Khabar duka dari Kota Jakarta apabila pelakon kelahiran Malaysia, Ashraf Sinclair dilaporkan meninggal dunia pagi tadi, Selasa (18 Februari 2020). Ashraf meninggalkan isterinya yang juga penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari dan seorang anak lelaki, Noah Aiden Sinclair.
Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohammed Sinclair dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung. Pelakon yang berusia 40 tahun ini merupakan abang ipar kepada penyanyi, Yuna.
Ucapan takziah daripada artis dua negara Malaysia dan Indonesia membanjiri posting terakhir Ashraf di laman Instagram miliknya.
Salam takziah kepada Bunga Citra Lestari dan keluarga daripada team Nona. Semoga roh arwah ditempatkan bersama para solihin.
Sumber: www.kompas.com
Foto: ashrafsinclair
Rai ‘Anniversary’ ke-25, ASTRO Radio & SYOK Lancar 60 Stesen Radio Dalam Talian Serentak
Tanpa sedar rupanya sudah 25 tahun ASTRO Radio menabur budi menceriakan pendengar radio dengan celoteh juruhebah terkemuka serta pilihan lagu terkini dan mengimbau memori buat menghiburkan pendengar.
Jika sebelum ini pendengar radio menggunakan gelombang frequency modulation (FM) sebagai medium untuk mendengar kini radio boleh didengar di mana-mana sahaja dengan lahirnya aplikasi SYOK.
Bermula HARI INI, pendengar setia radio mempunyai alternatif menikmati hiburan radio di dalam talian pula. Aplikasi SYOK menawarkan lebih 60 stesen baharu dalam talian, menawarkan pelbagai jenis dan kompilasi muzik dan saluran berita untuk berita terkini serta hal ehwal semasa. Malah turut menerbitkan saluran berita Bahasa Cina baharu, ‘YOU-NEIRONG’.
Stesen baharu di SYOK membolehkan pengguna untuk strim genre dan kategori muzik kegemaran mereka merentasi bahasa termasuk balada, klasik, muzik akustik, muzik tarian, muzik senaman, K-pop, hip-hop, kegemaran di tahun 70an, 80an dan 90an, rock, Jiwang, Cintan, Nasyid, Arab, lagu-lagu Bollywood, Irama Malaysia, Dangdut dan banyak lagi.
60 stesen baharu dalam talian ini akan tersedia tambahan kepada semua jenama Astro Radio di udara dan di TV termasuk ERA, MY, HITZ, RAAGA, SINAR, GEGAR, ZAYAN, MELODY, GOXUAN, MIX, LITE dan banyak lagi; menjadikan Astro Radio dan SYOK pertama di Malaysia untuk melancarkan stesen radio baharu dalam talian dengan jumlah yang tinggi secara serentak.
Di samping itu, aplikasi ini juga membantu memudahkan pengguna dengan ciri penggera (alarm) yang membolehkan pengguna menjadualkan stesen radio pilihan mereka untuk distrim secara automatik.
Selain itu, pengguna juga boleh menikmati banyak ciri baharu yang menarik dan dinaik taraf seperti ‘mod gelap’ (dark mode) dan saluran ‘video langsung’ (live video), memberikan pengguna kelebihan untuk berinteraksi dengan orang lain semasa sesi video langsung.
Bukan itu sahaja, pengguna juga boleh mendengar podcast – carian podcast yang dipertingkatkan berdasarkan kategori, membolehkan pengguna meneruskan penstriman di tempat mereka berhenti, mengatur podcast yang dimuat turun ke dalam simpanan, berkongsi di media sosial; dan banyak lagi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Astro Radio, Kenny Ong, “Semasa kami memulakan perjalanan transformasi kami untuk berkembang sebagai rangkaian hiburan audio dan infotainmen terbesar serta paling berpengaruh di Malaysia, Astro Radio teruja untuk memperkenalkan pilihan penstriman audio yang lebih relevan dengan kandungan yang disusun mengikut permintaan pendengar kami.
Kepesatan perubahan dalam ruang digital terus memacu evolusi kami untuk menawarkan lebih banyak aliran muzik dalam talian yang memastikan jenama-jenama Astro Radio sentiasa relevan.
Aplikasi baharu SYOK menawarkan pengalaman yang lebih khusus dengan 60 stesen radio baharu dalam talian baharu kami yang disesuaikan dengan lebih banyak gaya hidup dan pilihan.
Kami berharap rakyat Malaysia menikmati pengalaman hiburan baharu ini di SYOK melalui aplikasi dan laman web,” katanya yang menyatakan Astro Radio turut bekerjasama dengan TikTok untuk melancarkan tiga rancangan hujung minggu baharu ke udara dan di aplikasi SYOK.
Selain boleh menikmati artikel semasa, pendengar juga boleh menikmati berita dan info trafik serta menyertai peraduan untuk peluang membawa pulang hadiah menarik termasuk peraduan SYOK 101 yang tersedia di aplikasi serta ke udara mulai 8 November bagi merebut hadiah wang tunai.
SYOK telah bekerjasama dengan ACO Tech, syarikat peneraju mobiliti pintar terkemuka di Asia Tenggara, untuk menyepadukan aplikasi SYOK dalam sistem infotainmen kenderaan.
Malah turut berkerjasama dengan HUAWEI untuk menyepadukan aplikasi SYOK pada HUAWEI WATCH 3 Series yang menawarkan pengalaman jam pintar yang lebih tinggi kepada pengguna.
