Jangan mudah menyerah! Allah sedang melatih kesabaranmu. Tetaplah bersyukur atas segala dugaan yang menimpamu. Jika kamu sedang diuji, itu bererti kamu sedang dipersiapkan untuk yang lebih baik. Sesungguhnya kemenangan itu beriringan dengan kesabaran. Jalan keluar beriringan dengan kesukaran. InsyaAllah, sesudah kesulitan pasti akan ada kemudahan. Azila Ahmad, 42 tahun, terus berdoa dan berusaha memperbaiki ruang-ruang kesulitan yang dilalui dalam hidupnya.

Pemegang Diploma Perakaunan dari UiTM ini pernah berkhidmat selama tiga tahun di sektor perbankan, dan 17 tahun di sektor anak syarikat kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (GOC). Pencapaian terbaiknya apabila menerima anugerah ‘High Potential Awards’ pada tahun 2016. Beliau kemudiannya menceburi bidang perniagaan dengan menjadi dropshipper separuh masa sejak tahun 2017 sehingga sekarang.

IKLAN

Berjuang Cari Rezeki Demi Kebahagiaan Keluarga, Azila Ahmad Bangkit Jadi Wanita Hebat

Beliau percaya di dalam hidup kita perlu berusaha dan berdoa kepada Tuhan dan hasilnya tergantung dengan apa yang telah kita lakukan. Semua yang dilakukan hanya kerana Allah dan keluarga tercinta.

“Saya perlu bekerja lebih masa demi mencari rezeki lebih bagi menampung kekurangan kewangan yang ada. Saya bermula dengan menjual tudung yang saya beli secara borong di Kuala Lumpur dan kemudian menjadikan tudung tersebut lebih menarik untuk dijual.

Saya meletakkan manik-manik dengan design saya sendiri. Harga tudung dijual serendah RM10 (tiada manik) dan di antara RM18 – 20 (manik). Tetapi perniagaan tudung tidak mendapat sambutan mungkin disebabkan terlalu banyak brand tudung di luar sana.

Berjuang Cari Rezeki Demi Kebahagiaan Keluarga, Azila Ahmad Bangkit Jadi Wanita HebatBerjuang Cari Rezeki Demi Kebahagiaan Keluarga, Azila Ahmad Bangkit Jadi Wanita Hebat

Lalu saya beralih kepada menjual makanan untuk sahabat-sahabat di tempat kerja. Seawal 4 pagi saya memasak, mengikut menu yang ditetapkan setiap hari dan pada musim perayaan ada juga saya menjual rendang ayam cili api nogori.

Pada satu hari, langit cerah membawa mendung yang sangat gelap dalam hidup saya. Suami diuji lumpuh separuh badan. Doktor memberitahu bahawa suami susah untuk sembuh seperti sediakala dan jika hayat dia panjang, dia tidak lagi dapat bercakap dan tidak boleh sembuh seperti sediakala.

Berjuang Cari Rezeki Demi Kebahagiaan Keluarga, Azila Ahmad Bangkit Jadi Wanita Hebat

Ketika itu suami baru berusia 40 tahun. Anak-anak kami pula masih kecil. Saya terpaksa mengharungi dugaan hebat ini berbekalkan keyakinan saya dengan Dia Yang Maha Pengasih lagi Maha Mengetahui segalanya. Tangisan saya mula menjadi teman hidup sehingga air mata jadi kering dan tidak bermakna lagi.

Saya terpaksa tinggal bersama keluarga mertua untuk meneruskan kehidupan. Suami sudah tidak bekerja dan saya perlu memikirkan perniagaan yang dapat dijalankan dalam keadaan kehidupan kami sekarang. Saya telah memilih untuk menjadi ejen dropship untuk AFA Design, ejen Consultant Norwex, ejen kuih-kuih raya dan juga ejen dropship Corelle dari USA sehingga sekarang.

Alhamdulillah, walaupun rezeki saya tidak mencecah keuntungan berpuluh ribu ringgit tapi saya berjaya mendapat jualan sehingga RM5000 dengan menjual baju kurung AFA design pada musim perayaan baru-baru ini. Saya amat bersyukur dengan rezeki ini,” ujar Azila cekal membesarkan dua orang anaknya.

IKLAN

“Pernah berlaku perkara yang amat menyentuh hati saya sebagai seorang ibu apabila anak saya yang berusia 8 tahun, Adelia menangis tersedu di hadapan saya pada malam raya. Saya tanya kenapa Adel, mengapa menangis? Jawabnya, ‘Terima kasih belikan Adel baju raya dan kasut raya.’ Dia peluk saya dan menangis. Luluhnya hati saya ketika itu, hanya dengan pemberian kasut raya Bata RM50 dan sepasang baju raya RM60 dah mampu membahagiakan anak saya. Duit keuntungan tidaklah banyak, namun saya dapat sediakan untuk anak-anak dan keluarga.

Sejak ayah mereka sakit, emosi anak-anak tidak stabil, trauma dan mereka juga sangat risaukan kesihatan mama mereka yang bekerja keras mencari rezeki. Saya faham anak-anak amat rindukan ayah mereka yang dulu, boleh bercakap dan melayan karenah mereka. Namun, semuanya tidak lagi seperti itu. Mentaliti saya memang saya letak 100% untuk jadi lebih kuat supaya anak-anak saya boleh teruskan hidup,” jelas Azila dengan nada sayu.

Berjuang Cari Rezeki Demi Kebahagiaan Keluarga, Azila Ahmad Bangkit Jadi Wanita Hebat

Ujian membuat beliau semakin hebat, diperkasakan dengan sokongan teman yang lain. “Sahabat di sekeliling saya selalu berkata, ‘Azila awak perlu jadi kuat.’ Ya, saya nampak kuat di luar. Saya mampu tersenyum dan ketawa di hadapan semua, namun di dalam hati kadang-kadang saya rasa sangat sesak dan ingin keluar dari rasa kesempitan ini.

Dalam menempuh dugaan besar ini, Allah SWT menguji saya sekali lagi apabila ibu pula pergi meninggalkan kami. Pada saat itu, hidup saya serasa sangat gelap. Terlalu gelap. Orang yang melahirkan saya, membesarkan saya dengan penuh kasih sayang, menjadikan saya insan yang cukup ilmu dunia akhirat, mendoakan saya setiap hari telah pergi untuk selamanya. Di mana saya ingin mencari kekuatan ketika itu? Hilang…”

IKLAN

Nyata musibah itu bagaikan air keruh, semakin kau aduk semakin keruh. Maka bersabar dan tenanglah dalam menghadapi masalah kerana insyaAllah tiba masanya ia akan jernih. “Ya! Saya tetap yakin dengan Allah SWT. Kemurungan selepas 4 bulan, saya tekad untuk ubah kehidupan saya. Kembali bangkit dengan kekuatan yang ada dan hanya bertawakal kepada Allah SWT.

Berjuang Cari Rezeki Demi Kebahagiaan Keluarga, Azila Ahmad Bangkit Jadi Wanita Hebat

Sekarang saya masih lagi terus memperkasakan diri saya untuk menjadi wanita, isteri dan ibu yang terbaik. Walaupun pulangan dalam perniagaan yang saya ceburi sedikit tetapi saya tetap bersyukur dengan rezeki ini.

Saya ingin memberitahu kepada semua wanita di luar sana yang mengalami nasib yang sama seperti saya, kuatkan semangat, cari jalan yang terbaik, jika tiada modal yang banyak untuk memulakan perniagaan, mulakan dengan menjadi ejen dropship. Jangan jadikan semangat kita terus jatuh dan terus menyalahkan apa yang terjadi dan mengapa ini terjadi.

Berjuang Cari Rezeki Demi Kebahagiaan Keluarga, Azila Ahmad Bangkit Jadi Wanita Hebat

Paling utama, apa saja yang kamu usahakan, yakin dengan Allah SWT. Keyakinan itu insyaAllah membuahkan hasil. Doa dan tawakal,” bicara Azila tenang mengenangkan keperitan hidup dan tanggungjawab kepada anak-anak yang dilalui dan menjadikan semua itu sebagai pendorong untuk memajukan diri.

Bicara akhir Azila, “Ramai di luar sana, jatuh berkali-kali. Kejatuhan yang berkali-kali itulah membuka jalan kepada kejayaan diri kita. Jangan mengalah. Jika tiada hujan mana timbulnya pelangi. Jika tiada suria, terangkah bulan di dalam kegelapan? Teruskan melangkah, usaha, tawakal, insyaAllah ada kejayaan menunggu di hujung perjalanan itu,” ujar Azila yang sentiasa menghargai semua pelanggan yang turut menjadi tulang belakang rezekinya hari ini, alhamdulillah.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI