Bangganya Bila Pelukis Muslimah Berjaya Takluki Dunia Seni Dan Miliki Galeri Sendiri

Bangganya Bila Pelukis Muslimah Berjaya Takluki Dunia Seni Dan Miliki Galeri Sendiri

Pelukis cat minyak dan digital, Amy Hashim kini kembali dengan pameran solo ketiganya dengan tema It’s The Soul. Pameran ini berlangsung bermula 13 April hingga 5 Mei, di AHA Gallery, di tingkat dua, Jalan USJ 17/13A, Restrees, Subang Jaya. Sungguh amat membanggakan apabila seorang pelukis wanita Muslimah tempatan berjaya menakluki dunia seni dan mempunyai galeri seni sendiri.

Ikuti temu bual antara NONA bersama insan hebat bernama Amy Hashim.

APAKAH YANG CUBA DISAMPAIKAN MELALUI PAMERAN INI
Dalam pameran ini, anda boleh mengikuti cerita saya, perjalanan karya saya termasuk lebih daripada 30 buah hasil karya saya. Ia menunjukkan perkembangan karya saya sejak lima hingga enam tahun yang lalu dalam lukisan minyak. Anda boleh merasakan pengalaman tekstur lukisan saya, hampir ‘tenggelam’ dalam pengembaraan dan keseronokan kerana sifat ini terbentuk atas kanvas.

Saya mahu anda merasakan rasa kedamaian dan saya ingin membantu ‘inspire’ anda untuk melalui kehidupan dan cabaran setiap hari. Lukisan sebegini tidak akan dapat dirasakan melalui tontonan sosial media.

PERASAAN APABILA BERJAYA MENGADAKAN PAMERAN BUAT KALI YANG KE TIGA
Saya bersyukur kerana diberi peluang dan ilham oleh Yang Maha Esa untuk sampai ke peringkat ini. Saya bermula ketika usia yang masih muda dan menjual lukisan pertama ketika saya masih kecil. Saya amat bersyukur kepada Allah dengan kurniaan ini. Hati saya rasa puas dan yang paling penting, berkarya membuahkan satu penyembuhan roh dan jiwa kepada saya. Dalam masa yang sama saya sentiasa ingin mempertingkatkan kemahiran.

PERASAAN APABILA SUDAH ADA GALERI MILIK SENDIRI
Galeri ini hanyalah penerokaan, discovery (penemuan) tempat di mana saya boleh memaparkan dan menyambung cinta saya kepada seni. Tempat di mana rakan-rakan seni, pencinta seni, collector boleh bertemu dan berkumpul. Kebetulan saya selalu melukis maka saya adakan solo ke tiga di galeri ini bagi membuka ruang berkenal-kenalan dengan ramai activist seni.

Hendak sampai ke tahap ini tentulah melalui pelbagai ragam dan cabaran. Saya tidak kata ianya mudah. Ia memerlukan pengurusan masa dan perancangan yang persistent, walau hampir putus asa tapi bak kata pepatah ‘jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Saya cuba mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu sepenuh masa, mengendalikan anak kecil di rumah pada masa yang sama, tidak melepaskan seni yang telah berakar umbi dalam diri saya sejak dalam usia yang masih muda.

Saya juga harus terbuka kepada hasilnya. Jika galeri ini Berjaya, sudah tentulah saya akan berterima kasih kepada Allah. Sebarang kegagalan pun saya perlu belajar berterima kasih kepada Allah dan akan reda dengan ketentuanNya.

LOKASI SEBENAR GALERI
Ia adalah galeri di tingkat atas rumah semi-d yang pada asalnya amat jarang saya gunakan. Jadi suami bersetuju mengubah suai tingkat atas bahagian rumah ini untuk dijadikan studio, galeri dan ruang santai/lounge. Mungkin bukan ruang yang komersial tetapi sudah tentu memberikan kelebihan daripada segi perbincangan kolaborasi atau peluang memiliki karya cat minyak sebegini.

