Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) sangat penting. Tetapi bagi pemandu kereta yang tiada ciri-ciri tersebut, anda mesti menahan diri daripada menekan brek mengejut.

BETULKAN STERENG DENGAN LEMBUT

Roda stereng ialah komponen sama yang mengawal roda tayar. Secara normal, tayar kereta akan patuh ke mana arah tuju yang dibawa stereng. Dalam situasi tayar pecah ketika memandu, situasi berubah. Anda mungkin mahu membelok ke kanan, tetapi kereta membelok ke kiri. Apabila tayar pecah, kereta anda sebenarnya masih dalam kawalan walaupun keseimbangan kereta sudah tidak sekata lagi. Misalnya, jika tayar hadapan kanan pecah, stereng akan cenderung membelok ke kanan kerana berat tertumpu ke bahagian pecah tersebut. Cuba putar stereng arah melawan dan luruskan stereng secara lembut tetapi pantas. Jangan pusing habis!

IKLAN

RENDAHKAN GEAR GUNAKAN BREK ENJIN

Jika memandu auto, terus turun gear daripada D4 kepada posisi D3 dan D2. Jika manual, anda perlu menukar gear dengan pantas tanpa menekan klac. Ini dinamakan pembrekan enjin, antara kaedah menghentikan kelajuan kereta dengan efektif dan selamat.

KEKAL DALAM LALUAN

IKLAN

Cuba sedaya upaya mengawal kereta dalam laluan memandu, bukan menghala ke tepi jalan. Jangan pula sesekali cuba melanggar apa-apa objek sama ada pembahagi jalan, pengadang jalan, bonggol atau pokok. Tindakan anda itu cuma menempah maut. Apabila berjaya melakukan langkah-langkah di atas, kereta anda biasanya sudah berada dalam kawalan. Anda pasti perlu menukar tayar. Jangan berhenti di tepi jalan begitu saja. Carilah kawasan kurang sesak dan bukan di selekoh.

NYALAKAN LAMPU AMARAN (HAZARD LIGHTS)

Lakukan perkara ini selepas kereta anda berhenti sepenuhnya. Memandu kereta dengan tayar pecah memang menyukarkan. Anda tidak perlu menjadikannya lebih sukar dengan menarik perhatian pemandu lain di tengah jalan raya walaupun sekadar menyalakan lampu amaran.

WASPADA DI LORONG KECEMASAN

Jika tiada pilihan dan perlu berhenti di lorong kecemasan. Gunakan lampu kelip kecemasan. Jika ada segi tiga reflektif, letakkan di belakang kereta di luar tepi jalan pada jarak 45 meter dan bukan 3 atau 5 langkah. Itu sangat bahaya! Jika anda sendiri yang menukar tayar, pastikan anda dapat dilihat oleh pengguna jalan raya lain. Lebih selamat jika dapat hubungi terus pembantu jalan raya seperti Peronda, terutama jika anda tidak pasti dengan prosedur menukar tayar.

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI