Gaya Hidup

Hukum Bariatrik Dalam Islam: Ustazah Asma’ Harun Tegur Bukan Tiket Tayang Aurat

Bariatrik dalam Islam menjadi topik yang semakin mendapat perhatian apabila semakin ramai memilih pembedahan tersebut sebagai ikhtiar menurunkan berat badan dan merawat obesiti. Namun di sebalik perubahan fizikal yang lebih langsing, timbul persoalan penting mengenai hukum syarak. Menurut pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun, pembedahan bariatrik bukanlah haram secara mutlak, sebaliknya hukumnya bergantung kepada tujuan, keperluan serta maslahat yang ingin dicapai.

Menurut beliau, rawatan pembedahan bariatrik boleh jatuh kepada hukum harus sekiranya dilakukan atas keperluan kesihatan, mendapat nasihat doktor pakar serta memenuhi kaedah syarak.

Ini kerana Islam sentiasa meletakkan pemeliharaan nyawa dan kesihatan sebagai antara maqasid syariah yang utama. Justeru, sekiranya seseorang mengalami obesiti melampau sehingga mengancam kesihatan atau nyawa, pembedahan tersebut boleh menjadi satu ikhtiar rawatan yang dibenarkan.

Bariatrik Dalam Islam

Merujuk penerangan yang dikongsikan Ustazah Asma’ Harun, pembedahan bariatrik ialah prosedur yang dilakukan pada sistem pencernaan bagi membantu pesakit obesiti menurunkan berat badan.

Selain mengurangkan pengambilan makanan dan kalori, prosedur ini turut membantu merawat penyakit metabolik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

Secara umumnya, pembedahan bariatrik berfungsi melalui dua kaedah utama:

  • Restriction (Sekatan) – mengecilkan saiz perut supaya pesakit cepat kenyang.
  • Malabsorption (Penyerapan) – mengubah sistem usus kecil bagi mengurangkan penyerapan kalori serta nutrien.

Dari sudut perubatan, prosedur ini bukan bertujuan mencantikkan tubuh semata-mata, sebaliknya membantu pesakit mendapatkan semula kualiti hidup yang lebih baik.

Bariatrik Dalam Islam Bukan Trend Kecantikan

Walau bagaimanapun, Ustazah Asma’ Harun mengingatkan bahawa apa yang lebih penting bukan sekadar prosedur pembedahan itu sendiri, tetapi niat, tujuan dan keperluan seseorang melakukannya.

Beliau menjelaskan bahawa hanya Allah SWT mengetahui tujuan sebenar di sebalik keputusan seseorang menjalani pembedahan bariatrik.

Jika dulu ramai yang buat secara sembunyi, kini ada yang kongsikan secara terbuka tanpa segan sehingga menjadi perkara biasa dalam masyarakat. Apa yang dibimbangi, ia bukan lagi kerana keperluan, tapi menjadi satu trend untuk kecantikan.

Ustazah Asma’ Harun

Apa yang membimbangkan, menurut beliau, ialah apabila prosedur tersebut mula dianggap sebagai trend kecantikan semata-mata, bukan lagi kerana keperluan kesihatan.

Lebih merisaukan apabila sebahagian individu yang berjaya memperoleh bentuk badan lebih langsing mula berubah ke arah yang tidak selari dengan tuntutan agama.

Tujuan Bariatrik Jangan Sampai Melupakan Syariat

Dalam perkongsian tersebut, Ustazah Asma’ Harun turut menegur fenomena yang semakin kerap dilihat selepas seseorang menjalani transformasi fizikal.

Beliau menyatakan terdapat segelintir individu yang semakin berani mendedahkan aurat, menayangkan bentuk tubuh, berhias secara berlebihan serta tampil lebih seksi kerana terlalu bangga dan terpesona dengan perubahan tubuh badan sendiri.

Bariatrik Dalam Islam

Menurut beliau, perbuatan sedemikian boleh membawa kepada perkara yang diharamkan syarak malah termasuk dalam kategori dosa besar.

Hakikatnya, Islam tidak pernah melarang seseorang tampil kemas, sihat dan menjaga penampilan. Namun kecantikan dalam Islam sentiasa diiringi dengan adab, rasa malu serta pemeliharaan aurat.

Tubuh yang lebih sihat seharusnya menjadi sebab untuk lebih bersyukur kepada Allah SWT, bukannya membuka ruang kepada sifat riak atau mencari perhatian manusia.

Langsing Bukan Tiket Tayang Aurat

Perkongsian Ustazah Asma’ Harun mengingatkan bahawa kecantikan fizikal bukanlah matlamat utama seorang Muslim. Sebaliknya, setiap nikmat yang dikurniakan perlu digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Bariatrik dalam Islam bukan isu halal atau haram secara mutlak. Sebaliknya, hukumnya bergantung kepada sebab seseorang melakukannya, keperluan perubatan, maslahat yang ingin dicapai serta bagaimana perubahan tersebut mempengaruhi kehidupannya selepas itu.

Seperti yang dirumuskan oleh Ustazah Asma’ Harun, apa yang dinilai oleh syarak bukan sekadar perbuatan memotong atau tidak memotong usus, tetapi tujuan, keperluan dan maslahat yang ingin dicapai.

Justeru, sebelum membuat keputusan menjalani pembedahan bariatrik, setiap Muslim disaran mendapatkan pandangan pakar perubatan serta memahami panduan syariat agar usaha menjaga kesihatan sentiasa berjalan seiring dengan reda Allah SWT.

Artikel berkaitan: Raih Keahlian Pakar Anestesiologi Ireland (MCAI), Dr Julia Junid Mahu Jadikan Kejayaan Ini Inspirasi Buat Anak-Anak!

Share
Published by
Norzalina