
Tun Dr Mahathir Masuk IJN Untuk Pemerhatian
Sehari selepas pemergian isteri tercinta ke rahmatullah, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sekitar jam 9 malam, 29 September. Perkhabaran tersebut disahkan anak lelaki bekas Perdana Menteri berkenaan iaitu Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Memetik laporan Bernama, Tan Sri Mokhzani memaklumkan bapanya dimasukkan ke IJN untuk menjalani pemerhatian. Bagaimana pun, Tun Dr Mahathir ketika ini berada dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.
Namun keputusan untuk memasukkannya ke IJN dibuat bagi membolehkan beliau diberi perhatian selepas pemergian Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali.
“Beliau dimasukkan ke IJN untuk pemerhatian. Dua hari lepas sangat menekan Tun M. Buat masa ini, beliau okey dan tidak dalam keadaan yang merisaukan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada hari ini.
Semestinya kehilangan insan tersayang yang sentiasa setia di sisi selama ini bukan satu perkara yang mudah untuk diterima. Apatah lagi Allahyarham Tun Dr Hasmah sudah berkongsi hidup suka dan duka di samping Tun Dr Mahathir sepanjang 70 tahun.
Tun Dr Hasmah berusia 100 tahun meninggal dunia di IJN pada pagi, 28 September lepas dan dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari yang sama dengan Istiadat Pengebumian Negara.
Seorang lagi anak Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini berkata sebelum pemergian Tun Dr Hasmah, negarawan terulung itu berada di IJN untuk menemani isterinya sepanjang menerima rawatan.
Tun Mahathir dan Allahyarham Tun Dr Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan menyambut usia perkahwinan ke-70 tahun. Pasangan ini dikurniakan tujuh orang anak.
This website uses cookies.