Ia terbuka kepada umum selama tiga minggu. (dilanjutkan sehingga 5 Mei 2018). Saya mengalu-alukan peminat seni untuk melawat dan melihat sendiri lukisan dan peluang-peluang yang mungkin membawa manfaat bersama.

TEMA PAMERAN KALI INI
Sudah masuk enam tahun saya menggunakan cat minyak dan saya rasa kami adalah satu entiti atau kawan rapat. Setakat ini ia membuatkan saya benar-benar bahagia dan bersemangat. Saya akan lorek dan sapu berulang-ulang kali ke atas kanvas sehingga ianya terbentuk, meninggalkan tekstur yang timbul keluar dari permukaan kanvas dengan komposisi yang menarik. Semua ini datangnya dari hati dan jiwa maka saya memanggil tema kali ini “IT’S THE SOUL”. (Ia Jiwa)

SASARAN PAMERAN
Pendapatan seorang artist adalah bermusim dan bukan mengikut harian atau bulanan. Kesemua dana yang saya kumpul sebelum ini dimanfaatkan untuk mempertingkatkan diri dan terus ke tahap seterusnya. Ada juga sebahagian yang diasingkan untuk amal/zakat dan derma. Sasaran pameran juga ditujukan kepada oil painting art collectors, investors, individu-individu, syarikat-syarikat kewangan dan badan-badan kerajaan yang berminat dalam memasukkan oil painting ke dalam senarai aset mereka. Paling penting, mereka yang mengutamakan keindahan hasil daripada character cat minyak.Selain itu saya harap ianya menjadikan industri seni tanah air khususnya wanita lebih meriah ke tahap antarabangsa.

SEJARAH PENGLIBATAN DALAM BIDANG SENI
Seperti semua kanak-kanak, saya suka melukia. Bezanya saya dilahirkan di sebuah rumah yang di kunjungi oleh pelukis-pelukis terkenal di Kelantan (telah meninggal dunia) dan mereka rajin melayan saya meninjau aktiviti yang berlaku di tingkat bawah rumah saya. Selalunya sayalah yang kononnya menjadi pengkritik dan pemerhati mereka melukis.

Ayah saya seorang guru seni dan tentulah mempunyai ramai rakan-rakan artist sebagai teman. Ibu saya pula pandai menjahit pakaian/menjahit bunga sulam-sulaman, kebaya. Saya mula melukis dari sekolah rendah sehingga dewasa menggunakan pelbagai medium.

Walaupun selepas itu saya bekerja, saya tidak pernah meninggalkan sketches walau di mana sahaja saya berada sehinggalah saya mengandung anak ke tiga. Saya kembali kepada dunia lukisan secara sepenuh masa.

Saya mula mengadakan pameran dengan rakan-rakan luar negara di Las Vegas, Palo Alto, Seoul dan sebagainya. Saya juga mengambil kelas-kelas workshop yang diadakan oleh artist-artist master seperti kelas Warwick Fuller, Australia, Erin Hanson, San Diego dan Iris Scott, New York.

APAKAH KELAINAN DALAM PAMERAN KALI INI
Setelah melalui dua pameran solo dan beberapa pameran berkumpulan dan berkarya sebanyak lebih seribu keeping, saya melalui beberapa fasa dan pengalaman bersama-sama artist luar dan dalam negara.

Dari situ terbina rasa yakin untuk mengadakan pameran solo. Pameran solo pertama adalah cetakan di kanvas dan kertas di KL Converge dengan Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Siti Nurhaliza, berkolaborasi dengan beberapa buah syarikat utama. Pameran solo kedua saya berkembang dengan lukisan minyak dan saya memanggilnya Evolusi Alam (Evolusi Semulajadi).

