Tersentuh dengan post yang Ustaz Ebit kongsikan dalam laman Instagramnya. Berapa ramai suami yang tersentuh dengan pengorbanan isteri dan terus bantu isterinya di rumah?
IKLAN
Panjang lebar post Ustaz Ebit, dengan iringan lagu yang betul-betul menyusup jiwa. Cuti hujung minggu lalu, Ustaz Ebit bantu isterinya ke kedai dobi kerana mesin basuh di rumah rosak. Bukan sahaja isteri terpaksa membawa baju yang berbakul ke kedai dobi, dibawanya bersama anak-anak.
“Cuti hari ni, tolong bidadari dobi baju. Mesin basuh dekat rumah rosak repair. Cian bidadari saya kena pergi dobi. Dengan anak-anak lagi. Ya Allah. Rupanya boleh tahan penatnya nak angkat bakul-bakul ni semua. Berdosanya saya. Kuatnya bidadari saya dan semua wanita diluar sana. Ramai juga di dobi. Ada yang bawa baby dan anak kecil risau tengok.”
Kata Ustaz Ebit, beliau pernah bantu seorang wanita yang terjatuh bakul. Terus teringatkan isteri di rumah. sungguh bahagianya Ustaz Ebit apabila dapat membantu bidadarinya meringankan kerja rumah. Seronok membaca setiap post dari Ustaz Ebit, lebih-lebih lagi kisah rumahtangganya. Romatik betul!
Kadang-kadang sebagai suami, kita perlu juga memanjakan isteri. Jika bukan dari segi material, cukup juga sekadar perhatian dan kasih sayang. Paling seronok apabila si suami ringan tulang untuk bantu kerja-kerja rumah.
Apabila berada di tanah suci Mekah tiada lagi perbezaan darjat mahupun pangkat. Semua yang ada sama di sisi Allah SWT.
Pengalaman kali pertama menunaikan umrah pada Mac 2019 telah membawa perubahan besar dalam kehidupan Surina Mohd Zain sekaligus mengajar dirinya menjadi seorang yang reda dengan takdir Allah SWT.
Surina kini bertugas sebagai Pengarah Projek di Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Lebih membahagiakan wanita ini apabila niatnya untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah sebelum usia 40 tahun termakbul.
“Setiap kali selesai solat saya sering berdoa dan berniat semoga suatu hari nanti saya dapat ke tanah suci sebelum usia 40 tahun. Alhamdulillah doa saya dimakbulkan apabila pada Mac tahun lalu saya berpeluang menunaikan umrah untuk pertama kalinya pada usia 39 tahun.
Sejak dulu saya memang dah berniat, sebelum umur 40 tahun mesti ada turning points ke arah kebaikan termasuk tujuan hidup. Objektif hidup saya ialah berjaya di dunia dan akhirat.
Saya ke tanah suci pada 20-30 Mac 2019 diuruskan oleh agensi pelancongan berdaftar iaitu Qalesya Travel & Services Sdn Bhd.”
PENGALAMAN DI TANAH SUCI
“Memandangkan ini pengalaman pertama saya, segala persiapan dilakukan sebaik mungkin. Sewaktu menjejakkan kaki ke tanah suci perasaan saya berlainan sekali, tidak seperti beberapa trip yang pernah saya pergi sebelum ini. Ia cukup membahagiakan dan menenangkan jiwa. Tak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Saya berpeluang menunaikan solat di Hijir Ismail selama 30 minit. Saya juga dapat mencium Hajarul Aswad dengan pertolongan dua wanita dari Indonesia termasuk menjejakkan kaki ke Raudah. Saya dapat bersolat dan berdoa dengan selesa. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan atas izin-Nya.
Cuma saya tidak berkesempatan untuk melakukan tawaf wida’ kerana tiba-tiba datang haid. Selepas makan ubat, haid berhenti dan saya dapat meneruskan ibadah semula di Madinah.”
PERISTIWA MENAKJUBKAN
“Peristiwa ini terjadi ketika saya berniat hendak membawa kerusi wakaf masjid ke hotel kerana mahu menggunakannya atas sebab tertentu. Nak dijadikan cerita ketika saya hendak mengambilnya di masjid, kerusi itu sudah tiada di tempatnya. Lantas saya berniat untuk mencarinya semula esok selepas Subuh. Saya solat Isyak di masjid kemudian kembali ke hotel.
