Huda Beauty Taja Miss Universe Palestin, Nadeen Ayoub Tanda Sokongan & Solidariti

Jenama kecantikan terkenal Huda Beauty baru-baru ini mengumumkan kerjasama rasminya bersama Miss Universe Palestin, Nadeen Ayoub yang bakal mewakili negaranya di pertandingan Miss Universe ke-74 di Bangkok, Thailand November ini.

Kredit Foto: nadeen.m.ayoub

Pengumuman itu mencetuskan sorotan besar di dunia kecantikan dan komuniti antarabangsa kerana membawa mesej harapan serta solidariti terhadap rakyat Palestin.

Simbol Harapan Di Pentas Dunia

Kerjasama antara Huda Beauty dan Nadeen Ayoub tercetus ketika Miss Palestin menerima gelombang sokongan serta solidariti meluas di media sosial.

Ramai melihat penyertaannya sebagai simbol kebanggaan dan ketabahan di tengah-tengah penderitaan yang masih berterusan di Gaza dan seluruh Palestin akibat penjajahan serta kekejaman rejim zionis.

Penampilan Nadeen Ayoub di pentas dunia diraikan sebagai lambang harapan dan kekuatan budaya.

Kredit Foto: nadeen.m.ayoub

Beliau membawa bendera Palestin serta kisah rakyatnya ke perhatian masyarakat antarabangsa, menjadikan penyertaannya lebih bermakna daripada sekadar pertandingan kecantikan.

Kenali Nadeen Ayoub

Berusia 27 tahun, Nadeen Ayoub bukan sekadar seorang ratu cantik. Beliau juga merupakan seorang model, aktivis kesihatan, dan pengasas kepada Olive Green Academy serta Sayidat Falasteen Foundation.

Kredit Foto: nadeen.m.ayoub

Kedua-dua organisasi ini memberi fokus kepada kelestarian, pendidikan, dan pemerkasaan wanita di rantau tersebut. Usahanya ini memperlihatkan semangat wanita Palestin yang kuat, berwawasan, dan berdikari.

BACA JUGA: Cantik & Berjiwa Pejuang NADEEN AYOUB Wanita Palestin Pertama Terpilih Ke Miss Universe 2025

Misi Kecantikan & Nilai Kemanusiaan

Usaha Nadeen Ayoub sejajar dengan misi Huda Beauty yang menggalakkan keyakinan diri, keaslian, dan kehidupan berasaskan tujuan.

Kerjasama ini bukan hanya tentang kosmetik, tetapi juga tentang menyebarkan mesej bahawa kecantikan sejati lahir daripada keberanian, keteguhan, dan keaslian diri.

Jenama Huda Beauty diasaskan oleh usahawan Iraq-Amerika, Huda Kattan pada tahun 2013.

Kredit Foto: nadeen.m.ayoub

Dalam tempoh singkat ia berkembang menjadi antara jenama kosmetik paling berpengaruh di dunia dan terkenal dengan komitmen terhadap kepelbagaian, pemerkasaan wanita serta advokasi beretika.

Huda Kattan sendiri merupakan penyokong lantang Palestin dan sering menggunakan platform globalnya untuk meningkatkan kesedaran serta menyeru keadilan dan sokongan kemanusiaan.

Kerjasama

Gabungan Huda Beauty dan Nadeen Ayoub ini melangkaui dunia kecantikan di mana ia mewakili solidariti, suara wanita dan keindahan dalam perjuangan.

Kerjasama ini menjadi simbol kekuatan budaya Palestin yang terus bersinar. Ia turut membuktikan kecantikan sebenar lahir dari keberanian untuk bersuara dan berdiri teguh di atas prinsip kemanusiaan.

Share
Published by
Amy Mohd