Hidap Penyakit “Tak Dapat Diubati”, CELINE DION Batal Konsert Jelajah Eropah

Perkongsian penyanyi My Heart Will Go On di laman Instagram miliknya hari ini sememangnya mengejutkan para peminat di seluruh dunia.  Mana tidaknya, Celine Dion berkongsi satu khabar duka yang bukan sahaja memberi kesan terhadap dirinya, malah seluruh peminatnya.

 

Celine, 54 mendedahkan dia disahkan menghidap sejenis penyakit yang tidak dapat diubati dikenali sebagai ‘Stiff Person Syndrome’ (SPS).

Menurutnya, penyakit tersebut akan menyebabkan ototnya tidak dapat dikawal.

Dalam perkongsian video di laman Instagram miliknya, Celine mendedahkan dia sudah lama mengalami masalah kesihatan dan situasi tersebut amat sukar untuk dihadapi dan bercakap secara terbuka mengenainya.

“Malangnya, kekejangan otot ini akan memberi kesan terhadap seluruh hidup saya. Adakalanya saya sukar berjalan atau ia memberi kesan terhadap peti suara sehingga menyukarkan saya untuk menyanyi seperti biasa,” ujarnya.

Disebabkan masalah kesihatan itu, Celine mengambil keputusan membuat pengumuman secara rasmi pembatalan konsert jelajah Eropah yang dijadualkan pada Februari tahun hadapan.

Melalui pencarian di laman web, SPS merupakan sejenis penyakit yang jarang berlaku dan hanya dialami oleh satu atau dua orang dalam satu juta manusia. Penyakit ini menyebabkan berlakunya kekejangan otot yang dicetuskan oleh pelbagai faktor seperti pergerakan secara tiba-tiba, cuaca sejuk dan bunyi bising.

Pada masa yang sama, Celine mengesahkan dirinya sedang mendapatkan rawatan dan mempunyai pasukan doktor terbaik untuk membantunya berhadapan dengan situasi yang sukar digambarkan ini.

Nada suara Celine nampak sedih dan penuh pengharapan tatkala menyampaikan mesej penting di laman Instagram miliknya. Semoga penyakit yang dihidapinya itu dapat diubati dan para peminat mendoakan semoga kesihatan Celine berada dalam keadaan yang baik.

IKLAN
Share