MasyaAllah, cantik sungguh perancangan Allah SWT buat hambaNya yang sabar macam Fila Amir ini. Sekian lama menanti kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga akhirnya tanggal 14 Mei 2025, doa pempengaruh media sosial ini diperkenan. Alhamdulillah!
Berita gembira tersebut dikongsikan Fila Amir di Instagram miliknya bersama followers setia. Menerusi foto yang dimuat naik kelihatan wajah bahagia suami isteri berkenaan apabila impian bergelar ibu bapa kini jadi kenyataan.
Malah gambarnya memangku permata hati di samping suami tercinta, Adama turut meraih ratusan ribu tanda suka!
Difahamkan Fila Amir dan Adama dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Namun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai butiran kelahiran anak tersayang termasuk nama bayi tersebut.
Luah Fila, “Assalamualaikum, we are finally papa and mama.”
April lalu, pasangan romantis ini meraikan ulang tahun perkahwinan keenam mereka dan pastinya tahun ini menjadi detik terindah dengan kelahiran zuriat sulung.
Fila disahkan hamil pada Oktober 2024 selepas 5 tahun menjalani persenyawaan in vitro (IVF) dan tabah melalui ujian kesihatan apabila tiub fallopionya juga dibuang.
Fila atau nama sebenarnya Nurafilah Amir Rusdi mendirikan rumah tangga dengan Adama Mohamed Camara yang berasal dari Guinea.
Sepanjang berkahwin, pasangan ini kerap berkongsi rutin harian dan bisnes mereka di media sosial.
Selain berkongsi momen sewaktu berada di negara kelahiran Adama yang menarik perhatian warga maya memandangkan kehadiran Fila diterima baik di sana.
Bukan itu saja, Fila dan Adama juga berpeluang membantu dan menabur bakti kepada masyarakat di sana dengan memberi sumbangan berupa makanan dan pembinaan paip yang menyalurkan air bersih.
Semoga dengan kehadiran anak ini menjadi pelengkap perkahwinan mereka dan bahagia sampai ke syurga.
This website uses cookies.