
Noor Akmal, Pengasas Seri Wajah Muslimah Aesthetic
Terharu mendengar impian Noor Akmal Fadzila Ibrahim tentang matlamat utamanya menceburi bidang perniagaan. Jelas usahawan berusia 46 tahun ini, pembabitannya dalam dunia keusahawanan bukan berpaksikan kepada keuntungan semata-mata. Sebaliknya dia mempunyai misi lebih besar iaitu mahu memartabatkan golongan Muslimah.
Tahun ini merupakan tahun kelapan penubuhan pusat spa kecantikan Seri Wajah Muslimah Aesthetic, sebuah pusat rawatan wajah dan estetik khusus untuk Muslimah yang diasaskan pada tahun 2018. Noor Akmal Fadzila atau mesra disapa Noor memberitahu sebelum ‘terjun’ dalam bidang perniagaan kecantikan, dia pernah bertugas sebagai jurutera teknologi maklumat (IT) dan komunikasi.
Seri Wajah Muslimah Aesthetic diposisikan sebagai spa Muslimah patuh syariah yang mengutamakan privasi, keselesaan dan ketenangan jiwa. Setiap rawatan dikendalikan sepenuhnya oleh therapist wanita terlatih dalam suasana tertutup, memastikan aurat pelanggan sentiasa terjaga daripada bukan mahram.
Bagi Noor, konsep ini bukan sekadar strategi perniagaan, sebaliknya satu keperluan yang jarang diberi fokus dalam industri kecantikan arus perdana. Justeru Seri Wajah Muslimah Aesthetic bukan hanya menawarkan rawatan wajah dan estetik, tetapi juga berperanan sebagai ruang selamat untuk Muslimah merehatkan diri, memulihkan emosi dan membina keyakinan diri.
CEBURI BISNES
Mengulas lanjut, idea untuk membina empayar perniagaan ini terdetik kerana pengaruh dua individu yang cukup bermakna dalam hidupnya.
“Dua orang yang banyak mengubah saya ialah arwah ayah dan suami, Baiatur Ridzwan Ibrahim. Selepas perkahwinan kali kedua, baru saya menceburkan diri dalam bidang kecantikan atas dorongan arwah ayah dan suami.
Kalau ikutkan arwah ayah tidak menggalakkan saya berbisnes. Dia tidak menghalang dan tidak juga terlalu menggalakkan sebab ayah kata perniagaan ini banyak ups and downs. Tapi arwah ayah guide saya dari jauh,” ujarnya sambil menahan sebak.
Akui Noor, hatinya mudah tersentuh setiap kali bercerita mengenai arwah ayah. “Dia pernah jatuh bankrap disebabkan perniagaan. Jadi saya faham, dia tak nak anak-anak lalui benda yang dia rasa dulu. Arwah ayah pernah ada bisnes sendiri dalam bidang IT dan communication.”
Berbekalkan dorongan tersebut, Noor melangkah berani bergelar usahawan dan optimis membuka sebuah spa kecantikan holistik khusus buat Muslimah merawat serta membelai diri setelah seharian mengurus keluarga dan kerjaya.
Dalam masa sama, dia mahu menjadikan Seri Wajah Muslimah Aesthetic sebagai satu bentuk fardu kifayah baginya dalam memelihara kesucian agama Islam dan martabat Muslimah.
“Istimewanya Seri Wajah Muslimah Aesthetic kerana kami khas untuk wanita beragama Islam saja. Kami bukan racist, tetapi sebagai seorang Muslimah saya rasa terpanggil untuk menjaga keperluan golongan ini.
Di spa ini, pelanggan dapat menjalani rawatan dalam keadaan tenang dan selesa tanpa risau aurat mereka terdedah kepada bukan mahram. Bagi saya, ini ibarat satu fardu kifayah dan juga dakwah kecil dalam perniagaan.
Sekurang-kurangnya saya dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat di Malaysia,” tegas Noor yang merupakan graduan Sarjana Pengurusan Kejuruteraan, University of Sunderland, United Kingdom dan Ijazah Kejuruteraan Elektrikal, Universiti Malaya (UM).
Sehingga kini, Seri Wajah Muslimah Aesthetic telah berkembang pesat dengan 15 cawangan di seluruh Malaysia, merangkumi Lembah Klang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pantai Timur.
CABARAN
Sepanjang lapan tahun mengemudi empayar perniagaan, wanita kelahiran Kuala Lumpur ini tidak terlepas daripada ujian. Beranggapan ia adalah lumrah bagi setiap usahawan, Noor memaklumkan situasi ketika negara dilanda pandemik Covid-19 merupakan cabaran terbesar yang menguji kemampuannya selaku majikan.
Perniagaan berlandaskan servis kecantikan menjadi sektor pertama yang diarahkan tutup dan sektor terakhir yang dibenarkan beroperasi semula sekitar tahun 2020 hingga 2021. Hampir dua tahun Noor dan suami berjuang membayar gaji para pekerja yang ketika itu mencecah hampir 100 orang.
“Saya tak boleh berhentikan semua staf sebab perlu fikir jauh ke depan. Awalnya kami buat jualan secara online dan alhamdulillah strategi itu berjaya.
Masuk tahun seterusnya, saya dan suami nekad membeli durian Musang King di Raub, kopek di rumah, pek dan jual di Kuala Lumpur. Selain itu kami juga pernah menjual nangka dari Lanchang.
Saya sangat terharu dengan inisiatif team saya yang sanggup memasak dan berniaga tepi jalan demi meneruskan kelangsungan hidup. Walaupun susah, mereka tetap berjuang bersama Seri Wajah Muslimah Aesthetic,” luahnya penuh syukur.
Dalam landskap industri kecantikan yang semakin kompetitif, Noor menyedari kepentingan untuk sentiasa peka dengan teknologi dan rawatan terkini agar Seri Wajah Muslimah Aesthetic kekal relevan serta menjadi pilihan utama pelanggan.
KEJAYAAN
Menyentuh pencapaian sehingga kini, Noor bersyukur empayar perniagaan yang diusahakan selama lapan tahun membawa pulangan memberangsangkan. Pada tahun 2025 sahaja, Seri Wajah Muslimah Aesthetic berjaya merekodkan jualan tahunan sebanyak RM11 juta.
Namun bagi Noor, kejayaan sebenar bukan terletak pada angka semata-mata.
“Pada saya, pencapaian paling bermakna ialah apabila seorang Muslimah datang ke Seri Wajah, mereka keluar dengan keyakinan diri yang lebih baik, masalah kulit yang berkurangan dan emosi yang lebih tenang.
Kami bukan sekadar spa rawatan kulit, tetapi juga terapi emosi untuk Muslimah. Itulah definisi kejayaan sebenar bagi saya.”
Ditanya mengenai hala tuju Seri Wajah Muslimah Aesthetic dalam tempoh 10 tahun akan datang, Noor menyatakan hasrat untuk menjadikan jenama ini sebagai rujukan utama spa Muslimah di Malaysia dan rantau ini.
Selain merancang pembukaan lebih banyak cawangan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, Noor turut beraspirasi melahirkan lebih ramai therapist dan usahawan Muslimah, sekali gus memperkasakan wanita dari sudut ekonomi, emosi dan spiritual.
“Saya mahu Seri Wajah Muslimah Aesthetic menjadi platform untuk Muslimah berkembang — bukan sahaja cantik secara luaran, tetapi kuat dari dalam. Jika lebih ramai Muslimah boleh dibantu melalui perniagaan ini, itulah kejayaan yang ingin saya capai.”
This website uses cookies.