
Berani dan berwibawa, kagum dengan semangat Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, mewakili Perdana Menteri (PMX) menyampaikan sumbangan dari negara ini ke bumi Gaza.
Pastinya bukan mudah memikul amanah besar dan mengetuai misi negara ini, apatah lagi mengenangkan tanggungjawab terhadap negeri Selangor dan keluarga yang ditinggalkan di tanah air.
Dato’ Seri Amirudin berlepas meninggalkan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad dan enam cahaya mata iaitu Amirul Haziq, Najwan Imran, Amina Safrina, Luthfi Abshar, Ana Safiyah dan Iffa Batrisya.
Ditemui sewaktu Sidang Media secara langsung dari Perkarangan Balai Ketibaan KLIA 1 sebelum pelepasan, Dato’ Seri Amirudin menjelaskan misi berkenaan akan menyampaikan 30 kontena yang mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membela nasib warga Palestin yang semakin meruncing di Gaza.
Dato’ Seri Amirudin yang berusia 46 tahun, bakal berlepas dan mengetuai Delegasi Kemanusiaan, memastikan pelepasan kontena di Kaherah berjalan lancar, mengetuai sidang khas di Pintu Sempadan Rafah untuk menyatakan tegas pendirian Malaysia terhadap isu kepungan Gaza dan seterusnya memantau pelepasan Delegasi Sumud Nusantara di Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.
“Malaysia juga mencatat sejarah sebagai negara pertama yang menyertai misi ini secara kolektif sebagai sebuah negara, merangkumi komitmen menyeluruh daripada Kerajaan, agensi, NGO serta rakyat Malaysia.
Misi Global Sumud Flotilla 2026 kali ini menghimpunkan lebih banyak penyertaan berbanding tahun lalu dengan penglibatan 100 buah negara. Misi Sumud Nusantara 2026 ini adalah pendirian tegas Malaysia dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di Gaza, di samping menggerakkan diplomasi kemanusiaan secara proaktif di peringkat antarabangsa.
Saya memohon doa dari seluruh rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama dan fahaman politik agar kita bersatu atas nama kemanusiaan demi keamanan sejagat,” ucap beliau sebelum berlepas meninggalkan tanah air, malam tadi.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan dari Facebook Dato’ Seri Amirudin, misi yang kini berlangsung adalah usaha negara untuk membela Gaza atas nama solidariti dan kemanusiaan.
“Misi Sumud Nusantara adalah sebahagian dari usaha bersepadu di bawah kerangka Global Sumud Flotilla bagi memecahkan kepungan haram rejim Zionis.
Insya-Allah di bawah Misi Sumud Nusantara 2026 akan digerakkan lima fasa tindakan. Mohon doa dari seluruh rakyat Malaysia agar misi ini berjaya, Insya-Allah.”
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/rai-anniversary-ke-21-menteri-besar-selangor-tunai-umrah-bersama-isteri-ziarah-bumi-mesir/
This website uses cookies.