Semasa saya pergi ke Sydney untuk mengambil kelas master oleh pelukis Warwick Fuller, (pelukis) pelukis Buckingham Palace yang berpusat di Katoomba, NSW, Australia, banyak yang saya belajar dan ia sukar untuk digambarkan. Dari situ, saya tahu apa yang saya suka, tidak suka, kebolehan dan kelemahan saya. Dengan kurangnya keraguan itu membantu saya memberi komitmen lebih kepada lukisan dan art collectors.

APAKAH CABARAN SEPANJANG PERSIAPAN UNTUK PAMERAN KALI INI
Saya fikir cabaran ini bukan kepada diri saya sahaja malah ia mungkin menjadi cabaran biasa kepada ramai artist-artist wanita yang lain. Saya dapati (bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara sekali pun) wanita kurang ditonjolkan kebolehan mereka kepada umum. Walaupun saya mendapat sokongan dan motivasi, inspirasi daripada suami, ia tidak mencukupi apabila galeri seni/komersil kurang responsif dalam menerima, melawat dan meneroka hasil-hasil karya yang dimajukan.

Sebagai artist, saya lebih suka untuk memberi sepenuh tumpuan dan fokus kepada penghasilan karya, mengarang atau mencipta karya. Sekiranya diberi kesempatan tentulah saya lebih suka di wakili oleh art dealer/curator supaya ianya boleh disebar-luaskan kepada lebih ramai orang. Kalau di negara luar, wujud sebuah Museum Seni Wanita contohnya National Museum of Women di Wangshinton DC.

NILAI SENTIMENTAL UNTUK SETIAP PAMERAN YANG DIADAKAN
Setiap hasil karya datangnya daripada jiwa, mood dan inspirasi yang lahir dengan jari jemari sendiri. Style saya yang lebih ke arah impressionistic membuatkan satu karya unik dan mustahil boleh ditiru oleh diri saya sendiri. Setiap karya saya membawa cerita, pengalaman dan perjalanan hidup. Sebelum mengolah cat minyak di atas kanvas, saya menghabiskan masa menyusun, melakar, compose beberapa kali selama beberapa hari.

Namun begitu saya tidak boleh terlalu beremosi dengan hasil karya saya. Ada sesetengah orang berpendapat, menilai kejayaan dengan melihat jumlah karya yang dimiliki orang… Sebab itu lah beberapa karya saya telah di ubah ke atas sutera/silk/crepe scarves dan cetakan-cetakan supaya ia menjadi milik pengumpul baru dan generasi muda. Saya rasa puas, walaupun bukan berbentuk ganjaran kewangan tetapi sebagai satu kepuasan diri. Insya Allah.

HARAPAN UNTUK PAMERAN KALI INI
Saya sukakan pengalaman, mempelajari dan mengkaji sesuatu yang baharu. Pengalaman adalah guru yang terbaik. Saya juga berharap pameran ini memberi inspirasi kepada lebih ramai artist di luar sana.

Saya ingin membuka ruang rangkaian teman dan kenalan yang lebih luas tidak kira pelukis, artist, collector, dealer dan pemerhati seni yang kaya dengan pengalaman. Sudah tentulah saya berharap lebih ramai orang menerima hasil karya saya dan menikmati keindahan warna-warna hidup dan segar yang terhasil ini. Saya perlukan inspirasi juga untuk terus berkarya dan mengenali arah tuju seni..

Oleh itu saya amat mengalu-alukan kesemua peminat seni untuk jemput datang berkunjung ke galeri saya yang dibuka sehingga 5 Mei dari jam 11.00 pagi hingga 6.00 petang di AHA Gallery, tingkat dua, Jalan USJ 17/13A, Restrees, Subang Jaya.

 

Untungnya Miliki Wajah Pan Asia, Namun Ia Bukan Tiket Untuk Berjaya Dalam Dunia Seni Jika Tidak Ada Bakat

Untungnya Miliki Wajah Pan Asia, Namun Ia Bukan Tiket Untuk Berjaya Dalam Dunia Seni Jika Tidak Ada Bakat

Zahirah Macwilson antara pelapis anak seni yang mewarnai dunia lakonan tanah air. Zahirah dilahirkan di Kuala Lumpur dan membesar di Sydney, Australia dan berketurunan British (bapa) dan Melayu (ibu) merupakan anak sulung dari empat adik-beradik.

