
Leeyana Rahman Bawa Semua Family Pergi Umrah
Murah rezeki usahawan berjaya, Leeyana Rahman dapat bawa seluruh ahli keluarga pergi ke Tanah Suci menunaikan ibadah umrah! Kalau tengok pencapaian dan jualan bisnes wanita sukses ini, tidak hairanlah pengasas jenama Leeyana Rahman berkenaan mampu bawa keluarga tersayang ke sana.
Memiliki pelbagai cabang perniagaan, pendapatan yang diraih dianggarkan mencecah sehingga tujuh angka!
Lebih sedekad bergelar ahli perniagaan, pemilik nama Nur Liyana Abdul Rahman atau mesra disapa Yana bukan hanya mengusahakan jenama pakaian dan tudung Leeyana Rahman.
Bahkan dia juga ligat berniaga produk makanan seperti tiramisu dan kek batik. Pendek kata, ada saja peluang jana duit pasti ibu tiga cahaya mata ini ‘rebut’ kelebihan tersebut.
Terbaharu, satu lagi pencapaian peribadi berjaya digapai Yana apabila dia berjaya memiliki sebuah kereta mewah Lamborghini. Bukan calang-calang, khabarnya kenderaan itu bernilai sekitar lebih RM1 juta!
Di sebalik kesenangan dan kemewahan itu, Yana turut tidak terkecuali membantu golongan kurang berkemampuan dan menyalurkan sebahagian pendapatan bagi tujuan kebajikan.
Malah, dia juga tidak lupa menghargai staf dan pelanggan setia Leeyana Rahman.
Menerusi perkongsian terbaharu di media sosial, Yana mendedahkan impian membawa semua ahli keluarga tersayang ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah umrah. Ia merupakan nazar Yana ketika ayah tersayang diuji dengan masalah kesihatan dan terlantar sakit.
Kongsinya, “Kalau ayah sihat sepenuhnya, aku nak bawak semua family ke tanah suci.”
Tu nazar yang aku pernah sebut masa ayah sakit tahun lepas. Masa tu dia terlantar, tak boleh jalan, tak boleh makan. Serius rasa macam dah takde harapan waktu tu.
Dan hari ini alhamdulillah, Allah kabulkan. Syukur sebab Allah dengar doa kecil dari hati yang pernah takut kehilangan. Semoga perjalanan ini jadi tanda cinta kami pada Allah, dan jadi sebab bertambahnya rahmat dalam keluarga kami.”
Dia yang kini berada di Mekah berkongsi aktiviti mereka di sana di Instagram Story dan salah satu posting yang menarik perhatian ialah foto Yana di samping kedua-dua ibu bapa.
Ujar figura ini, “Orang yang sentiasa ada dalam setiap jatuh bangun hidup saya. Terima kasih untuk doa yang tak pernah putus, untuk sabar yang tak pernah hilang, dan untuk kasih sayang yang tak pernah berkurang walaupun saya banyak kurang.
Apa yang saya capai hari ini, itu semua kerana berkat doa mereka. Saya jarang jenguk mereka. Semoga Allah jaga mereka, beri kesihatan, ketenangan, dan umur yang panjang dalam ibadah.”
Usahawan Leeyana Rahman ini mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Hafiz Abdul Hamid pada tahun 2014. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata perempuan iaitu Tyara Luthfia, Hanna Qhalisya dan Mellysa Rose
Semoga empayar Leeyana Rahman terus sukses dan rumah tangga Yana serta Hafiz dilindungi Allah SWT sampai ke syurga.
This website uses cookies.