Pemilik jenama yang diungguli seorang wanita dan pakar dalam rekaan ready-to-wear (RTW), Ezzati Amira Affandy merupakan graduan jurusan rekaan fesyen dari Raffles Design Institute. Pengalaman lebih 10 tahun dalam industri fesyen membuktikan wanita ini mampu membina jenama dan empayarnya sendiri.
Mesra disapa sebagai Ezzati, beliau memulakan kerjaya pertama sebagai pereka jenama ready-to-wear di syarikat high street fashion tempatan, Le Ann Maxima selama tiga tahun. Selepas itu, Ezzati memilih untuk bekerja sebagai jurujual di sebuah butik fesyen terletak di Publika.
Sejak kecil dunia fesyen sememangnya sudah sebati dengan wanita berusia 30an ini. Kerja-kerja home based seperti menjahit telah menjadi rutin bagi Ezzati sebelum tampil dengan jenama fesyennya sendiri iaitu ‘Ezzati Amira’ yang kian menjadi pilihan penggemar fesyen masa kini.
PERMULAAN
“Tahun 2013 saya berhenti kerja untuk mencari pengalaman baru seterusnya melangkah ke satu tahap yang lebih baik. Dalam tempoh ini saya mencari jenama yang menghasilkan rekaan ready-to-wear namun ketika ini jumlahnya tidak ramai.
Kedua ibu bapa yang sentiasa menjadi tulang belakang paling kuat buat saya. Mereka juga mencadangkan saya untuk membuka jenama fesyen sendiri. Sejak itu semangat saya kian membara lalu saya teruskan kerja-kerja menjahit di rumah dan menghasilkan beberapa koleksi dalam skala kecil. Koleksi itu dikenali sebagai Spring/Summer 2013
.Kebetulan juga ketika itu Andrews Models bakal muncul dengan platform ready-to-wear untuk Kuala Lumpur Fashion Week. Mereka tertarik dengan rekaan saya dan memilih untuk berkolaborasi. I think that was the highlight of where I started the brand.
NASIHAT
Nasihat saya buat mereka yang mempunyai impian untuk bergelar pereka fesyen atau yang masih baru dalam industri ini, usah overconfident. Saya sendiri sering bergaul dengan golongan lebih berusia, matang dan berpengalaman untuk melatih saya berkomunikasi dengan lebih baik seterusnya tahu menghormati orang lain. Ini juga dikatakan adab sesama manusia, hati perlu sentiasa bersih.
Minat adalah kunci utama sukses. Sabar dan jangan mudah putus asa. Percaya dengan kemampuan diri. Jangan jadi kaya dengan cara yang ‘licik’ dan busuk hati kerana ia jelas tidak ikhlas malah tidak halal. Dalam hidup ini sama ada menang atau kalah, tiada yang betul atau salah kerana ia subjektif. Hari ini mungkin kita di atas, esok lusa mungkin di bawah pula.
Kredit Foto: Instagram @ezzatiamira_
This website uses cookies.