Memulakan kerjaya awalnya sebagai model pada usia 12 tahun ketika di bangku sekolah, Zahirah MacWilson memulakan kerjaya lakonan profesional pada 2015 menerusi drama orientasi remaja Dunia Generasi Baru dengan memegang watak Zahra, diikuti oleh watak Dr. Katrina dalam Hidayahmu Ramadan.

Namanya mula menjadi perhatian ramai selepas membintangi drama Mencintaimu bersama Sharnaaz Ahmad dengan memegang watak Annisa. Memiliki wajah pan-Asia menjadikan wajah Zahirah tidak jemu dipandang.

 Artis-artis wanita berwajah pan-Asia dilihat sebagai antara selebriti yang paling mudah mencipta nama. Senario ini sebenarnya bukan baru bagi dunia hiburan tanah air kerana tradisi sedemikian sudah lama diwarisi.

Ada kalanya ia hanya bermula dengan penampilan dalam iklan komersial, mereka lantas dengan mudah ditawarkan berlakon filem mahupun bergelar penyanyi. Semuanya semata-mata kerana wajah pan-Asia yang dimiliki mereka. Apa istimewanya golongan ini sehingga dengan begitu mudah mereka mencipta populariti dalam dunia seni tanah air?

Tatkala ditanya tentang kelebihan memiliki wajah pan-Asia bagi Zahirah semuanya bergantung pada bakat. Bagi Zahirah, wajahnya tidaklah terlalu pan-Asia jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon lain yang lebih ‘kuat’ aura pan-Asianya.

“Bakat adalah perkara utama apabila melibatkan diri dalam dunia lakonan. Memiliki wajah pan-Asia juga tidak membataskan diri saya untuk melakonkan watak wanita kampung. Saya tidak menganggap wajah pan-Asia sebagai platform untuk berjaya dalam dunia seni kerana bagi saya, wajah cantik sahaja tidak mencukupi jika tidak disertai dengan bakat,” ujar Zahirah.

Apabila melihat wajah Zahirah dan juga Amelia Henderson, pasti akan mengingatkan kita tentang pelakon berwajah pan-Asia yang cukup terkenal suatu ketika dahulu. Nama-nama seperti Julia Rais, Sofea Jane, Ramona Rahman, Deanna Yusof dan lain-lain menjadi siulan di bibir peminat. Meskipun berlainan era namun akui Zahirah dia mengenali nama-nama pelakon terkenal tersebut.

Dalam perkembangan lain, Zahirah bakal muncul dengan drama 28 episod, Jangan Benci Cintaku untuk slot Akasia.

Seperti Zahirah, si cantik manis berwajah ‘Mat Salih’, pelakon dan model berdarah campuran India dan Scotland, Amelia Henderson juga dianggap bertuah kerana memilik wajah pan-Asia. Sama seperti Zahirah, Amelia tidak pernah menganggap wajah pan-Asia memberi satu kelebihan buat diri seorang anak seni sepertinya.

“I don’t think so. Wajah pan Asia itu bukan satu kelebihan, at the end of the day kalau kita tak ada bakat, walaupun memiliki wajah pan-Asia, kita tidak akan ke mana-mana. Nama-nama besar seperti Julia Rais dan Sofea Jane sudah berjaya membuktikan bahawa mereka bukan sahaja memiliki rupa paras yang menawan tetapi juga berbakat besar dalam dunia lakonan,”ujar Amelia.

Memulakan kerjaya seawal usia 10 bulan, bakat Amelia mula digilap ketika terlibat dengan iklan komersial. Kini Amelia bukan sahaja terlibat dalam dunia lakonan tetapi juga dalam dunia pengacaraan.

