Anak Jati Sarawak Dayang Nur’ Maisarah Lakar Sejarah, Dinobat Tokoh Belia Harapan Maulidur Rasul 2025

Nama anak jati Sarawak, Dayang Nur’ Maisarah Abang Abdul Razak kini menjadi sebutan ramai sekaligus mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Tokoh Belia Harapan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M baru-baru ini.

Kredit Foto: mysarahrazak_

Dayang Nur’ Maisarah menerima anugerah berprestij itu bersama barisan penerima yang juga bukan calang-calang antaranya Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; usahawan dan pencipta kandungan terkenal Khairul Aming; pelakon Ardini Angeline Tan; dan CEO Wau Animation Sdn Bhd Usamah Zaid Yasin.

Kredit Foto: mysarahrazak_

Miliki Kerjaya Hebat

Dayang Nur’ Maisarah menamatkan pengajian dalam bidang Perundangan Islam di Universiti Melaka dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang di Universiti Islam Selangor (UIS).

Kini pada usia 27 tahun selain bergelar isteri, Dayang Nur’ Maisarah punya kerjaya hebat sebagai Pegawai Khas (Hal Ehwal Islam) kepada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam).

Kredit Foto: mysarahrazak_

Satu kelebihan buat Dayang Nur’ Maisarah apabila menggalas peranan tersebut yang membolehkannya mendekati masyarakat khususnya golongan belia.

Sumbangan Besar

Perjalanan kerjaya Dayang Nur’ Maisarah tidak pernah sunyi daripada pencapaian yang membanggakan. Beliau aktif mengetuai pelbagai aktiviti memperkasa belia Islam dan menjadi inspirasi kepada generasi muda.

Kredit Foto: mysarahrazak_

Antara pengiktirafan yang pernah diterima oleh Dayang Nur’ Maisarah ialah Anugerah Maal Hijrah Kategori Belia (2023) oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Anugerah Belia Perdana Negara Peringkat Kebangsaan (2021) daripada mantan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Mahiaddin Yassin; Anugerah Ikon Varsiti (Above and Beyond) Youth Award (2021); Anugerah Belia Perdana Negara Peringkat Negeri Sarawak (2020); dan Anugerah Ikon Belia Sarawak (2019).

Setiap anugerah ini menjadi saksi perjalanan seorang anak muda yang tidak pernah jemu menabur bakti kepada masyarakat.

Kredit Foto: mysarahrazak_

BACA JUGA: Ardini Angeline Tan, Khairul Aming Antara Penerima Anugerah Maulidur Rasul 2025

Suara Inspirasi Belia

Bagi Dayang Nur’ Maisarah, anugerah berprestij itu bukan sekadar pengiktirafan peribadi sebaliknya amanah besar untuk terus berperanan sebagai duta kecil generasi muda.

“Saya bukan hanya memikul amanah sebagai seorang belia, tetapi juga sebagai anak Sarawak yang menerima penghormatan ini. Harapan saya bukan untuk berhenti di sini, tetapi terus bangkit dan menjadi benih yang baik ke mana sahaja dihantar, tetap memberi manfaat kepada orang di sekeliling,” katanya pada sidang media Anugerah Maulidur Rasul SAW 2025.

Dayang Nur’ Maisarah turut menegaskan usia muda harus dimanfaatkan sepenuhnya kerana ia tidak akan berulang.

Kredit Foto: mysarahrazak_

“Saya berpegang dengan kata-kata, hidup biarlah berjasa. Kalau hidup sekadar hidup, kerja di hutan juga hidup. Maka setiap hela nafas mesti memberi manfaat kepada orang lain.”

Beliau turut menyeru belia agar bangkit menjadi agen perubahan demi masa depan negara.

“Gunakan kekuatan yang ada, ambil panduan daripada pengalaman orang tua. Jadilah penyumbang kepada perubahan. Walau sekecil-kecil perubahan, ia mampu memberi impak besar. Matlamat kita ialah melahirkan khairul ummah, sebaik-baik umat.”

Dayang Nur’ Maisarah aktif memperjuangkan suara generasi muda di Sarawak, mempromosikan perpaduan dan menggalakkan penglibatan belia dalam pembangunan negara melalui pelbagai platform termasuk media sosial.

Sumber: TVS

Share
Published by
Amy Mohd