
Cantik anak gadis Aleza Shadan! Tidak hanya bersandarkan rupa paras memikat, pemilik nama Ellisa Haziqah ini juga bijak dan dikhabarkan bakal bergelar juruterbang. Meskipun berstatus anak selebriti namun Ellisa enggan tumpang populariti ibu tersayang dan cukup menjaga privasi diri.
Sebagai ibu, pastinya Aleza berbangga dengan kejayaan yang dikecapi puteri sulung ini. Terbaharu, pelakon drama Di Sebalik Reda ini memuat naik foto di samping Ellisa yang berlatar belakangkan lapangan Malaysia Flying Academy sambil ditemani seorang lelaki dipercayai tenaga pengajar di akademi berkenaan.
Menerusi perkongsian itu, Aleza tampil dengan gaya kasual dalam persalinan T-Shirt hitam dan seluar jeans biru. Terpancar wajah ceria aktres ini di sisi anak tersayang.
Luahnya, “Alhamdulillah… Congrats My Ellisa.”
Walau berpakaian uniform putih dan tanpa solekan tebal di wajah namun pesona Ellisa jelas terserlah.
Sejuk perut ibu mengandung dikurniakan anak bijak dan membanggakan! Ternyata perkongsian tersebut meraih perhatian peminat dan warga maya.
Tidak terkecuali, rakan-rakan artis Aleza yang turut meluahkan rasa kagum dan senang dengan kejayaan Ellisa. Rata-rata mereka menyifatkan anak gadis berusia 25 tahun ini mewarisi kecantikan ibu tersayang.
Selain Ellisa, Aleza atau nama sebenarnya Norhasliza Shadan turut mempunyai seorang lagi anak perempuan diberi nama Elliana Hazirah.
Melihat wajah puteri kesayangan Aleza, tak hairanlah kedua-duanya cantik. Tengok saja ibu mereka yang tetap anggun dan bergaya biarpun sudah meniti usia lewat 40an. Kalau bergambar dengan anak-anak nampak macam adik-beradik.
Moga kejayaan Ellisa menjadi kebanggaan ibu bapa dan mencetus inspirasi kepada generasi muda untuk turut mengikut jejak langkahnya dalam bidang yang diceburi.
This website uses cookies.