Hukum Buat Pemutihan Gigi, Dr. Anitawaty Jelas Mudarat Kesihatan Ubah Ciptaan Tuhan

Demi mematuhi standard kecantikan, bidang pergigian kosmetik kini menjanjikan pulangan lumayan buat pengamalnya. Selain rawatan tampalan komposit, rawatan pemutihan gigi juga selalu mendapat permintaan tinggi di kalangan wanita. Tapi adakah ia dibenarkan dalam Islam?

Bagi mendapatkan penjelasan tepat, Nona bertemu doktor gigi dari Klinik Pergigian Anitawaty, Shah Alam yang juga Pengarah di Manarah Cure Sdn. Bhd., Dr. Anitawaty Mukhtar.

Kata Dr. Anita, beliau bimbang melihat trend pemutihan gigi ini, tak kira dari jenis rawatan di klinik atau di rumah kerana ia bukan saja memudaratkan, tapi boleh memesongkan akidah tanpa disedari.

Dr. Anitawaty Mukhtar

Kit pemutih gigi biasanya mengandungi bahan hydrogen peroxide atau bahan peluntur kepekatan tinggi. Bayangkan gigi yang keras pun boleh putih, kemudian bayangkan pula bagaimana tisu-tisu lembut lain di sekeliling gigi? Hakikatnya cedera parah.

Gigi merupakan bahagian tulang manusia yang paling kuat. Bayangkan bagaimana kondisi tulang-tulang kita yang lain jika gigi pun mula mereput, sudah tentulah ia mencerminkan masalah kesihatan diri yang lain, makin merosot. Ikuti temu bual kami di bawah.

(1) Hukum Berjumpa Doktor Gigi

Nona: Apakah hukum berjumpa doktor gigi untuk mencabut gigi yang sakit?

Dr. Anita: Hukum rawatan pergigian adalah harus untuk tujuan kesihatan. Cuma elakkan membuat rawatan berasaskan kosmetik atau pemutihan gigi supaya tak menambah kemudaratan seperti ngilu atau gigi semakin rapuh.

 

(2) Sunnah Dalam Pergigian

Nona: Apakah yang dimaksudkan dengan rawatan pergigian berasaskan sunnah?

Dr. Anita: Selain daripada masalah kesihatan, para pengamal kesihatan gigi seharusnya mendapatkan bimbingan ulama sebelum menjalankan sebarang rawatan mencantikkan gigi.

Secara saintifiknya, saraf-saraf dan kapilari dalam mulut saling berkait dengan otak manusia. Betapa penjagaan dalam mulut dengan bahan-bahan tampalan yang berkualiti seperti emas dan perak sangat ditekankan oleh Baginda Nabi. Emas adalah bahan asas pergigian yg sangat utuh dan stabil sepanjang zaman.

Ada alim ulama beritahu saya, betapa sakaratul maut itu sangat sakit tapi sunnah bersugi itu dapat mengurangkan kesakitan roh keluar dari jasad semasa ia ditarik oleh malaikat Izrail.

Dengan itu disunnahkan umat Islam bersugi dan Rasulullah SAW bersabda, ‘Jika tidak membebankan umatku, setiap waktu nak bersolat disunnahkan untuk bersugi dahulu’.

Malah Rasulullah sendiri bersugi bersungguh-sungguh sebelum wafat.

Nona: Maksud bahan tampalan berkualiti?

Dr. Anita: Yang mengikut sunnah dan lebih afdal. Ia seharusnya tahan lama kerana jangka hayat gigi kekal adalah seumur hidup.

 

(3) Hukum Memutihkan Gigi

Nona: Komen Dr. Anita tentang rawatan pemutihan gigi, seperti yang terang-terangan dibuat oleh ramai wanita sekarang?

Dr. Anita: Kalau gigi tersebut sudah non-vital (mati atau jadi hitam), diharuskan untuk kita memutihkannya agar sekata dengan warna gigi yang lain. Sebatang dua gigi yang hitam itu mungkin terjadi akibat trauma (terhantuk waktu kemalangan) dan ia boleh diputihkan bagi menutup aib.

Perubahan warna gigi dan masalah gigi hitam sering berlaku akibat kecederaan

Tapi kalau nak putihkan gigi yang sedia elok, dari segi akidah boleh dianggap salah. Saya rasa konsep kecantikan juga banyak mendorong orang kita nak buat gigi nampak putih dan tersusun. Mudaratnya gigi akan mula ngilu yang keterlaluan sebab bahan pemutih tu merosakkan tisu-tisu lembut dan keras dalam mulut kita.

Kalau untuk kecantikan atau sekadar ‘menambah keyakinan diri’, hukumnya haram kerana kita mengubah kejadian asal ciptaan Allah SWT. Wallahualam.

 

(4) Penggunaan Cecair Kumur

Nona: Pendapat Dr. Anita tentang sejauh mana keberkesanan cecair kumur?

Dr. Anita: Saya lebih syorkan pesakit-pesakit saya kembali pada sunnah. Berkumur air garam banyak-banyak selepas memberus gigi. Jika perlu, hentikan guna cecair kumur di pasaran tu.

Sebenarnya dulu saya pernah cuba pakai. Tapi saya perasan karang gigi tumbuh lebih cepat dan lidah rasa berat. Jadi saya berhenti gunakan cecair kumur tu sampailah buka klinik sendiri. 10 tahun pertama perkhidmatan saya, saya dapati jika gigi pesakit goyang dan gusi bengkak, 90% daripadanya mempunyai sejarah penggunaan cecair kumur.

Jadi saya nasihatkan mereka berkumur dengan air garam biasa dan bila pesakit datang semula, alhamdulillah majoriti gigi-gigi yang goyang dan gusi lembut tu kembali pulih.

Satu lagi petua yang baik, gunakan berus gigi lembut dengan ubat gigi halal (sebesar biji kacang hijau saja) dan celup sedikit garam halus (maknanya di singki tempat kita memberus gigi tu dah siap sebekas kecil garam halus). Sambil berus gigi, sambil kita ambil keberkatan sunnah. InsyaAllah.

IKLAN
Share