Ditanya antara dunia lakonan dan juga pengacaraan, Amelia mengakui bahawa agak susah untuk dia memberikan jawapan. Hal ini kerana dunia lakonan dan juga pengacaraan adalah bidang yang sangat berbeza. Bagi Amelia, kedua-dua bidang tersebut punya kelebihan yang tersendiri.

Menyentuh tentang perkembangan terkini dirinya, Amelia bakal muncul dalam drama Pengantin 100 Hari dan drama Jangan Benci Cintaku.

 

 

 

 

Majlis Cukur Jambul Puteri Sulung Linda Onn, Ungku Zara Comel Sangat!

Majlis Cukur Jambul Puteri Sulung Linda Onn, Ungku Zara Comel Sangat!

Linda Onn telah mengadakan majlis cukur jambul untuk puteri sulungnya, Ungku Zara. Majlis diadakan serba ringkas dengan hanya menjemput kumpulan marhaban dan pihak keluarga terdekat. Tiada pelamin dan dekorasi majlis seperti kelaziman majlis cukur jambul. Linda Onn memilih untuk mengadakan majlis serba ringkas dan sederhana.

Penyampai radio terkenal ini telah selamat melahirkan bayi sulungnya pada 24 Februari 2018. Berikut dikongsikan sekitar majlis cukur jambul Ungku Zara.

Sumber: Instagram Linda Onn

 

14 Aktiviti Bakar 100 Kalori Dalam Sehari, Biar Betul, Tidur Pun Boleh Bakar Kalori!

14 Aktiviti Bakar 100 Kalori Dalam Sehari, Biar Betul, Tidur Pun Boleh Bakar Kalori!

Bentuk tubuh ideal memang menjadi dambaan bagi setiap individu tidak kira wanita mahupun lelaki. Selain bagus untuk dilihat, memiliki tubuh ideal juga bagus untuk kesihatan. Namun jika hanya berdiet sahaja tidak cukup. Untuk berjaya menurunkan berat badan mahupun mengekalkan berat badan, anda perlu bersenam iaitu dengan cara membakar kalori.

Berikut langkah mudah untuk anda membakar kalori.

Menelefon sambil berjalan
Eh! Tak sangka pula menelefon pun boleh membakar kalori. Jika anda menelefon selama 1 jam, anda dapat membakar sekurang-kurangnya 100 kalori! Kajian mendapati apabila wanita bekerjaya bercakap melalui telefon sambil berjalan mengelilingi ruang pejabat mampu membakar sejumlah kalori. Jadi, jangan buang masa! Bercakaplah dengan klien sambil berjalan.

Berjalan jauh
Cara ini sama seperti berjalan sambil bercakap cuma ia lebih praktikal. Contohnya pada waktu rehat, jarak kafe dan pejabat anda tidaklah begitu jauh tetapi anda boleh cuba membakar lebih banyak kalori dengan mengambil jalan yang jauh.

Tukar Kerusi
Tukarkan kerusi pejabat kepada bola gymnasium. Dengan menggunakan bola tersebut, anda bukan sahaja dapat membakar kalori, malah dapat memperbaiki postur, keseimbangan dan pembentukan tulang belakang. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengambil peluang untuk bangun ke meja teman-teman sekerja yang lain berbanding duduk di kerusi dan bergerak dengan cara menolak kerusi beroda ke arah teman sekerja anda.

Mengemas rumah
Ini memang berita baik untuk para suri rumah tangga. Tahukah anda bahawa dengan mengemas rumah selama 40 minit, anda dapat membakar 100 kalori dalam sehari. Oleh itu jadikan amalan mengemas rumah sebagai rutin setiap hari. Ia memang berkesan!

Membasuh/melipat/gosok baju
Buat ibu-ibu yang tiada masa untuk ke gimnasium, aktiviti ini sememangnya baik untuk anda. Luangkan masa selama 45 minit dengan mencuci, menyidai dan menggosok pakaian setiap hari dan anda boleh membakar 100 kalori.

