
Pertandingan Miss Universe 2025 yang berlangsung di Thailand diselubungi drama yang menggemparkan masyarakat antarabangsa.
Insiden walk-out berani oleh Miss Mexico, Fátima Bosch menjadi tumpuan dunia dan mencetuskan perdebatan hangat mengenai etika serta rasa hormat di pentas ratu cantik paling berprestij itu.
Insiden itu berlaku pada 4 November 2025 lalu ketika berlangsungnya sesi penyerahan selempang (Sashing Ceremony) yang disiarkan secara langsung melalui media sosial rasmi Miss Universe Thailand.
Acara yang sepatutnya meriah itu dihadiri semua finalis Miss Universe 2025 serta pegawai organisasi, namun bertukar menjadi perdebatan terbuka yang mencetuskan kekecohan.
Dalam siaran langsung itu, Naib Presiden Asia & Oceania Miss Universe Organization (MUO) dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tempatan, Nawat Itsaragrisil secara terbuka menegur Miss Mexico berhubung ketidakhadirannya dalam sesi penggambaran bersama penaja yang diadakan lebih awal pada hari yang sama.
Ketegangan meningkat apabila Nawat didakwa mengeluarkan kata-kata menghina, menyebut Fátima Bosch sebagai “bodoh” di hadapan semua peserta dan kamera.
Tindakan itu mencetuskan kejutan dalam kalangan penonton serta komuniti ratu cantik global.
Berasa direndahkan dan tidak dihormati, Miss Mexico memilih untuk melakukan walk-out sebagai bentuk protes terhadap perlakuan tidak beretika tersebut.
“Apa yang dilakukan oleh pengarah itu sangat tidak sopan. Dia memanggil saya bodoh hanya kerana dia mempunyai masalah dengan organisasi, dan saya rasa itu tidak adil,” ujar Fátima Bosch dalam kenyataannya.
Tindakan walk-out itu dianggap sebagai detik paling berani dalam sejarah Miss Universe.
Beberapa peserta lain turut menunjukkan solidariti, termasuk Victoria Kjær Theilvig (Miss Universe 2024), Miss Armenia, Miss Kanada, Miss Palestin, Miss Bahamas, Miss Tanjung Verde, Miss Sepanyol, Miss Belize, Miss Bolivia dan Miss Bulgaria.
BACA JUGA: Cantik & Berjiwa Pejuang NADEEN AYOUB Wanita Palestin Pertama Terpilih Ke Miss Universe 2025
Miss Universe Mexico segera mengeluarkan kenyataan rasmi menyokong Fátima Bosch, mengecam tindakan penghinaan tersebut dan menegaskan bahawa tiada wanita wajar dihina di mana-mana pentas.
Sementara itu, Miss Universe Organization (MUO) turut mengutuk kelakuan Nawat Itsaragrisil sebagai tidak dapat diterima dan menghantar delegasi siasatan ke Thailand yang diketuai CEO Mario Bucaro.
MUO mengumumkan bahawa peranan Nawat dalam acara rasmi Miss Universe akan dihadkan atau digugurkan sepenuhnya.
Namun, kenyataan balas Nawat yang menyeru semua peserta untuk kembali “kecuali Mexico” mengundang kemarahan global, menjadikan tanda pagar seperti #StandWithMexico dan #JusticeForFatima trending di seluruh dunia.
Kontroversi Miss Universe 2025 membuka mata ramai tentang isu buli, body shaming
, dan etika kepimpinan dalam industri pertandingan ratu cantik.MUO menegaskan pertandingan akan diteruskan seperti biasa dengan jaminan persekitaran yang selamat, profesional, dan penuh hormat untuk semua delegasi.
Insiden Miss Mexico ini menjadi simbol keberanian wanita memperjuangkan maruah dan suara mereka mengubah pertandingan ratu cantik daripada sekadar penilaian rupa menjadi pentas perjuangan harga diri dan integriti.
This website uses cookies.