Bukan Riak Atau Menunjuk, Datin Fouziah Gous Suntik Inspirasi Khatam Al-Quran Di Mekah Pada Bulan Ramadan!

‘Cemburu’ dengan kegigihan dan semangat Datin Fouziah Gous dalam menguruskan masa. Kesibukan sebagai pengacara televisyen, usahawan, isteri dan ibu dua cahaya mata tidak menjadi halangan buat personaliti cantik ini untuk khatam Al-Quran. Bahkan sejak kira-kira lima tahun lalu lagi dia sudah mendidik diri untuk menghabiskan bacaan Al-Quran setiap tahun.  

Artikel https://www.nona.my/sinar-keberkatan-ramadan-tan-sri-shahrizat-bahagia-solat-tarawih-bersama-keluarga-cucu/

Datin Fouziah Gous Khatam Al-Quran

Terbaharu, Datin Fouziah Gous dan suami tercinta iaitu Dato’ Md Zhafran Md Yusof berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah. Seperti tahun-tahun sebelumnya, pengasas FG Walet ini tidak melepaskan peluang memanfaatkan bulan Ramadan dengan amalan bacaan Al-Quran.

Sempena Nuzul Quran yang jatuh pada hari Jumaat, 6 Februari 2026 di Arab Saudi, Datin Fouziah kembali menyuntik inspirasi apabila berjaya khatam pada hari penuh keberkatan dan tempat suci umat Islam, Mekah.  

Dalam nada syukur, ibu dua cahaya mata ini berkongsi momen itu di media sosial miliknya. Ujar Datin Fouziah Gous, dia mohon agar perkongsian tersebut dapat dijadikan inspirasi. Jauh sekali bertujuan untuk mendabik dada, riak atau meninggi diri. 

“Kadang-kadang rasa serba salah untuk berkongsi perjalanan khatam Al-Quran ini. Takut juga jika ada yang salah faham seolah-olah ingin menunjuk. Sebenarnya IG ini juga tempat untuk saya tengok balik perjalanan khatam saya.  

Tetapi sebenarnya apa yang saya kongsikan hanyalah perjalanan hati saya. Tanpa saya sedar, ada juga yang berkongsi secara peribadi bahawa mereka mula membaca dan khatam Al-Quran kerana rasa terinspirasi. Itu membuatkan saya sangat bersyukur. Sekurangnya manusia hina macam saya ini ada juga memberi sedikit kebaikan buat lain.”

Datin Fouziah Gous Beri Inspirasi

Mengulas lanjut perjalanan khatam Al-Quran tahun ini, Datin Fouziah berkata, “Saya hanya membaca Al-Quran seperti biasa, tanpa memikirkan bila akan khatam. Tetapi Allah susun sesuatu yang jauh lebih indah. Khatam pada hari Jumaat, Nuzul Quran, di Mekah. Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar syukur alhamdulillah.

Semoga kita semua terus istiqamah bersama Al-Quran dan semoga Ramadan, bulan Al-Quran ini menjadi bulan yang terbaik untuk kita semua. Jika perkongsian ini membuatkan sesiapa kurang selesa, saya mohon maaf. Niat saya hanyalah untuk berkongsi sesuatu yang baik dalam hidup saya. Alhamdulillah. Semua dengan izin Allah.” 

Selepas mendirikan rumah tangga, Datin Fouziah Gous memperlahankan karier seni dan menceburi bidang perniagaan hingga ke hari ini. Menerusi pengusahaan FG Walet, pelbagai kejayaan telah diraih dan kini Datin Fouziah juga melebarkan empayar niaganya dengan membuka cawangan FG Fast Food.

Figura jelita ini mendirikan rumah tangga bersama Dato’ Md Zhafran Md Yusof pada 21 September 2013. Hasil perkongsian hidupmereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Muhammad Zeeshan dan Zaheen Yusuf. 

Share
Published by
Suzi