
Ramlah Md Jalee, Kekuatan Mimi Fly
Melihat pengorbanan ratu hati kesayangan yang juga seorang ibu tunggal membesarkan tiga anak sejak kecil banyak mengajar Mimi Fly mengenai erti kehidupan.
Ketabahan dan kecekalan ibu tersayang, Ramlah Md Jalee turut mempengaruhi peribadi penyanyi ini. Sekaligus membentuk dirinya menjadi seorang yang kental dalam melalui liku-liku kehidupan.
Apatah lagi, ibunya merupakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Namun itu tidak menghalang Ramlah untuk menamatkan pengajian dalam bidang Penulisan Kreatif dan Deskriptif di Universiti Malaya (UM).
Mimi atau nama penuhnya Shamimi Amalina yang meniti usia 40 tahun kian matang melayari kehidupan. Dalam temu bual bersama Nona sempena Hari Ibu kira-kira dua tahun lalu, Mimi akui kagum dengan semangat ibunya dan memilih untuk tinggal bersama insan istimewa ini.
Dia yang kini merupakan guru kelas tarian dan yoga meluahkan rasa gembira kerana kebanyakan pelajarnya terdiri daripada golongan ibu tunggal.
“Saya buat kelas menari, kelas yoga. Memang khas yang datang tu daripada single mothers. Saya rasa ada purpose buat kelas macam ni. Mereka luangkan masa untuk jaga diri. Mereka tahu betapa pentingnya jaga diri dan mental supaya kita boleh menangani cabaran yang ada.”
Tambahnya lagi, “Tahun ini dekat tiga tahun saya duduk dengan Mama. Tiap hari tengok dia, boleh bangun tengok bilik dia, boleh masak-masak sama, gosok belakang dia, boleh belikan dia makanan.
Benda kita buat dekat ibu kita, apa saja keikhlasan kepada mereka, ia akan datang balik kepada kita. Mimi sangat sayangkan Mama Mimi. Kalau tak kerana dia, saya tak rasa saya dapat ada di sini sekarang.”
Bersandarkan jiwa cekal dan sikap optimis Ramlah Md Jalee menempuh kehidupan, dia pernah merangkul Anugerah Ibu Gemilang 2018, Anugerah Seri Nona, Anugerah Tokoh Negeri Selangor, Tokoh Hari Pekerja OKU dan The Life Begins at 50 Seniors Festival pada September 2024.
Bukan itu saja, ibu kesayangan Mimi Fly ini juga pernah menjadi penulis skrip bebas untuk drama tempatan, penyunting skrip drama untuk televisyen mahupun radio.
This website uses cookies.