
Penyanyi dan guru vokal terkenal Datuk Syafinaz Selamat baru-baru ini dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Perlantikan tersebut mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026.
Penghormatan besar ini selaras dengan usaha membawa tokoh industri seni ke dalam ekosistem akademik.
Menurut Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, Datuk Syafinaz adalah figura seni yang mempunyai reputasi tinggi bukan sahaja sebagai penyanyi dan penggiat seni, tetapi juga pendidik berpengalaman luas.
“Kehadiran beliau akan membuka ruang kepada pertukaran idea, inovasi pembelajaran dan penghasilan karya seni berkualiti tinggi.”
BACA JUGA: Gorgeous! Macam Tak Menua, Wajah Awet Muda Datuk Syafinaz Selamat Usia 51 Tahun Tarik Perhatian
Pelantikan itu diharap menjadi pemangkin kepada penghasilan bakat baharu yang lebih kompetitif di peringkat global, khususnya dalam bidang muzik dan seni persembahan.
Dekan FMSP Prof Madya Dr Muhammad Fazli Taib Saearani pula berpendapat pelantikan Syafinaz selama setahun diyakini dapat memperkukuh hubungan strategik antara fakulti dan industri muzik, di samping memperkaya aktiviti akademik, penyelidikan serta seni persembahan.
“Kami melihat pelantikan ini sebagai peluang besar membina jambatan antara dunia akademik dan industri muzik professional.”
Ia juga akan memperkaya kurikulum melalui perkongsian pengalaman, sesi bimbingan, bengkel vokal dan projek kolaborasi melibatkan pelajar serta tenaga pengajar.
“Dengan jaringan profesional yang dimiliki, fakulti ini diyakini berpeluang membina kolaborasi antarabangsa sekali gus mengangkat jenama UPSI di pentas global.”
Sumber: Bernama
This website uses cookies.