
Mudah dan sarat penghayatan, ini 7 cara ringkas wanita boleh sambut Maulidur Rasul dengan penuh makna.
Tarikh 12 Rabiulawal 1447H bersamaan 5 September 2025, umat Islam seluruh dunia menyambut Maulidur Rasul yakni hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, insan agung yang membawa rahmat buat sekalian alam.
Bagi wanita, sambutan ini bukan sekadar mengenang tarikh sejarah, tetapi ruang untuk menyulam cinta, meneguhkan iman, dan menyalakan kembali semangat meneladani Baginda dalam kehidupan seharian.
Dalam kesibukan dunia moden, sambutan yang paling indah bukanlah yang gemerlap dengan perarakan atau laungan semata, tetapi lahir dari hati yang ikhlas mencintai Rasulullah ﷺ.
Inilah 7 cara ringkas, tetapi penuh makna yang boleh dilakukan setiap wanita sebagai tanda kasih dan rindu kepada Baginda.
1. Perbanyakkan selawat
Setiap kali bibir menyebut nama Rasulullah ﷺ, ada ketenangan yang menyapa hati, seolah-olah kita sedang mendekatkan diri dengan Baginda. Hari istimewa ini, perbanyakkan selawat dengan sepenuh jiwa.
2. Hidupkan sunnah dalam kehidupan seharian
Sama ada sekecil memberi salam, senyum dengan tulus, atau menjaga adab dalam keluarga, semua itu adalah warisan cinta daripada Rasulullah ﷺ.
3. Membaca sirah dan hadis
Setiap lembaran sirah adalah cermin yang mengajar kita erti kesabaran, kasih sayang dan pengorbanan. Isi waktu anda dengan menghayati kisah hidup dan perjuangan Baginda Rasulullah.
4. Hulurkan sedekah walau sedikit
Senyuman yang ikhlas, perkongsian makanan atau bantuan kecil kepada jiran adalah bukti nyata cinta yang diterjemahkan dalam perbuatan. Hulurkanlah sedikit wang atau bantuan berupa makanan pada hari Maulidur Rasul ini.
5. Luangkan masa untuk zikir dan muhasabah
Dalam keheningan doa, kita menilai diri dan memohon agar diberi kekuatan untuk mencontohi akhlak Baginda.
6. Hadiri atau adakan majlis ilmu sederhana
Sama ada bacaan surah bersama anak-anak atau mendengar ceramah ringkas, ia menyalakan cahaya ilmu dalam keluarga.
7. Sambut dengan sederhana, berlandaskan syariat
Elakkan pembaziran dan berlebih-lebihan. Rasulullah ﷺ sendiri mengajar bahawa keindahan itu lahir daripada kesederhanaan dan keikhlasan hati. Tak semestinya keluar perarakan baru hidup semangat cintakan Baginda!
Wanita adalah nadi lembut yang mampu menyemai kasih Rasulullah ﷺ dalam keluarga dan masyarakat. Maulidur Rasul kali ini, biarlah bukan sekadar tarikh yang kita raikan, tetapi momentum untuk menghidupkan sunnah, menguatkan cinta, dan membawa kedamaian dalam kehidupan seharian.
Kerana sebaik-baik sambutan, adalah bila Rasulullah ﷺ hadir dalam hati, akhlak, dan amal kita setiap hari. Salam Maulidur Rasul buat semua pembaca Nona yang dikasihi, semoga kita semua mendapat syafaat Nabi Muhammad di akhirat kelak.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/anak-tanah-merah-kelantan-dilantik-akauntan-negara-zainani-jusoh-urus-wang-amanah-rakyat/
This website uses cookies.