‘Crazy Rich’ Becca Bloom Kini Berstatus Isteri, Pilih Itali Sebagai Lokasi Penyatuan Dua Hati

Becca Bloom, seorang pempengaruh kaya raya yang terkenal dengan kandungan unboxing Hermes, kini bergelar isteri kepada pasangannya, David Pownall.

Kredit Foto: beccaxbloom

Villa Balbiano yang terletak berhadapan dengan Tasik Como, Itali menjadi lokasi majlis perkahwinan mereka.

Ia berlangsung secara tertutup dan hanya dihadiri oleh 60 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat.

Anak Pemilik Syarikat Teknologi & Pelabur Hartanah Ternama

Becca Bloom atau nama penuhnya Rebecca Ma ini merupakan anak kepada Simon Yiming Ma, pemilik syarikat teknologi gergasi dan pelabur hartanah yang telah menubuhkan syarikat perisian Camelot Information Systems.

“Kami berdua merupakan introvert dan ulat buku. Kami sukakan angka, teka-teki, membuat kek, serta melakukan kraftangan bersama. Membayangkan perlu membacakan ikrar perkahwinan di hadapan ratusan orang terasa begitu menakutkan,” kata Becca.

“Ibu bapa saya pula sentiasa membayangkan sebuah majlis yang meriah di rumah. Jadi kami memilih dua majlis perkahwinan. Ibu bapa kami merancang perkahwinan tradisional Asia yang cukup spectacular dengan skala lebih besar.

“Manakala majlis di Tasik Como sengaja dibuat secara intim dan hanya dihadiri 60 tetamu terdiri daripada keluarga dan rakan terdekat.”

Terkenal Di Media Sosial

Becca ialah pencipta kandungan popular di #RichTok, sisi TikTok di mana orang ramai boleh mengikuti kehidupan golongan crazy rich.

Videonya merangkumi unboxing belasan kotak Hermes sehinggalah menyediakan kaviar untuk hidangan kucing kesayangannya, Oscar.

Becca memiliki lebih daripada enam juta pengikut di TikTok dan Instagram.

Becca menetap di Atherton, California yang dikenali sebagai kawasan penempatan keluarga kaya dalam sektor teknologi.

BACA JUGA: Digelar Crazy Rich Bali, Mewahnya Maharani Kemala Pemilik Bisnes Kosmetik, Bank Urban & Ada Helikopter Sendiri!

Kisah Cinta Becca & David

Becca pertama kali bertemu dengan David secara tidak sengaja di sebuah kafe di Palo Alto pada 28 Disember 2019. David merupakan seorang jurutera perisian.

“Saya baru pulang kuliah, dan ketika itu merupakan hari ke-10 David berada di Bay Area selepas berpindah ke Amerika dari Vancouver,” imbau Becca yang bekerja dalam bidang teknologi kewangan.

“David bertanya sama ada dia boleh membelikan saya kopi, lalu saya menjawab saya tidak minum kopi, hanya teh. Bukanlah jawapan yang menggoda, entah bagaimana dia menerimanya.”

Sejak itu, mereka sering bertemu. Empat tahun kemudian David melamar Becca di Positano.

 

 

Share
Published by
Amy Mohd