Sebaik tiba di hotel berlaku satu peristiwa yang sangat menakjubkan! Saya terkejut apabila melihat kerusi wakaf itu tiba-tiba sahaja sudah berada di hadapan pintu bilik. Bukan hanya terkejut, saya juga terkedu kerana memikirkan siapa pula yang membawa kerusi itu? Subhanallah!”
TERUS ISTIQAMAH
“Pengalaman ke tanah suci telah menjadikan saya seorang yang lebih reda dengan takdir Allah SWT. Saya percaya kita mesti berbuat baik dalam apa jua perkara mahupun keadaan demi mendapatkan ganjaran kebaikan dari Allah SWT. Semuanya kerana Dia.
Bagi saya segala yang dilakukan mahupuan kejayaan adalah untuk dunia dan akhirat. Ia perlu selari dan berpandukan ajaran serta undang-undang Islam. Secara tak langsung saya dapat menjaga penampilan dan kelakuan dengan baik. Saya akui sebelum ini saya jahil..
Impian saya selepas ini ialah untuk menunaikan ibadah haji pula. Never say good bye to Kaabah and Mecca. I will come back. Rindu sangat!”
Siapa yang tidak kenal dengan figura cantik dan berkulit putih ini. Walaupun gadis yang sering melemparkan senyuman ini baharu berusia 24 tahun namun perwatakannya lebih matang daripada usia sebenar. Penglibatan gadis yang mempunyai nama sebenar Nurul Jannah Muner ini dalam usia yang begitu muda mungkin membuatkan dirinya kelihatan lebih dewasa.
Bersemuka dengan figura yang mempunyai nama komersil Janna Nick ini benar-benar telah menyentuh hati kecil penulis. Siapa sangka penyanyi lagu Mungkin Saja ini sanggup buat apa sahaja atau berhabis demi keluarga tercinta. Terpancar riak bahagia di wajah Janna Nick setiap kali berbicara tentang keluarganya.
“Saya benar-benar menyayangi keluarga saya. Siapa saya tanpa mereka. Saya memang tidak pernah rasa terbeban bila melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak dalam keluarga. Sebenarnya bila kita sebagai anak bertindak menyara keluarga ianya merupakan keberkatan dalam hidup. Rezeki kita semakin berlipat kali ganda bila berkongsi rezeki dengan keluarga.
Pada saya lagi banyak membantu, rezeki saya semakin murah dan lebih berkat. Secara tidak langsung menjadi ‘ketua keluarga’ kepada keluarga kecil saya ini mengajar untuk lebih tanggungjawab untuk masa depan. Mungkin kalau saya ada keluarga sendiri nanti saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental,” tutur anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini.
Memulakan karier dalam bidang seni seawal usia 16 tahun, Janna Nick kini semakin bijak merencana masa depannya. Berbicara tentang perancangan kewangan pelakon drama adaptasi Korea, My Coffee Prince ini, “Saya mula merencana kewangan bila menyasarkan untuk beli rumah dulu.
Saya bersyukur berjaya capai impian untuk beli rumah pertama di usia 21 tahun. Sejak itu saya berazam untuk mengumpul aset. Saya pula bukan jenis orang yang suka berbelanja tanpa sebab dan tidak memilih jenama,” ujar Janna Nick yang mahu beli sebuah lagi rumah pada tahun ini.
Bercerita tentang perkembangan terkini, Janna Nick jujur mengakui lebih selektif dalam pemilihan watak lakonan.”Tahun ini saya lebih memilih watak kerana mahukan kualiti bukan kuantiti. Sebelum ini saya hanya mencari duit dan sekarang ini saya mementingkan kualiti.
Memang tujuan asal saya menceburi bidang seni untuk menambah pendapatan. Saya mula masuk dalam industri ketika umur saya 16 tahun dan ini bermakna sejak dari sekolah saya dah mula bekerja. Masuk dalam dunia seni mungkin mudah tetapi yang sukarnya adalah untuk kekal dalam industri.
Bagi saya untuk kekal lama dalam industri kena minat. Dalam setiap kerja apa pun kena minat, kan? Kini setelah lapan tahun berada dalam industri saya sedar lagi lama berada dalam industri sebenarnya lagi mencabar. Bukan bermakna lagi lama berada dalam industri perjalanan seni semakin mudah tapi lebih mencabar sebab macam mana nak letakkan diri kita atau kekalkan diri kita dalam top list,” ujar gadis berdarah kacukan Cina, Pakistan dan Siam.
