
Dato' Hanifah Hajar Taib
Pelantikan Dato’ Hanifah Hajar Taib sebagai Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia bukan sekadar menyaksikan pertukaran kepimpinan dalam pentadbiran negara, malah menjadi simbol kebangkitan seorang wanita yang membina perjalanan politiknya dengan penuh kesabaran, prinsip dan dedikasi.
Di sebalik nama besar yang diwarisi daripada Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud, beliau memilih untuk membina identiti sendiri menerusi khidmat kepada rakyat serta komitmen terhadap pembangunan negara.
Pada usia 54 tahun, anak bongsu kepada Allahyarham Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan Allahyarhamah Tun Puan Datuk Patinggi Hajah Laila Taib ini membuktikan bahawa legasi bukan sekadar diwarisi, tetapi perlu diteruskan dengan amanah dan tanggungjawab.
Isteri kepada Datuk Syed Ahmad Alwee Alsree serta ibu kepada dua cahaya mata ini kini menggalas tugas sebagai Timbalan Menteri Kesihatan selepas sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) pada tahun 2020 serta Timbalan Menteri Ekonomi pada tahun 2022.
Nama Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud cukup sinonim dengan pembangunan Sarawak. Namun bagi Dato’ Hanifah, kenangan paling bermakna bukanlah mengenai kedudukan bapanya sebagai pemimpin negeri, sebaliknya pengalaman membesar melihat sendiri bagaimana kedua-dua ibu bapanya turun padang membantu masyarakat.
Beliau mengakui minat terhadap politik bukanlah sesuatu yang hadir sejak awal.
“Nak cakap pasal politik, saya tak minat sebenarnya. Tetapi sejak kecil saya selalu ikut arwah ibu ayah masuk ke kawasan pedalaman. Saya tengok kawasan yang daif diperbaharui dan dilaksanakan pembangunan.”
Pengalaman itu akhirnya membentuk cara beliau melihat kepimpinan bukan sebagai satu kedudukan, tetapi satu amanah untuk membawa perubahan kepada kehidupan rakyat.
Pengaruh ibunya, Allahyarhamah Tun Puan Datuk Patinggi Hajah Laila Taib, juga cukup besar. Dikenali sebagai seorang dermawan dan tokoh kebajikan, perjalanan hidup Allahyarhamah yang berhijrah dari Eropah akibat peperangan sebelum menetap di Australia dan akhirnya membina kehidupan di Sarawak menjadi inspirasi kepada semangat kemanusiaan yang diteruskan oleh Dato’ Hanifah hingga ke hari ini.
Selepas menamatkan persekolahan di Sarawak, Dato’ Hanifah melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat dalam bidang pentadbiran dan pengurusan sebelum memperoleh ijazah daripada University of San Francisco.
Pendedahan dalam persekitaran akademik antarabangsa memperkayakan pemikiran beliau terhadap ekonomi moden, tadbir urus yang telus serta kepimpinan strategik. Selain mengikuti pengajian, beliau turut aktif dalam program pembangunan pelajar yang menekankan komunikasi rentas budaya dan kemahiran membuat keputusan.
Pengalaman tersebut menjadi asas penting kepada pendekatan beliau dalam merangka dasar, khususnya berkaitan pembangunan ekonomi luar bandar, pemerkasaan komuniti pesisir dan pembangunan Sabah serta Sarawak dalam kerangka nasional.
Sebelum bergiat aktif dalam politik, beliau terlebih dahulu membina pengalaman dalam dunia korporat melalui beberapa syarikat berkaitan pembangunan ekonomi Sarawak. Dalam tempoh itu juga, beliau terlibat secara aktif dalam pelbagai program tanggungjawab sosial korporat yang memfokuskan pendidikan, bantuan kemanusiaan dan kebajikan masyarakat luar bandar.
Tidak seperti kebanyakan ahli politik yang memulakan perjalanan pada usia muda, Dato’ Hanifah hanya melangkah ke arena politik pada tahun 2018 ketika berusia 46 tahun.
Keputusan itu juga bukan dibuat secara tergesa-gesa.
“Sebenarnya suami dan (arwah) bapa melewatkan penglibatan saya dari segi politik kerana anak-anak ketika itu masih memerlukan bimbingan saya di rumah.”
Kenyataan tersebut memperlihatkan bagaimana beliau memilih untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu sebelum menerima amanah sebagai pemimpin negara.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Mukah, sekali gus memulakan lembaran baharu dalam kerjaya politiknya.
Sebagai Ahli Parlimen Mukah, Dato’ Hanifah memberi keutamaan kepada pembangunan luar bandar, pemerkasaan komuniti pesisir serta peningkatan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan asas.
Mukah yang sedang berkembang sebagai kawasan strategik di koridor pesisir Sarawak memerlukan perhatian terhadap pembangunan infrastruktur, capaian internet, peluang pekerjaan dan pelaburan baharu. Beliau konsisten memperjuangkan peluasan rangkaian jalur lebar, penambahbaikan kemudahan asas serta usaha menarik pelaburan yang mampu merancakkan ekonomi tempatan.
Dalam masa yang sama, beliau turut memperjuangkan kebajikan komuniti nelayan, keselamatan pesisir, usahawan kecil, keluarga berpendapatan rendah serta peluang ekonomi untuk golongan belia. Pendekatan beliau yang gemar turun padang menjadikan Dato’ Hanifah dekat dengan masyarakat dan memahami sendiri cabaran yang dihadapi rakyat.
Perjalanan Dato’ Hanifah Hajar Taib membuktikan bahawa legasi keluarga hanya menjadi titik permulaan. Apa yang membezakan seseorang pemimpin ialah kesungguhan meneruskan amanah dengan integriti, kebijaksanaan dan keikhlasan.
Daripada seorang anak yang membesar menyaksikan pembangunan di pedalaman Sarawak, beliau kini berdiri sebagai antara figura wanita yang terus mengangkat suara rakyat di pentas nasional, sekali gus meneruskan reputasi besar yang pernah dibina Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud dengan acuan kepimpinan tersendiri.
Artikel berkaitan: Timbalan Menteri Kesihatan Terima Kunjungan Hormat Majalah Nona, Perkasa Kesedaran Kanser Payudara
This website uses cookies.