
Perkahwinan Anak Lelaki Datuk Ziela Jalil, Megat Jufri
Tahniah diucapkan buat Datuk Ziela Jalil atas perkahwinan anak lelaki kesayangannya baru-baru ini. Kemeriahan majlis perkahwinan putera tersayang, Megat Jufri Nasrullah bersama wanita pilihan yang dikenali sebagai Alina menarik perhatian ramai.
Apatah lagi foto perkahwinan mereka tular di media sosial. Rata-rata warga maya dan peminat Datuk Ziela Jalil turut teruja melihat kebahagiaan pasangan mempelai. Selain mendoakan kesejahteraan pasangan suami isteri berkenaan.
Difahamkan, Megat Jufri sah bergelar suami Alina pada 30 Januari lalu. Pada majlis pernikahan, pengantin lelaki segak berbaju Melayu putih lengkap bersampin rekaan Man Kajang.
Begitu juga ibunda kesayangan, Datuk Ziela Jalil yang anggun dalam persalinan tradisi kurung Pahang warna putih. Sedondon dengan puteri sulungnya iaitu Dr Puteri Julia Nabilah. Kedua-dua jelitawan ini menggayakan busana indah rekaan Man Kajang.
Turut kelihatan menyerikan majlis ijab kabul ialah suami Dr Puteri Julia iaitu Dr Dziya Faqhran dan dua anak mereka serta anak angkat Datuk Ziela, Ibrahim Junid Abdullah.
Usai pernikahan, pasangan mempelai kemudian diraikan dalam sebuah majlis resepsi gilang-gemilang di sebuah hotel terkemuka.
Resepsi graduan University of Nottingham Malaysia ini diadakan pada 1 Februari lalu di Sheraton Imperial Kuala Lumpur Hotel. Segenap ruang dewan hotel ini dihias indah dan mewah serta dekorasi singgahsana yang memukau oleh perunding majlis perkahwinan, Peterana.
Untuk majlis persandingan bertemakan Tradisional Melayu Klasik, Megat Jufri dan Alina sepakat memilih persalinan songket eksklusif rona hijau lembut.
Kreativiti pereka fesyen terkenal, Man Kajang menghasilkan busana perkahwinan indah ini berjaya menyerlahkan pesona dan aura pasangan Raja Sehari berkenaan.
Sentuhan magis makeup artist popular, Razzi Musa turut menaikkan seri wajah pengantin perempuan.
Majlis resepsi ini turut dihadiri barisan para tetamu kenamaan dan rakan artis Datuk Ziela Jalil seperti Datuk Sheila Majid. Ia turut dihoskan oleh pengacara majlis terkenal yang juga personaliti TV, Fedtri Yahya.
Datuk Ziela sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob pada 1991 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Dr Puteri Julia Nabilah dan Megat Jufri Nasrullah.
Pelakon dan penerbit jelita ini turut mempunyai seorang anak lelaki, Ibrahim Junid Abdullah.
Semoga rumah tangga Megat Jufri dan Alina sentiasa dalam lindungan Allah SWT serta bahagia sampai syurga.
This website uses cookies.