Janna Nick juga begitu teruja berkongsi tentang dunia pengacaraan yang menjadi keutamaannya kini. Setelah tiga tahun menjadi hos untuk program hiburan terkenal di salah stesen televisyen Janna Nick rupanya kini sudah mempunyai program bual bicara sendiri.
Menurut Janna Nick program bual bicara yang masih dalam proses rakaman itu benar-benar menguji keupayaan dirinya sebagai seorang pengacara. “Apabila saya diberi peluang untuk mengacarakan sebuah program bual bicara cabarannya lain pula bila terpaksa menyesuaikan diri dengan program tersebut.
Sebelum ini saya biasa mengacarakan program siaran langsung kini saya belajar pula untuk mengendalikan sebuah program secara rakaman pula. Saya tak sabar nak tengok program tersebut ke udara dan dengar komen dan kritikan orang ramai, kalau kritikan itu membina saya akan ambil,” tutur pelakon filem Kimchi Untuk Awak ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berpeluang melahirkan anak kembar antara rezeki terindah bagi seorang wanita yang bergelar ibu. Ia pastinya sesuatu yang cukup menggembirakan lebih-lebih lagi jika kembar itu seiras dan semuanya perempuan.
Begitulah yang dirasai oleh seorang wanita bernama Janet Gersten yang merupakan ibu kepada anak kembar tiga yang diberi nama Joanna, Sarah dan Vicky Bedell. Cantiknya kembar tiga seiras ini!
Namun, kegembiraan itu hanyalah sementara apabila dia dan suami terpaksa bercerai di saat anak kembar mereka itu masih kecil.
Selepas perceraian dan bergelar ibu tunggal, Gertsen terpaksa menjaga ketiga-tiga anak kembarnya itu seorang diri. Pada masa yang sama, dia juga sibuk dengan kerjayanya sebagai pakar perbidanan.
Sejak kecil lagi, sebahagian daripada kehidupannya dan anak-anak adalah hospital. Sehinggakan anak-anak kembarnya itu sudah ‘sebati’ dengan persekitaran hospital.
Ibarat rumah kedua, ketiga-tiga kembar itu sering tidur di hospital ketika menemani ibu mereka bertugas pada waktu malam.
Malah, seawal usia 8 tahun lagi mereka sudah menjadi ‘saksi’ ibunya membantu ibu-ibu bersalin di hospital.
Sepanjang bekerja, Gertsen bukan sahaja terpaksa menumpukan perhatiannya terhadap tugas bahkan perlu menjaga dan mengajar anak-anaknya.
Joanna, Sarah dan Vicky juga sering membantunya menyusun sampel darah dan air ketuban bagi penyelidikan yang dilakukan Gertsen. Mereka juga mengetahui pelbagai jenis istilah serta ilmu perubatan.
Walaupun kerap berada di hospital, mereka juga cemerlang dalam akademik.
“Saya amat berbangga kerana anak perempuan saya merupakan satu-satunya pelajar darjah lima yang tahu apa itu Pap smear,” kata Gertsen.
Mengikut jejak langkah ibu mereka, tiga gadis kembar ini turut mengambil jurusan perubatan ketika melanjutkan pengajian di universiti.
Selepas menamatkan pengajian dalam perubatan pada 2017, kembar tiga itu menyertai ibu mereka di New Age Women’s Health di Miami, Florida. Ia memfokuskan kepada ginekologi dan penyelidikan klinikal.
Kini, ketiga-tiganya berjaya bergelar doktor dalam bidang obstettrik dan ginekologi (OB-GYN).
Kata Gertsen, dia tidak pernah memaksa anak-anak kembarnya itu mengikuti jejak langkahnya sebagai doktor namun tetap merasa bangga dengan kejayaan mereka.
Bagi Gertsen, setiap anak-anaknya itu ada keistimewaan masing-masing dan mereka mempelajari banyak perkara darinya.
“Saya harap saya dapat belajar daripada ibu bagaimana untuk bersalin dengan cepat tanpa kesakitan dan pesakit tidak perlu ke hospital,” kata Joanna.
Gertsen berharap agar anak-anaknya itu dapat membantu lebih ramai wanita bukan sahaja dalam hal melahirkan bahkan menjaga kesihatan.
Kredit Foto: Instagram @bedelltripletobgyns
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!