Gaya Hidup

Dah Macam Wedding Diraja, Gaun Kahwin Eksklusif SYAHRINI… Satu Dalam Berjuta!

Tak ubah seperti majlis perkahwinan pasangan diraja! Daripada busana persandingan, aksesori sehinggalah dekorasi dewan, Syahrini sangat memahami apa yang diinginkan untuk hari bersejarahnya agar tampak serba mewah, eksklusif dan unik. Sesuai dengan kehendak dan impian majlis perkahwinan yang diidam-idamkan Syahrini selama ini. Alahai, bertuahnya badan dikurniakan suami kaya dan penyayang serta berkemampuan menyediakan majlis keraian yang indah untuk keluarga terdekat dan kenalan rapat!

Sah bergelar suami isteri pada tanggal 27 Februari tahun lalu, kedua-dua pasangan mempelai ini akhirnya berpeluang meraikan hari istimewa mereka bersama rakan artis, media dan peminat pada 3 Mei 2019. Difahamkan hanya 120 tetamu dijemput meraikan resepsi persandingan Syahrini dan Reino Barack.

Bukan saja terpegun dengan gaun kembang mewah ala Cinderella yang terletak cantik di tubuh langsing Syahrini, venue resepsi persandingan yang digelar sebagai Dinner Silaturahmi ini turut menjadi perhatian khalayak kerana diadakan di Four Seasons Hotel, Jakarta. Sebuah hotel berkelas antarabangsa yang terkenal di serata dunia kerana servis dan kualiti lima bintang!

Menyentuh persalinan yang digayakan Syahrini baru-baru ini, ia adalah gaun eksklusif ilham pereka ternama Indonesia, Sebastian Gunawan yang turut pernah menghasilkan busana selebriti Hollywood, Halle Berry.

Ini bukanlah kali pertama Syahrini memakai rekaan Sebastian memandangkan gaun pernikahannya di Jepun juga dihasilkan oleh pereka sama. Memetik laporan media Indonesia, Sebastian Gunawan atau lebih mesra disapa Seba mengakui terkejut ketika dihubungi adik Syahrini iaitu Rani pada awal Februari 2019. Ujar Seba, dia diminta membuat gaun perkahwinan Syahrini dalam masa yang singkat iaitu empat hari sahaja.

Biarpun mempunyai jadual padat dan terpaksa ke luar negara seminggu sebelum pernikahan Syahrini, pereka fesyen profesional ini mampu merealisasikan gaun impian selebriti kesayangan Indonesia berkenaan dengan cukup mewah, anggun dan berjaya memukau pandangan tetamu yang hadir.

Tampil lebih eksklusif daripada rekaan persalinan yang pernah dihasilkan untuk Syahrini, gaun mewah kembang yang dipakai suri hati Reino tersebut merupakan gaun dari koleksi Sebastian Gunawan Sposa yang dicipta khusus untuk gaun perkahwinan. Memandangkan hubungan baik yang terjalin di antara Syahrini dan Seba, pelantun lagu Restu tersebut diberi kesempatan untuk menggayakan koleksi Whisper/Roar sempena 25 tahun penglibatan Sebastian Gunawan dalam industri fesyen Indonesia.

Ikutkan gaun sebenar yang telah siap tersebut dihasilkan dengan potongan strapless. Namun, ia diubah mengikut cita rasa Syahrini yang mahu potongan off-shoulder. Walau kelihatan berbeza daripada sentuhan awal ia tetap menyerlah terutamanya dari segi perincian dan siluet bervolume yang klasik dan elegan.

Penampilan Syahrini pada resepsi Dinner Silaturahmi berkenaan lebih terserlah bak puteri kayangan dengan pemakaian mahkota dari pereka aksesori terkemuka, Rinaldy A. Yunardi yang dicipta khas semata-mata untuk majlis resepsi Syahrini di Jakarta!

Selain busana dan aksesori yang digayakan, dekorasi majlis juga tidak kurang hebatnya. Mengambil khidmat dekorasi perunding perkahwinan, Lotus Design, suasana di ruang dewan dihiasi dengan kelopak bunga teratai pelbagai saiz berwarna putih salju. Sepadan dengan penataan warna suci tersebut dari gerbang pintu masuk sehinggalah di atas singgahsana.

Untuk menghidupkan lagi efek mewah dan klasik, Lotus Design menyerikan ruang siling dewan dengan juraian kristal, bunga-bungaan berwarna putih dan lampu candelier. Ternyata, idea kreatif itu berjaya menyerlahkan suasana mewah dan tampak sempurna tatkala kedua-dua mempelai berarak masuk menuju pelaminan.

 

IKLAN
Share