Mengemas katil
Selepas ini, rajin-rajinlah mengemas katil. Mengemas katil, bantal, menukar sarung bantal dan tilam selama 50 minit hingga 1 jam dapat membakar 100 kalori. Mudahnya hendak bakar kalori bukan?

Memotong sayuran
Ketika memasak di dapur, cuba luangkan masa sekurang-kurangnya 40 minit untuk memotong sayur. Aktiviti memotong sayur selama 40 minit dapat membakar 100 kalori.

Bermain pool/snooker
Bermain pool dan snooker selama 40 minit dapat membakar 100 kalori. Bayangkan kalau bermain selama berjam-jam? Tentu lebih banyak kalori yang mampu dibakar.

Bermain boling
Apa kata pada waktu makan tengahari terutama pada waktu rehat yang panjang (hari jumaat) anda bermain boling. Bermain boling selama 30 minit dapat membakar 100 kalori. Tetapi anda harus mengurangkan memakan snek semasa bermain boling. Barulah pembakaran kalori dapat ‘berjalan’ dengan lancar.

Berdiri
Mungkin kedengarannya tidak membantu tetapi percayalah bahawa ia juga merupakan cara untuk membakar kalori dengan mudah. Cuba berdiri selama 20 minit selang beberapa jam ketika anda di pejabat mahupun di rumah. Berdiri selama 20 minit dapat membakar 100 kalori. Contohnya anda boleh lakukan di pejabat (berdiri semasa membuat panggilan atau bercakap dengan rakan sekerja).

Membeli-belah
Mesti ramai wanita suka membeli-belah bukan? Ya, ia satu berita baik untuk anda. Membeli-belah bukan sahaja mampu memuaskan hati anda kerana dapat membeli barang yang diinginkan tetapi dalam masa yang sama mampu membakar kalori tanpa disedari. Window shopping dan membeli belah selama 40 minit dapat membakar 100 kalori. Tidak perlu membeli apa-apa pun sudah dapat membakar kalori anda!

Membawa bakul semasa membeli barang
Mungkin anda sudah terbiasa menggunakan troli semasa membeli barang dapur. Bermula hari ini, tukar pula dengan bakul. Membawa bakul selama 30 minit dapat membakar sebanyak 110 kalori.

Tidur
Boleh ke tidur membakar kalori? Anda boleh membakar 100 kalori semasa tidur jika anda menambah dua hingga 5 pound berat otot anda. Bagaimana? Tambahkan pengambilan protein anda dan bersenam di gimnasium. Pastikan anda jangan terlebih tidur pula. Nanti badan akan jadi lemah dan tidak bermaya.

Menari
Belajarlah untuk menari kerana selain mampu membentuk tubuh, menari juga mampu membakar kalori dengan cepat. Menari selama 20 minit dapat membakar 100 kalori.

 

Kalau Nak Nampak CANTIK, Bukan Sekadar CANTIK Rupa Tapi CANTIK Luaran Dan Dalaman

Kalau Nak Nampak CANTIK, Bukan Sekadar CANTIK Rupa Tapi CANTIK Luaran Dan Dalaman

Kecantikan merupakan sesuatu yang sangat sinonim buat kaum wanita. Cantik itu sendiri didefinisikan sebagai suatu yang indah dan menarik. Setiap wanita mentafsirkan makna ‘cantik’ mengikut pandangan masing-masing. Lalu, apakah sebenarnya kecantikan pada diri seorang wanita? Ikuti pandangan Azie Sam, Perunding Imej/Hijab Stylist dan Seni Imej Training & Consultanc.

Menurut Azie Sham, cantik itu subjektif. Semua manusia dilahirkan cantik dan mempunyai keistimewaan sendiri. Kecantikan wanita itu lebih terserlah apabila mereka yakin dan selesa dengan diri mereka sendiri. Kecantikan sebenar itu akan terpancar bermula daripada kecantikan dalaman.

