
Sheahnee dan Naz Rahman sememangnya suami isteri berbakat besar dan versatil. Bukan sekadar mengacarakan program santai dan korporat, kemahiran kedua-duanya dalam bidang pengacaraan tidak perlu dipertikai.
Tahap profesionalisme dan gaya penyampaian jelas serta bertenaga Sheahnee Iman Lee dan Nazrudin Habibur Rahman membuatkan mereka sering menjadi pilihan penganjur acara.
Terbaharu, pasangan suami isteri ini diberi kepercayaan mengendalikan satu majlis gah dan penuh bersejarah iaitu Sidang Kemuncak ASEAN 2025!
Berpadu tenaga dan berkongsi pentas menjayakan sidang kemuncak tersebut, Sheahnee pada majlis itu anggun dalam persalinan songket maroon rekaan Lumiere. Sementara suami tercinta segak mengenakan sut eksklusif rona sedondon dari Bon Zainal.
Menerusi perkongsian di IG Story Sheahnee, dia berbesar hati diberi peluang mengacarakan acara istimewa berkenaan. Apatah lagi bersama suami, Naz Rahman.
Kongsinya, “It’s been the honour of my life to serve my nation. Never been prouder to be a Malaysian. Thank you for having us, Tanah Airku.”
Sheahnee dan Naz Rahman cukup terkenal dalam industri pengacaraan tanah air. Bahkan sebelum mendirikan rumah tangga lagi, kedua-duanya sudah pun menceburi dunia penyiaran dan bakat mereka sering menjadi buruan syarikat swasta mahupun kerajaan untuk menjadi pengacara majlis.
Figura wanita ini merupakan bekas penyampai berita NTV7 dan berpengalaman luas sebagai pengacara.
Meskipun wajahnya kini tidak lagi menghiasi kaca televisyen namun bakat dan kemahiran ibu tiga anak ini masih mendapat kepercayaan banyak syarikat berkelas dunia termasuklah Petronas.
Selain aktif sebagai emcee dan pencipta kandungan di media sosial, figura berusia 46 tahun ini juga memiliki HRDC-certified trainer!
Pasangan ini menyambut ulang tahun perkahwinan mereka ke-17 pada 26 Jun lalu.
Sheahnee dan Naz Rahman berkahwin pada tahun 2008. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Zara Aaliyah, Zakry Aiman dan Zayd Aaqil.
This website uses cookies.