SYOK bakal mengumumkan lebih banyak kerjasama dari semasa ke semasa agar terus berinovasi dan meningkatkan industri radio dan audio Malaysia.
Muat turun aplikasi SYOK di Google Play, Apple App Store atau Huawei App Gallery, juga layari lawan web
SYOK.
KEDAH ‘Simpan’ Banyak Tempat Menarik, BUNGA LALANG Tarikan Terbaru Kaki Selfie Di Kuala Ketil!
Beruntung rakyat negeri Kedah! Selepas keindahan bunga ala sakura di Alor Setar dan gelung jerami padi di Yan, Kedah mencuri tumpuan ramai serta tular di media sosial, kini negeri jelapang padi tersebut sekali lagi menjadi bualan ramai terutamanya ‘kaki selfie’ apabila satu lagi lokasi menarik didedahkan baru-baru ini.
Sekali lagi digambarkan seperti suasana di luar negara… kewujudan sebuah kawasan luas yang dihuni bunga lalang yang berada berhadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Ketil, Kedah ini mencipta fenomena luar biasa bukan saja dalam kalangan penduduk setempat bahkan pengunjung dari serata Malaysia. Sampaikan ada yang mengandaikan pemandangan di sana ibarat berada di bumi Korea!
Siapa sangka, dari belukar kawasan tersebut menjadi tempat menarik untuk bergambar kenangan. Lambaian bunga lalang yang mekar tumbuh di padang seluas satu hektar itu nyata berjaya menerbitkan persekitaran santai, tenang dan romantik. Patutlah ramai yang datang bergambar, termasuk pasangan mempelai yang mahu memahat memori indah berlatarbelakangkan bunga lalang.
Memetik laporan Sinar Harian, ia merupakan tanah milik orang perseorangan yang terbiar dan pernah terbakar pada Februari lalu. Selepas terbakar, lalang semakin tumbuh meliar dan baru-baru ini sahaja ia berbunga. Disebabkan tarikan bunga lalang yang berwarna putih dan kekuningan itu, ramai yang berkunjung ke sini sekitar pukul 6 petang hingga ke waktu senja untuk mendapatkan pemandangan matahari terbenam.
Ramai juga yang sudah memuatnaik dan berkongsi foto kenangan mereka ketika berada di Kuala Ketil ini. Memang cantik! Namun, bagi yang berhasrat untuk bergambar di sini pastikan kenderaan anda diletakkan dalam jarak yang selamat di bahu jalan agar tidak mengganggu aliran lalu lintas selain berwaspada dengan haiwan berbisa yang mungkin ada di tanah terbiar berkenaan.
“Usah Belanja Berlebihan Dalam Pakaian & Perhiasan,” USTAZAH FATIMAH Ajak Wanita Cari Reda Dalam Penampilan
Kecantikan dan wanita memang tidak boleh dipisahkan. Lumrah seorang wanita sukakan kepada benda-benda yang cantik. Lebih-lebih lagi dalam soal penampilan dan pakaian. Namun bagi golongan muslimah, mereka perlu didik diri dan hati agar kekal bersederhana dalam segala segi termasuk penampilan.
Mengulas bagaimana seorang wanita perlu menjaga penampilan dan istiqamah menuju kebaikan, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin memberitahu takrif bersederhana dalam berhias terbahagi kepada beberapa bahagian.
1. Secara fitrahnya wanita tidak lekang daripada perhiasan kecuali ketika berkabung selama tiga hari kerana kematian selain daripada suami.
2. Terdapat dalil dari Al-Quran tentang keharusan berhias secara sederhana pada muka, tangan, kaki dan pakaian.
3. Muslimah boleh beriltizam dengan kadar yang telah Islam gariskan daripada perhiasan zahir sepanjang hayatnya sama ada di dalam atau di luar rumah.
4. Antara perhiasan zahir ialah inai di tangan, celak di mata dan sedikit wangian di pipi (yang seimbang dan serasi).
Ujarnya lagi, “Keseimbangan adalah satu daripada ciri-ciri ajaran Islam. Justeru, Islam tidak menghalang fitrah wanita berhias cuma membimbing dengan sedikit batas agar ia nampak bersederhana dan tetap indah.
Patuh menjaga penampilan diri merupakan satu amal yang memerlukan imamnya iaitu ilmu. Menjaga penampilan diri sebagai muslimah bukanlah bermaksud muslimah perlu berniqab. Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa berniqab bukanlah wajib.”
Dengan meningkatkan ilmu tentang ciri-ciri kesederhanan Islam dalam semua aspek kehidupan, kita akan dapat mengecapi kemanisan hidup beragama dan perlahan-lahan memetik buah-buah istiqamah dalam setiap amal kebaikan yang kita lakukan.
Pakaian yang dipakai dengan tujuan menarik perhatian dan pujian yang dilihat dalam masyarakat adalah keterlaluan. Dibimbangi termasuk dalam pakaian ‘syuhrah’. Ia mengundang hinaan pada hari kiamat seperti mana yang diingatkan dalam hadis Riwayat Abu Daud.
Ustazah Fatimah yang merupakan graduan Sarjana Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan ini turut berpesan, “Usah boros, membazir dan berbelanja secara berlebihan dalam soal pakaian dan perhiasan sedangkan hidup mempunyai banyak lagi keutamaan lain untuk memanfaatkan sumber kewangan terhad.”