“Kecantikan pada wajah itu adalah bonus. Tetapi ianya bukanlah segala-galanya. Kecantikan yang dilengkapi pakej adalah suatu kelebihan. Maksud pakej di sini adalah kecantikan luaran beserta kecantikan dalaman yang membentuk kepada personaliti diri yang menarik. Pepatah ada mengatakan, ‘beauty gets the attention but personality gets the heart.’

“Agar kelihatan cantik pada pandangan mata orang luar, kita perlu bijak membawa diri dan sentiasa bersedia dalam apa jua urusan dan situasi. Serlahkan keyakinan dan lengkapkan diri dengan ilmu. Ilmu asas penampilan dan pembentukan personaliti diri sangat penting untuk kita kelihatan sentiasa cantik dan sempurna pada pandangan orang lain. Penampilan yang baik disertakan dengan tingkahlaku dan komunikasi yang hebat dapat mempengaruhi tanggapan orang lain terhadap diri kita,”ujar Azie.

Sebagai perunding imej, Azie menyarankan agar wanita mengenali diri masing masing dan bentuk personaliti diri yang positif. Cari kelebihan dari dalam diri dan serlahkan. Persiapkan diri dengan ilmu ilmu kecantikan dan berani untuk berubah. Memakai pakaian yang menarik dan bersesuaian memberi impak kepada orang di sekeliling. Ia memberi tanggapan yang lebih baik dan membina kredibiliti awal. Dalam masa yang sama, ia juga dapat membantu dalam meningkatkan keyakinan diri sendiri.

“Ketahui bagaimana membentuk imej positif di mana intergriti dalaman dapat diserlahkan melalui penampilan. Kita yang menentukan mesej apa yang ingin kita sampaikan kepada orang lain melalui penampilan. Penampilan amat membantu untuk seseorang wanita itu untuk kelihatan cantik? Ia mewujudkan first impression untuk membina kredibiliti sebelum kita berbicara.

“Komunikasi bermula dengan cara pemakaian kita. Penampilan turut memainkan peranan penting dalam kejayaan seorang wanita. Tidak bermaksud perlu memakai pakaian berjenama hebat dan berharga ribuan ringgit. Memadai berpenampilan kemas dan bersesuaian dengan diri yang akan memberi impak kepada orang sekeliling untuk menghormati dan dihormati,”jelas Azie.

Diakui pandangan mata kasar lelaki lebih tertumpu pada kecantikan fizikal/luaran semata-mata. Wanita yang cantik rupa paras, tubuh badan menarik, pandai membawa diri, berpesonaliti, manja dan bijak adalah kategori wanita idaman lelaki. Walaubagaimanapun, ingin diingatkan bahawa bukan semua lelaki berpandangan seperti itu tetapi hampir semua jugak lelaki sedemikian.

“Bagi wanita yang telah bersuami pula, jangan hanya nampak cantik ketika berada di luar rumah. Jaga penampilan diri ketika di rumah. Penampilan diri sahaja tidak mencukupi dalam urusan rumahtangga. Selepas berkahwin, cantik pada nilaian seorang lelaki bukan pada kecantikan fizikal atau luaran seorang isteri sahaja, apa yang lebih utama adalah pembentukan diri, sifat, sikap dan kebijaksanaan kita dalam mengemudi alam rumahtangga. Biarlah kecantikan luaran itu seiring dengan kecantikan dalaman. Bukan sekadar dalam diri malah dalam rumahtangga juga,”akhiri Azie.

Tip daripada Azie untuk wanita kelihatan sentiasa cantik luar dan dalam:
*Setiap wanita itu cantik dan mempunyai keunikan tersendiri. Sayangi, cintai, hargai diri dan fahami kekuatan atau kelebihan yang dimiliki.
*Jangan membandingkan diri dengan orang lain atau meniru apa yang orang lain ada.
*Beranilah menjadi diri sendiri, bentuk imej positif dan bina personaliti anggun.
*Mantapkan diri dengan ilmu supaya terserlah kecantikan luar dan dalaman.

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: