Anak Pesara Tentera Martabatkan Seni Batik, Wawamyza Komersialkan Kain Pario Untuk Bergaya Di Rumah

Hidup ibarat roda yang berputar. Nasib bisa berubah dimana ia terhenti, sama ada di atas atau di bawah. Begitulah yang ditempuh usahawan cekal, Wawamyza Muhamad, tentang cabaran bisnes sepanjang pandemik ini.

Berusia 29 tahun, gadis jelita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu merupakan anak seorang pesara tentera. Ibunya pula seorang suri rumah.

“Saya merupakan anak bongsu dalam tujuh beradik. Kami datang dari keluarga yang sederhana tapi mengutamakan pendidikan,” tutur Wawamyza yang memiliki kelulusan Master dalam Pengurusan Perniagaan (Keusahawanan) dan MBA (Entrepreneurship).

 

 

Perjalanannya mengusahakan bisnes kain pario di bawah label Pario by Wawamyza antara yang menarik perhatian Majalah Nona. Tambah-tambah pula sejak ramai yang bekerja di rumah dan wanita kembali meminati batik.

“Ya. Apabila duduk di rumah kita suka pakaian yang loose dan senang untuk bergerak. Bila pakai pario, secara automatik terus nampak bergaya tanpa perlu bersusah payah nak bersiap.” Wawamyza

Menelusuri portfolio kerjaya Wawamyza sebelum bergelar usahawan, dia sebelum ini pernah menggalas jawatan Retail Developer di Petronas Lubricants, Felo Perdana kepada Ketua Setiausaha Negara dan Eksekutif Pembangunan Perniagaan di D’or Rue Sdn Bhd.

Minat terhadap pario bermula sejak Wawamyza memakainya secara suka-suka pada tahun 2019. Ini disusuli dengan himpunan kaftan satin di bawah label yang sama.

 

 

“Saya mahu mengetengahkan batik Malaysia dan menjadikan batik sebagai pakaian kebanggaan anak muda.

Selalunya orang pakai batik ketika hari-hari tertentu dan majlis tertentu sahaja. Tetapi dengan Pario by Wawamyza, pario batik kini boleh dipelbagaikan pemakaiannya.

Orang ingat pario ni sesuai ke pantai atau dipakai dengan kebaya saja. Tapi sebenarnya ia boleh disuai padan dengan pelbagai baju. Even ada yang jadikan Pario by Wawamyza sebagai evening dress!”

Wawamyza sebelum ini pernah menyertai kelas modelling, menjadi finalis dalam The Next Look Selangor Fashion Week dan finalis reality show

Malaysia Style Expert.

 

 

TERJEJAS

Meskipun mempunyai potensi yang besar, namun bisnes Wawamyza turut terkesan dengan wabak COVID-19.

“Pandemik memang menjejaskan bisnes fesyen. Tetapi pemilik bisnes fesyen perlu kreatif untuk menyesuaikan bisnes dengan keadaan sekarang.

Walaupun musim pendemik, kebanyakan orang bekerja dari rumah. Bekerja dari rumah masih memerlukan mereka untuk bersiap dan memakai pakaian kerja. Dan permintaan terhadap bisnes fesyen masih ada.

Pario by Wawamyza antara pilihan pelanggan kerana selesa untuk dipakai di rumah dan senang untuk dipakai,” cerita Wawamyza yang menjadikan Dato’ Rizalman Ibrahim sebagai tokoh fesyen disegani.

 

BISNES SAMPINGAN

Enggan cepat mengalah, tuan empunya nama Nur Najwa Hamizah Muhamad ini tekad menceburi bisnes lain juga sebagai pendapatan sampingan.

“Dulu saya pernah ditertawakan apabila cerita impian yang saya nak masuk ke Istana Negara. Ada orang cakap mengarut sebab saya bukan siapa-siapa dan alhamdulillah KDYMM Tuanku berkenan menempah cenderamata dan saya berpeluang masuk ke Istana Negara.

 

 

Di samping mengusahakan perniagaan pario, saya menjadi Leader dan Trainer di platform Mamasab. Mamasab merupakan seorang multimillionaire

yang telah bantu ubah kehidupan ramai orang dalam waktu yang singkat serta tanpa modal.

Di awal penglibatan saya dengan Mamasab Network, saya pernah diperlekehkan orang sekeliling kerana menjadi ejen produk orang tetapi saya percaya jika kita berada dalam kalangan orang yang dah capai apa yang kita nak, lagi senang untuk kita capai impian tersebut.

Setiap apa yang kita nak, boleh dicapai jika kita percaya dan usaha. Tidak perlu kisah dengan pandangan orang terhadap kita.”

Mengakhiri perbualan, Wawamyza menyuarakan hasratnya mahu menyambung pengajian di peringkat PhD, membuka pusat pelindungan kucing dan anjing jalanan, membawa batik ke seluruh dunia, menjadi trainer spiritual serta pakar motivasi bertaraf dunia untuk membantu orang lain mengubah kehidupan.

IKLAN
Share