20 Cara Mudah Tata HIAS DEKOR Kediaman Secara Sederhana & Ikut Bajet

Hendak mengemas rumah secara total tidak semestinya perlu menunggu hari raya. Apatah lagi sekarang ada banyak masa di rumah untuk mengemas termasuklah mengubah dekorasi atau susun atur perabot agar terlihat lebih segar serta berbeza.

Berikut 20 cara mudah yang boleh anda lakukan.

  1. Sediakan bajet yang jelas. Tulis apa yang perlu ditukar, dibeli baharu, diubah suai dan dibuang. Dari situ maka mudahlah untuk anda menumpukan perbelanjaan dan tidaklah tersasar berbelanja.
  1. Buang habuk dan sawang! Hal ini perlu ditangani segera kerana sebelum mengecat atau apa jua kerja-kerja ‘makeover’ tatahias, habuk merupakan musuh utama yang perlu dibasmi segera.
  1. Basmi segala serangga dan makhluk perosak. Perangi habis-habisan kerana ia sudah pasti anda tidak mahu melihat lipas melintas di tengah-tengah rumah jika ada tetamu yang datang bertandang. Gamat jadinya nanti!
  1. Ramai sebenarnya yang mengalami masalah dengan najis cicak yang bertaburan di mana-mana sekaligus ia mengundang rasa jijik serta tidak selesa. Banteras dengan segera untuk membersihkan bekas najis cicak atau burung dan sebagainya sebelum ia meninggalkan kesan yang kurang sihat untuk anda dan seisi keluarga.
  1. Maksimumkan penggunaan kabinet di kediaman anda. Segala barang yang tidak perlu segera disimpan agar ruang yang anda kemas itu kelihatan kemas dan teratur.
  1. Kerja paling rumit dan memakan masa ialah di bahagian dinding kerana segalanya bermula dengan bahagian ini. Ia memakan masa dan tenaga. Buat carta tata hias secara keseluruhan. Rancang warna perabot, langsir, permaidani dan sebagainya. Dari situ barulah anda dapat melihat kesesuaian padanan warna dan mengelakkan dari melakukan kesilapan.
  1. Jika anda mahu mengecat rumah, jangan lari jauh daripada kelompok warna asal. Tersilap pilih ia akan mengakibatkan anda terpaksa menukar yang lain terutama perkara yang anda tidak rancang untuk menukarnya buat tahun ini. Contohnya, sebelum ini ruang kediaman anda diwarnakan dengan rona bumi dengan perabot kayu. Tahun ini anda ingin menukarnya kepada biru tua yang menjadikan rumah lebih gelap. Ini hanya akan menjadikan seluruh ruang menjadi gelap.
  1. Ubah gaya baharu! Jika dahulu anda hanya mengecat ruang kediaman dengan cara normal. Namun kini mungkin anda boleh mencuba teknik lain seperti span atau garisan.
  1. Serikan feature wall anda. Berjimat tetapi kekal cantik dan segarkan kediaman anda. Tukar gaya feature wall anda. Mungkin dengan gaya berbelang bersama warna di dalam kelompok yang sama. Jimat!
  1. Bagi anda yang mempunyai bajet lebih bolehlah menukar feature wall anda sempena tahun baharu dengan kertas berkualiti tinggi. Pilih corak yang serasi dengan gaya konsep kediaman secara keseluruhannya. Jangan terlalu ghairah menukar kertas dinding sehingga tersasar dengan konsep yang ada.
  1. Jika ingin menempah langsir, inilah masanya. Bagi yang mempunyai jendela yang agak banyak segeralah mendapatkan tukang jahit langsir anda dan pastikan segalanya selesai sebelum menjelangnya tahun baharu.
  1. Tukar gaya langsir? Jika dahulu anda memilih gaya kalsik kini apakata anda menukar pula kepada gaya yang lebih ringkas dan menarik. Bidai roman dengan fabrik terpilih boleh memberikan pesona berbeza pada suasana kediaman. Ringkas namun impaknya besar.
  1. Kata orang pencahayaan mampu memberikan impak yang berbeza pada ruang. Kenapa tidak kita menukarkan sistem pencahayaan di ruang kediaman? Jika ada bajet lebih, naikkan taraf sistem pencahayaannya agar lebih selesa mata memandang. Ruang ringkas juga boleh bertukar ekslusif.
  1. Buang semua bunga hiasan lama terutama bunga plastik atau bunga telur yang mungkin sudah mengumpul habuk. Selalunya bunga yang sudah lama bukan sahaja berhabuk malah warnanya juga turut pudar dan tidak berseri lagi. Ia boleh mencacatkan tata hias kediaman anda. Sebaiknya pilih bunga-bungaan segar atau tumbuhan hijau agar ruang kediaman kelihatan segar.
  1. Rumah kecil pasti banyak cermin bertujuan untuk memberi ilusi lebih luas. Namun, bagaimana jika permukaan cermin kelihatan comot dan banyak kesan. Bersihkannya dengan menggunakan kertas atau surat khabar lama. Kesat pada cermin setelah direnjis dengan pencuci cermin. Jika mahu berjimat, gunakan sahaja teh kelat dan renjiskan pada cermin.

16. Sekiranya terdapat kotoran pada sofa contohnya gula-gula getah anda boleh mencuba cara ini. Ambil air batu dan sapukan pada gula-gula getah yang melekat itu sehingga ia menjadi keras. Kemudian bolehlah menggunakan lidi untuk membersihkan sisa gula-gula getah yang tertinggal.

17. Kusyen kecil adakala sarungnya menjadi berbulu selepas dicuci. Hendak dibuang sayang pula. Jadi, anda perlu berhati-hati ketika memotong bulu pada fabrik tersebut.

18. Jangan membazir kusyen kecil yang ada. Jika tahun ini sarungnya polos, tahun ini tampal sahaja dengan batu Swarovski yang dijual dipasaran. Bukan sekadar kreatif bahkan dapat menjimatkan kos. Anda juga boleh melakukan teknik DIY dengan menghias sarung bantal kecil dengan pelbagai hiasan berdasarkan tema tahun baharu.

19. Susun kembali perabot jika perlu. Ruang tengah dibiarkan kosong jika anda menerima tetamu. Berikan ruang khas untuk yang bertandang dan berkumpul di bahagian tengah terutama jika anda memiliki ruang keluarga.

20. Pasang penyegar udara jika perlu untuk memastikan segala bau masakan tidak melekat pada ruang. Penyegar udara juga membolehkan suasana lebih selesa dan tenteram terutama jika mempunyai warga tua yang tinggal bersama.
IKLAN
Share