
Ayu Omar
Ayu Omar membuka lembaran baharu apabila diberi kepercayaan menerajui Miss Universe Malaysia 2026 dengan membawa pendekatan berbeza dalam pencarian ratu cantik negara. Bukan sekadar bersandarkan rupa dan penampilan, Presiden Ratu Prestigious Event Management (RPEM) merangkap Pengarah Kebangsaan Miss Universe Malaysia 2026 itu mahu mencari wanita yang punya pakej lengkap, keperibadian, kekuatan diri serta kisah kehidupan yang mampu memberi inspirasi.
Mengambil alih pengurusan sebuah pertandingan yang sudah lama dikenali tentunya bukan tugas mudah. Apatah lagi organisasi terdahulu telah bertahun-tahun mengendalikan pertandingan berprestij itu dengan sokongan pelbagai jenama dan penaja besar.
Ayu cukup sedar perubahan tersebut pasti mengundang perhatian, malah RPEM juga tidak terkecuali daripada dibandingkan dengan pengurusan sebelumnya. Namun daripada terlalu memikirkan perbandingan, beliau memilih untuk memberi ruang kepada pasukannya membuktikan kemampuan melalui pendekatan dan hala tuju yang dibawa.
Menurut bekas pramugari jelita tersebut, “Ini merupakan tahun pertama saya mengambil alih lesen Miss Universe Malaysia 2026. Sudah tentu ia menjadi teka-teki kepada semua orang kerana sebelum ini kita tahu syarikat terdahulu telah memegang lesen tersebut bertahun-tahun dan mempunyai terlalu banyak penaja serta jenama besar yang bekerjasama dengan mereka.
Jadi, sudah tentu akan ada persoalan daripada orang ramai. Sebab itulah saya rasa saya sangat bertanggungjawab untuk memberitahu perkara tersebut secara rasmi dalam sidang media,” katanya dalam sebuah majlis eksklusif di venue rasmi Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar.
Bukan nama asing dalam industri ratu cantik, pengalaman yang dimiliki Ayu menjadi antara bekalan penting untuknya melangkah ke fasa baharu ini. Namun pengalaman tersebut tidak membuatkan beliau memandang ringan amanah yang diberikan.
Baginya, menerajui Miss Universe Malaysia bukan sekadar mencari wanita paling cantik untuk mengenakan mahkota. Lebih daripada itu, Ayu mahu mengetengahkan seorang wanita yang mempunyai kecerdasan, kematangan, keperibadian dan keberanian untuk membawa nama Malaysia ke pentas dunia.
“Saya amat berbesar hati apabila diberi kepercayaan untuk menerajui Miss Universe Malaysia 2026. Bagi saya, amanah ini bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Ia merupakan satu perjalanan besar yang membawa bersama harapan seluruh rakyat Malaysia.
Oleh itu, kami menetapkan penanda aras yang tinggi dalam usaha mencari seorang wanita yang bukan sahaja menawan dari segi penampilan, malah memiliki kecerdasan, keteguhan hati, keperibadian yang baik serta keberanian untuk berdiri di pentas dunia.”
Membawa tema Legacy Reimagined, antara kelainan yang diperkenalkan tahun ini ialah membuka penyertaan kepada wanita berusia antara 18 hingga 50 tahun sama ada bujang, sudah berkahwin, ibu tunggal mahupun balu.
Perubahan tersebut sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai wanita daripada latar kehidupan berbeza untuk tampil mencuba. Bagi Ayu, setiap fasa yang dilalui seorang wanita membawa pengalaman tersendiri dan perkara itulah yang turut membentuk kekuatan serta kematangan seseorang.
Sejak pencarian peserta bermula Ogos lalu, Ayu berpeluang melihat sendiri wanita daripada pelbagai latar belakang tampil membawa impian masing-masing. Ada yang sudah mempunyai pengalaman dalam dunia ratu cantik, manakala sebahagian lagi hadir sebagai wajah baharu dengan potensi tersendiri.
Namun di sebalik penampilan mereka, Ayu melihat sesuatu yang lebih besar iaitu kisah kehidupan, pengalaman serta perjuangan yang membentuk diri setiap wanita.
“Malaysia mempunyai begitu ramai wanita hebat dan berkaliber yang layak untuk bersinar di peringkat antarabangsa. Mereka datang daripada pelbagai latar belakang dan membawa kisah kehidupan tersendiri yang penuh kekuatan serta inspirasi.
Justeru, kami memperluaskan syarat penyertaan pada tahun ini kerana kami benar-benar mahu mencari seorang pemenang yang mempunyai pakej lengkap dan bersedia memberikan saingan terbaik di pentas Miss Universe,” katanya.
Setakat ini, 13 finalis telah diperkenalkan dengan dua lagi peserta bakal diumumkan kemudian. Pusingan awal dijadualkan berlangsung pada 30 September sebelum malam kemuncak pada 2 Oktober bagi menentukan wanita yang bakal membawa cabaran Malaysia ke Miss Universe 2026 di Puerto Rico pada November.
Menurut Ayu, kesemua finalis bakal menjalani program intensif selama enam hari merangkumi bengkel pengucapan awam dan pembangunan diri sebagai persediaan sebelum melangkah ke pentas pertandingan.
Edisi kali ini tampil dengan pendekatan lebih inklusif apabila membuka peluang kepada wanita berusia sehingga 50 tahun. Menurut Ayu, kecantikan tidak seharusnya diukur menerusi usia dan penampilan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kematangan, kekuatan jiwa serta kemampuan seorang wanita memberi inspirasi. Ia turut dapat dilihat menerusi kisah finalis seperti Amreet, seorang guru yang mahu membina semula keyakinan diri selepas berdepan komplikasi ketika melahirkan anak sulung, serta Emanuelle, bekas atlet renang berirama negara dan pemenang tiga pingat emas Sukan SEA yang mahu membawa disiplin serta semangat kesukanannya ke pentas berbeza.
Turut mencuri perhatian ialah Sapphire Wong, ibu kepada tiga cahaya mata yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri peragaan. Menerusi penyertaannya, Sapphire mahu memberi semangat kepada golongan ibu untuk terus mengejar impian tanpa dibatasi usia mahupun status perkahwinan. Kesemua finalis akan memulakan Minggu Pertandingan pada 29 September, diikuti Preliminary Competition
pada 30 September sebelum malam kemuncak Miss Universe Malaysia 2026 berlangsung pada 2 Oktober.Di sebalik pencarian ratu cantik baharu itu, Ayu sendiri sedang melalui lembaran penting dalam perjalanan kerjayanya. Tahun pertama menerajui Miss Universe Malaysia pastinya hadir bersama jangkaan, perbandingan dan kepercayaan yang perlu dibina sedikit demi sedikit.
Namun Ayu tidak mahu sekadar mengulangi apa yang pernah dilakukan. Sebaliknya, beliau memilih membawa kelainan dengan membuka ruang lebih luas kepada wanita untuk tampil bersama pengalaman dan cerita kehidupan masing-masing.
Kerana akhirnya, mahkota mungkin menjadi simbol kemenangan, tetapi bagi Ayu, wanita yang benar-benar mampu berdiri membawa nama Malaysia memerlukan lebih daripada kecantikan. Dia perlu mempunyai kekuatan, keperibadian dan sebuah kisah yang membuatkan dunia mahu mengenalinya.
Artikel berkaitan: Joheirry Mola Dinobatkan Miss World 2026, Inspirasi Guru Biasa Cipta Sejarah Bergelar Ratu Dunia
This website uses cookies.