Gaya Hidup

Antonela Roccuzzo Saksi Kejayaan Lionel Messi, Pecah Rekod Piala Dunia 2026

Antonela Roccuzzo menjadi saksi detik bersejarah apabila suaminya, Lionel Messi, sekali lagi mengukuhkan status sebagai legenda bola sepak dunia dengan memecahkan rekod jaringan sepanjang zaman Piala Dunia 2026.

Kapten Argentina berusia 38 tahun itu menjaringkan dua gol ketika membantu negaranya menewaskan Austria 2-0, sekali gus muncul sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah kejohanan berprestij tersebut. Kejayaan itu bukan sahaja mengangkat nama Messi, malah turut disaksikan oleh insan yang sentiasa berada di sisinya sejak kecil.

Gol pertama Messi pada perlawanan itu merupakan jaringan ke-17 di pentas Piala Dunia, sekali gus memintas rekod 16 gol milik legenda Jerman, Miroslav Klose. Tidak terhenti di situ, beliau menambah satu lagi jaringan pada penghujung perlawanan untuk menjadikan jumlah keseluruhan 18 gol, sekali gus melebarkan lagi rekod baharunya.

Namun di sebalik sorakan ribuan penyokong yang meraikan kejayaan tersebut, perhatian turut tertumpu kepada Antonela Roccuzzo, wanita yang sentiasa berada di sisi Messi sejak zaman kanak-kanak lagi dan menjadi antara individu paling penting dalam perjalanan hidup serta kerjaya bintang bola sepak itu.

Antonela Roccuzzo
Antonela Roccuzzo

Antonela Roccuzzo & Anak Saksi Detik Bersejarah Messi

Momen bersejarah itu menjadi lebih bermakna apabila Antonela Roccuzzo hadir bersama tiga cahaya mata mereka, Thiago, Mateo dan Ciro di stadium bagi menyaksikan sendiri kejayaan luar biasa ketua keluarga mereka.

Sejurus tamat perlawanan, Antonela memuat naik ucapan penuh emosi di media sosial yang mencuri perhatian peminat di seluruh dunia.

“Betapa bertuahnya boleh melihatmu melakar sejarah demi sejarah. Aku mencintaimu.”

Ucapan ringkas itu menggambarkan kasih sayang dan kebanggaan seorang isteri terhadap suami yang terus melakar kejayaan selepas lebih dua dekad berada di pentas bola sepak dunia.

Antonela Roccuzzo

Kisah Cinta Sejak Kecil

Apa yang menjadikan kisah cinta mereka begitu istimewa ialah hubungan tersebut bermula jauh sebelum Messi bergelar bintang dunia.

Messi mengenali Antonela ketika mereka masih kanak-kanak di Rosario, Argentina menerusi sepupu Antonela yang juga rakan baiknya, Lucas Scaglia. Ketika itu kedua-duanya baru berusia sekitar lima tahun.

Antonela Roccuzzo

Walaupun Messi berpindah ke Sepanyol pada usia 13 tahun untuk menyertai akademi Barcelona, hubungan mereka tidak pernah benar-benar terputus. Mereka terus berhubung sebelum akhirnya mengesahkan percintaan pada 2009 dan mendirikan rumah tangga pada 30 Jun 2017 dalam sebuah majlis gilang-gemilang di Rosario yang pernah digelar media Argentina sebagai ‘Wedding of the Century’. Majlis itu dihadiri kira-kira 250 tetamu termasuk beberapa nama besar bola sepak dunia seperti Neymar, Luis Suárez dan Gerard Piqué.

Kini pasangan romantis itu dikurniakan tiga orang anak lelaki iaitu Thiago, Mateo dan Ciro yang sering menjadi penyeri kehidupan mereka. Walaupun bergelar keluarga selebriti dunia, Messi dan Antonela terkenal dengan gaya hidup sederhana serta sentiasa mengutamakan masa berkualiti bersama keluarga.

Antonela Roccuzzo
Antonela Roccuzzo

Antonela Roccuzzo Bukan Sekadar Isteri Messi

Di sebalik populariti suaminya, dia turut membina identiti tersendiri. Wanita kelahiran Rosario ini pernah mengikuti pengajian dalam bidang pergigian sebelum bertukar ke jurusan komunikasi, namun memilih untuk tidak menamatkan pengajian selepas berpindah bagi menyokong kerjaya Messi.

Hari ini, Antonela dikenali sebagai model, usahawan dan pempengaruh digital dengan puluhan juta pengikut di Instagram. Beliau pernah bekerjasama dengan jenama antarabangsa seperti Adidas, Alo Yoga, Stella McCartney dan Stanley, selain aktif sebagai duta beberapa organisasi kebajikan termasuk UNICEF.

Antonela Roccuzzo
Antonela Roccuzzo
Antonela Roccuzzo

Sebelum ini, Antonela juga pernah terlibat dalam kolaborasi jenama kasut bersama Ricky Sarkany, sekali gus membuktikan minatnya dalam dunia fesyen dan keusahawanan.

Kecantikan Semula Jadi Inspirasi Wanita

Pada usia 38 tahun, dia kekal menjadi antara WAGs (wives and girlfriends) pemain bola sepak paling dikagumi di dunia. Penampilannya yang elegan, tubuh yang cergas dan solekan minimalis menjadikan beliau ikon gaya yang sering menjadi inspirasi wanita moden.

Walaupun sering menghadiri acara fesyen antarabangsa, Antonela lebih gemar menampilkan imej ringkas tetapi sofistikated.

Bagi ramai peminat, kecantikannya bukan sekadar terletak pada penampilan, sebaliknya terpancar daripada sikap rendah diri, kasih sayang terhadap keluarga serta kesetiaannya menemani Messi dalam setiap fasa kehidupan.

Lebih dua dekad selepas pertemuan pertama mereka di Rosario, pasangan ini membuktikan bahawa di sebalik setiap kejayaan besar seorang legenda, hadir seorang wanita yang tidak pernah berhenti memberi sokongan.

Ketika Lionel Messi terus memecahkan rekod demi rekod di atas padang, Antonela Roccuzzo pula kekal menjadi inspirasi tentang cinta, kesetiaan dan kekuatan sebuah institusi keluarga.

Artikel berkaitan: Madhuri Dixit Dedah Rahsia Kulit Mulus Usia 59, Penting Pakai ‘Rose Water’ Setiap Hari

Share
Published by
Norzalina