
Melinda French Gates Bangkit Lepas Bercerai Bill Gates, Bahagia Dengan Anak-Anak
Penceraian Melinda French Gates dengan pengasas Microsoft, Bill Gates pada 2021 bukan hanya mengejutkan ramai pihak. Malah memberi tamparan besar buat Melinda kerana diselubung dengan rasa sakit dikhianati. Apatah lagi usia perkahwinan mereka waktu itu mencecah 27 tahun.
Hampir tiga dekad menempuh suka duka kehidupan dan membina keluarga harmoni serta empayar sukses bernilai berbilion dollar, penulis buku ini terpaksa akur untuk menerima hakikat bahawa rumah tangga bahagia yang akhirnya putus di tengah jalan.
Biarpun pada mulanya Melinda French Gates bergelut dengan mimpi ngeri dalam beberapa tahun terakhir perkahwinan dan tidak mampu melupakan kaitan suami dengan Jeffrey Epstein serta pengakuan bahawa Bill berlaku curang terhadapnya namun kini dia kembali ceria dan bangkit dengan semangat baharu.
Pastinya anak-anak menjadi kekuatan kepada Melinda yang juga merupakan pengasas bersama Gates Foundation untuk meneruskan kehidupan dan menjayakan kerja-kerja kebajikan yang diusahakan selama ini.
Khabarnya, Melinda dan Bill masih bertemu dalam beberapa program bersama mereka di bawah Gates Foundation. Selain berhubungan demi tiga anak mereka iaitu Dr Jennifer Gates, Rory John Gates dan Phoebe Gates. Mereka juga sudah mempunyai seorang cucu hasil perkahwinan anak mereka Dr Jennifer Gates bersama suami, Nayel Nassar.
Walau tidak lagi bergelar isteri kepada billionaire ternama dunia itu tetapi kekayaan yang diraih Melinda cukup untuk dia menampung kehidupan sendiri.
Menurut Forbes, sehingga awal tahun 2026 Melinda French Gates memiliki pendapatan dan aset mencecah USD30.4 billion. Ia sebahagiannya hasil penyelesaian penceraian pada tahun 2021 dengan Bill Gates serta pemindahan syarikat selepas itu, menjadikannya antara individu terkaya di dunia.
Pada Mei 2025, kenyataan yang dibuat Bill mengenai penceraiannya dengan Melinda mengundang pelbagai reaksi. Usahawan kaya-raya berusia 70 tahun berkenaan dilapor meluahkan kekesalan kerana bercerai dengan bekas isterinya menerusi temu bual bersama The Times of London.
“Bercerai dengan Melinda adalah kesilapan yang sangat saya kesalkan. Melinda ialah wanita yang telah hidup bersamanya dalam tempoh lama dan membina banyak kenangan serta perkongsian termasuk memiliki anak.
Malah sewaktu bertemu Melinda saya memang sudah berjaya tapi belum menjadi sangat sukses seperti sekarang. Banyak yang Melinda lihat dan lalui bersama saya untuk berada di tahap berjaya seperti ini.”
Bagaimana pun Melinda tidak senada dengan bekas suami dan menyifatkan keputusan untuk berpisah adalah tepat. Meskipun ia adalah keputusan yang paling susah dan penting untuk dilakukan ibu berusia 61 tahun itu.
Balas Melinda French Gates menerusi laporan The Times, “Saya tak pasti bagaimana hendak mentafsir kenyataan itu, jadi saya tidak akan mengulas tentang apa yang dia katakan. Dia ada kehidupannya sendiri. Saya kini mempunyai kehidupan saya. Saya sangat gembira.”
Dalam masa sama, dia sedang menikmati kehidupan bujang dan tidak tergesa-gesa untuk memulakan hubungan baharu melainkan individu itu memenuhi kriteria tertentu.
Bersandarkan pendapatan Melinda dan circle wanita-wanita berjaya dunia di sekelilingnya seperti Michelle Obama dan Oprah, tidak hairanlah Melinda French Gates kini jauh lebih bahagia dengan fasa hidup baharunya.
This website uses cookies.