Jelitawan Thailand berusia 21 tahun, Opal Suchata Chuangsri secara rasminya dinobatkan sebagai Miss World 2025.
Malam berprestij yang diadakan pada 31 Mei 2025 itu berlangsung penuh meriah di Hyderabad, India.
Nama Opal Suchata Chuangsri kini meraih tumpuan dunia selepas berjaya mencipta sejarah baharu sebagai wanita Thailand pertama yang bergelar Miss World.
Dengan keanggunan, kepintaran dan dedikasi terhadap isu sosial, Opal Suchata bukan sahaja mencuri perhatian para juri dalam acara berprestij itu, bahkan turut memikat jutaan mata yang menyaksikan detik ‘pertabalannya’ sebagai ratu cantik dunia.
Di sebalik senyuman anggun Opal Suchata dan gaun berkilauan yang membaluti tubuhnya ketika dinobatkan sebagai Miss World 2025, terdapat beberapa fakta menarik mengenainya.
BACA JUGA: Dari Gadis ‘Tomboy’ Ke Ratu Cantik Dunia, Priyanka Chopra Pernah ‘Berangan’ Jadi Jurutera NASA!
Opal Suchata bukan sahaja hadir sebagai simbol kecantikan, tetapi juga sebagai suara untuk perubahan.
Berikut 10 fakta menarik tentang perjalanan hidup dan pencapaian Opal Suchata Chuangsri yang berjaya meraih perhatian dunia pada acara Miss World 2025.
Opal menjadi wanita Thailand pertama memenangi gelaran Miss World menewaskan 107 peserta dari pelbagai negara.
Dilahirkan pada 20 September 2003 di Phuket, Thailand, Opal dibesarkan dalam keluarga yang terlibat dalam industri perhotelan.
Opal kini menuntut di Fakulti Sains Politik dalam jurusan Politik dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Thammasat. Ia merupakan salah sebuah universiti terkemuka di Thailand.
Opal Suchata fasih dalam tiga bahasa iaitu Thailand, Inggeris dan Mandarin yang membantunya berkomunikasi dengan pelbagai khalayak antarabangsa.
Sebelum memenangi gelaran Miss World, Opal Suchata menyertai pelbagai pertandingan ratu cantik termasuk Miss Universe Thailand 2022 dan 2024 di mana dia menduduki tempat kedua dan kemudiannya dinobatkan sebagai pemenang.
Selepas menjalani pembedahan membuang tumor di payudaranya pada usia 16 tahun, Opal Suchata melancarkan kempen Opal For Her untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengesanan awal kanser payudara di kalangan remaja dan wanita muda.
Dalam Miss World 2025, Opal Suchata memenangi cabaran Multimedia untuk rantau Asia dan Oceania, memastikan kedudukannya dalam Top 40.
Opal Suchata turut melalui pelbagai peringkat dalam pertandingan Miss World 2025 bermula daripada Top 40, Top 20, Top 8 sehinggalah dinobatkan sebagai pemenang utama.
Opal Suchata menerima mahkota Miss World daripada Krystyna Pyszkova, pemenang Miss World 2023 dari Republik Czech.
Dengan pencapaiannya, Opal Suchata menjadi inspirasi kepada ramai wanita muda di Thailand dan seluruh dunia. Ini menunjukkan, dengan dedikasi dan kerja keras impian boleh menjadi kenyataan.
This website uses cookies.